Monday, 13 January 2014

lg review aku benci kau dr Yatiee Aliff



Di review oleh: Yatie Aliff
Tarikh Review: 16 Oktober 2013.
Tajuk Novel: Aku Benci Kau!
Penulis: Rabihah Nur Ridhuan
Terbitan: Buku Prima.
sungguh memang saya sakit hati dgn watak2 antagonis dlm cite ni... cite yg membuatkan emosi kita ditahap kemarahan. pn hendon, adam & darius yg sangat kejam... pasal apa ntah yg dia org ni benci sangat kt perempuan. adam yg sanggup jual isterinya atas hasutan pn hendon utk mendptkan projek yg lumayan. darius telah di didik utk membenci perempuan... sehinggakan dia di fitnah sebagai gay. utk menutup malu... darius dikahwinkan dgn kayra. kayra telah di seksa & di pukul oleh keluarga darius yg sungguh kejam... adoii memang bikin hati panas je baca cite ni dr mula sampai ke suku akhir cite. tapi byk pengajaran dlm cite ni... cite ni berkisar sejarah kisah nabi Lut. jln cite lain dr yg lain... good job pd penulis

Review aku benci kau

Review dr kak Rosni Musa
Baca nobel nih mcm2 perasaan yg timbul... 1-1 nya nobel yg buat saya nak marah, benci, meluat dan yg sewaktu dgnnya.

Mengisahkan Darius yg dibsrkan dgn penuh pembohongan tentang mamanya. Sehinggakan dia menjadi seorang yg terlalu membenci terhadap kaum wanita. Pada fikiran Darius semua wanita ibarat seorang pelacur. Adehhhh...sabo je laaa haku.
Ketika berusia 8 thn Darius telah dipisahkan dgn mamanya kerana hasutan & fitnah drpd ayah & nenek Darius. Nenek Darius( mokcik Hendon) adalah sejahat2 manusia. Sanggup menjual menantu semata2 hendak mengaut keuntungan.
Ayah Darius seorang lelaki yg dayus.. haaa yg ni layak dipanggil Dayus.. bukan pokcik guard kat airport tu..hehehe. Kerana harta sanggup dia menggadai isteri sendri. Dah gadai isteri diracun plak pemikiran Darius dgn mengatakan mama Darius curang.. suka menjual tubuh tuk kekayaan. Sikap ayah Darius yg suka berpoya2 & mabuk2 tidak disukai oleh Darius. Walaupon Darius suka berpoya2 tapi dia x pernah meneguk air haram tu.
Hidup Darius dikelilingi dgn kekayaan. Kerjaya yg meningkat serta femes di mata masyarakat. Nama Darius sering disebut2 sebagai usahawan yg berjaya. Tapi biasa laaa mana ade yg senang hati dgn kejayaan org kan.. kerana sikap irihati & cemburu, Darius difitnah dgn tersebarnya video hubungan songsang.
Maka bermula la kejatuhan Darius. Utk membersihkan nama baik keluarga.. nenek Darius mencadangkan agar Darius segera berkahwin.. nak coverline ler tu. Konon2 cucu dia bukan gay. Yg jd mangsa ialah Adlene Kayra. Adlene Kayra pernah menerima bantuan drpd Hendon. Semasa Kayra kecil Hendon sanggup mendermakan wang tuk pembedahan Kayra. Itupon sebab nak jaga airmuka. Hisshh Hendon ni memang syaitan bertopengkan manusia. Semua kejahatan adalah rancangan Hendon. So Hendon segera meminang Qayra. Fuhhhh stail meminang pon ikut redah jek.. Apabila Qayra tau yg bakal suaminya seorang gay...bermati-matian Qayra menolak utk tidak dijodohkan dgn Darius. Bila nafsu jahat dah menguasai diri Hendon memaksa Darius memperkosa Qayra supaya Qayra tidak menolak perkahwinan itu. Uwaaa.. babak ni rasa nak gi tembak je Darius tu.
Akhirnya Qayra terpaksa juga mengahwini Darius. Dan bermula laa episod kedukaan dlm hidup Qayra. Kalau nak tau mcm mana layanan Darius terhadap Qayra sila beli buku nih & baca.
Adakah Darius , Hendon & ayah Darius insap dgn perbuatannya. Adakah Darius dpt bersatu semula dgn mamanya? Sama2 kita menghayati kisah dlm naskah ni. Byk pengajaran yg dpt kita perolehi.
Jujur saya katakan..buku ni memang memainkan emosi saya. Buku yg lain drpd yg lain. Tahniah tuk penulis.

Monday, 22 July 2013

aku benci kau bab 11

“ Ya Allah…apa yang telah terjadi kepada kau, Suraya?” Tanya Hakimah dengan debaran di dada. Keadaan Suraya yang bagaikan kurang siuman membuatkan hatinya bertambah resah.
Sebentar tadi Hakimah mendapat panggilan daripada pihak hotel meminta dia segera datang menjemput sahabatnya itu di situ. Hatinya masih tertanya-tanya mengapa Suraya boleh berada di hotel ini. Apakah tujuan sebenar Suraya berada di sini dan mengapa Suraya berkelakuan bagaikan orang kurang waras ini?
Sebaik sahaja melihatkan wajah Hakimah, Suraya terus meluru dan mendakap tubuh Hakimah dengan erat. Dia terus menghamburkan airmata kekecewaan di dada Hakimah.
“ Peluk aku, Kimah. Peluk aku, Kimah. Peluk aku agar semua kesakitan ini hilang,” tangis Suraya dalam pelukan Hakimah.
Hakimah menguatkan pelukannya. Hatinya dihambar sayu dengan bicara Suraya itu. Akhirnya dia juga turut menangis bersama-sama dengan Suraya.
“ Apa yang telah berlaku kepada kau, Su? Ceritakan kepada aku,” kata Hakimah sambil mengelus rambut Suraya yang panjang mengurai.
“ Hati aku sakit sangat, Kimah! Sakit sangat-sangat! Kalau boleh aku mahu membunuh mereka biar mereka mati di tangan aku!” Kata Suraya dalam tangisannya.
Hakimah dapat menggagak pasti ada sesuatu yang buruk telah menimpa sabahat baiknya itu. Pasti semua ini angkara Adam. Hakimah yakin benar. Perasaan benci dan geram semakin membara di hati Hakimah. Wajah Adam yang jahat itu menari-nari di ruang ingatannya. Seperti juga Suraya, Hakimah juga terasa ingin menamatkan riwayat Adam yang kejam itu.
“ Apa yang Adam dah lakukan kepada kau?” Tanya Hakimah dengan perasaan membara. Di dalam diam dia sudah berjanji akan menuntut bela ke atas apa yang telah terjadi kepada Suraya. Dia akan membantu Suraya mendapat pembalasan yang sewajarnya.
“ Mereka telah jual aku kepada lelaki inggeris semata-mata untuk mendapatkan tender. Aku sudah menjadi bahan dagangan mereka, Kimah! Aku ni tak ubah seperti pelacur! Aku ni kotor, Kimah…..” Cerita Suraya.
Bagaikan terhenti denyutan nadi Hakimah apabila mendengarkan cerita penuh duka itu. Benarkah apa yang sedang didengarinya itu atau Suraya sedang mereka cerita? Dia tidak pernah menyangka sama sekali Adam yang dikenalinya itu sejahat itu. Sanggup Adam memperlakukan isterinya sebegitu?
“ Binatang! Aku tak akan biarkan binatang itu hidup dengan tenang! Jom kita buat laporan polis!" Kata Hakimah.
Debaran di dadanya semakin laju. Hatinya sakit sekali. Tidak pernah dia merasakan kesakitan sebegini. Ya Allah betapa hebatnya dugaan yang telah Kau berikan kepada sahabatku ini. Kau tabahkan hatinya Ya Allah dalam menempuhi dugaan yang maha perit ini.
“ Aku tak nak buat laporan polis!” Kata Suraya. Tangisannya sentiasa menghiasi kolam matanya. Hanya itu yang mampu dia lakukan di saat kegetiran dan dugaan yang maha hebat yang dipersembahkan kepadanya tatkala ini. Dia mahu membalas dendam terhadap apa yang telah berlaku kepadanya. Dia sudah tidak peduli lagi dengan apa yang akan berlaku kepadanya asalkan hatinya puas setelah dia dapat menamatkan riwayat Adam yang durjana itu.
“ Kenapa kau tak nak buat laporan polis? Kau takut ke? Jangan takut Su, aku sentiasa ada bersama kau. Lagipun negara ini ada undang-undang. Adam tidak akan lepas dari hukumannya!” Pujuk Hakimah.
“ Undang-undang? Di manakah undang-undang itu ketika sepak terajang Adam menjadi santapan aku, Kimah? Di mana? Dunia ini tidak pernah adil buatku dan hanya aku yang layak menentukan nasib Adam!” Kata Suraya. Perasaan dendam itu semakin subur di hatinya. Wajah Adam yang durjana itu mula menari-nari di ruang ingatannya. Tatkala itu dia bagaikan melihat Adam sedang melutut di kakinya agar dirinya di maafkan.
Berdebar hebat Hakimah apabila mendengarkan ucapan Suraya itu. Dia mula dikerumuni dengan perasan takut dan bimbang. Mana tahu Suraya akan mengambil tindakan yang bakal merosakkan dirinya sendiri.
“ Apa yang kau nak lakukan, Su?” Tanya Hakimah sambil terus merenungi Suraya yang masih berada di dalam pelukannya.
Suraya melepaskan pelukan. Kemudian dia memandang Hakimah dengan perasaan berkobar-kobar. Dia bagaikan mendapat satu semangat.
“ Aku nak bunuh Adam!” Kata Suraya sambil tersenyum lebar.
Semakin berdebar hati Hakimah apabila mendengarkan bicara Suraya itu. Adakah Suraya benar-benar ingin melakukan semua itu atau sengaja mahu melepaskan tekanannya dengan berkata sedemikian? Ah tidak mungkin Suraya berani untuk melakukan semua itu.
“ Mengucap, Su. Mengucap!” Kata Hakimah sambil memegang kedua belah bahu Suraya. Kemudian Hakimah mengoncang bahu tubuh sahabat baiknya itu.
Sebaliknya Suraya hanya tersenyum mendengarkan bicara Hakimah itu membuatkan Hakimah semakin takut. Adakah Suraya benar-benar berfikiran waras tatkala ini?
“ Kau tahu tak apa yang aku akan lakukan? Mula-mula aku akan tikam dadanya kemudian aku akan keluarkan hatinya yang busuk itu dan aku akan cincang sampai lumat. Lepas tu aku akan kerat tangan dan kakinya yang selalu memukul dan menerajang aku, kemudian aku….”
“ Mengucap Su! Mengucap Su!” Kata Hakimah sambil mengegar tubuh Suraya.
Hakimah pandang ke dalam anak mata Suraya dengan hati yang waja agar kekentalan hatinya itu dapat dipindahkan kepada sahabatnya yang sudah tersungkur itu. Suraya yang bagaikan terkedu pada mulanya dengan bicara Hakimah itu akhirnya mengukirkan senyuman. Melihatkan senyuman Suraya itu membuatkan Hakimah dihambat resah.
“ Mengucap? Ha ha..mengucap? Ha ha…ha…ha…”
Makin kuat tawa Suraya memecah gegendang telinga Hakimah. Hakimah makin kalut. Airmatanya mengalir laju melihatkan keadaan Suraya itu. Simpatinya melimpah ruah. Dia terus mendakap Suraya dengan erat.
“Ya Allah apa yang harus aku lakukan untuk membantu sahabatku ini?” Doa Hakimah di dalam hati.
“ Mengucap? Macammana nak mengucap ye? Macam ni ke? Ashaduallaila ha il Allah, Wa ashaduanna muhammadul rasullallah,” kata Suraya sambil mendendangkan lagu nasyid kumpulan Raihan.
Kemudian Suraya menangis pula. Selepas itu dia ketawa pula. Keadaan Suraya itu bagaikan orang kurang siuman. Ya Suraya sudah hilang kewarasannya membuatkan Hakimah semakin di himpit pilu.
“ Mengucap Suraya..mengucap..ikut cakap aku ni..sebut Allah….Allah…” Kata Hakimah cuba menyedarkan Suraya.
Namun semuanya gagal. Suraya terus berkeadaan begitu membuatkan Hakimah semakin mendendami Adam

aku benci kau bab 10

“ Pergi masuk ke dalam bilik hotel. Lagi lama kau di sini akan lebih memalukan aku,” Kata Adam kepada Suraya sambil meletakkan kunci bilik hotel yang disewanya kepada Suraya.
Suraya hanya mampu mengeluh di dalam hati. Kalau tidak selesa kehadirannya ke majlis ini kenapa perlu membawanya ke sini? Suraya bukannya terhegeh-hegeh mahu mengikut Adam ke sini. Malah Adam yang beria-ia mahu mengajaknya. Sudahnya Suraya pula perlu mengurungkan dirinya di dalam bilik hotel.
“ Jom Darius,” kata Suraya seraya menarik tangan anak tunggalnya.
Nasib baik Darius mengikutnya bolehlah menjadi peneman Suraya sejak dari mereka datang ke sini. Anak terunanya itu cukup rapat dengannya.
“ Kau masuk dulu. Nanti aku hantar Darius ke sana. Aku nak main dengan cucu aku!” Tiba-tiba Puan Hendon berkata. Puan Hendon segera menarik tangan Darius ke arahnya. Darius yang terkejut hanya terpinga-pinga.
“ Tapi mak….”
Suraya berasa berat hati. Apatah lagi dia risau kalau-kalau Puan Hendon mereka cerita tidak baik tentang dirinya kepada Darius. Dia takut Darius akan termakan cerita palsu yang ditaburkan oleh nenek kesayangannya itu.
“ Tak kan aku nak main dengan cucu aku sendiri pun tak boleh?” Kata Puan Hendon sambil membuntangkan matanya. Walaupun dengan nada suara yang perlahan Suraya tahu Puan Hendon sedang marahkannya. Akhirnya Suraya mengalah jua.
“ Darius, mama naik atas dulu. Nanti Darius datang temankan mama ye,” kata Suraya sambil mencium pipi anak terunanya.
Darius juga mencium pipi Suraya sambil berbisik di telinganya.
“ Jangan risau, mama. Darius temankan nenek sekejap je,” bisik Darius.
Suraya tersenyum lebar mendengarkan bisikan Darius itu. Ternyata anak terunanya itu dapat membaca kata hatinya.
“ Agnes akan tunjukkan kau bilik,” kata Adam.
Kemudian Suraya mengikut wanita yang bernama Agnes untuk menuju ke bilik yang telah di sewa khas oleh Adam untuknya. Suraya tahu kehadirannya di dalam majlis ini akan membuatkan Adam berasa kekok untuk bermesra dengan perempuan lain. Pastinya tujuan Adam menyewa bilik ini adalah untuk membuka peluang Adam untuk terus bemesra dengan gadis-gadis jelita di situ.
“ Puan, ini biliknya,” kata Agnes lalu membuka pintu bilik hotel.
Kemudian Agnes masuk ke dalam bilik hotel lalu membuka suis lampu dan penyaman udara. Suraya melabuhkan punggungnya di katil sambil menantikan Agnes membuka televisyen untuknya.
“ Puan nak air?” Tanya Agnes dengan wajah mesra.
“ Boleh juga,” kata Suraya.
Suraya tidak pernah mengenali Agnes. Mungkin wanita yang kelihatan bergaya itu adalah salah seorang pekerja setia di syarikat Adam bekerja.
“ Air panas atau sejuk?” Tanya Agnes lagi.
“ Beri saya fresh orange satu,” kata Suraya.
“ Baiklah. Nanti saya order. Puan ada apa-apa lagi mahu saya bantu?” Agnes masih setia memberikan perkhidmatannya. Pasti wanita ini mempunyai adab yang terpuji. Fikir Suraya sendirian.
“ Tak de. Terima kasih, Agnes,” kata Suraya tersenyum lebar.
Agnes membalas senyuman Suraya. Kemudian dia berlalu dari situ. Lima minit kemudian seorang pelayan datang membawa hidangan yang dipesan Agnes ke dalam bilik Suraya.
Sambil menonton televisyen Suraya minum air yang dipesan itu dengan seleranya. Tidak sampai lima minit Suraya mula merasa mengantuk. Tanpa berfikir panjang Suraya terus melabuhkan badannya di atas katil sebelum memejamkan matanya.

SURAYA gagahkan dirinya untuk membuka mata walaupun denyutan di kepalanya begitu mencucuk. Suraya tidak tahu apa yang sedang berlaku kepadanya tatkala ini. Sebaik sahaja dia membuka mata pandangannya berpinar-pinar. Dia terus meletakkan jemarinya yang runcing di kepala lalu memicitnya agar kesakitan yang ditanggungnya kembali reda.
“ Zzzzz…”
Suara dengkuran itu membuatkan jantung Suraya bagaikan terhenti buat seketika. Dia terkejut bukan kepalang. Suara yang tidak pernah di dengarnya sepanjang hidupnya. Apatah lagi Adam tidak pernah berdengkur di dalam tidurnya. Siapakah yang berdengkur itu?
Segera Suraya berpaling ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya Suraya apabila melihat seorang lelaki berbangsa Inggeris tidur dengan nyenyaknya di sebelahnya. Nafas Suraya bagaikan tersekat di kerongkong. Dadanya bergetar seribu. Apa yang telah lelaki ini buat bersamanya di dalam bilik ini? Adakah lelaki ini sudah tersalah bilik?
Suraya segera bangun untuk menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa lelaki itu. Mungkin lelaki itu tersalah bilik dan tidak menyedari kehadiran Suraya di sini. Apa yang lebih mengejutkan Suraya dan membuatkan dia bagaikan mahu gila apabila mendapati tubuh badannya yang tanpa seurat benang. Suraya semakin panik. Kenapa dia boleh berkeadaan sedemikian? Adakah lelaki inggeris ini telah merogolnya? Suraya sudah tidak tentu arah apabila memikirkan semuanya itu. Dia cuba mengingati apa yang telah terjadi namun semuanya hanyalah sia-sia. Suraya langsung tidak dapat mengingati apa-apa selain daripada dia tertidur setelah meminum jus oren yang dipesannya itu.
Dengan tangan yang terketar-ketar cepat-cepat Suraya menyarungkan pakaian ke tubuhnya semula. Di dalam hati dia terus berdoa agar perkara yang sering ditakuti oleh semua wanita itu tidak pernah terjadi kepadanya.
“ Hello baby.....macamana besttak tadi?” Tanya lelaki berbangsa inggeris itu setelah dia terjaga dari tidurnya. Ketika itu Suraya sudah selesai mengenakan baju ke tubuhnya. Dengan mata yang buntang bagaikan mahu membaham lelaki itu hidup-hidup Suraya terus merenungi lelaki inggeris itu. Namun lelaki itu masih beriak selamba. Tiada tanda-tanda lelaki itu berasa bersalah.
“ Apa yang dah kau lakukan kepada aku?” Tanya Suraya lantang sekali. Dia berasa begitu marah sekali. Dadanya sendat dengan pelbagai andaian buruk namun dia tetap berdoa kepada Allah agar dijauhkan dengan segala malapetaka buruk.
William ketawa mendengarkan pertanyaan Suraya itu.
“ Tak kan you tak tahu apa yang telah kita lakukan bersama. Wah you memang hebat sebentar tadi. I memang tidak sangka perempuan selembut you ini terlalu hebat di ranjang. Patutlah Adam selalu kurung you!”
Bagaikan mahu terluruh jantung Suraya apabila mendengarkan pengakuan ikhlas daripada lelaki di hadapannya itu. Ya Allah…bagaimana perkara sebegini boleh berlaku kepadaku? Dugaan apa lagi yang telah kau persembahkan kepadaku? Rintih Suraya di dalam hati.
“ Kau tipu! Kau tipu! Aku akan laporkan semuanya kepada polis!” Jerit Suraya dengan juraian airmata. Suraya sudah meraung meratapi nasib yang telah tersurat buatnya. Mahu sahaja di bunuh William yang telah merosakkan masa hadapannya. Kenapa semua ini boleh terjadi kepadanya? Tuhanku tolonglah hambamu ini….
“ Oppps….you jangan salahkan I. Suami you yang telah menjual you kepada I,” kata Wiliiam sambil mengenakan semula pakaian ke tubuhnya.
Hancur lebur hati Suraya apabila mendengarkan pengakuan yang telah diberikan William itu. Sampai hati Adam memperlakukannya sebegini. Sememangnya Adam sudah menjadikannya pelacur seperti apa yang sering diperkatakannya selama ini. Perasaan dendam dan benci itu semakin membara di hatinya. Kalau Adam ada di hadapannya ini sudah lama dia akan menamatkan riwayat lelaki durjana itu. Setan kau Adam!!!
“ Betulkah?”
Perlahan sekali suara Suraya tatkala ini. Dia semakin lemah dengan putaran takdir yang sentiasa kejam terhadapnya. Dia sudah terduduk sambil meratapi takdirnya. Raungannya semakin menggila. Hatinya sudah hancur di mamah perasaan kecewa dan lara. Patutkah Adam memperlakukan semua ini terhadapnya? Dia bukannya perempuan simpanan Adam tetapi tarafnya lebih mulia dari itu. Dia adalah isteri yang telah diamanahkan kepada Adam untuk menjaga dan melindungi dirinya. Tetapi apa yang Adam telah lakukan kepadanya? Adam memang binatang!
“ Dia serahkan tubuh kau untuk mendapatkan tender dari syarikat aku!”
Bicara William itu semakin merobek hati Suraya. Hingga ia bernanah dan sukar dirawat lagi. Airmata yang berjujuran menyaksikan betapa hati Suraya semakin luluh dan remuk rendam. Betapa hinanya maruah Suraya tatkala ini sehinggakan dia menjadi bahan dagangan dalam perniagaan suaminya. Kejamnya putaran waktu ini.
William yang melihat airmata kekecewaan yang luruh di mata Suraya hanya berlagak selamba. Dia sudah biasa menyaksikan airmata wanita seperti Suraya ini kerana sudah ramai isteri orang yang telah didagangkan kepadanya sepertimana Suraya. William mencapai dompet lalu menggeluarkan beberapa keping wang kertas.
“ Nah ini upahnya untuk malam ini,” kata William sambil membaling beberapa keping wang seratus ringgit ke muka Suraya.
Suraya rasa begitu hina sekali apabila diperlakukan sebegitu rupa. Dadanya semakin berombak kencang. Dia ingin menerkam tubuh William dan memukulnya sekuat hati namun kepiluan yang mengunung ini membuatkan Suraya tidak berdaya dan hanya terus menangis meratapi takdir yang telah tersurat buatnya.
Suraya terus merenungi beberapa keping wang seratus yang sudah bertaburan di lantai dengan perasaan benci. Hanya kerana wang inilah dirinya telah diperdangangkan oleh Adam. Dia terus mencapai wang tersebut lalu dikoyak-koyakkannya menjadi kepingan halus. Dia berasa begitu benci sekali melihatkan wang itu. Wang yang telah merosakkan maruahnya.
Sebaik sahaja William membuka pintunya tersembul wajah Adam, Puan Hendon dan Darius di sebalik pintu. Sebaik sahaja terpandangkan wajah Adam, Suraya terus bangun dan menerpa ke arah Adam. Dia mahu membunuh lelaki yang telah merosakkan masa hadapannya itu. Lelaki itu perlu mati! Lelaki sejahat Adam itu sememangnya tidak layak untuk hidup.
Suraya terus menumbuk Adam sekuat tenaganya. Kesakitan hati yang ditanggungnya ini dilepaskan kepada tubuh Adam semahunya.
“ Kau memang jahat! Kau lelaki tak guna!" Jerit Suraya sambil menumbuk dan menendang Adam sekuat tenaga. Suraya bagaikan sudah di rasuk syaitan. Dia menjerit dan mengamuk tanpa hentinya. Sebaliknya Adam hanya menyepi. Sedikit pun Adam tidak menunjukkan sikap panas barannya kepada Suraya seperti mana selalunya. Suraya berasa pelik. Adakah Adam benar-benar menyesal dengan apa yang telah terjadi kepadanya?
“ Mama!”
Jeritan daripada Darius itu menyedarkan Suraya ke dunia nyata. Suraya terpempam. Dia kematian kata-kata. Dadanya bagaikan dihenyak mampat dengan jeritan Darius itu. Wajah anak kecilnya di tatap lama. Kesedihan dan kepiluan hati makin menjamah sanubarinya.
Suasana di bilik hotel itu sunyi buat seketika. Dia tidak menyangka anak kecilnya yang berusia lapan tahun itu yang bertubuh kecil persis dirinya sudah mula berani meninggikan suara kepadanya. Kenapa Darius bersikap sedemikian? Tidak simpatikah Darius terhadap dirinya?
“ Darius tak sangka mama sekeji ini!” Tengking Darius lagi.
Bilah-bilah ayat yang keluar dari bibir Darius itu umpama anak panah yang dilepaskan tepat ke ruang dadanya. Bagai halilintar suara Darius seperti menikam jantungnya. Wajahnya merona merah. Dia tidak menyangka sama sekali yang Darius sanggup menuduhnya sebegitu.
“ Mama tak lakukan semua ini sayang,” bela Suraya dengan juraian airmata.
Dia terus mendapatkan Darius tetapi Darius pantas sekali menolak tubuhnya. Pantas pintu kayu dihempas kuat oleh Darius seolah-olah jiwanya juga dihempas sebegitu. Tak pernah Darius bersikap sedemikian. Darius yang di anggap anak kecil yang di anggap melangit sikap sopan santunya rupanya berubah tingkah laku hari ini. Adakah anaknya itu benar-benar kecewa dengan apa yang telah dia saksikan hari ini. Tidak anakku, mama tidak bersalah. Percayalah anakku, ibumu ini diperdaya. Keluh Suraya di dalam hatinya.
“ Kau memang keji! Kau perempuan keji!!” Tengking Darius sebelum berlalu dari situ.
Suraya terkedu seketika. Terasa rohnya melayang-layang seperti tidak mahu berpijak di bumi yang nyata. Adakah ini takdir yang harus di telannya? Ya Allah tabahkan hatiku untuk menerima segala dugaan yang Kau utuskan terhadapku.
“ Kau memang keji!” Ulang Puan Hendon dengan nada mengejek.
Senyuman sindiran terlakar di bibir Puan Hendon. Senyuman yang menyakitkan hati Suraya. Dia tahu apa yang telah terjadi kepada Darius ini kerana termakan dengan hasutan Puan Hendon. Puan Hendon yang berhati busuk ini sudah berjaya mengeruhkan hubungannya dengan Darius. Rupa-rupanya Puan Hendon dan Adam kedua-duanya mempunyai hati yang jahat. Lebih jahat daripada iblis dan syaitan.
“ Apa yang kau orang berdua dah buat pada aku hah, setan???” Tengking Suraya dengan tangisan yang menggila. Dadanya begitu sakit sekali dengan kejahatan dua beranak yang berhatikan syaitan itu. Malam ini dia tidak akan membiarkan dirinya tertindas begitu sahaja tanpa ada pembelaan yang sewajarnya. Malam ini juga akan menunjukkan siapa Suraya yang sebenarnya.
“ Hahh…haha…setan? Dia panggil kita setan, mama,” kata Adam sambil ketawa menggejek. Sengaja menyakitkan hati Suraya yang sebenarnya sudah remuk.
Puan Hendon tersenyum lebar. Hatinya berasa puas. Melihatkan Suraya berkeadaan begitu membuatkan hatinya di hambat riang yang bukan kepalang. Apatah lagi apabila berjaya menghasut Darius mempercayai kepada semua bicaranya itu.
“ Hah..setan tak buat apa-apa pun. Cuma setan nak tengok bagaimana keadaan orang yang telah melacurkan dirinya malam ini. Hishhhh..busuknya badan kau ni! Uweekkk!” Kata Adam.
Suraya terus bangun mendapatkan Adam. Dia mahu menumbuk Adam sekuat hatinya tetapi malangnya kali ini Adam pantas mengelak. Kemudian Adam terus menghadiahkan penampar di pipi Suraya membuatkan Suraya terjelopok jatuh.
Suraya sudah tidak merasakan kesakitan akibat perbuatan Adam itu kerana hati dan perasaannya lebih sakit dan terdera daripada apa yang sedang dirasainya tatkala ini.
“ Hah..cepatlah Adam selesaikan kerja kau malam ini! Aku sudah tidak mahu ada hubungan lagi dengan perempuan kotor ini!” Kata Puan Hendon yang berasa benci dan menyampah melihatkan airmata yang sedang mengalir di pipi Suraya.
Perempuan kotor? Perkataan itu bagaikan sembilu mencucuk hatinya. Siapakah yang sebenarnya kotor sedangkan mereka berdualah yang telah mencapakkan dirinya ke lembah kekotoran yang paling hina. Ya Allah kau turunkan azab kepada mereka berdua ini atas tindakan jahat mereka ini kepadaku. Tolonglah Ya Allah, aku rayu. Rintih Suraya dalam hatinya.
“ Tahulah mak!” Kata Adam.
Kemudian Adam duduk mencangkung di hadapan Suraya yang sedang tertiarap di lantai. Kemudiannya dia menarik rambut Suraya menyebabkan wanita malang itu terdongak. Sedaya upaya Suraya mengawal perasaannya dan terus bertentang mata dengan Adam dengan perasaan benci.
“ Kau dengar sini pelacur, mulai hari ini aku berasa jijik untuk mengaku kau isteri aku lagi dan mulai hari ini aku ceraikan kau dengan talak tiga!” Kata Adam.
Adam kemudiannya melepaskan pegangannya di rambut Suraya dengan kasar sekali setelah dia selesai melafazkan bicaranya. Suraya mendengar dengan hati yang tenang. Kalau Adam tidak menceraikan dia sekali pun dia yang akan meminta talak daripada lelaki itu. Dia sudah tidak sanggup lagi untuk hidup dengan syaitan yang bertopengkan manusia itu.
“ Kau ingat selepas kau menceraikan aku, kau akan hidup dengan tenang? Aku bersumpah atas nama Allah akan membalas balik segala kejahatan yang telah kau orang berdua lakukan kepada aku dan aku berjanji sepanjang hidup kau orang berdua akan dihantui dengan dosa-dosa yang telah kau orang berdua lakukan kepadaku!”
Puan Hendon dan Adam hanya ketawa kuat mendengarkan ugutan yang diberikan oleh Suraya kepada mereka. Bagi mereka Suraya boleh bercakap apa sahaja namun Suraya tidak mampu menumpaskan kekuatan mereka yang jauh lebih hebat daripada diri mereka.

aku benci kau bab 9

“ Mak, apa khabar?”Tanya Suraya sambil menyuakan tangannya untuk menyalami Puan Hendon.
Puan Hendon menjeling tajam. Kalau diikutkan hati tidak ingin dia menyalami tangan kotor Suraya itu tetapi memandangkan ramai mata yang sedang memandang, akhirnya dia menyambut jua huluran tangan Suraya itu. Tetapi hanya sedetik cuma.
“ Khabar baik. Hah kau pergilah bawa Darius ambil makanan,” kata Puan Hendon dengan nada kurang mesra.
Suraya hanya mengganguk. Walaupun terasa hati dengan bicara Puan Hendon itu namun dia tetap menyabarkan hati. Insyaalah suatu hari nanti Allah akan menunjukkan jalan terbaik untuknya.
“ Jom sayang, kita ambil makanan,” kata Suraya sambil membawa Darius berlalu. Dia tahu kehadirannya di situ tidak disenangi oleh Puan Hendon tetapi dia berasa pelik juga kenapa Adam beria-ia mahu mengajaknya ke sini.
“ Itu isteri you ke?” Tanya William terus memandang Suraya tanpa lepas. Bagi William kecantikan Suraya itu tiada tandingannya. Dia berasa terpukau dengan kecantikan asli yang dianugerahkan Suraya itu. Kalaulah wanita itu belum dimiliki sudah lama dia akan cuba menakluki hati wanita jelita itu.
“ Ya, kenapa?” Tanya Adam tanpa riak.
Dia berasa malu apabila William mengutarakan pertanyaan begitu. Pastinya penampilan Suraya itu telah memalukan dirinya. William pasti mengatakan yang Adam ini begitu kolot kerana mendapat isteri yang begitu kolot.
“ Cantik. I tak sangka you mempunyai isteri secantik itu. Patutlah you kurung isteri you. You takut ada orang sambar ke?” Seloroh William.
“ Cantik..oh please…” Puan Hendon tiba-tiba bersuara. Dia berasa tercabar dengan pujian yang diberikan kepada Suraya. Baginya Suraya yang hina itu tidak layak menerima apa-apa pujian. Lagi pun selain dirinya tiada seorang pun perempuan yang layak di puji.
Wajah William kelihatan kaget dengan bicara Puan Hendon itu. Dari cara Puan Hendon itu dia dapat menghidu kekeruhan antara hubungan anak dan menantu itu. Akhirnya dia tersenyum lebar.
“ Cantik kalau bodoh apa gunanya? Langsung tidak memberikan manfaat buat I,” kali ini Adam pula merendahkan isterinya.
William hanya mengangkat keningnya. Dia berasa kasihan dengan Suraya yang mendapat suami yang tidak pandai menghargai kecantikan yang dimiliki olehnya.
“ Siapa kata dia tidak berguna?” Tanya William penuh muslihat.
Puan Hendon dan Adam saling berpandangan.
“ Maksud you?” Tanya Adam tepat memandang William.
“ Beginilah projek tender 1.2 billion untuk mengedarkan telefon bimbit terkini dari Jepun I serahkan kepada you tetapi dengan satu syarat.”
Keriangan terpancar di wajah Adam dan Puan Hendon. Tender yang selama ini memang mereka harap-harapkan akhirnya jatuh ke tangan mereka. Bagi Puan Hendon apa syarat sekali pun akan dikotakannya asalkan tender tersebut jatuh ke tangan mereka. Dengan kejayaan meraih tender besar ini akan membuatkan ahli lembaga pengarah lebih percaya kepada kemampuan Adam. Hanya tender ini yang bakal mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat. Apatah lagu Adam sering menggunakan wang syarikat untuk aktiviti sosialnya. Dia takut jikalau ahli lembaga pengarah dapat menghidu perkara tersebut. Pasti dia dan Adam akan di sumbat ke dalam penjara.
“ Apa syaratnya?” Tanya Puan Hendon tanpa sabar.
“ You serahkan isteri you kepada I,” kata William dengan senyuman lebar. Dia mengharapkan Adam menerima syaratnya itu. Dia begitu teringin meratah tubuh Suraya yang begitu mengiurkan. Dia benar-benar jatuh cinta pandang pertama kepada Suraya.
“ What?” Terjegil biji mata Adam apabila mendengarkannya.
Manakala Puan Hendon tersenyum lebar dengan syarat yang begitu remeh sekali. Nampaknya selepas mendapat tender ini kekayaan yang dimilikinya bakal bertambah lagi dan keyakinan ahli lembaga pengarah kepada kebolehan Adam akan meningkat naik.
“ Relaxla bro. Just for one night only.”
“ You gila? I tak pernah libatkan isteri I dalam business. Business is business. Tiada kaitan dengan isteri I. You ingat I jenis lelaki yang jual isteri?” Lantang sekali suara Adam. Kelakiannya tercabar apabila maruah isterinya bakal menjadi bahan dagangan.
William hanya tersenyum sumbing apabila Adam memarahinya sebegitu manakala Puan Hendon semakin tertekan dengan bicara Adam itu. Ternyata Adam masih menyayangi Suraya walaupun dia sering melayan Suraya bagaikan sampah. Patutlah selama ini apabila di desak supaya menceraikan Suraya anaknya itu sering menangguhkan niatnya. Dia tidak akan terus membiarkan perkara sebegini berlarutan.
“ Fikirlah. I hanya memberi tawaran. I don’t mind if you reject my offer. But think about the offer carefully.You tak akan hilang apa-apa malah you akan dapat kedua-duanya.”


“KAU ni memang bodoh Adam!” Marah Puan Hendon setelah William berlalu.
Adam mendenggus kasar dengan bicara ibunya itu. Kemelut hatinya tiada siapa yang faham. Malah dia berasa begitu hina sekali apabila William memberikan tawaran gila itu. Di mana maruahnya sebagai seorang suami? Suami yang menguasai segala-galanya ke atas Suraya.
“ Memang Adam bodoh! Walaupun Adam ini buaya dan mengamalkan seks bebas tapi Adam tak sanggup kongsi isteri dengan lelaki lain! Itu namanya dayus mak! Adam tak dayus!” Kata Adam lantang sekali.
Puan Hendon mendenggus. Geram dengan bicara Adam yang tidak pandai mengambil peluang keemasan.
“ Dayus ke kau ego Adam? Kenapa kau tak pandai nak rebut peluang keemasan ini?” Tanya Puan Hendon tenang sekali.
“ Tak kisahlah mak nak cakap apa. Tetapi bagi Adam, Adam tak akan sesekali berkongsi isteri dengan orang lain! Never!”
“ Siapa suruh kau kongsi isteri?”
“ Ah..kalau dah bagi William tidur dengan Suraya hanya satu malam tak ke itu dinamakan berkongsi? Lepas tu kalau Suraya mengandungkan anak si William tu macamana? Adam ke yang kena jadi pak sanggup mengaku anak itu anak Adam? Mak….hanya orang yang bodoh sahaja yang buat kerja gila ini!” Kata Adam panjang lebar.
Dia cukup tidak menyangka ibunya sanggup bersetuju dengan cadangan bodoh William itu. Adakah ibunya sudah hilang maruah dan pegangan? Memang benar tawaran yang ditawarkan William itu amat memberikan keuntungan yang besar kepada syarikat mereka tetapi syarat yang dikenakan William itu bukannya satu syarat yang boleh dibawa berunding. Selagi dia masih bernyawa perkara sebegitu tidak akan berlaku kepada keluarganya. Bukannya dia sayangkan Suraya tetapi jika dia menjual maruah Suraya ternyata dia adalah lelaki dayus. Lelaki yang boleh dipergunakan sesuka hati oleh William.
“ Mak pun tak inginlah nak suruh kau jadi pak sanggup nak bela anak orang putih itu!” Kata Puan Hendon.
“ Ahhh..habis tu kenapa mak nak suruh Adam bersetuju dengan syarat gila William tu?”
“ Selama ini Suraya itu tidak pernah ada gunanya kepada kau. Dia itu selalu dianggap biawak hidup kepada kau. Jadi apa salahnya kau gunakannya demi untuk kepentingan kau. Selepas kau dapat apa yang kau nak kau ceraikan dia!”
“ Maksud mak?”
“ Kau serahkan tubuh Suraya kepada William. Selepas itu kau ceraikan dia! Takkan kau nak simpan lagi perempuan kotor yang telah disentuh oleh William?” Puan Hendon merencanakan strategi.
“ Tapi…”
Adam berasa berat hati untuk melakukannya. Walaupun sudah tidak menyayangi Suraya tetapi dia berasa berat hati untuk memutuskan ikatan yang sudah terjalin.
“ Hei..tak kan kau masih sayangkan perempuan kampung itu?” Tanya Puan Hendon sambil membuntangkan matanya.
“ Bukan begitulah mak. Adam hanya rasa berat hati,” kata Adam berterus-terang dengan apa yang sedang dirasainya saat ini.
“ Come on Adam. Kau tahu tak kewangan syarikat sekarang sangat-sangat genting? Semuanya angkara kau yang suka menggunakan duit syarikat untuk berjoli. Kalau ahli lembaga pengarah tahu macamana? Kau nak masuk penjara ke? Lagi pun bunga bukannya sekuntum. Kau boleh cari perempuan yang sepuluh kali ganda lebih hebat daripada Suraya. Sekali kau petik jari sepuluh yang datang. Lebih-lebih lagi kalau kita mengaut keuntungan yang berganda dengan tender yang ditawarkan William itu tetapi kalau kau masuk penjara, Suraya pun lari tinggalkan kau. Kau nak ke semua itu berlaku pada kau?” Puan Hendon sudah meracuni fikiran Adam.
Dada Adam berdebar hebat. Tiba-tiba dia berasa takut sekali dengan cerita ibunya itu. Sungguh dia tidak mahu masuk ke dalam penjara.
“ Bagaimana pula dengan Darius?” Tanya Adam masih belum berpuas hati tetapi dia tiada pilihan lain.
“ Darius, mak akan buatkan dia menjadi seorang yang pendendam dan benci kepada ibunya,” kata Puan Hendon melakarkan senyumannya.
Senyuman yang penuh dendam dan api kemarahan. Dendam yang sudah lama dipendamnya. Akhirnya tidak lama lagi Suraya akan mendapat pembalasan yang setimpal dengan apa yang telah dia lakukan kepadanya suatu masa dahulu.

aku benci kau bab 8

“ Apa yang telah kau lakukan Adam?” Tanya Puan Hendon garang sekali. Dia bercekak pinggang kepada Adam yang kelihatan begitu tenang sekali.
Adam yang tenang mengangkat kakinya di atas meja sambil menyilangkan kedua belah kakinya.
“ Apa yang dah Adam buat?” Tanya Adam selamba.
Adam dan Puan Hendon tidak pernah sebulu sejak dari dahulu lagi. Ada sahaja perbuatan Adam yang menjadi kemarahan Puan Hendon. Kadang-kala Adam merasakan dirinya terlalu di kongkong oleh Puan Hendon.
“ Dah riuh satu pejabat berceritakan tentang kau!” Kata Puan Hendon.
Adam meletakkan kakinya semula ke lantai. Dia membetulkan duduknya lalu memandang Puan Hendon dengan seribu pertanyaan.
“ Tentang apa?” Tanya Adam tanpa sabar.
Puan Hendon mengeluh lemah. Dia berasa geram dengan sikap Adam yang sering menimbulkan masalah kepadanya. Kalaulah begini sikap Adam, bagaimana ahli lembaga pengarah akan bersetuju untuk melantik Adam sebagai CEO yang baru kelak?
“ Kau tak tahu lagi? Atau kau buat-buat tak tahu!” Marah Puan Hendon.
Adam menggelengkan kepalanya.
“ Adam tak tahu! Apa yang kecoh tentang Adam?”
Puan Hendon menjeling tajam.
“ Tu dah heboh satu pejabat menceritakan tentang perangai buruk kau yang suka pukul isteri! Apa nak jadi dengan kau, Adam! Kau tak tahu malu ke? Satu pejabat berceritakan tentang perangai kau! Mana mama nak letakkan muka mama ni?”
Adam mendenggus kasar.
“ Ini mesti kerja guard bodoh tu! Tak pe mak, Adam akan pecat dia! Baru padan muka dia mahu cari fasal dengan Adam lagi!”
Buntang biji mata Puan Hendon mendengarkan jalan penyelesaian yang diambil oleh Adam. Nampak benar anak lelakinya kurang matang dalam menangani masalah. Beginikah sikap seorang bakal pemimpin? Ah bolehkah Adam diharapkannya kelak?
“ Kau ingat dengan pecat dia boleh selesaikan masalah? Kau jangan jadi bodoh! Kalau kau buat begitu lagilah orang nampak yang kau tu bersalah!”
“ Alah biarlah mak. Apa yang nak ditakutkan sangat. Suka hati Adamlah nak pukul isteri Adam ke tak. Itu hal rumah tangga Adam apa yang mak nak ambil pusing. Sejak bila pula mak ambil berat dengan si Suraya tu? Bukankah mak terlalu benci dia sampai nak pandang muka dia pun mak tak nak! Ah bukankah mak kata semua perempuan tidak ubah seperti pelacur? Jadi suka hatilah Adam nak buat apa kat pelacur Adam.” Panjang benar hujah Adam kali ini untuk menyelamatkan dirinya.
Puan Hendon mendenggus kasar. Memang dia yang mengajar Adam tentang itu. Semuanya kerana dia benci dengan perempuan yang telah merampas suaminya suatu masa dahulu. Kalau boleh dia mahu bunuh semua perempuan di dalam dunia ini. Baginya semua perempuan hanya tahu merampas kebahagiannya.
“ Hei..kau ingat mak peduli tentang bini kau tu? Aku tak kisahlah kau nak pukul dia sampai mati ke tak. Yang aku kisah sekarang ni reputasi aku! Reputasi keluarga kita dan reputasi syarikat! Sebab kau reputasi kita sudah tercalar ! Sedikit sebanyak akan mengganggu perjalanan syarikat, kau tahu tak!!! Malah ahli lembaga pengarah yang lain akan pandang serong kepada keluarga kita. Kalau begini sikap kau, macamana mak nak lobi kau jadi CEO kelak? ” Marah Puan Hendon. Adam sememangnya cetek akal. Perkara semudah itu pun dia tidak mampu memikirkannya.
“ Ohhh ye ke? Tak kanlah sebab cerita remeh tu boleh effectsyarikat pula! Mak ni sengaja nak reka cerita!” Sangkal Adam.
“ Kalau kau sebagai salah seorang peneraju syarikat ini telah memberikan imej yang negatif pastinya para pelabur hilang kepercayaan kepada syarikat ini. Kau nak ke kalau semua pelabur menarik diri melabur di syarikat ini semata-mata kerana sikap tidak bertanggungjawab kau itu? Kau nak beri kerugian kepada syarikat? Kau nak semua ahli lembaga pengarah salahkan kita kalau syarikat ini rugi?” Puan Hendon berceramah panjang.
Adam mendenggus kasar. Tapi dia hanya berwajah selamba. Tidak langsung mengambil serius akan bicara ibunya itu.
“ Ah…mengarutlah,” kata Adam acuh tak acuh.
Bertambah geram Puan Hendon dengan bicara Adam itu. Berleter dengan Adam panjang lebar pun tiada gunanya. Buat habis air liurnya sahaja.
“ Mak nak kau ikut cakap mak,” kata Puan Hendon memberikan jalan penyelesaian kepada Adam. Begitulah selalunya. Kalau Adam yang membuat onar dialah yang selalunya akan menyelesaikan masalah tersebut. Ah bilalah Adam akan berubah?
“ Hah…inilah yang malas ni. Mak buat Adam macam budak kecil. Adam dah besar tak perlulah Adam ikut cakap mak lagi,” bantah Adam kurang berpuas hati.
“ Aghhh…mak tak kira. Kali ini mak nak kau ikut cakap mak. Mak mahu kau bawa Suraya pada majlis pelancaran telefon bimbit terbaru kita nanti,” Puan Hendon memberikan arahan.
“ What? Are you crazy? Sejak bila pula mak suka Adam bawa Suraya? Bukankah selama ini mak yang suruh Adam kurung dia dalam rumah?” Suara Adam kedengaran lantang.
Dia tidak suka dengan cadangan Puan Hendon itu. Kehadiran Suraya ke majlis rasmi syarikatnya kadang-kala akan merosakkan dan mencemarkan imejnya. Apatah lagi dengan penampilan Suraya yang bertudung litup yang bagaikan orang kampung itu cukup tidak sesuai apabila digandingkan dengan dirinya.
“ Siapa cakap aku sukakan dia? Mak lakukan semua ini hanyalah untuk kebaikan kau!”Kata Puan Hendon.
Tergelak besar Adam dengan bicara Puan Hendon itu.
“ Kebaikan atau mak nak memalukan Adam? Bukankah mak yang selalu sangat desak Adam ceraikan Suraya? Mak ni dah buang tebiat ke?”
Puan Hendon mendenggus kuat. Dia tidak menjangkakan dia dikurniakan anak lelaki yang begitu bengap sekali. Sakit hatinya dengan sikap Adam itu.
“ Kenapalah kau ni bengap sangat? Aku buat semua ini adalah untuk menunjukkan kepada semua orang yang hubungan kau dengan Suraya baik dan bukan seperti apa yang dikabarkan itu. Kau faham tak, tolol?”
“ Iskh mak ni, kenapa bahasakan Adam dengan panggilan tolol pula?” Kata Adam dengan nada merajuk. Dia berasa jauh hati dengan panggilan yang diberikan oleh ibunya itu.
“ Sebab kau tu bengap sangat. Sakit hati aku melayan karenah kau tu. Sepatutnya bila makin tua kau menyenangkan aku bukannya menyusahkan aku begini,” leter Puan Hendon panjang lebar.
Adam hanya mendengar leteran ibunya tanpa sedikit pun mengambil ikhtibar darinya.

aku benci kau bab 7

Sebaik sahaja Suraya membuka pintu, Adam telah menghadiahkan penangan maha kuat di pipi kiri Suraya. Suraya yang nyata terkejut dengan tindakan Adam itu hanya terkebil-kebil sambil memegang pipinya.
“ Kenapa ni bang?” Tanya Suraya dengan suara yang cukup perlahan. Hatinya di himpit sebak. Bukannya sapaan mesra atau ciuman sayang yang dihadiahkan Adam sebaik sahaja melihat wajahnya sebaliknya penangan yang telah menghancur remukkan hati dan perasaannya.
Mata Adam memandang tajam kepada Suraya dengan ekspresi wajah yang cukup mengerunkan.
“ Berani kau cerita pada guard bodoh tu??” Tengking Adam sambil menunjal jarinya di kepala Suraya.
Suraya tahu siapa guard bodoh yang dimaksudkan Adam itu kerana nama itu sudah sinonim diberikan Adam kepada Hakimah. Dada Suraya semakin berdebar apabila mendengar tuduhan Adam itu.
“ Ingat sini Suraya, kalau kau rasa diri kau hebat sangat, kau boleh ceritakan kepada guard bodoh itu tetapi kau akan mendapat balasannya kelak,” ugut Adam sambil menarik rambut Suraya dengan kejap.
Suraya mengaduh kesakitan. Tarikan daripada Adam itu bagaikan mahu tercabut rambutnya.
“ Abang, Su tak pernah ceritakan kepada sesiapa. Sumpah, Su tak pernah ceritakan kepada Hakimah,” nafi Suraya bersungguh-sungguh. Airmata sudah kering di kolam matanya. Dia sudah penat untuk menangis lagi dan dia tidak mahu di lihat lemah di hadapan Adam yang tidak pernah tahu menghargai dirinya.
Makin kuat tarikan Adam di rambut Suraya. Tercabar dirinya apabila Suraya berani menipu dirinya.
“ Kalau kau tak beritahu siapa yang beritahu dia pula? Atau kau nak katakan yang dia tu ahli nujum? Pandai meneka apa yang telah berlaku kepada kau?”
“ Manalah Su tahu abang. Kenapalah abang buat Su begini? Apa salah Su pada abang sampai abang sembahkan semua ini kepada Su?” Tanya Suraya.
Adam menolak kepala Suraya menyebabkan Suraya terjelopok jatuh ke lantai.
“ Kau tanya aku kenapa? Kau nak tahu kenapa? Baik aku beritahu kau sekarang. Sebab yang terutamanya adalah kerana kau tu perempuan! Perempuan bagi aku tidak ubah seperti seorang pelacur!” Kata Adam.
Tercalar hati Suraya apabila mendengarkannya. Ini bukanlah kali pertama dia mendengar ucapan tersebut tetapi hatinya tetap berjauh hati dengan bicara Adam itu. Adakah dia sehina itu di mata Adam? Patutlah Adam melayannya sebegitu buruk.
Tiba-tiba satu sepakan tepat mengenai perut Suraya membuatkan Suraya mengaduh kesakitan. Perutnya berasa begitu senak sekali. Jantungnya pula rasa bagaikan mahu tercabut.
‘ Kau ingat aku sayang sangat pada kau?” Tanya Adam sambil terus memijak perut Suraya.
Suraya mengaduh kesakitan sambil mengerekotkan badannya. Sakitnya hampir putus nyawa. Dadanya semakin sesak.
“ Mengucap abang. Su ni kan isteri abang. Sampai hati abang sanggup buat Su begini,” kata Suraya cuba menyedarkan suaminya walaupun dia tahu bicaranya ini akan mengundang kemarahan suaminya lagi.
Adam mendenggus geram. Rupa-rupanya Suraya masih belum sedar diri.
“ Bagi diri aku, kau isteri yang tiada nilainya. Nah rasakan lagi!”
Sekali lagi Adam memijak perut Suraya. Kali ini Suraya menjerit kuat dan dia mula rasa ingin muntah. Tetapi dia tetap kuatkan diri. Setitik pun airmata tidak mengalir dari matanya. Dia sudah lali dengan semua kejahatan yang dilakukan Adam terhadapnya dan tiada gunanya lagi untuk dia mengalirkan airmata.
“ Lepas ini kau ceritakan lagi kepada guard bodoh itu yang aku pijak kau begini.”
Adam terus memijak Suraya semahunya. Suraya hanya mampu menjerit meminta Adam memberhentikan semua siksaan yang sedang ditanggungnya. Dia begitu terseksa jiwa dan raga.
“ Papa, apa yang papa lakukan ini???”
Jeritan suara Darius membuatkan Adam yang sedang menyiksa Suraya memberhentikan siksaannya. Namun dia hanya berwajah selamba dan langsung tiada riak bersalah walaupun Darius telah menyaksikan segalanya.
“ Ahhhh..kau budak kecil jangan masuk campur urusan orang tua!” Kata Adam sambil di tolaknya kepala Darius yang kelihatan begitu terkejut sekali dengan apa yang sedang disaksikan tatkala ini.
Darius sedikit pun tidak memperdulikan bicara bapanya itu sebaliknya dia terus mendapatkan Suraya yang sedang mengerang kesakitan manakala Adam pula sudah berlalu tanpa ada perasaan malu kepada Darius yang telah menyaksikan perbuatan jahatnya itu.
“ Mama….kenapa jadi macam ni mama?” Tanya Darius sambil meriba kepala Suraya.
Walaupun Suraya sedang menahan kesakitan tetapi dia masih melakarkan senyuman kepada Darius. Dia tidak mahu Darius terlalu bimbang akan keadaannya itu. Dia juga tidak mahu Darius menanam perasaan benci kepada Adam. Biar jahat bagaimana pun Adam, dia tetap bapa kandung Darius. Dia tidak mahu Darius menjadi anak derhaka.
Suraya memegang pipi Darius.
“ Tak de apa-apalah sayang. Memang salah mama kerana mengundang kemarahan papa,” jawab Suraya cuba menutup kesalahan Adam. Ah betapa mulianya hati Suraya yang masih mahu membela suaminya yang tidak berguna itu.
Darius menggeleng tidak berpuas hati dengan bicara ibunya itu.
“ Tak kan sampai pukul mama begini! Papa memang sudah melampau!” Kata Darius.
Suraya menggeleng. Kemudian dia meletakkan jari telunjuknya ke mulut Darius.
“ Ini hal antara papa dan mama jadi mama harap Darius jangan salah sangka pada papa hanya kerana perbuatan papa hari ini.”
Kemudian Suraya membelai rambut Darius penuh kasih. Bisa akibat sepakan dari Adam bagaikan mencucuk-cucuk ulu hatinya. Namun dia masih berlagak biasa supaya Darius tidak bimbang.
“ Boleh Darius papah mama ke atas? Mama rasa macam nak bermanja dengan anak mama hari ini,” kata Suraya sedangkan kesakitan yang di tanggungnya ini membuatkan dia tidak berdaya untuk bangun.
Tiba-tiba airmata Darius yang di tahannya sejak dari tadi mengalir laju membasahi pipinya. Melihatkan keadaan ibunya yang tidak berdaya membuatkan Darius berasa begitu simpati sekali. Apa salah ibunya sehingga Adam sanggup memperlakukan Suraya sebegini. Tidak sayangkah Adam kepada Suraya lagi?
“ La…mama tak suruh anak mama menangis. Dariuskan hero mama. Hero mana boleh menangis,” pujuk Suraya sambil mengesat airmata di pipi anak lelakinya itu.
Darius juga turut mengesat airmata yang mengalir di pipinya tetapi makin di kesat makin laju airmata yang mengalir. Dia berasa begitu sakit hati seolah-olah kesakitan yang ditanggung ibunya itu dapat dirasainya.
“ Darius sedih….Darius sedih tengok mama begini,” kata Darius teresak-esak.
Melihatkan Darius begitu membuatkan Suraya makin sebak. Akhirnya airmata yang ditahan sejak dari tadi mengalir jua di hadapan Darius. Dia benar-benar tidak berdaya lagi untuk berpura-pura tabah dihadapan puteranya itu.
“ Mari peluk mama sayang…” kata Suraya dengan juraian airmata.
Tanpa menunggu sesaat Darius terus memeluk ibunya. Mereka bertangisan di situ agak lama. Apa yang sebenarnya telah terjadi kepada ibunya. Mengapa Adam sanggup memperlakukan Suraya sebegitu? Darius masih tertanya-tanya sendirian. Apa yang boleh Darius lakukan untuk menyelamatkan ibunya daripada mangsa siksaan papanya?
Oh mama….apa yang Darius boleh lakukan?