Saturday 14 May 2016

Aku benci kau (bab 2)

Koleksi novel-novel Rabihah Nur Ridhuan: aku benci kau (bab 2)

DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 17

Mata Harith Mishka tidak berkelip memandang sesusuk tubuh di hadapannya. Benarkah apa yang sedang terpampang di hadapan matanya tatkala ini? Anggun Danisha sedang memakai baju kurung dan bertudung litup? Ish mesti semua ini hanya mimpi! Bukankah minah saleh celup itu lebih banyak memakai pakaian ala-ala baratnya. Malah kehidupannya lebih mirip kepada orang barat! Tidak mungkin dengan sekelip mata Anggun Danisha berubah sedrastik itu!
Pantas Harith Mishka menampar pipinya. Dia cuba menyedarkan dirinya. Namun kesakitan yang dirasainya tatkala dia menampar pipinya menyebabkan Harith Mishka sedar yang dia sedang berada di alam realiti. Malah wajah Anggun Danisha yang ayu berbaju kurung dan bertudung litup itu masih berada di hadapannya.
Buat seketika Harith Mishka seolah-olah sedang terpesona dengan apa yang terpampang di matanya tatkala ini. Tiada cacat cela pada wajah itu. Memang dia mengakui Anggun Danisha mempunyai paras wajah yang cukup ayu sekali. Hidung yang terletak, bibir merah bak saga. Di tambah dengan lesung pipit menghiasi kedua-dua pipinya melengkapkan kesempurnaan pada wajah itu. Buat pertama kalinya dada Harith Mishka bergetar buat seorang wanita. Perasaan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Perasaan yang indah dan cukup membahagiakan.
"Ta ra...cantik tak I hari ini?" tanya Anggun Danisha sambil berposing maut di hadapan Harith Mishka. Tidak segan Anggun Danisha berpusing sebegitu. Manakala Harith Mishka sudah menelan liur. Al maklumlah mana pernah ada perempuan yang berani berposing maut sebegitu. Hampir sahaja tersungkur imannya apabila melihat aksi sebegitu.
"Kau ni nak buat apa? Kau nak aku seret kau masuk bilik ke?" tanya Harith Mishka sambil sengaja menseriuskan wajahnya. Dia cuba menstabilkan perasaan tidak menentunya. Sudah tidak tentu arah dibuatnya.
"What?" tanya Anggun Danisha sambil mengerutkan keningnya. Sungguh dia tidak faham  dengan bicara lelaki itu. Dipandang pada baju kurung yang melekap di badannya. Rasanya sempurna sahaja baju yang dibawa dari Finland itu.
"What was I did wrong?" tanya Anggun Danisha lagi. Dia terus memerhatikan riak serius Harith Mishka.
Harith Mishka mendenggus geram. Dia tidak tahu sama ada gadis di hadapannya sengaja buat-buat tidak tahu ataupun dia sememangnya tidak tahu?
"Yang kau tiba-tiba goda aku tu apasal?" tanya Harith Mishka.
Anggun Danisha segera menegakkan tubuhnya. Sungguh dia tidak menyangka hanya gayanya sebegitu boleh diistilahkan sebagai menggoda bagi lelaki di Malaysia! Kolotnya!
"Macam tu dah tergoda ke?" tanya Anggun Danisha tanpa ada riak bersalah."I bukannya pakai seksi pun! Siap bertudung litup lagi you boleh tergoda," tambah Anggun Danisha lagi. Dia sengaja mengusik Harith Mishka.
"Cubalah kau buat lagi! Nanti kau tahulah nasib kau," kata Harith Mishka sambil membeliakkan matanya.
"Tadi bercakap macam ustaz tapi rupa-rupanya iman tak de lah kuat mana," usik Anggun Danisha sambil terus berlalu ke kereta.
Harith Mishka mendenggus geram. Hatinya tiba-tiba terasa begitu panas dengan perlian Anggun Danisha itu. Ah perempuan ini memang sengaja mencari fasal dengannya!
"Yang kau masuk dalam kereta aku tu kenapa?" tanya Harith Mishka. Dia terus masuk ke dalam keretanya. Wajah Anggun Danisha yang duduk di tempat duduk di sebelahnya dijelingnya geram. Sungguh dia tidak suka dengan sikap selamba Anggun Danisha. Sesuka hatinya sahaja mahu masuk ke dalam keretanya tanpa mendapat kebenarannya terlebih dahulu!
Anggun Danisha hanya beriak selamba. Malah sengaja dia melebarkan senyuman untuk menambahkan perasaan sakit hati lelaki yang berada di sebelahnya itu.
"Nak jalan-jalan," kata Anggun Danisha. Dia sengaja berkata begitu untuk menyakitkan lagi hati Harith Mishka. Dia mahu tengok setakat mana lelaki itu boleh bertahan dengan ragamnya.
"Jalan-jalan?" tanya Harith Mishka sambil membeliakkan matanya. Wajah Anggun Danisha ditenungnya serius. Namun hatinya bertambah sakit apabila gadis itu hanya berwajah selamba. "Ada aku ajak kau pergi jalan-jalan?" tambah Harith Mishka.
"Memang you tak ajak I tapi I ajak you," kata Anggun Danisha.
Harith Mishka mendenggus geram. Bibirnya diketap rapat. Cuba menahan dirinya daripada terus memaki hamun gadis di sebelahnya. Nafasnya sudah turun naik. Perasaan indah yang merantai hatinya sebentar tadi sudah hilang entah ke mana. Ah dia sememangnya sudah gila kerana boleh ada perasaan begitu dengan gadis seperti ini.
"Kau ingat aku tak de kerja ke? Lebih baik kau turun sekarang sebelum aku tarik kau keluar," kata Harith Mishka dengan kasar.
Anggun Danisha hanya mengangkat tanda peace kepada lelaki itu sambil melebarkan senyumannya. Tiada tanda-tanda untuk dia keluar dari kereta lelaki itu. Malah wajah garang Harith Mishka tidak menakutkan dirinya.
"You ni garang sangat sebab itulah sampai sekarang you tak ada girlfriend. Cuba cool sikit," kata Anggun Danisha dengan lembut. Dia sengaja melemparkan senyuman lebar. Biar lelaki itu terus terbakar dengan reaksinya itu.
"Apa yang kau nak sebenarnya?" tanya Harith Mishka dengan garang. Sungguh dia tidak mampu bersabar dengan Anggun Danisha. Sudahlah pandai-pandai sahaja gadis itu mengatakan yang dia tiada teman wanita! Dia ingat aku ni tak laku sangat ke? Dia tidak tahukah muka aku yang handsome ni telah mencairkan hati ramai wanita?
"I nak tumpang you. I nak jumpa my sweetheart," terang Anggun Danisha.
"Tumpang?" tanya Harith Mishka sambil merenggus geram. Geram benar dia dengan sikap Anggun Danisha yang sesuka hatinya sahaja membuat keputusan tanpa berbincang dengannya.
"Alah you bekerja di Lembah Pantai. Same place with Bunyamin," terang Anggun Danisha.
"Kau ingat Lembah Pantai tu kecil?"
"Just drop me kat mana-mana bus stand yang ada di situ. Nanti I suruh Bunyamin pick up I di situ," kata Anggun Danisha.
"Jadi sebab tu kau pakai macam ni?" tanya Harith Mishka jelak. Tiba-tiba dia berasa menyampah untuk mendengar kisah cinta Anggun Danisha itu.
Cepat-cepat Anggun Danisha mengangguk.
"Sebab Min suka I bertudung."
"Min?"
"Bunyamin! I akan lakukan apa sahaja yang Min suka," kata Anggun Danisha sambil tersenyum penuh harapan. Dia mengharapkan perubahan yang dilakukan ini mampu memberikan perkembangan yang positif dalam hubungan mereka kelak.
Harith Mishka mencebek. Rasa mahu termuntah mendengarkan pengakuan Anggun Danisha itu. Baginya Anggun Danisha terlalu berlebih dalam mengejar cintanya.
"Kau ni tak boleh ke jadi diri sendiri? Don’t be a woman that need a man, but be a woman that a man need," perli Harith Mishka.
Anggun Danisha tidak memperdulikan bicara Harith Mishka itu. Sebaliknya dia sudah mula angau dengan perasaan cintanya. Hanya wajah Bunyamin yang bermain di layar ingatannya tatkala ini. Seperti biasa apabila Anggun Danisha mula angau dia akan melukis imej love dengan jarinya. Apabila melihat tangan Anggun Danisha yang sudah berada di cermin tingkapnya, terus sahaja mata Harith Mishka membeliak.
"Hei jangan pandai-pandai nak lukis love kat situ," kata Harith Mishka memberi amaran.
Anggun Danisha mengeluh geram. Baru sahaja dia mahu melayan angaunya tetapi Harith Mishka sudah mengacaunya! Ah potong stim betul mamat ni!


DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 16

Laman Facebook dibukanya dengan  perasaan yang berdebar. Nama Bunyamin di taipnya tanpa sabar. Sudah lama dia tidak melihat gambar terbaru Bunyamin yang selalu di kemas kininya di laman ini. Sebenarnya aktiviti ini adalah aktiviti yang sering dilakukannya semenjak dia dan Bunyamin terpaksa memutuskan hubungan cinta mereka akibat tentangan papanya.
Mata Anggun Danisha terpaku apabila melihat gambar Bunyamin dengan seorang wanita berbaju kurung kuning dan memakai tudung sedondon dengan warnanya. Tiba-tiba hati Anggun Danisha berasa begitu sakit. Perasaan cemburunya semakin menguasai dirinya. Sungguh dia ingin mengetahui apa hubungan Bunyamin dengan wanita itu. Namun tidak tertulis apa-apa di situ.
"Kenapa Min tak tulis apa-apa? Just update gambar perempuan ni aje?" tanya Anggun Danisha sendirian. Matanya masih terpaku kepada gambar perempuan itu. Dia mula membandingkan kecantikan antara dirinya dengan wanita itu. Mulutnya dicebek geram.
"Min dah buta ke? Perempuan yang tak secantik mana ini yang mahu dipilihnya. Ah apa yang menariknya tentang wanita ini? Mungkin sebab dia bertudung! Ya betul! Min suka perempuan yang bertudung," kata Anggun Danisha sendirian. Hatinya membengkak. Dia berasa menyesal kerana tidak pernah mengikut kehendak Bunyamin. Semasa mereka sedang hangat bercinta lelaki itu acapkali mahu dia menutup aurat namun Anggun Danisha hanya memekakkan telinganya. Dia tidak mahu dipandang pelik apabila tampil bertudung di negara Barat yang sentiasa mengamalkan kehidupan bebas itu.
"Ah siapa perempuan ini?" kata Anggun Danisha.
Tanpa sabar terus dia membaca komen-komen yang telah dititipkan di situ. Ternyata semua komen yang diberikan telah merentap hati dan perasaannya. Tahniah! Memang pasangan sepadan! Macam merpati dua sejoli! Dada Anggun Danisha terasa mahu meletup. Pantas sahaja dia menutup laptopnya dengan kasar.
"Tak kan secepat itu Min mendapat penganti. Ah tak boleh! Aku akan pastikan Bunyamin menjadi hak milik aku semula. Tidak mungkin semudah itu Min dapat melupakan cinta kami," kata Anggun Danisha.
Anggun Danisha menarik nafasnya. Entah kenapa hatinya berkobar-kobar. Bagaikan timbul satu semangat di dalam dirinya untuk kembali menakluki Bunyamin. Dia tahu dia perlu berubah menjadi apa yang disukai oleh Bunyamin. Malah dia akan pastikan Bunyamin terharu dengan pengorbanan yang telah dilakukannya ini.
Sedang Anggun Danisha termenung sendirian, tiba-tiba telefon bimbit Anggun Danisha bernyanyi. Nombor telefon yang tidak dikenali itu pantas diangkatnya. Nombor telefon daripada talian tetap. Dia yakin itu adalah nombor pejabat Bunyamin kerana hanya Bunyamin sahaja yang tahu nombor telefonnya di Malaysia.
"Hello sayang," kata Anggun Danisha ceria. Hilang terus segala kegundahan hatinya tatkala ini. Wajah Bunyamin yang setia menemani mimpinya mula terbayang di ruang matanya.
"Sayang? Nak termuntah aku mendengarnya," jerkah suara di hujung talian.
Anggun Danisha terpempam. Matanya membulat. Terkejut dirinya dengan suara kasar di hujung talian. Dia memandang telefon bimbitnya dengan kerutan di dahi. Siapa pemanggil di hujung sana? Tersalah panggilankah?
"Kau ingat aku ni Buaya Man kau ke?" tambah suara di hujung talian.
Buaya Man? Kening Anggun Danisha dikerutkan. Siapa pula Buaya Man ni? Anggun Danisha tertanya-tanya sendirian. Gaya percakapan lelaki di hujung panggilan bagai mengenali dirinya. Tiba-tiba mulut Anggun Danisha terlopong. Bunyamin jadi Buaya Man?
"Mishka? Mishkakah ini?" tanya Anggun Danisha hampir menjerit.
"Iyalah. Tak kan Buaya Man kau pula!" kata Harith Mishka sinis.
Anggun Danisha menepuk dahinya. Bibir diketapkan rapat. Sungguh dia berasa malu dengan lelaki itu. Kenapa dia begitu gelojoh memanggil sayang tanpa memastikan terlebih dahulu siapa pemanggilnya. Tidak fasal-fasal dia sudah memalukan dirinya sendiri.
"Bukan Buaya Man! Bunyamin! You jangan sesuka hati you sahaja mengelar boyfriend I macam tu!" tegur Anggun Danisha. Dia sengaja mengeraskan suaranya. Biar lelaki itu nampak ketegasan dirinya.
"Whatever!" balas Harith Mishka masih tidak mahu mengaku kalah.
Anggun Danisha berdehem. Sebenarnya dia tidak mampu bersabar dengan perangai Harith Mishka yang sengaja mencari pasal dengannya.
"You nak apa ni? Macam mana you dapat phone number I?" tanya Anggun Danisha. Suaranya masih serius. Malas dia mahu melayan Harith Mishka yang tidak betul itu!
"Tolong jangan perasan sangat boleh tak? Atuk yang suruh aku call kau," kata Harith Mishka.
Anggun Danisha mencebek. Menyampah benar dia dengan bicara sinis lelaki itu. Siapa yang perasan pula? Salahkah kalau dia bertanya?
"Asyik terperap dalam bilik sejak dari tadi. You ni masih tidur lagi ke? Dah solat subuh ke belum?" bebel Harith Mishka. Dia faham benar dengan perangai manusia yang dibesarkan di negara barat. Pastinya bebas dan tiada pegangan agama.
"You ni jangan berlagak macan ustaz boleh tak? You nak apa sebenarnya?" tanya Anggun Danisha.
"Atuk suruh aku bagitau kau yang kau akan tinggal seorang di rumah. Atuk dah pergi klinik. Dia ada appointment hari ini. Aku baru nak gerak ke pejabat," kata Harith Mishka. Suaranya mendatar. Tiada kemesraan yang mahu ditunjukkannya.
"I tinggal seorang la. Hmmm," keluh Anggun Danisha. Dia sudah dapat membayangkan tahap kebosanannya kelak. Ah lebih baik aku jumpa Bunyamin! Detik hati Anggun Danisha tiba-tiba. Pantas sahaja senyuman Anggun Danisha meleret.
"You kerja di mana?" tanya Anggun Danisha. Dia sudah merangka sesuatu. Dia mahu memberi kejutan kepada Bunyamin. Kejutan yang mampu membuatkan Bunyamin terpaku memandangnya buat kali pertama.
"Lembah Pantai. Kenapa?"
Mata Anggun Danisha membulat. Hatinya melonjak gembira.
"Kerja mana?" tanya Anggun Danisha sekali lagi.
"Lembah Pantai!" jerit Harith Mishka sambil mendenggus geram. Dia ni memang tak dengar atau buat-buat tak dengar?
Mendengarkan jawapan dari Harith Mishka itu membuatkan senyuman Anggun Danisha semakin lebar. Nampaknya semua ini satu kebetulan yang cukup menyenangkan dirinya.
"Kalau macam tu you tunggu sekejap. Give me 5 minute," kata Anggun Danisha sebelum dia terus menamatkan panggilannya. Manakala Harith Mishka tercenggang sendirian.
"Dia ni nak buat apa pulak?" tanya Harith Mishka. Pantas dia melihat jam di pergelangan tangannya.
"Aku dah lambat ni! Hisshhh minah ni suka sangat menaikkan darah aku!" renggus Harith Mishka lagi.







DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 15

"Papa!"
Harith Mishka terjaga dari tidurnya. Dia memandang sekeliling. Mencari insan yang amat dirindui. Namun hampa.
"Astafirullahazim."
Harith Mishka meraup wajahnya sambil beristighfar beberapa kali. Mimpi itu bagaikan nyata. Malah wajah Ikhwan masih terbayang lagi di matanya. Perlahan Harith Mishka menghadiahkan surah al fatihah kepada arwah papanya, pesanan yang pernah disampaikan arwah kepadanya dulu.
Harith Mishka duduk termunung di katil. Kemunculan Anggun Danisha secara tiba-tiba sedikit sebanyak membuka kembali kenangan lama yang sudah menjadi lipatan sejarah buatnya. Tanpa dipinta kenangan itu kembali terakam di mindanya.
"Kenapa dia masih berada di rumah kita?" jerkah Badri pada suatu hari. Wajahnya kelihatan menyinga sambil memandang tajam ke arah Harith Mishka.
"Kenapa dengan kau ni Badri? Tak de angin tak de ribut kau mengamuk macam ni?" tegur Encik Hashim. Encik Hashim menggeleng lemah. Dia tidak menyangka yang Badri boleh jadi sebegini. Entah apalah yang Badri tidak berpuas hati dengan Harith Mishka.
"Kenapa ayah masih biarkan dia tinggal di sini?" tanya Badri sambil berdenggus geram. Dia benci dengan pertanyaan ayahnya itu. Tidak tahukah ayahnya betapa dirinya sangat membenci Harith Mishka?
"Habis tu kau nak biarkan dia tinggal di mana?" tanya Encik Hashim kembali.
Harith Mishka hanya menjadi pendengar setia. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia berlari masuk ke biliknya. Sungguh dia tidak sanggup berhadapan dengan situasi sebegini. Malah hatinya tidak kuat untuk mendengar caci maki yang keluar dari mulut Badri khas untuk dirinya.
"Rumah kebajikan banyak. Hantar ajelah dia ke sana," kata Badri.
Tercalar hati Harith Mishka apabila mendengar bicara itu. Sedalam itu rupanya benci Badri terhadapnya. Harith Mishka tertunduk diam. Airmata yang bergenang sedaya upaya ditahannya daripada jatuh membasahi pipinya. Kalau benar dia akan ditinggalkan di sana, dia tidak tahu bagaimanakah nasibnya kelak. Dapatkah dia menyusaikan dirinya dengan mereka yang cukup asing dalam hidupnya?
"Astafirullahazim. Apa yang kau cakap ni, Bad? Kau sedar tak Mishka tu anak sedara kau? Kenapa kau sanggup hantar dia ke sana pula?" tanya Encik Hashim. Dia melepaskan nafas sesak. Sikap Badri sejak akhir-akhir ini cukup mendera hati dan perasaannya. Malah kebenciannya terhadap Harith Mishka semakin menjadi-jadi.
"Eh dia bukan anak sedara Badlah! Mati hidup balik pun dia bukan anak sedara Bad! Bad benci dia! Bad tak nak tengok muka dia di sini!" tengking Badri sambil jari telunjuk menunjuk ke arah Harith Mishka yang hanya mendiamkan diri sejak dari tadi.
"Apa kena dengan kau ni Bad? Kenapa kau benci sangat dengan Mishka?" tanya Encik Hashim lagi. Dia tahu perkara ini perlu diselesaikannya dengan secepatnya. Kalau tidak pasti perkara ini akan menjadi barah dalam keluarganya. Penyebab rumah tangga mereka musnah selamanya.
"Sebab dia anak Ikhwan!" kata Badri.
"Perkara yang lepas biarkanlah berlalu. Buat apa kau kenang lagi. Ikhwan pun dah dapat balasan dia. Tak perlulah kau nak lepaskan kemarahan kau kepada Mishka yang tak berdosa ini," tegur Encik Hashim.
Badri mendenggus geram. Nasihat ayahnya tidak dapat diterimanya. Dia yang menanggung sakit dan deritanya akibat perbuatan Ikhwan itu. Bukan mudah untuk dia melenyapkan semua ini dengan sekelip mata.
"Bad, kalau dah benci akan membencinya sampai mati!" kata Badri.
"Astafirullahazim, mengucap Bad. Jangan diikutkan sangat perangai syaitan," tegur Encik Hashim.
Harith Mishka mengetap bibir. Di dalam hati dia bersyukur kerana Encik Hashim masih mahu menjaganya. Tidak seperti mamanya yang terus terpedaya dengan janji manis lelaki dihadapannya ini. Ah dia benci dengan Badri. Disebabkan Badri mamanya sanggup membuangnya.
"Syaitan? Siapa yang sebenarnya syaitan? Bad ke budak ni?" tanya Badri yang masih mempertahankan egonya.
Harith Mishka hanya mampu menahan hatinya dengan setiap bicara sinis lelaki itu. Dia tahu inilah harganya yang dia perlu bayar kerana terpaksa menumpang di sini. Harith Mishka memejam matanya. Setitik airmatanya keluar namun cepat-cepat disekanya. Dia tidak mahu lelaki durjana itu mempersendakan kelemahannya itu. Di dalam diam dia cuba menanam tekad untuk menjadi seorang lelaki yang tabah.
"Badri! Jaga mulut kau tu sikit!" marah Encik Hashim tanpa dapat ditahan lagi.
"Tak kan ayah tak tahu dia ni bakal menjadi syaitan besar. Lihat sahaja sejarah hidupnya. Anak haram! Anak pengedar dadah! Ayah nak ke jaga budak macam ni? Entah-entah esok lusa dia ikut jejak langkah papanya!" kata Badri.
Hati Harith Mishka sudah remuk dengan apa yang didengarnya itu. Mahu sahaja dia melawan bicara sinis itu. Tidak tertahan lagi batinnya mahu menanggung semua itu. Sakitnya! Pedihnya! Hanya Allah sahaja yang dapat mengerti hati dan perasaannya saat ini.
"Cukup Badri!" tegur Encik Hashim. Nafasnya sudah turun naik. Sabarnya sudah tipis. Dia benar-benar kecewa dengan sikap Badri yang hanya merasakan dirinya seorang sahaja yang mulia.
"Mana boleh cukup ayah! Hantar sahaja dia ke rumah kebajikan! Buat apa kita jaga anak pengedar dadah ini?"
"Badri!"
Tanpa sedar Encik Hashim telah melayangkan penampar ke pipi Badri. Sungguh dia tidak mampu bersabar lagi. Sikap Badri memang benar-benar sudah melampau!
"Jangan rasa diri kau seorang sahaja yang baik dan mulia!" tegur Encik Hashim sambil mengetap giginya. Dia masih cuba menahan perasaan marah yang sedang mencengkam.
Badri memegang pipinya yang terasa panas dek penangan ayahnya. Panasnya terasa sampai ke ulu hatinya. Sakit! Memang sakit sekali. Lebih menyakitkan apabila ayahnya sanggup menamparnya disebabkan budak tidak guna itu. Badri mengenggam penumbuknya sekuat hati. Matanya mencerlung tajam ke arah Harith Mishka. Kemarahannya semakin memuncak.
Pantas dia menerkam ke arah Harith Mishka. Rambut lurus Harith Mishka ditariknya dengan sekuat hatinya. Harith Mishka yang terkejut dengan perbuatan luar jangka Badri itu menjerit ketakutan. Manakala Encik Hashim pula semakin panik melihatkan kelakuan anak terunanya itu.
"Badri! Apa yang kau buat ni? Kau dah gila ke?" jerkah Encik Hashim. Dia cuba meleraikan pergelutan itu. Tetapi ternyata kudrat tuanya tidak mampu menandingi kudrat perkasa Badri. Badri pula semakin mengganas. Terus sahaja tubuh Harith Mishka ditumbuk dan ditendangnya sepuas hati.
"Aghhhh sakit pak su," rayu Harith Mishka. Dia menangis dan cuba meraih simpati lelaki itu. Namun Badri semakin agresif apabila mendengarkan rayuan anak kecil itu. Tatkala ini dia berasa sangat puas. Anak kecil yang amat dibencinya kini sudah mendapat pengajarannya.
Encik Hashim yang panik melihatkan perbuatan Badri itu terus mendapatkan penyapu. Dan tanpa berfikir panjang dia terus memukul tubuh Badri dengan menggunakan penyapu itu.
"Apa yang ayah buat ni?" tengking Badri. Matanya merah mencerlung ke arah Encik Hashim pula. Kali ini kemarahannya ditujukan kepada Encik Hashim yang tidak pernah membaca kata hatinya.
"Kau tu dah gila ke?” jerkah Encik Hashim pula.
"Memang Bad dah gila ayah! Selagi Bad hidup Bad tak boleh tengok anak haram ini lagi!" jerkah Badri pula.
Encik Hashim menarik nafasnya. Harith Mishka yang kesakitan terus meluru ke arah Encik Hashim. Tubuh tua itu dipeluknya dan anak kecil itu terus menangis di dalam pelukannya. Encik Hashim berasa begitu simpati sekali. Kasihan Harith Mishka, dalam usia sekecil ini dia telah diuji dengan pelbagai ujian. Dia tidak sanggup lagi melihat Harith Mishka diuji sebegini.
“Ayah tak faham dengan kau, Bad. Kenapa sifat kasih sayang tak pernah wujud dalam hati kau?” keluh Encik Hashim. Terlalu sesak dadanya saat melihat kebencian yang ditunjukkan oleh Badri. Ya Allah, kenapa Badri terlalu membenci Mishka? Apakah dendam yang cuba dia balas pada anak kecil itu?
Ah kalaulah anak-anaknya memahami sifat kasih sayang pasti kemelut ini tidak mungkin akan berlaku. Ikhwan tidak akan terpenjara. Badri tidak akan terus berdendam dan Harith Mishka tidak akan menjadi mangsa.
"Sekarang Bad nak ayah pilih antara Bad atau anak haram itu?" tanya Badri. Sungguh dia berasa benci apabila melihat Harith Mishka berada dalam pelukan ayahnya.
"Kalau ayah pilih Mishka kau nak buat apa?" tanya Encik Hashim. Ya dia tahu tatkala ini dia sudah membuat satu keputusan yang terbaik. Dia tahu Badri sudah mampu berdikari tetapi Harith Mishka masih lagi memerlukan perhatiannya.
"Kalau macam tu Bad akan pergi. Bad akan pergi selama-lamanya dari hidup ayah!"
Encik Hashim terkesima. Dia tidak tahu untuk berkata apa. Dia tidak sangka sampai sebegitu Badri bertindak. Tindakan yang hanya mengikut hawa nafsunya sahaja.
Innama ashku bassi wa khuzni ila Allah, Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah.
Bibir Encik Hashim tidak henti-henti membaca ayat ke 86 suruh Yusuf itu. Dia tahu saat hatinya walang begini hanya Allah sahaja sebaik-baik sandaran untuknya. Tangisan Encik Hashim semakin lebat mencurah ke pipinya. Menangis dan merintih dengan perbuatan si anak yang tidak pernah tahu menghargai pengorbanannya.





DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 14

Ketika ajal semakin menghimpit, tiada siapa yang mampu melelapkan mata. Masa yang sekelumit akan dipergunakan sepenuhnya. Setiap saat yang berbaki Ikhwan gunakan dengan sebaik-baiknya.
 Menggigil, mengeletar, gelisah, perit, sebak, takut menjadi sapaannya. Terjahan demi terjahan hebat terus-terusan mengganas di hatinya. Tubuhnya menggigil tanpa diundang. Mengeletar dengan bayangan yang meracau. Ya Allah, sudahkah aku bersedia? Benarkah aku sudah bersedia? Taubat aku diterimakah? Sesungguhnya aku terlalu banyak berdosa. Di dalam penjara abadi Ikhwan terus menangisi dirinya.
Ikhwan masih terjelupuk di atas tikar sejadah. Di saat-saat akhir hayatnya hanya ini yang mampu dilakukannya. Dia tidak henti-henti meminta keampunan, keredhaan dan kematian yang singkat daripada Allah. Jauh di sudut hatinya dia mengharapkan agar rohnya terpilih mendapat tempat di sisi Allah. Lantas menerima rahmat dan ehsan Allah. Ya Allah layakkah aku menerima semua ini sedangkan dosa aku sebesar dunia?
Sayup kedengaran azan subuh dilaungkan dari masjid yang berdekatan. Tubuh Ikhwan menggigil entah kenapa. Jiwanya semakin kemaruk. Hatinya menjadi semakin kalut. Dia tahu saat untuk dia kembali kepada Allah semakin hampir. Dia rasa mahu menjerit, meraung dengan suratan takdir yang telah tersurat kepadanya. Bayangan wajah ayahnya dan Harith Mishka mula terbayang di ruang matanya. Dan air mata Ikhwan semakin laju mengalir. Dia menangis, menangisi nasib yang telah tersurat buatnya.
Ikhwan menarik nafasnya dalam-dalam. Dia tahu saat ini dia harus kuat. Mesti tabah. Hatinya mesti tegap untuk menggagahi mengangkat takbiratul ihram buat kali yang terakhir. Takbir terakhir! Tangisan Ikhwan semakin kuat. Kesayuan semakin mengocak jiwanya. Kalaulah dia tidak melakukan kesilapan ini sudah pastinya nasibnya lebih baik daripada ini.
Namun Ikhwan gagahkan dirinya untuk berdiri. Dia mahu menyempurnakan subuh terakhirnya dengan penuh kusyuk. Walau lututnya dirasainya semakin longgar. Dirinya pula terasa goyah. Subuh terakhir dirasakan cukup hening, bening dan dingin sekali. Dia cuba sedaya upaya untuk kusyuk, menyerahkan seluruh raganya kepada Yang Esa.
Assalamualaikum Warah Matullah. Assalamualaikum Warah Matullah.
Tubuh Ikhwan mengeletar hebat tatkala selesai salam diberikan. Dia sedar kini dia menantikan salam daripada pegawai penjara pula. Tinggal berbaki beberapa detik sahaja sebelum malaikat maut datang menjemputnya. Debaran di dada Ikhwan semakin berkocak laju. Malah degupan jantungnya di luar kebiasaannya. Tubuh badannya terasa seram sejuk. Jiwanya terasa kosong. Gelap!
Dengan tangan menggigil, Ikhwan mengangkat kedua-dua telapak tangannya. Dia sedar saat-saat yang berbaki ini tidak boleh dipersiakan. Dia mahu memohon ketenangan yang abadi. Memohon agar rohnya dipermudahkan tatkala bercerai dari jasadnya nanti!
Allah. Allah. Allah. Bibir Ikhwan basah dengan zikir kepada yang Maha Kuasa. Dia sedar saat ini hanya Allah sebaik-baik sandaran untuknya. Dia mahu pergi dalam keadaan yang bersih. Suci daripada dosa yang terpalit di tubuhnya. Dan dia terus menyerahkan dirinya kepada Allah swt.
Tap! Tap! Tap!
Derap tapak kaki terasa semakin menghampiri. Serentak dengan itu, tubuh Ikhwan mengeletar hebat apabila mendengarkan derap kaki itu. Lebih hebat daripada tadi. Langkah mereka dirasakan begitu kejap, begitu pantas. Malah semakin memekakkan telinganya. Ikhwan semakin tidak keruan. Resahnya semakin menjadi-jadi. Dia tidak tahu mahu berbuat apa. Mahu melarikan diri tetapi kakinya longlai entah kenapa. Ya Allah ampunkan aku. Ikhwan terus menangis.
Assalamualaikum.
Sapaan daripada pegawai penjara membuatkan tubuh Ikhwan terhenjuk sedikit. Badannnya menggigil di luar kebiasaannya. Dadanya sesak. Saat itu dia rasa mahu menangis dan meraung sekuat hati.
Masa sudah sampai dan maafkan saya, kata pegawai penjara itu lagi.
Bahu Ikhwan tersentak lagi. Darahnya berderau mengalir tanpa keruan. Jantungnya seolah-olah terhenti dengan tiba-tiba. Ya Allah, bagaimana harus aku hadapi detik ini? Sesungguhnya aku begitu takut untuk menghadapi saat kematian ku ini. Tabahkanlah hati dan jiwaku untuk menghadapi saat getir ini. Semadikanlah roh aku nanti dalam kalangan roh-roh yang mendapat rahmat-Mu.
“Aku sudah rogol dia! Kau masih nak ke ‘bekas’ aku?”
Suara itu bagaikan bergema di telinganya. Kenangan pahit itu mula terbayang-bayang diruang ingatannya.
“Aku benci kau! Sampai mati pun aku tak akan maafkan kau!”
Jeritan Safiya kepadanya setelah dia merampas mahkota gadis itu benar-benar menghantuinya. Nafas Ikhwan terasa sesak. Dadanya terasa mahu pecah. Safiya, maafkan abang.
“Ini semua salah ayahlah! Terlalu manjakan sangat anak angkat ayah! Tengok sekarang apa yang dia telah buat kepada kita? Kita beri susu dia balas tuba!”
Ikhwan menekup wajahnya. Tangisannya semakin menggila. Kesalnya semakin dalam. Kalaulah dia tidak melakukan semua kesilapan ini pastinya hidupnya tidak berakhir sebegini. Badri ampunkan aku.
Tubuh Ikhwan menggigil hebat tatkala pagar penjara dibuka. Bayangan wajah Badri dan Safiya hilang serta merta. Tatkala ini dia sudah tidak mampu berdiri lagi. Tubuhnya lemah. Selemah-lemahnya. Wajah pegawai penjara sudah tidak  berani dipandangnya. Malah salam yang dihulurkan kepadanya juga sudah tidak terdaya untuknya menyambutnya.
Banyakkan bersabar dan bertaubat. Sekarang mengucaplah di sepanjang perjalanan ini, kata pegawai penjara.
Ikhwan akur. Terus sahaja dia mengucapkan kalimah agung itu. Saat ini dia hanya mampu menyerahkan semuanya kepada Allah.
“Assahadualla ila hailallah wa asshaduan namuhammadarasullah.”
Sebaik Ikhwan habis mengucap terus sahaja kepalanya diserkup dengan kain karung hitam. Tatkala itu tidak tergambar perasaan Ikhwan. Dia takut, gelisah dan tidak keruan. Kakinya sudah longlai, lututnya longgar. Badannya menggigil. Malah bergoncang kuat.
Allah. Allah. Allah. Seluruh anggotanya mengeletar menantikan hukuman gantung. Setiap langkah yang diambil terasa sungguh menekan.  Badannya yang gagah sudah tidak ampuh lagi berdiri. Segala kekuatan hilang entah ke mana. Tidak berdaya, lemah dan luluh segalanya.
“Ayah nak Ikh tahu yang ayah terlalu sayangkan Ikh.  Walau apa pun terjadi kepada Ikh, Ikh tetap anak ayah dunia dan akhirat.”
Kali ini baru dia sedar betapa bertuahnya dirinya. Walaupun dia tidak mengenali siapa ibu bapanya yang sebenar tetapi dia dibesarkan oleh keluarga angkat yang sangat menyayanginya. Tetapi dia yang tidak pandai bersyukur. Tidak pernah mahu membalas budi yang sudah ditaburkan kepadanya sebaliknya dia telah menyapu arang ke muka mereka yang telah berbakti kepadanya.
“Mishka sayang papa! Mishka sayang sangat sangat dekat papa! Papa adalah papa Mishka yang terbaik di dunia dan akhirat!”
Ikhwan menangis lagi. Alangkah rugi dirinya mempersiakan nikmat yang Allah berikan kepadanya dahulu. Kini dia hanya mampu menyesal dan meratap dengan kesilapan yang telah dia lakukan. Semua nikmat itu akan ditinggalkan tidak lama lagi!
 “Assahadualla ila hailallah wa asshaduan namuhammadarasullah.”
Sepanjang perjalanannya hanya kalimah syahadah yang meniti di bibirnya. Wajah-wajah insan tersayang tidak lepas dari ingatannya.  Tidak lama lagi dia akan meninggalkan mereka semua. Tiada siapa yang mampu mengubah takdirnya. Dia hanya mampu berserah kepada takdir Allah SWT.
“Assahadualla ila hailallah wa asshaduan namuhammadarasullah. Ya Allah matikan aku dalam islam. Matikan aku dalam iman.”



DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 13

Sejak dari minggu lepas lagi perasaan Encik Hashim tidak keruan. Kaki yang melangkah menuju ke destinasi juga bagaikan tidak berpijak di bumi yang nyata. Malah nafasnya terasa lelah sehingga menyukarkan dirinya untuk bernafas.
Sekali sekala Encik Hashim melirik jam tangannya. Waktu itu cukup meresahkannya. Ditarik tangan Harith Mishka supaya menyaingi langkahnya. Dia tidak mahu terlambat walau seminit pun untuk berada di situ. Tatkala ini sesaat cukup bermakna buat dirinya.
Tangan kanannya pula memegang bakul yang berisi makanan kegemaran Ikhwan. Dia tidak tahu sama ada pihak penjara akan membenarkan dia membawa masuk makanan itu atau tidak. Namun untuk kali terakhir ini dia mahu melakukan segala-galanya untuk Ikhwan.
Selepas melakukan pemeriksaan badan, Encik Hashim terus di bawa ke bilik pengarah penjara, bilik khas yang disediakan untuk waris banduan yang bakal digantung pada esok hari. Encik Hashim kecewa kerana pihak penjara tidak membenarkannya untuk membawa makanan kepada Ikhwan. Katanya Ikhwan akan diberi peluang untuk memilih makanan terakhirnya yang berharga RM7.50. Hmm apalah tersuap ke dalam mulut, kalau tahu esok akan mati! Hati Encik Hashim semakin tidak keruan.
Pertemuan terakhir? Seram sejuk Encik Hashim mendengarnya. Tetapi itulah hakikat yang terpaksa diterimanya. Esok anak kesayangannya itu bakal menerima hukuman gantung sampai mati! Satu hukuman yang tidak pernah terduga untuknya. Malah tidak pernah terfikir olehnya anak yang dijaganya penuh kasih suatu masa dulu akan menemui ajalnya pada esok hari.
Suasana pilu, sedih, sayu dan tidak kurang pasrah memenuhi ruang bilik pengarah penjara itu. Encik Hashim cuba berpura-pura tabah. Dia sudah berjanji dengan dirinya untuk tidak akan menangis di hadapan anaknya itu. Dia tidak mahu meresahkan fikiran Ikhwan apabila anak kesayangannya melihat air matanya. Malah dia turut berpesan kepada Harith Mishka supaya tidak menangis di hadapan papanya.
 “Ayah,” panggil Ikhwan. Suaranya serak.
Pantas sahaja Encik Hashim bangun dan terus memeluk tubuh itu. Dia memeluk tubuh Ikhwan lama. Dia sedar kali ini adalah peluang terakhir dia dapat memeluk tubuh ini. Esok hari tubuh ini akan menjadi jenazah yang bakal diuruskannya. Apabila mengingati itu semua membuatkan Encik Hashim menangis hiba.
Harith Mishka tertegun. Dia memandang seorang lelaki kurus, tinggi yang lengkap memakai uniform penjara. Bukan keadaannya yang membuatkan jantung Harith Mishka seperti berhenti berdegup. Tetapi wajah itu. Meskipun tidak terurus sudah pastinya wajah itu bakal menjadi kenangan terakhir buatnya.
“Ampunkan dosa Ikh, ayah,” kata Ikhwan dalam tangisannya. Buat seketika mereka saling berpelukan dan bertangisan di situ. Ternyata Encik Hashim tidak dapat mengotakan janjinya. Mereka berdua mahu menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya.
“Papa?” panggil Harith Mishka, serak.
Ketika Ikhwan menoleh dan mendekat, Harith Mishka terpaku. Airmata lelaki itu tumpah ke pipinya yang cengkung. Dengan lemah dia menggapai. Harith Mishka hanya mampu melihat. Dia berasa sebak. Tanpa sedar airmatanya turut mengalir. Dia dapat merasai kesedihan ini.
Menurut atuknya, papanya akan dikenakan hukuman gantung sampai mati pada esok hari. Dia sedar mulai esok dia akan bergelar yatim piatu secara rasminya. Tiada lagi papa yang sudah banyak berubah semenjak dia berada di penjara. Jujur Harith Mishka katakan yang dia amat menyenangi peribadi papanya setelah dia berada di penjara. Dia tahu papanya sudah benar-benar insaf namun sayang seribu kali sayang papanya tidak diberi peluang kedua.
“Mishka, anak papa.”
Harith Mishka mengangkat wajahnya. Wajah Ikhwan kini berada di hadapannya. Wajah itu basah dengan airmata. Namun masih terlakar senyuman di bibir papanya itu.
Ikhwan duduk di hadapan Harith Mishka. Tangan anak kesayangannya itu dicapai. Manakala sebelah tangannya lagi mengusap umbun rambut itu penuh kasih.
“Anak papa dah besar. Cepat betul masa berlalu.”
Harith Mishka tidak membalas ucapan papanya. Dia juga tidak menghindar ketika Ikhwan mengelus pipinya. Dalam tangisan, dia menatap wajah itu lama.
 “Jangan jadi macam papa, ya sayang. Apa yang berlaku kepada papa, papa harap Mishka jadikan iktibar. Jadi anak yang baik. Bahagiakan hati atuk. Papa tahu selama ini papa banyak menyusahkan atuk dan papa harap Mishka boleh tebus kesilapan papa ini dengan membahagiakan hati atuk selamanya,” kata Ikhwan sebelum mengucup ubun rambut Harith Mishka.
Kerongkong Harith Mishka makin kelat. Pandangannya kabur dek airmata yang tidak henti-henti mengalir. Menyukarkan dirinya untuk melihat wajah Ikhwan yang amat dirinduinya.
Harith Mishka mengangguk. Airmata kesedihan sudah laju mengalir di pipinya. Sungguh dia berasa sedih dengan bicara papanya itu. Jauh di lubuk hatinya, ada rasa sesal yang panjang. Sesal terhadap tragedi demi tragedi ini. Tapi kesakitan oleh pukulan mama dulu tiba-tiba bagaikan terasa di tubuhnya. Luka hati kerana makian mamanya suatu masa dahulu bagaikan tergiang-giang di telinganya.
Tiba-tiba Harith Mishka sedar sesuatu. Ketika mamanya masih ada, saat makian dan pukulan mamanya menjadi santapan rutinnya, hati Harith Mishka tidak pernah merasa dendam. Dia masih mengasihi mamanya. Menyayanginya dengan hati yang tulus. Malah dia berusaha menyenangkan hati mamanya.
Namun sejak papanya berubah, sejak hubungannya dengan papanya semakin rapat, Harith Mishka rasakan ada yang terbalik di hatinya. Tiba-tiba dia begitu bencikan arwah mamanya. Baginya, mamanya seorang wanita yang tamak dan tidak pandai mensyukuri nikmat.
 “Selepas ini Mishka kena kuat. Mishka sudah tak ada papa dan mama lagi. Jadi anak yang baik ya sayang. Dan tolong jangan benci dengan papa walaupun papa sudah buat kesilapan besar ini.” Di akhir bicaranya itu, Ikhwan sudah menangis tersedu-sedu. Dia tahu apa yang berlaku kepadanya ini akan tetap memberi kesan kepada anak kesayangannya itu. Walau dia sudah insaf namun masyarakat tetap akan memandang serong kepada anaknya. Sepanjang hidupnya Harith Mishka akan digelar sebagai anak pengedar dadah! Anak banduan yang mati di tali gantung!
Harith Mishka mengangguk berkali-kali. Mahu sahaja dia menyuarakan kata hatinya.  Dia tidak pernah membenci papanya itu. Malah dia menyayanginya sepenuh hati. Namun entah kenapa lidahnya kelu dan dia hanya mampu menangis dan terus menangis.
 “Jangan tinggalkan Mishka papa,” lirih Harith Mishka terus meraih tubuh Ikhwan ke dalam pelukannya. Saat pelukan mereka bertemu, hatinya terasa begitu bahagia sekali. Tidak pernah seumur hidupnya merasa sebahagia ini. Dipeluk dan disayangi oleh insan yang tersayang. Bencinya kepada arwah mamanya semakin berkudis. Tetapi hatinya lebih benci kepada Badri yang telah menghasut mamanya menjadi begitu.
“Papa sayang Misha. Jadi anak yang baik ya sayang,” kata Ikhwan terus mencium pipi Harith Mishka. Dia mahu melepaskan kerinduan yang sedang bertamu di hati. Dia sedar ini adalah peluangnya yang terakhir sebelum dia dijemput untuk mengadap Yang Maha Kuasa.
Encik Hashim semakin tersedu. Perasaannya saat ini terlalu sukar digambarkan. Antara sedih dan bahagia. Sedih anak kesayangan akan pergi meninggalkannya. Namun ada rasa bahagia yang bertamu di hatinya. Ikhwan pergi dalam keadaan dia sempat bertaubat dengan dosa-dosa yang telah dilakukannya. Jauh di dasar hatinya Encik Hashim mengucap syukur kerana Allah membuka hati Ikhwan untuk kembali kepadaNya. Bagi Encik Hashim, cara kematian seseorang tidak penting, yang penting adalah mati dalam keadaan beriman atau Husnul Khatimah.
Sekurang-kurangnya dengan mengetahui waktu dan tiba hari kematian. Ikhwan mungkin sudah melengkapkan dirinya dengan bekalan untuk dibawa ke akhirat kelak. Dalam kepiluan itu bibir Encik Hashim masih mampu mengukirkan senyuman bahagia.
“Mana Badri?” tanya Ikhwan sambil memandang sekeliling. Mana tahu Badri menyorok di mana-mana.
Encik Hashim hanya tertunduk. Sungguh dia tidak sanggup untuk memberitahu semua kebenaran itu. Dia tidak mahu melukakan hati dan perasaan Ikhwan. Manakala Harith Mishka hanya menggigit bibir. Perasaan benci semakin bertunas di hatinya apabila nama lelaki itu disebut.
“Dia ada kerja sikit,” tipu Encik Hashim. Hakikat sebenar Badri sudah pergi meninggalkannya. Badri yang terlalu ego dengan keputusannya. Merasakan hanya dirinya seorang yang baik dan suci.
Ikhwan tertunduk lemah. Tangan kanannya masih mengusap rambut Harith Mishka. Perasaannya terdera. Dia tahu tatkala ini Badri masih tidak dapat memaafkan dirinya. Ah bagaimana dia mahu mengadap Allah jikalau dosanya dengan Badri masih tidak dapat lelaki itu ampunkan?
“Dia masih marahkan Ikh?” tanya Ikhwan dalam sebak. Tiada perkataan yang dapat mengambarkan perasaannya. Mungkin ini balasan Allah kerana kejahatan yang dilakukannya selama ini. Di hujung hayatnya ini dia sangat memerlukan ucapan kemaafan daripada Badri.
Harith Mishka tersenyum sinis. Mahu sahaja dia memberitahu kebenaran itu. Sebenarnya Badri bukanlah sesuci yang disangka papanya. Mahu sahaja dia memberitahu yang selama ini Badri telah bermain cinta dengan mamanya tanpa pengetahuan papanya. Lelaki itu hanya suci pada zahirnya tetapi batinnya penuh berkeladak dengan dosa yang telah dilakukannya. Malah bagi Harith Mishka papanya yang tinggal di tempat hina sebegini lebih suci daripada Badri! Tidak layak untuk papanya memohon ampun dan maaf kepada lelaki itu! Harith Mishka mengetap bibirnya. Menahan emosi marah yang semakin memuncak naik.
“Sabarlah Ikh. Lambat-laun Bad pasti akan maafkan Ikh,” pujuk Encik Hashim.
Ikhwan hanya mengangguk. Dia tahu bukan mudah untuk Badri mengampunkan dosa-dosa yang telah dilakukannya melainkan hukuman tali gantung menjadi penebus dosanya. Itulah neraca yang telah ditentukan di dunia ini.
“Ayah beritahu pada Bad yang Ikh minta maaf. Minta ampun banyak-banyak. Ikh tahu Ikh banyak buat dosa kepada dia,” tangis Ikhwan. Dia sudah tidak mampu menahan perasaannya. Bercampur baur rasa kesal, salah, taubat di hati yang terpendam.
“Ikh menyesal dengan apa yang telah Ikh lakukan. Ikh dah menzalimi Bad. Ya Allah, bersihkanlah dosa aku ini,” tangis Ikhwan lagi. Kini dunia yang luas dirasakan sempit. Dada yang bidang terasa sesak sekali.
Harith Mishka menangis tersedu-sedu melihat keadaaan papanya itu. Dia berasa cukup simpati kepada papanya. Papanya yang terlalu naif dalam menilai sebuah perhubungan. Kalaulah papanya tahu yang selama ini Badrilah yang menjadi duri dalam daging dalam rumah tangganya mahukah papanya itu memohon ampun maaf dari lelaki jahat itu?
“Ayah mohon ampun dan maaf jikalau ada salah ayah sepanjang ayah membesarkan Ikh. Ayah nak Ikh tahu yang ayah terlalu sayangkan Ikh.  Walau apa pun terjadi kepada Ikh, Ikh tetap anak ayah dunia dan akhirat.”
Harith Mishka hanya mampu mendengar ucapan maaf dari Encik Hashim kepada Ikhwan buat kali terakhir. Dia menyapu airmatanya dengan seribu perasaan yang mencengkam perasaannya.
“Ikh juga minta maaf kepada ayah. Ikh sedar Ikh banyak buat dosa kepada ayah. Kepada Bad,” luah Ikhwan dalam airmatanya.
“Walau apa pun ayah maafkan Ikh dan ayah halalkan makan minum Ikh.  Cuma...”
Kata Encik Hashim terhenti di situ. Diam dan sunyi. Seketika esak tangis Encik Hashim kedengaran jelas walaupun cuba dilindungi kesedihannya itu.
“Cuma...Cuma apa ayah?” selepas beberapa ketika, Ikhwan bersuara. Ikhwan juga tidak sanggup melihat Encik Hashim menangis dan berasa serba salah pada dirinya yang banyak berdosa.
“Ayah minta maaf. Ayah tidak dapat memujuk Badri. Badri seolah-olah ingin terus melupakan Ikh. Ayah serba salah. Walau apa pun Ikh tetap anak ayah dunia dan akhirat. Ikh..jauh di sudut hati ayah, tidak pernah sesekali ayah membenci Ikh,” kata Encik Hashim tersedu-sedu. Cuba menenangkan dirinya namun tidak berjaya. Airmata yang mengalir terus laju mengalir ke pipinya.
Ikhwan memahami kedudukan ayahnya. Ayahnya tidak mempunyai hak untuk memaksa Badri.
“Tidak mengapalah ayah. Ikh redha. Mungkin semua ini sudah tersurat buat Ikh. Mati di dalam keadaan tidak diampunkan Bad. Cuma Ikh minta ayah jagalah anak Ikh dengan baik. Dialah satu-satunya harta yang Ikh tinggalkan kepada ayah.”
Pantas Encik Hashim memeluk Ikhwan lagi. Begitu juga dengan Harith Mishka. Buat seketika mereka bertiga bertangisan di situ sehinggalah mereka dikejutkan oleh suara pegawai penjara. Mereka tahu masa yang diberikan untuk mereka sudah tamat.
“Maaf, masa sudah tamat,” kata salah seorang pegawai penjara yang ada di situ.
Dalam gigil dan tidak mengerti, Harith Mishka diam. Dia ingin merayu supaya dilanjutkan masanya, tapi lidahnya kelu. Dia ingin meratap, tapi hatinya hampa. Sudahnya dia hanya diam dan merenung papanya yang telah dibawa oleh dua orang pegawai penjara itu.
Namun Harith Mishka tersedar. Kini dia baru sedar sejak dari tadi lagi dia tidak pernah menyuarakan rasa hatinya kepada papanya. Harith Mishka menangis. Dia tahu kali ini adalah peluang terakhirnya untuk meluahkan segalanya. Dia tidak mahu menyesal seumur hidup.
“Papa!” jerit Harith Mishka dalam tangisannya. Dia terus memandang langkah Badri yang terus menjadi longlai.
“Mishka sayang papa! Mishka sayang sangat sangat dengan papa! Papa adalah papa Mishka yang terbaik di dunia dan akhirat!” kata Harith Mishka saat Ikhwan berpaling memandangnya.
Ikhwan menjadi sebak. Dia rasa ingin menangis, menjerit dan ketawa sekuat hati. Tersentuh hatinya dengan bicara tulus anaknya itu tetapi pada masa yang sama hatinya merintih dengan takdir yang telah tersurat untuknya.
“Papa sayangkan Mishka. Terlalu sayangkan Mishka. Tolong jangan bencikan papa,” kata Ikhwan dalam tangisannya. Saat ini mahu sahaja dia memeluk tubuh anak kesayangannya itu namun dia tidak berdaya. Tangannya yang sudah bergari dan kawalan ketat daripada dua orang pegawai penjara tidak memungkinkan untuk dia berbuat begitu. Malah tubuhnya terus ditarik oleh mereka sebaik sahaja dia menyuarakan kata hatinya.
Tiada lagi kata yang mampu mengungkapkan kata hati Harith Mishka saat ini. Takut, resah, bersalah, kasihan, sayang segalanya berbalam, berkecamuk, merusuk setiap inci dinding hati. Dadanya kian sempit. Nafasnya tersekat-sekat. Sukar untuk Harith Mishka terima yang esok papanya bakal menjadi jenazah. Harith Mishka hanya mampu menangis sambil memeluk tubuh atuknya yang sedang tersedu di sisinya.
Sebelum wajah insan tersayang hilang dari pandangan, Ikhwan berpaling sekali lagi. Wajah Encik Hashim ditenungnya lama. Kemudian beralih pula kepada Harith Mishka yang sudah basah airmatanya.
“Ayah, Ikhwan sayang ayah. Terima kasih kerana sayangkan Ikh selama ini. Mishka, jadi anak yang baik. Bahagiakan hati atuk. Mishka, jangan benci atau marah kepada papa,” rintihnya dalam tangisannya.