Monday, 22 July 2013

aku benci kau bab 6

“ Darius benci granny. Darius benci granny!” Kata Darius sebaik sahaja wajah ibunya tersembul di hadapannya. Segera dia memeluk Suraya dengan erat.
Suraya yang terkejut dengan reaksi anaknya terus mengeratkan pelukan di antara mereka. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Fikir Suraya sendirian.
“ Kenapa ni sayang? Tak baik benci granny. Granny kan nenek Darius. Apa yang granny dah lakukan kepada Darius sampai Darius benci begini?” Tanya Suraya dengan lembut sekali.
Dia mengusap kepala anak kesayangannya dengan penuh kasih. Dia bersyukur kerana akhirnya Darius di bawa pulang juga oleh Adam. Itu pun setelah di desak beberapa kali oleh Suraya.
“ Darius benci granny. Granny jahat. Darius sayang mama,” kata Darius.
Suraya mengeluh lemah. Hatinya berasa gusar. Kelakuan Darius tidak pernah begini. Dia di pagut kebimbangan. Mana tahu Darius di kasari oleh Puan Hendon. Lagi pun Puan Hendon tidak menyukai dirinya. Kemungkinan juga wanita itu melepaskan kemarahannya kepada Darius. Suraya semakin bimbang.
“ Apa yang granny dah lakukan? Beritahu mama sekarang, sayang,” tanya Suraya dengan penuh debaran di dada.
“ Granny kata mama jahat! Mama tak jahat bukan? Mama baik bukan? Darius tahu mama Darius baik. Granny yang jahat!” Adu Darius.
Dia mahu ibunya menafikan segala tohmahan yang dilemparkan oleh Puan Hendon sekali gus dapat menenangkan perasaannya yang gusar. Semenjak dia mengetahui cerita tersebut hatinya tidak pernah berasa tenang walaupun sesaat.
Berkerut dahi Suraya apabila mendengarkan bicara anaknya itu. Dia masih berlagak tenang dan menganggap bicara Darius itu hanyalah omongan kosong daripada anaknya sahaja. Tidak mungkin ibu mertuanya sanggup memburukkannya sebegitu. Fikir Suraya sendirian.
“ Kenapa kata granny jahat? Tak baik Darius cakap macam tu. Granny tu kan ibu kepada papa, jadi Darius kena sayangkan granny sama seperti Darius sayangkan mama,” nasihat Suraya dalam debaran di dada.
Darius mencebik. Hatinya sakit. Apatah lagi apabila mendengarkan bicara ibunya yang masih menyebelahi Puan Hendon. Suraya terlalu baik dan masih mahu menyebelahi ibu mertuanya sedangkan ibu mertuanya itu sering memburukkan dirinya.
“ Kenapa Darius perlu sayangkan granny sedangkan granny selalu memburukkan mama Darius?” Denggus Darius kasar sekali.
Berubah muka Suraya apabila mendengarkan bicara Darius itu. Hatinya pedih bagaikan di tusuk semalu. Sampai hati Puan Hendon memburukkan dirinya dihadapan zuriatnya sendiri. Apa sebenarnya tujuan Puan Hendon berkata demikian? Suraya di buru seribu persoalan yang perlukan jawapan segera.
“ Apa…apa yang granny katakan?” Tanya Suraya tergagap-gagap.
Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang sedang di dengarinya tatkala ini.
“ Dia kata mama jahat. Mama tak jahat bukan? Granny yang jahat!” Kata Darius mengulangi bicaranya sebentar tadi.
Suraya dihimpit sebak. Kalau Darius tiada di hadapannya pastinya dia akan meraung tatkala ini. Apakah dugaan yang Allah persembahkan lagi kepadanya? Hati Suraya merintih dalam diam.
Suraya mengusap kepala Darius dengan penuh kasih. Sedaya upaya dia cuba tabahkan hati. Dia cuba tersenyum walaupun tawar.
“ Kenapa granny kata mama jahat?” Tanya Suraya ingin mengetahui cerita sebenar.
Segera Darius memeluk Suraya dengan erat. Dia berasa sedih. Dia tidak sampai hati untuk menyatakan kepada ibunya. Teresak-esak Darius menangis.
“ Granny kata mama tak sayangkan Darius. Granny kata mama suka berfoya-foya sebab itu mama suka hantar Darius ke rumah granny,” cerita Darius.
Suraya mengeratkan pelukannya kepada Darius. Sakitnya hati hanya Allah sahaja yang tahu. Setitik airmatanya mengalir tetapi cepat-cepat di sekanya.
Suraya melepaskan pelukan antara mereka. Dengan senyuman tawar dia mengelap airmata yang bercucuran di pipi Darius. Dia terus memandang ke dalam anak mata Darius.
“ Darius percaya?” Tanya Suraya dalam nada yang serak.
Dia ingin melihat setakat mana Puan Hendon dapat meracuni fikiran anak lelakinya itu.
Cepat-cepat Darius mengeleng.
“ Darius tak percaya sebab Darius tahu siapa mama Darius yang sebenarnya.”
Sebak Suraya mendengar luahan ikhlas anak kesayangannya itu. Segera dia memeluk tubuh Darius dengan erat. Akhirnya airmata Suraya yang cuba ditahannya semenjak dari tadi mengalir laju. Dia mencium pipi Darius kiri dan kanan semahunya.
“ Terima kasih sayang. Terima kasih kerana percayakan mama. Mama terlalu sayangkan Darius. Mama tak tahu apa tujuan granny yang sebenarnya tetapi kalaulah tujuan granny semata-mata untuk merampas kasih mama daripada anak mama tersayang, ternyata ianya gagal. Mama yakin kasih sayang antara kita berdua kukuh dan tiada siapa yang dapat pisahkan kasih sayang antara kita berdua,” kata Suraya.

aku benci kau bab 5

“ Kau memang tak guna! Kau ingat aku tak tahu kerja jahat kau tu? Kau memang lelaki dayus!” Maki Hakimah apabila terpandangkan Adam di hadapan lobi Wirasutra Snd Bhd.
Adam memandang tajam kepada Hakimah yang berpakaian uniform pengawal keselamatan itu. Hatinya mengelegak geram apabila wanita berjawatan rendah meninggikan suara di hadapannya. Apatah lagi apabila wanita itu mencari rezeki di bangunan miliknya.
“ Kau nak apa?” Tengking Adam yang merasakan dirinya lebih tinggi dari segala-galanya.
Ada beberapa orang yang kebetulan lalu-lalang di situ berhenti apabila mendengarkan tengkingan Adam itu.
Hakimah yang berasa bengang terus mencekak pinggang. Sedikit pun dia tidak berasa gentar dengan tengkingan Adam itu. Kesakitan dan siksaan Suraya membuatkan dia berani bersuara.
“ Kau ingat kau lelaki kau boleh buat sesuka hati kepada isteri kau?”
Merona merah wajah Adam apabila mendengarkan tuduhan Hakimah itu. Pasti Suraya telah menceritakan perbuatan jahat Adam kepada wanita di hadapannya ini. Hati Adam merenggus geram kepada Suraya dan dia mula memikirkan hukuman yang bakal dikenakan kepada Suraya sebaik sahaja dia sampai di rumah kelak.
“ Apa yang kau merepekkan ini?” Tanya Adam dengan wajah yang serius.
Dia lihat ada dua tiga orang yang sedang menyaksikan pertengkaran antara mereka saling berbisik antara satu sama lain. Pastinya sedang mengumpat dirinya atau sedang memuji keberanian Hakimah.
“ Merepek? Aku yang merepek atau kau yang buat-buat tak tahu? Atau kau nak aku beritahu apa yang telah kau lakukan kepada isteri kau kepada semua?” Tanya Hakimah cukup berani sekali.
Ini adalah pengajaran buat Adam. Biar Adam tahu Suraya tidak berseorangan menghadapi penderitaan yang cukup memeritkan ini. Biar Adam tahu, Hakimah akan bermati-matian menegakkan kebenaran buat Suraya.
Adam mendenggus. Hatinya semakin geram. Kalau tidak kerana memikirkan kedudukannya sebagai pemilik bangunan ini mahu sahaja di lempang dan di terajang wanita yang mempunyai mulut yang cukup berbisa di hadapannya ini.
“ Aku rasa kau dah tersalah orang! Mana ketua security? Kenapa biarkan wanita gila ini bekerja di sini?” Tengking Adam sambil meliar-liar mencari ketua pengawal keselamatan di situ. Hakimah perlu di usir dari situ sebelum dia dapat mengaibkan Adam.
Tidak sampai seminit ketua pengawal keselamatan sudah terpacak di hadapan Adam bersama dua orang lagi pengawal keselamatan yang juga memakai baju uniform sama seperti Hakimah.
“ Bawa dia dari sini dan aku tak nak lihat muka orang gila ini bekerja di sini lagi!” Tengking Adam.
Segera ketua pengawal keselamatan menyuruh anak buahnya itu membawa Hakimah keluar dari situ. Sebaliknya Hakimah masih tetap berkeras. Dengan wajah yang bengis dia terus memandang Adam.
“ Rupa-rupanya kau hanya tahu tunjuk hero di hadapan isteri kau sahaja. Heii Adam, dengar sini selagi aku masih hidup aku tak akan biarkan Suraya menjadi bahan sepak terajang kau lagi! Kau ingat tu Adam,” kata Hakimah.
Adam mendenggus kuat. Apatah lagi apabila melihatkan beberapa orang yang bagaikan terlopong mendengar bicara Hakimah itu.
“ Bawa dia sekarang juga!!!” Tengking Adam kuat.
Dia sudah malu. Ternyata Hakimah sudah berjaya mengaibkan dirinya. Pastinya imejnya yang bersih sudah tercalar dengan berita yang cukup menggemparkan ini. Wajah Suraya menari-nari di ruang ingatannya.
“ Siap kau Suraya!!” Maki Adam di dalam hatinya.

aku benci kau bab 4

“ Granny, Darius nak balik rumah mama. Darius rindu pada mama,” kata Darius dengan wajah yan sedih.
Sudah dua minggu dia tinggal bersama neneknya. Tidak pernah sekali pun dia berpisah begitu lama dengan ibunya yang tercinta. Selalunya dalam sebulan hanya dua hari dia akan tinggal dengan neneknya.
“ Buat apa Darius rindu pada mama Darius? Dia bukan rindukan Darius sebab itu dia tidak datang ambil Darius,” kata Puan Hendon bersahaja.
Wajah Darius semakin keruh apabila mendengarkan bicara Puan Hendon. Dia tidak tahu mengapa Puan Hendon sering memburukkan ibunya. Ada sahaja perbuatan Suraya yang tidak disukainya. Bagi Puan Hendon, sikap Suraya sering menjengkelkan dirinya.
“ Granny tipu. Mama rindukan Darius. Mama sayangkan Darius seperti mana Darius sayangkan mama,” bangkang Darius yang tidak ingin mempercayai bicara neneknya itu.
Bagi Darius, neneknya sengaja mahu memburukkan ibunya. Walaupun dia masih kecil, namun dia dapat menilai yang mana satu intan yang mana satu permata.
Puan Hendon mendenggus. Dia berasa marah dengan bicara Darius itu. Namun dia terus menyabarkan hatinya. Dia tahu bukan mudah untuknya membeli hati cucu kesayangannya itu. Puan Hendon melebarkan senyumannya.
“ Darius sayang, Darius masih kecil untuk menilai siapa ibu Darius yang sebenarnya. Nanti apabila Darius dah besar baru Darius sedar tentang sikap buruk mama Darius. Sebenarnya granny tak sampai hati untuk memberitahu Darius perkara sebenarnya tetapi granny kasihankan Darius yang sering tertipu dengan sikap hipokrit mama Darius,” kata Puan Hendon sambil membelai rambut cucunya dengan penuh kasih sayang.
Dia bencikan Suraya. Bagi Puan Hendon, Suraya merampas kasih sayang Adam daripadanya. Disebabkan Suraya Adam sanggup membelakangkan dirinya. Oleh sebab itu, kalau boleh dia mahu merampas kasih sayang Darius daripada Suraya. Biar Suraya rasakan apa yang dia rasa suatu masa dahulu.
Mata Darius memandang dengan perasaan tidak puas hati dengan bicara Puan Hendon. Dia tidak mahu mendengar bicara Puan Hendon seterusnya tetapi hatinya bagaikan mengeletek untuk mengetahui kebenaran yang sebenar.
“ Siapa mama yang sebenarnya, granny?” Tanya Darius cukup berdebar.
Puan Hendon tersenyum dengan pertanyaan Darius. Mudah benar untuk meracuni pemikiran seorang anak kecil.
“ Darius tahu tak kenapa mama sering hantar Darius ke rumah granny?” Tanya Puan Hendon cuba meracuni pemikiran Darius.
Padan muka kau, Suraya! Salah kau juga kerana membenarkan anak kau rapat dengan aku! Bicara Puan Hendon di dalam hatinya.
Darius menggeleng. Dia terus memandang tanpa sabar kepada Puan Hendon.
“ Sebab mama tak nak Darius tahu perangai sebenarnya yang suka berfoya-foya,” kata Puan Hendon.
Darius mengeleng kepala. Sukar dia mahu percaya dengan bicara neneknya itu. Dia kenal benar dengan sikap ibunya yang cukup penyayang itu. Tidak pernah sekali pun sikap ibunya membuatkan Darius berasa berjauh hati
“ Granny tipu!” Marah Darius.
Dia mula berasa marah dengan bicara neneknya itu.
“ Betul! Papa sering mengadu sikap mama Darius kepada granny. Kalau Darius tak percaya Darius tanya papa.”
Darius sudah bangun. Dia berasa rimas dengan bicara neneknya itu. Malah dia semakin membenci Puan Hendon yang suka memburukkan ibunya. Baginya tiada siapa yang boleh memburukkan ibunya dan tiada siapa yang boleh memisahkan kasih sayangnya terhadap ibunya sendiri.
“ Grannya tipu! Granny tipu! Darius tahu granny tipu! Darius benci Granny! Darius benci granny!” Kata Darius sambil menghentak kakinya.
Airmata sudah bertakung di kolam matanya. Hatinya di himpit sebak yang bukan kepalang. Penipuan demi penipuan membuatkan perasaannya semakin tertekan. Dia terlalu menyanyangi ibunya dan dia tidak akan sesekali membiarkan sesiapa pun memburukkan imej ibunya yang bersih itu.
Tiada siapa yang lebih mengenali ibunya daripada dirinya sendiri. Fikir Darius sendirian.

aku benci kau bab 3

“ Masyaalah….apa yang berlaku kepada kau Su?” Tanya Hakimah teman rapat Suraya. Kunjungannya di rumah teman baiknya pada pagi ini benar-benar mengejutkan dirinya. Dahi Suraya yang berbalut menimbulkan tanda tanya di dalam dirinya.
Suraya hanya mampu mendenggus. Luka yang dalam ini cukup menyayat hatinya. Bebanan yang dipikul sudah tidak tertanggung untuk dirinya menggalasnya lagi. Apatah lagi apabila mengenangkan sikap Adam yang terus membiarkan dirinya kesakitan tanpa rawatan. Hanya minyak gamat yang di sapu di kepalanya untuk menyembuhkan lukanya itu. Seminggu Suraya terlantar sakit keseorangan manakala Adam terus menghilang diri tanpa berita. Entah di mana lelaki itu bermalam Suraya sendiri kurang pasti.
Perkenalan Suraya dengan Adam bermula sebagai majikan dan orang gaji. Tidak di duga hubungan yang serius itu membibitkan perasaan cinta di hati Adam membuatkan Adam nekad menyunting Suraya sebagai isterinya walau di halang keras oleh ibunya. Suraya yang pada mulanya tidak yakin dengan Adam disebabkan sikap Adam yang suka berfoya-foya akhirnya menerima Adam apabila melihatkan kesungguhan yang dipamerkan oleh Adam.
Walaupun sudah lapan tahun mereka mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak namun ibu Adam masih tidak menerima Suraya sebagai menantunya. Dia di halang untuk menjejakkan kaki ke banglo milik keluarga Adam. Namun begitu keluarga Adam menerima Darius sebagai cucu mereka. Apatah lagi Darius adalah satu-satunya cucu dalam keluarga mereka.
Suraya sangkakan panas hingga ke petang sebaliknya hujan di tengahari. Belum setahun usia rumah tangga mereka, Adam sudah kembali ke perangai asalnya. Segala janji yang di tabur hanya tinggal janji semata-mata. Adam pantang di tegur pastinya sepak terajangnya akan menjadi santapan Suraya. Hati Suraya terus merintih namun tiada siapa yang mahu mendengar rintihan hatinya.
“ Suami kau pukul kau lagi?” Tanya Hakimah setelah dia melihat begitu lama Suraya termenung. Pasti ada sesuatu yang terjadi.
Suraya adalah teman rapatnya sejak mereka sama-sama membesar di rumah anak yatim. Dia kenal benar dengan setiap riak yang terpancar di wajah teman baiknya itu.
“ Tak delah, Kimah. Aku terjatuh bilik air,” bohong Suraya.
Tidak pernah sekali pun dia membuka keaiban suaminya kepada sesiapa. Lagi pun dia takut dengan ugutan suaminya itu. Dia terlalu rindukan Darius. Namun dia tidak boleh berbuat apa-apa jika Adam tidak membawa Darius pulang. Kehadirannya di rumah mertuanya akan membangkitkan kemarahan mertuanya.
“ Kau jangan tipu akulah. Aku bukannya bodoh. Tak kan jatuh bilik air sampai kepala berbalut begitu. Suami kau pukul kau, betul tak?”
“ Tak Kimah. Aku rasa kau patut pulang. Lagi pun suami aku tak suka kalau dia nampak kau di sini. Dia tak suka aku bergaul dengan orang luar.”
“ Bagus juga kalau dia balik. Boleh aku tanya dia sendiri kenapa tergamak dia pukul bini dia sampai begini? Dia ingat kau ni binatang ke? Ah binatang pun orang tak sanggup buat begini,” renggus Hakimah yang begitu benci dengan Adam.
“ Kan aku dah cakap, aku jatuh bilik air. Adam tak pernah pukul aku.”
“ Sampai bila kau nak sembunyikan kejahatan Adam? Sampai bila kau nak biarkan diri kau di aniaya begini Su? Kau juga ada hak untuk mempertahankan diri kau!” Nasihat Hakimah penuh sesal.
Walaupun Suraya tidak pernah berterus terang dengannya namun dia dapat meneka apa yang sedang dihadapi oleh temannya itu. Apatah lagi Hakimah kenal benar dengan sikap Adam yang panas baran dan kaki perempuan itu.
Suraya hanya tersenyum tawar. Cuba menyembunyikan apa yang sedang bergolak di dadanya.Kini bagi Suraya, Adam dan Suraya menjadi suami isteri hanya di atas sekeping kertas. Ruang untuk Adam sudah tiada tetapi Suraya bertahan demi Darius. Tentang jodoh Suraya dan Adam, Suraya hanya berserah kepada takdir.
“ Kau ni suka sangat berparasangka buruk terhadap suami aku sebab itulah suami aku tidak suka kau datang ke sini. Sudahlah Kimah, lebih baik kau balik sebelum suami aku mengamuk melihat kedatangan kau di sini,” kata Suraya lembut sekali.
Bukan niatnya untuk menghalau teman baiknya itu. Namun kedatangan Hakimah ke rumahnya akan mengundang kemarahan suaminya. Lagi pun dia bimbang dengan ugutan Adam tempoh hari.
Hakimah mendenggus geram. Sikap Suraya yang sering berahsia itu membuatkan Hakimah semakin tertekan. Dia tidak mahu membiarkan Suraya terus-terusan hidup terseksa begini. Apatah lagi Suraya sebatang kara. Simpatinya semakin menggunung.
“ Su, sampai bila kau nak sembunyikan sikap jahat suami kau itu? Kau nak tunggu sampai dia bunuh kau ke? Jangan biarkan nasi menjadi bubur Su. Kalau kau tak nak fikirkan tentang keselamatan kau, fikirkanlah tentang keselamatan Darius,” nasihat Hakimah panjang lebar.
Suraya semakin sebak. Sedaya upaya dia cuba menyembunyikan gejolak hatinya. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia menjerit dan meraung di hadapan Hakimah. Sebenarnya apa yang terkepung di dada sudah tidak tertanggung lagi untuk batinnya menanggung. Dia perlukan seseorang untuk dia meluahkan semuanya tetapi apakan daya disebabkan ugutan Adam dahulu dia terpaksa merahsiakan semuanya. Ya Allah, kau berikanlah ketabahan dalam diriku untuk menempuhi dugaan ini.
“ Tolonglah Kimah, kau pulang sekarang. Aku tak nak Adam tahu kau datang ke sini,” kata Suraya sambil menarik tangan Hakimah untuk bangun daripada menikmati keempukan sofa buatan Itali itu.
Hakimah yang terkejut dengan sikap Suraya itu hanya menurut. Suraya menarik tangan Hakimah hingga ke muka pintu.
“ Lebih baik kau balik. Terima kasih Hakimah kerana sudi melawat aku,” kata Suraya yang telah membuka pintu.
Kemudian dia menolak tubuh Hakimah ke luar pintu. Hakimah hanya terkebil-kebil. Dia mahu berkata lagi tetapi apabila secara tiba-tiba Suraya menutup pintu rumahnya membuatkan Hakimah mengeluh lemah.
Tidak lama kemudian dia mendengar raungan Suraya di sebalik pintu. Hatinya di himpit sayu.
“ Su, bagaimana aku boleh membantumu?” Kata Hakimah sendirian.
Tanpa di pinta airmata kesedihan bertakung di kolam matanya.

aku benci kau (bab 2)

Apabila Suraya membuka matanya dia masih terbaring di tempat di mana Adam telah menperlakukan dirinya dengan kejam. Dia menangis tersedu-sedu. Sampai hati Adam membiarkan dirinya terus menanggung kesakitan ini tanpa merawatnya. Adakah Adam sudah tidak memperdulikannya lagi? Atau lelaki itu sememangnya mahu membiarkannya terus mati?
Suraya terus menangis semahu-mahunya. Hatinya bagaikan di siat-siat. Hancur lumat hingga tidak merasai apa-apa lagi. Betapa kejamnya Adam saat ini. Derita yang ditanggung bagaikan tiada penghujungnya. Mungkinkah ada sinar untuknya mengecapi kebahagian kelak?
Dengan terketar-ketar, Suraya cuba bangun. Dia perlu ke hospital. Dia tahu lukanya terlalu parah dan dia perlu mendapat rawatan sebaiknya. Malangnya baru dua tiga langkah dia sudah kembali terjelopok ke lantai. Badannya lemah. Kepalanya sakit dan entah kenapa badannya menggigil bagaikan sedang kesejukan. Apa yang sedang berlaku kepadanya saat ini?
Suraya terus meratapi nasib diri. Kalau boleh mahu sahaja dia berdoa kepada Tuhan agar mencabut nyawanya saat ini. Dugaan yang dilaluinya ini cukup berat dan tidak mampu untuk dia menghadapinya seorang diri. Hatinya kian sedih mengenangkan dirinya yang hanya sebatang kara. Dia dibesarkan di rumah anak yatim dan selama ini hanya Adam tempatnya bergantung harap. Setelah Adam memperlakukan dirinya sebegini dia tidak tahu ke manakah dia harus lari untuk mendapatkan perlindungan dari segala derita yang dialaminya ini.
“ Bersabarlah Suraya. Bersabarlah. Ingat Allah sang pencipta yang maha agung, ingat Darius anak kau yang masih memerlukan engkau.”
Tiba-tiba tiupan semangat itu datang di dalam hatinya. Ya dia perlu kuat demi Darius. Darius masih memerlukan dirinya sebagai seorang ibu. Darius masih perlukan perhatiannya. Dia perlu cepat sembuh dari kesakitan ini. Nasib baik Darius berada di rumah neneknya. Kalau tidak pastinya Darius akan menyaksikan pergaduhan yang begitu kejam ini. Ah dia tidak mahu Darius menyaksikan semua ini. Kalau boleh dia tidak mahu memberi tekanan kepada Darius dengan masalah keluarga yang begitu menghimpit ini.
Dengan semangat yang cekal, Suraya menggagahkan dirinya untuk bangun semula. Semuanya dilakukan demi Darius. Putera hatinya yang tersayang. Apabila dia berdiri pandangannya kembali berpinar. Dia merasakan tubuhnya terhuyung-hayang. Dan dalam beberapa saat Suraya kembali rebah ke lantai.
Suraya tersedu lagi. Betapa sukarnya untuk dia bangun semula. Adakah hidup yang bakal di tempuhinya sesukar ini? Suraya semakin kecewa.
“ Abang, tolong bawa Su ke hospital. Su sakit sangat,” rayu Suraya apabila terpandangkan Adam yang sudah lengkap berpakaian kemeja untuk ke pejabat. Rupa-rupanya Adam telah membiarkannya tidak sedarkan diri semalaman di sini. Tidak bimbangkah lelaki ini kepadanya? Tergamaknya Adam memperlakukan dirinya sebegini.
Pandangan Adam tajam sekali bagaikan mahu membaham Suraya tatkala itu. Suraya benci dengan pandangan itu. Malah dia semakin benci dengan lelaki yang berada di hadapannya ini.
“ Apa muslihat kau kali ini? Kau nak buat laporan polis yang aku pukul kau? Kau nak humban aku dalam penjara pula?” Kata Adam bengis sekali.
Suraya menangis lagi. Sampai hati Adam menuturkan bicara sebegitu terhadapnya. Tidak terlintas langsung difikirannya untuk berbuat demikian. Dia bukannya pura-pura sakit atau sedang meraih simpati daripada suaminya itu. Butakah Adam saat ini untuk melihat sendiri kesakitan yang maha hebat yang terpaksa di tanggungnya akibat perbuatan jahat suaminya itu? Setelah apa yang berlaku adakah Adam layak bergelar suami kepadanya lagi?
“ Abang, tolonglah. Su benar-benar dalam kesakitan ini. Tolonglah Su rayu. Sakit abang….sakit sangat-sangat,” rayu Suraya lagi.
Kalau diikutkan hatinya yang lara, dia sudah penat untuk menagih simpati daripada Adam yang tidak berperikemanusian itu. Apa yang dilakukannya ini hanyalah untuk Darius. Dia mahu cepat sembuh demi untuk Darius.
Adam mencebik. Segera dia mendapatkan Suraya.
“ Apa aku peduli? Lantaklah kau nak sakit ke atau nak mati di sini!” Kata Adam.
Pedihnya hati apabila mendengarkan bicara Adam yang cukup tajam itu. Ternyata Adam sudah tidak perlukan dirinya dalam hidupnya lagi. Lelaki angkuh ini semakin angkuh dan merasakan dirinya lebih hebat dari segala-galanya.
“ Aku pergi kerja dulu! Kalau aku tahu kau ke hospital siap kau aku kerjakan! Kau jangan lupa aku mempunyai pengaruh yang kuat dan boleh melakukan apa sahaja. Kalau kau nak Darius selamat lebih baik kau buat apa yang aku suruh!”
Terlopong mulut Suraya apabila mendengarkan ugutan dari Adam itu. Inilah kali pertama Adam menggugutnya. Rupa-rupanya lelaki itu begitu takut dipenjarakan sehingga sanggup membiarkan dirinya terlantar kesakitan sebegitu.
“ Apa kau nak buat dengan anak aku hah?” Tanya Suraya dengan suara yang begitu lemah sekali. Selemah hatinya tatkala ini dengan sikap suaminya itu. Tergamak suaminya menggunakan Darius untuk menggugutnya.
“ Kalau aku boleh cederakan kau, tidak mustahil juga aku boleh cederakan anak kau! Fikirlah baik-baik. Jangan sampai hanya kerana perbuatan bodoh kau itu mencederakan anak kau sendiri!”
Anak kau? Adakah Adam mengganggap Darius itu bukan anaknya? Hati Suraya merintih pilu.
“ Aku benci kau Adam!” Tangis Suraya.
Adam hanya ketawa mendengarkan bicara Suraya itu.
“ Buat sementara waktu ini, Adam tinggal dengan mak aku. Aku akan beritahu kepada mak aku bahawa menantu yang sangat dibencinya ini sedang sakit dan tidak dapat menjaga Darius buat sementara waktu,” kata Adam sebelum berlalu dari situ.
Suraya hanya mampu menangis dengan keputusan yang telah dibuat oleh Adam itu. Dia mengharapkan ibu mertuanya datang ke rumahnya untuk melawatnya apabila mengetahui dirinya sakit tetapi dia tahu semuanya itu hanya angan-angannya sahaja kerana ibu mertuanya itu terlalu bencikan dirinya. Malah dirinya di halang daripada menjejakkan kaki ke rumah mertuanya. Ah betapa malangnya hidupnya ini.

aku benci kau (bab 1)

Kesetiaan dan kasih sayang adalah anugerah yang sangat berharga kepada mereka yang tahu menghargainya. Kesetiaan sebenarnya tidak terbatas kepada jantina lelaki atau perempuan sebaliknya ia merupakan benteng keimanan yang di bina agar diri dipelihara daripada melakukan perkara yang di luar batasan dalam apa keadaan sekali pun.
Kesetiaan dan kasih sayang sebenarnya mempunyai kaitan yang amat rapat kerana apabila seseorang menyayangi atau di sayangi dengan sepenuh hati maka dia akan berusaha untuk setia dan berkorban dalam pelbagai bentuk pengorbanan.
“ Sampai bila abang nak hidup macam ni? Bawa-bawalah bertaubat. Abang tu dah tua tahu tak. Bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik nyawa abang,” kata Suraya lembut sekali. Bagi Suraya, istilah setia sudah hilang dalam diri suaminya itu.
Namun sedaya upaya dia cuba menyedarkan suaminya dari terus bergelumang dengan dosa dan noda. Kalau boleh dia mahu terus hidup bersama suaminya di dunia dan akhirat. Dia terlalu sayangkan suaminya walaupun sikap suaminya itu sering mengguris hati wanitanya.
Adam mendenggus kuat. Dia terus menunding jarinya kepada Suraya dengan tubuhnya yang terhuyung-hayang. Alkohol yang telah menguasai segala urat sarafnya membuatkan dia berkeadaan demikian.
“ Kau tu siapa yang nak nasihatkan aku? Hei sedar dirilah sikit! Kalau tak kerana aku yang kutip kau di tepi jalan dan angkat taraf kau dan beri kau kekayaan ini kau dah lama jadi anjing kurap saat ini! Memang perempuan tak sedar diri! Ada hati nak nasihatkan aku!” Tengking Adam sinis sekali.
Tercalar hati Suraya apabila mendengarkan bicara suaminya yang ternyata benar sekali. Bukan dia tidak kenang jasa suaminya yang telah memberikan kemewahan ini kepadanya. Namun sedarkah Adam bahawa kemewahan ini tidak pernah sekali pun memberikan kebahagian dalam rumah tangga mereka ini.
“ Su ni isteri abang, isteri yang telah abang kahwini lapan tahun yang lalu. Tolonglah abang. Berubahlah demi Su dan anak kita, Darius,” kata Suraya dengan takungan airmata. Hati Suraya hancur. Mengapa Adam menguji Suraya begini.
“ Kurang ajar! Ada hati nak nasihatkan aku pula!” Kata Adam lantas menghadiahkan penampar di pipi kanan Suraya. Apabila iman tidak menguasai diri, manusia akan hilang pertimbangan.
Suraya menangis tersedu-sedu. Ini bukan kali pertama dia menerima penampar dari suaminya. Malah penampar ini sudah menjadi santapannya saban hari. Tidak cukup dengan itu, terajang Adam pernah singgah ke tubuhnya kalau Adam merasakan dirinya tercabar dengan bicara Suraya yang ternyata betul itu.
Dengan bengis Adam menarik rambut Suraya sehingga wanita jelita itu terdonggak ke belakang. Dia terus memandang Suraya dengan bahang kemarahan yang semakin menggila. Bagi Adam, Suraya tidak layak untuk memberikan nasihat kepadanya.
“ Kau ingat aku heran sangat taraf kau sebagai isteri aku! Kalau kau tak tahan dengan cara aku kau boleh blah dari sini. Aku bila-bila masa sahaja boleh lepaskan kau! Perempuan bagi aku tidak ubah seperti pelacur!”
Semakin deras airmata yang mengalir di pipi Suraya. Sudah acapkali dia mendengar bicara Adam itu yang tidak pernah sekali pun mempunyai rasa hormat terhadap wanita. Bencikah Adam kepada wanita atau lelaki itu sememangnya merasakan tarafnya sebagai seorang lelaki lebih mulia daripada seorang wanita?
“ Sampai hati abang nak samakan Su dengan pelacur. Abang jangan lupa pelacur inilah yang memberikan abang zuriat! Abang jangan ingat abang tu bagus sangat hanya kerana abang tu lelaki! Lelaki dan perempuan di sisi Allah adalah sama sahaja yang membezakannya hanyalah keimanan kepadanya!” Kata Suraya cuba menyedarkan Adam perkara yang sebenar.
Dia benci apabila Adam menyamakan tarafnya dengan seorang pelacur dan dia tidak mahu terus-terusan di pandang hina oleh suaminya sendiri.
“ Kurang ajar!”
Sekali lagi penampar Adam singgah di pipi gebu Suraya membuatkan wanita jelita itu terjatuh ke lantai. Ada lelehan darah yang keluar di celah bibirnya. Hati Suraya mula mendendangkan lagu nestapa.
Dengan bengis Adam menarik rambut Suraya. Cengkaman tangan Adam begitu kuat sekali sehinggakan Suraya merasakan kepalanya bagaikan mahu tercabut saat itu. Sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu.
“ Sekarang kau dah pandai lawan cakap aku ye! Baik aku nak tengok sampai bila kau boleh melawan aku lagi!” Kata Adam terus menarik rambut Suraya dengan kuat sehinggakan kepala Suraya terdongak ke belakang.
“ Abang, tolong lepaskan Su. Sakit abang,” rayu Suraya dengan linangan airmata.
Mendengarkan rayuan tersebut membuatkan Adam semakin memuncak egonya. Dia tahu dia ada segala-galanya membuatkan Suraya akan terus tunduk dan patuh kepadanya. Baginya perempuan tidak ubah seperti barang mainan yang langsung tiada nilainya.
Tanpa memperdulikan rayuan Suraya, Adam terus mengheret tubuh Suraya ke dinding.
“ Kau ingat kau dah layak benar nak nasihatkan aku? Nah rasakan ini!” Kata Adam lalu menghentak kepala Suraya ke dinding.
Berpinar mata Suraya apabila kepalanya di hentak sebegitu kuat. Kesakitan itu membuatkan kepalanya terasa bengap.
“ Maafkan Su, abang. Su yang salah. Maafkan Su…” rayu Suraya dalam esak tangisnya.
Hanya itu yang mampu dia lakukan saat ini. Merayu dan terus merayu agar dirinya di kasihani tanpa sedar perbuatannya ini telah membuatkan suaminya bertambah tinggi egonya. Ah apa lagi yang mampu dia lakukan sedangkan kesakitan yang mencengkam ini tidak mampu lagi untuk dia laluinya.
“ Ooo..baru sekarang kau mahu minta maaf? Nah rasakan lagi hukuman yang telah aku berikan kepada kau!”
Sekali lagi Adam menghentak kepala Suraya ke dinding. Berdenyut kepalanya apabila menerima hentakan buat kali ke dua. Suraya lihat ada kesan darah yang melekat di dinding itu akibat hentakan tersebut. Ah apalah sangat luka di dahinya berbanding luka hatinya yang semakin bernanah akibat perbuatan kejam suaminya terhadapnya. Siapakah dirinya yang sebenarnya di mata Adam tatkala ini? Hilang sudahkah segala kasih sayang yang dibajai mereka suatu masa dahulu sehingga Adam sanggup memperlakukannya sebegini?
“ Sakit abang. Tolong abang, kasihani Su. Su minta maaf. Tolonglah! Jangan lakukan Su sebegini lagi. Ia terlalu menyakitkan,” rayu Suraya dengan juraian airmata.
Airmata kesakitan yang tiada sempadannya. Luka yang bernanah ini semakin parah. Dia berasa hina, sehina-hinanya apabila diperlakukan sebegini. Tergamak suaminya memperlakukannya sebegini. Apa salahnya sehinggakan dia terpaksa menerima hukuman sekejam ini?
Adam ketawa berdekah-dekah apabila mendengarkan rayuan isterinya itu. Dia mula merasakan dirinya kuat dan gagah perkasa. Rayuan isterinya langsung tidak mengundang simpati dalam dirinya.
“ Sakit ya…ha haa…ha….Nah rasakan lagi!” Kata Adam sekali lagi menghentak kepala Suraya ke dinding.
Kali ini bukan sekali malah berkali-kali membuatkan Suraya menjerit kesakitan. Puas sudah Suraya merayu tetapi semuanya tidak diendahkan suaminya. Malah tiap kali Suraya menjerit makin kuat hentakan di kepalanya mengenai dinding. Darah yang melekap sedikit semakin banyak bagaikan sebuah mural abstrak yang di lukis di dinding tersebut. Lelehan darah jatuh setitik demi setitik mengenai mata Suraya. Kemudian ke pipinya lalu jatuh mengenai bajunya. Bajunya sudah basah. Suraya tidak pasti adakah bajunya basah disebabkan peluhnya atau kesan daripada lelehan darah tersebut. Matanya sudah berpinar. Kesakitan yang mencengkam ini terlalu menyakitkan sehinggakan dia tidak dapat merasa apa-apa. Badannya sudah semakin lemah. Tangisannya yang sebentar tadi menggila semakin reda. Dan dalam sekelip mata pandangannya mula gelap apabila sekali lagi kepalanya di hentak ke dinding

aku benci kau (sinopsis)

Aku benci kau. Itu yang pasti. Darius membenci perempuan kerana mamanya. Dia seorang ahli perniagaan yang berjaya namun tersepit kerana fitnah dan terpaksa akur dengan perancangan keluarga untuk meminang Adlene Kayra yang kebetulan berhutang nyawa dengan keluarganya. Namun Adlene Kayra menolak pinangan itu kerana mengetahui siapa diri Darius yang sebenar.
Akibat terdesak untuk membersihkan namanya, Darius telah menganiaya dan memerangkap Adlene Kayra demi memastikan gadis itu tunduk dan patuh kepada kehendaknya. Apa lagi yang boleh Adlene Kayra lakukan setelah maruah dan harga diri dirampas dengan begitu kejam oleh Darius selain daripada berkahwin dengan lelaki itu? Selepas perkahwinan ini, bolehkah Adlene Kayra bahagia bersama lelaki yang membenci dirinya?