Friday, 10 July 2015

Lasernya Mulut Dia Bab 4

Keputusan mahkamah yang merobek hati Encik Amin sekeluarga. Keputusan yang membuatkan dia akan dipenjara. Sekaligus akan melontarkan dia ke lembah derita yang berpanjangan.
“ Sudahlah Ain, jangan menangis lagi,” kata Encik Amin menenangkan Puan Ainina yang sedang menangisi nasib malang suaminya.
“ Kenapa mereka begitu kejam sekali, abang?” luah Puan Ainina. Airmatanya mengalir laju. Sudah tidak tertanggung rasanya bebanan yang sedang dipikul keluarganya. Ya Allah, Kau berikanlah aku kekuatan untuk menempuhi dugaan berat ini.
“ Abang sudah agak dah. Datuk Razali tidak akan lepaskan abang begitu sahaja. Jangan putus asa, Ain. Peguam kita akan failkan kes ini ke mahkamah rayuan,” pujuk Encik Amin sambil memegang telapak tangan isterinya. Dadanya begitu sesak dengan keputusan mahkamah yang sudah dijangkanya. Di dalam hati dia mengeluh kesal. Sanggup mereka mempermainkan keluhuran perlembagaan negara. Tidak takutkah mereka dengan hukuman Allah?
“ Ain kesian kat abang. Ain kesian kat Rifqi,” kata Puan Ainina lagi. Ah penganiayaan ini benar-benar memberikan impak yang cukup besar kepada keluarga mereka. Bagaimana Amir Rifqi yang masih tidak mengerti apa-apa akan meneruskan hidupnya dengan tohmahan dan cacian daripada orang ramai?
“ Sebab tu abang harap Ain rahsiakan dulu apa yang telah terjadi kepada abang ni. Abang tak nak Rifqi tertekan. Sebab tu abang tak kasi Rifqi datang ke mahkamah hari ini. Banyak sangat perkara aib yang dilemparkan kepada abang. Abang tak sanggup biarkan Rifqi mendengar semua itu,” terang Encik Amin. Ah bagaimana pula dengan media massa? Dia tidak dapat menghalang anak tunggalnya untuk mendengar semua itu dari media massa! Ya Allah, betapa hinanya aku. Sewenang-wenangnya maruah aku dipermainkan oleh Datuk Razali.
“ Semenjak abang masuk lokap sampailah kes mahkamah ini dibicarakan, perangai Rifqi banyak berubah. Dia sudah tidak seceria dulu lagi. Ain kasihan melihat Rifqi,” luah Puan Ainina penuh kecewa.
Encik Amin hanya mampu mengeluh lemah. Dadanya sebak. Hatinya sakit. Fitnah ini benar-benar sudah memakan keluarganya dari dalam. Entah sampai bila mereka boleh bertahan dengan fitnah ini. Ya Allah, Kau tunjukkanlah kebenaran ini.
Tangan Puan Ainina yang berada di genggaman tangannya di ramas lembut. Lambat-lambat Puan Ainina mengangkat wajahnya untuk memandang suaminya. Jelas kelihatan kelopak mata Encik Amin berkaca menahan gelodak perasaannya. Sungguh hati Puan Ainina terhiris pilu. Dia rasa mahu menangis, menjerit dan meraung sekuat hati atas permainan jahat rakan sekerja suaminya itu.
Pantas sahaja tubuh suaminya dipeluk erat. Tangisannya berlagu hiba.
“ Ain benci mereka. Ain benci! Benci sebenci bencinya! Sampai mati pun Ain tak akan maafkan mereka,” kata Puan Ainina dalam tangisannya.
Encik Amin merapatkan pelukan antara mereka. Luluh hatinya mendengarkan luahan hati isterinya itu. Dia tahu betapa sengsaranya batin isterinya tatkala ini.
“ Ain, jangan begitu sayang,” kata Encik Amin. Sebak di hati semakin membuak. Airmata yang dipertahankan akhirnya melurut jatuh ke pipinya.
“ Sampai hati mereka menganiaya abang. Ain kesian kat abang. Ain kesian sangat-sangat kat abang,” kata Puan Ainina dalam tangisannya.
Dada Encik Amin begitu sakit sekali. Mengeletar tubuhnya kerana tidak tertanggung kesakitan batin yang sedang merantai dirinya. Ah, siapa sanggup hidup terpenjara sedangkan diri tidak pernah dikotori dengan dosa dan noda? Allah, kenapa keadilan tidak pernah tertegak buatku?
“ Sabarlah Ain. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini,” pujuk Encik Amin. Dia tidak mahu isterinya lemah semangat. Tidak dapat dibayangkan bagaimana kehidupan anak dan isterinya setelah dia dipenjarakan. Ah selaut kebimbangan tidak terperi buat isteri dan anaknya. Siapa yang akan menjaga mereka? Kenapa semua ini terjadi kepadaku Ya Allah? Isteriku sedang menderita penyakit maut!
“ Ain tak boleh bersabar, abang. Ain benci mereka. Kalau ikutkan hati Ain, mahu sahaja Ain bunuh mereka,” kata Puan Ainina geram. Setiap kali dia berkata, pastinya airmatanya semakin lebat berguguran. Sungguh perasaan yang mencengkam ini tidak tertanggung olehnya.
Pantas Encik Amin melepaskan pelukan antara mereka. Dia tidak boleh membiarkan isterinya mengikut perasaan laranya. Dia mahu isterinya kuat menempuhi hari-hari yang berlalu tanpa dirinya di sisi.
“ Ain, dengar sini sayang. Hanya orang yang berjiwa tauhid sahaja yang dapat memaafkan orang walau apa kesalahan yang dilakukan. Ain, selagi kita tidak memaafkan dosa orang lain, selagi itu Allah tidak akan ampunkan dosa kita. Jangan jadi seorang yang pendendam sayang,” pujuk Encik Amin dalam nada tersekat-sekat.
Puan Ainina menangis lagi. Bicara suaminya itu membuatkan hatinya tersentuh hebat. Ah, mulianya hatimu sayang, rintih Puan Ainina di dalam hatinya.
“ Janji dengan abang ya sayang. Jangan berdendam dan jangan ajar anak kita berdendam dengan apa yang telah berlaku kepada abang,” kata Encik Amin.
Puan Ainina hanya mampu mengangguk. Dalam kesayuan hati terus sahaja dia meraih tubuh Encik Amin dalam pelukannya. Allah, sungguh aku berbangga mendapat seorang suami semulia suamiku.
SEJAK kebelakangan ini Amir Rifqi tidak dapat menumpukan perhatiannya kepada pelajarannya. Perasaannya tertekan dengan masalah yang sedang menghambat keluarga mereka. Kalau boleh dia mahu ayahnya segera pulang ke pangkuan keluarga mereka. Namun dari hari ke hari kelibat ayahnya masih lagi tidak kunjung tiba sehingga kadang-kala dia berasa feed up untuk menunggu.
Lamunan Amir Rifqi terganggu apabila kelibat Puan Ainina yang baru pulang masuk ke dalam rumah. Wajah ibunya itu kelihatan begitu mendung sekali.
“ Mama,” panggil Amir Rifqi. Namun malangnya Puan Ainina tidak memperdulikan panggilan Amir Rifqi dan wanita itu terus berlalu ke bilik.
Amir Rifqi mengeluh sendirian. Pasti ada sesuatu yang buruk berlaku kepada ayahnya. Kalau tidak masakan ibunya berwajah mendung begitu. Pantas sahaja Amir Rifqi bangun menuju ke bilik ibunya.
Apabila pintu bilik ibunya di kuak, kedengaran Puan Ainina sedang membaca al-quran sambil menangis tersedu-sedu. Amir Rifqi semakin pelik. Pasti ada perkara yang buruk telah berlaku! Desis Amir Rifqi sendirian.
“ Mama,” panggil Amir Rifqi.
Puan Ainina yang sedang membaca al-quran memberhentikan bacaannya. Dia memandang kepada Amir Rifqi lalu dia mengamit anak tunggalnya untuk datang kepadanya.
“ Mama sakit ke?’ tanya Amir Rifqi sambil berjalan mendapatkan ibunya. Semenjak ayahnya dipenjarakan dia jarang mendengar ibunya mengadu tentang kesakitan yang sedang ditanggungnya tatkala ini. Mungkin juga masalah ayahnya itu membuatkan ibunya sudah tidak punya kesempatan untuk berfikir tentang penyakit mautnya. Di dalam hati Amir Rifqi merintih sendirian.
“ Mari duduk sebelah mama ni, sayang,” kata Puan Ainina, tidak menjawab pertanyaan anaknya itu. Baginya dia terpaksa melupakan sementara tentang penyakit mautnya itu. Masalah suaminya adalah yang paling utama dan perlu diselesaikan dahulu. Selagi dia boleh bertahan dia akan bertahan.
“ Ada perkara yang buruk berlaku kepada abah ke?” tanya Amir Rifqi dengan debaran di dada. Sikap ibunya benar-benar meruntun perasaannya.
Puan Ainina menggeleng. Dia tidak mahu anaknya tahu tentang hukuman yang telah dijatuhkan kepada suaminya itu. Dia tidak mahu berita ini akan terus menganggu emosinya.
“ Bila abah akan balik mama?” tanya Amir Rifqi. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh ibunya itu.
“ Sikit hari lagi sayang. Ada beberapa perkara yang polis mahukan maklumat dari abah,” terang Puan Ainina. Dia rasa mahu menjerit dan meraung sekuat hati kerana terpaksa membohongi permata hatinya itu. Maafkan mama, sayang.
“ Kenapa lama sangat? Mama kata abah di aniaya tapi kenapa lama sangat polis menahan abah?” tanya Amir Rifqi lagi.
“ Biasalah tu sayang. Itu prosedur polis. Jangan bimbanglah sayang. Polis tidak akan menahan orang yang tak bersalah,” kata Puan Ainina cuba melegakan tangkai hatinya. Dia menarik nafas dalam-dalam. Sungguh hatinya berasa begitu sakit sekali.
“ Jadi kenapa mama menangis?” tanya Amir Rifqi. Ada ragu pada penerangan ibunya itu. Seolah-oleh ibunya sedang menyembunyikan sesuatu kepadanya.
Puan Ainina cuba tersenyum. Namun apabila dia tersenyum, tanpa dipinta airmata kesedihan melurut jatuh ke pipinya. Sungguh perasaan ini cukup membebankan.
“ Mama baca surah Al-Imran ayat 135 hingga 136,” terang Puan Ainina sambil menyapu airmatanya.
Amir Rifqi mengerutkan keningnya. Dia memandang ibunya dengan penuh perasaan pelik.
“ Kenapa dengan ayat itu mama?” tanya Amir Rifqi. Masakan kerana membaca ayat itu ibunya boleh menangis tersedu-sedu.
“ Cuba Rifqi baca,” kata Puan Ainina sambil memberikan al-quran yang dipegagangnya kepada Amir Rifqi. Amir Rifqi mengambilnya lalu membacanya.
Dan (juga) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (segera) mengingati Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui.
Balasan bagi mereka ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan (itulah) sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.
“ Rifqi nampak tak betapa besarnya rahmat Allah dan pengampunan Allah kepada hambaNya?” tanya Puan Ainina setelah Amir Rifqi selesai membacanya.
Amir Rifqi hanya mengangguk. Namun dia masih tidak dapat memahami apa yang sedang dibicarakan oleh ibunya.
“ Jadi sayang, jangan berdendam. Jadilah orang yang sentiasa memaafkan,” kata Puan Ainina.
Amir Rifqi hanya menggangguk. Namun jauh di sudut hatinya dia merasakan ada sesuatu yang masih di simpan oleh ibunya. Sesuatu yang telah meruntuh hati ibunya.
“ Abah ok ke?” tanya Amir Rifqi lagi.
Puan Ainina meraih Amir Rifqi ke dalam pelukannya. Airmatanya semakin laju mengalir di pipi.
“ Abah nak mama ajar anak mama menjadi orang yang memaafkan orang lain. Bukan pendendam,” kata Puan Ainina. Di hujung bicaranya dia terus menangis teresak-esak. Ah betapa beratnya dugaan yang sedang di tanggung suaminya tatkala ini.

Lasernya Mulut Dia Bab 3

Bermula pada hari ayahnya di tangkap polis telah merubah kehidupan Amir Rifqi seratus peratus. Tiada lagi erti bahagia dalam kehidupan mereka sekeluarga. Semuanya hanyalah derita yang tidak kesudahan.
“ Rifqi anak banduan! Rifqi anak banduan!!”
Amir Rifqi menyabarkan hatinya dengan ejekan dari Firdaus, teman sepermainannya. Ejekan yang sebenarnya sudah menjadi halwa telinganya.
“ Woi anak banduan, kau buat apa di sini? Nak datang mencuri macam bapa kau?”
Amir Rifqi mengeluh geram. Bicara Firdaus benar-benar menguris hati dan perasaannnya. Namun dia cuba bersabar.
“ Aku nak pergi kedai la,” kata Amir Rifqi mendatar. Bukan dia sengaja mahu melalui kawasan ini tetapi hanya jalan ini sahaja yang boleh dilaluinya untuk ke kedai yang terdekat.
“ Mesti nak pergi mencurilah tu! Anak banduan katakan,” ejek Firdaus lagi.
Ah dia benci dengan perkataan banduan itu. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa terlukanya hatinya dengan cacian itu.
“ Abah aku tak mencurilah!” marah Amir Rifqi. Dia sebenarnya sudah penat dengan ejekan daripada teman-temannya yang tidak pernah mengerti kesengsaraan batin yang terpaksa ditanggungnya ini.
“ Eh takkan kau dah lupa? Abah kau sekarang di penjara. Kena hukum sebab rasuah. Iskh kalau aku jadi kau mesti aku malu dapat ayah seperti kau,” ejek Firdaus.
“ Abah aku orang baiklah. Mama aku kata abah aku ditahan sebab nak bantu siasatan polis sahaja. Nanti keluarlah dia,” kata Amir Rifqi dengan nafas tertahan-tahan. Dia mahu membela ayahnya. Tidak akan sesekali dia membiarkan maruah ayahnya dipijak sesuka hati oleh orang lain!
“ Abah kau orang jahat!”
Ya Allah, hancurnya hati Amir Rifqi. Kesedihanku masih belum surut lagi, kini ditambah lagi dengan ejekan dan cacian teman-temannya. Ejeklah aku! Ejeklah sepuas-puasnya. Aku memang suka di ejek dan di cerca. Di dalam hati Amir Rifqi terus merintih.
“ Mak aku cakap abah kau ada hubungan songsang. Eii teruknya.”
“ Jaga sikit mulut kau!”
Sungguh hati ini sudah tidak mampu untuk bersabar lagi. Firdaus memang sudah melampau! Mahu sahaja airmata Amir Rifqi mengalir namun dia menahan. Dia tidak mahu Firdaus menganggap dirinya lemah. Dia sedar siapa dirinya.
“ Rifqi anak banduan! Rifqi anak banduan!” ejek Firdaus tanpa sedikit pun mahu menyelami hati Amir Rifqi yang sedang tersiksa.
“ Aku cakap diam!” kata Amir Rifqi.
“ Rifqi anak banduan! Rifqi anak banduan!”
Ejekan Firdaus itu terus sahaja dihadiahi dengan satu tumbukan yang maha hebat di pipinya. Ya Firdaus memang layak mendapat tumbukan itu. Biar dia rasa betapa sakitnya hatinya tatkala ini.
“ Kurang ajar!” kata Firdaus. Kemudian Firdaus terus menerpa ke arah Amir Rifqi. Tubuh Amir Rifqi jatuh ke tanah dan berlakulah pergelutan antara mereka.
“ Eh Rifqi, kenapa kau pukul anak aku? Oh kau nak masuk penjara macam bapa kau juga?” marah Mak Cik Imah yang tiba-tiba datang untuk meleraikan pergelutan antara mereka.
“ Bukan saya yang mulakan.” Amir Rifqi cuba membela diri. Dia mengharapkan Mak Cik Imah dapat memahami perasaannya tatkala ini.
Firdaus sudah bangun dan berlari bersembunyi di belakang punggung ibunya. Sempat Amir Rifqi mengerling ke arah Firdaus yang tersenyum sinis di balik punggung Mak Cik Imah yang menyergahnya.
“ Sudah! Memang dasar anak penjenayah!” kata Mak Cik Imah. Matanya tajam merenung Amir Rifqi.
Amir Rifqi yang masih terduduk di tanah hanya mampu menundukkan wajahnya. Rasa marah, tidak adil, tidak puas hati bercampur aduk di dalam hatinya.
“ Ingat ya, kalau kau usik anak aku lagi, aku akan report polis. Biar kau dengan bapa kau sama-sama merengkok dalam penjara!” Mak Cik Imah terus memberi amaran keras sambil jari telunjuk kanannya di gegar-gegarkan ke muka Amir Rifqi. Firdaus masih tersenyum sinis. Puas dia melihat Amir Rifqi kena marah.
Ah pedihnya. Amir Rifqi gagahkan diri untuk bangun. Sebenarnya badannya begitu sakit akibat pukulan Firdaus tetapi dia sudah tidak betah berada lama di situ. Ada tangisan yang sudah mula ingin pecah. Hinanya menjadi anak banduan. Ya Allah, Kau tabahkanlah hatiku. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya tatkala itu.
Amir Rifqi berlari pulang ke rumah. Sampai sahaja di rumah, terus sahaja dia masuk ke dalam bilik. Pintu bilik dihempasnya sekuat hati. Biar terkopak terus! Geram benar rasa hatinya. Airmatanya sudah tidak tertahan terus sahaja Amir Rifqi menangis. Hatinya benar-benar terluka. Ya Allah, sakitnya. Sakitnya!
“ Rifqi, buka pintu ni nak. Mama nak cakap sikit.”
Dari luar kedengaran suara Puan Ainina. Suaranya sentiasa lembut. Sememangnya begitulah Puan Ainina yang Amir Rifqi kenali. Lemah lembut dan penyayang.
“ Rifqi, bukalah sayang,” rayu Puan Ainina lagi setelah Amir Rifqi membatukan dirinya. Kelihatan tombol pintunya bergerak tanda Puan Ainina cuba membukanya dari luar.
Amir Rifqi melangkah malas menuju ke pintu. Dia memulas tombol sekadar melepaskan kuncinya. Kemudian Amir Rifqi kembali semula ke katil.
Puan Ainina hanya mampu mengeluh lemah dengan sikap anak tunggalnya itu. Dengan lemah, Puan Ainina membuka pintu bilik lalu melabuhkan punggungnya di sisi Amir Rifqi yang sedang terbaring di atas katil. Perlahan-lahan dia mengusap rambut anak tunggalnya itu.
Amir Rifqi memalingkan wajahnya di dinding. Hatinya masih panas dengan apa yang berlaku.
“ Kenapa orang sanggup menganiaya abah, mama?”
“ Sabarlah Rifqi,” kata Puan Ainina cuba menenangkan hati anaknya. Kasihan anaknya. Masih terlalu kecil tetapi sudah di uji dengan dugaan yang memeritkan.
“ Rifqi benci! Rifqi benci semua ini!” marah Amir Rifqi.
“ Kenapa ni sayang? Firdaus ejek Rifqi lagi ke?” tanya Puan Ainina yang sudah masak dengan perangai anaknya. Kalau Amir Rifqi tidak diejek masakan anaknya itu akan berperangai sebegitu. Di dalam hati dia terus merintih pilu. Kasihan Amir Rifqi.
“ Dahlah tu Rifqi. Jangan di layan sangat perangai Firdaus tu,” pujuk Puan Ainina sambil menggosok belakang tubuh Amir Rifqi.
“ Bukan sehari, bukan seminggu dia kutuk Rifqi. Sudah berbulan mama. Semenjak abah dipenjarakan. Rifqi tak tau apa dosa Rifqi pada dia sampai begini dia buat pada Rifqi,” adu Amir Rifqi. Nafas Amir Rifqi terhenti seketika. Dadanya sebak.
“ Rifqi dah tak sabar lagi mama. Rifqi dah tak sanggup tanggung semua ini. Rifqi dah tak tahan nak bersemuka dengan dia,” luah Amir Rifqi lagi.
Sayu hati Puan Ainina mendengarkan luahan hati anak tunggalnya itu. Matanya sudah merah menahan kesebakan hati. Namun seboleh mungkin dia cuba bertahan daripada airmatanya melurut jatuh. Dia tahu dia perlu berpura-pura kuat di hadapan anak kesayangannya ini.
“ Sudahlah tu sayang. Mama yakin lama kelamaan Firdaus akan berhenti mengejek Rifqi. Biarkan dia. Nanti dia penatlah. Kalau Rifqi layan dia lagi sukalah dia mengejek Rifqi. Yang penting sayang mama ni kena banyak bersabar,” pujuk Puan Ainina.
“ Sampai bila mama? Sampai bila-bila?” tanya Amir Rifqi, tidak puas hati dengan jawapan ibunya itu.
Hati Puan Ainina tersentuh dalam mendengarkan pertanyaan anak tunggalnya itu. Dia tahu Amir Rifqi sudah tidak tertanggung lagi dengan ujian berat ini.
“ Rifqi sedar mama. Rifqi sudah menjadi alat untuk ditertawakan, di ejek dan di hina sesuka hati mereka. Rifqi sedar siapa Rifqi. Anak banduan yang hina di mata masyarakat. Tapi Rifqi juga ada perasaan. Rifqi sedih, sedih sangat apabila mereka menghina dan mengejek Rifqi,” luah Amir Rifqi. Dia menangis semahu-mahunya.
Sungguh hati Puan Ainina begitu sedih dan pilu apabila mendengarkan luahan hati Amir Rifqi itu. Pantas tubuh anak remajanya itu diraihnya ke dalam dakapannya. Anakku, kenapalah nasib kau macam ni?

Lasernya Mulut Dia Bab 2

DETIK itu, hari itu, masa itu, segalanya masih segar di ingatannya. Peristiwa yang tidak mampu di kambus dalam memorinya. Peristiwa yang mengubah seratus peratus corak kehidupannya.
“ Kenapa polis datang rumah kita, mama?”
Bertubi-tubi soalan itu di ajukan kepada Puan Ainina. Namun soalan itu hanya dibiarkan tanpa jawapan membuatkan Amir Rifqi tertanya sendirian. Dadanya berdebar hebat. Takutnya hanya Allah sahaja yang tahu.
Yang lebih menyayat hati apabila seorang anggota polis menuju ke arah ayahnya lalu menggari kedua belah tangan ayahnya. Ya Allah, luluhnya hati ini. Hancurnya hati ini apabila melihatkan ayahnya di gari sebegitu persis seorang penjenayah besar.
“ Mama, kenapa polis gari tangan abah?” tanya Amir Rifqi panik. Dia pandang ke arah Puan Ainina. Namun tiada jawapan yang terlontar. Wajah itu sudah basah dengan airmata. Tetapi kenapa? Di pandang pula kepada Encik Amin.
“ Abah, kenapa ni?”
Encik Amin hanya mampu menggeleng dan menunduk. Amir Rifqi tahu pastinya ayahnya malu dengannya. Ah mengapa anggota polis tidak mahu menjaga airmuka ayahnya? Ya Allah, apakah kesalahan yang telah dilakukan ayahku sehingga dia di gari sebegitu?
Amir Rifqi terus memberi tumpuan kepada Encik Amin. Alangkah sukarnya saat itu. Pada pipinya jelas kelihatan airmata berjuraian jatuh. Tidak pernah sepanjang keremajaannya dia melihat bapa yang menjadi tunjang keluarganya menangis di hadapannya. Adakah kali ini merupakan kali pertama dan terakhir dia melihat ayahnya menangis? Hati Amir Rifqi merintih berat. Sungguh dia tidak sanggup melihat airmata yang jatuh di pipi ayahnya yang tercinta.
“ Abah?” panggil Amir Rifqi.
Encik Amin menggelengkan kepalanya. Perasaannya sungguh tertekan. Ah apakah yang harus dibicarakan kepada anak tunggalnya ini? Bolehkah anaknya memahami situasinya? Ya Allah, kenapa berat sangat ujian yang Kau berikan kepadaku?
Pada saat ini, ketika airmata mengalir laju di pipinya dan kesakitan batin yang tidak mampu dibayangkan dengan kata-kata, dengan isyarat longlai, Encik Amin meminta Amir Rifqi datang kepadanya. Ya dia mahu memeluk anaknya selagi dia berpeluang untuk memeluknya. Entah esok atau lusa dia masih diberi peluang ini atau tidak. Atau dia terus terkurung di dalam geriji besi selamanya.
Pantas sahaja Amir Rifqi mendapatkan ayahnya. Sungguh dia ingin mendapatkan ayahnya lebih daripada segalanya. Dia tidak sanggup berpisah dengannya. Mereka terus berdakapan seakan tidak mahu berpisah.
“ Tolong jaga mama elok-elok. Mama sakit. Jangan buat mama susah hati. Abah sudah tiada, jadi Rifqi perlu ambil tugas menjaga keluarga sekarang,” kata Encik Amin dalam sebak yang mencengkam jiwa. Perasaannya terus tertekan. Hatinya terus merintih.
Amir Rifqi menggeleng. Sungguh dia tidak mengerti dengan bicara ayahnya itu. Ya Allah, kenapa keluargaku di uji sebegini?
“ Abah nak pergi mana?” tanya Amir Rifqi.
Ah, pastinya abah akan di bawa pergi oleh anggota polis itu. Tetapi kenapa? Apakah kesalahan yang telah dilakukannya?
Ya Allah, ampunilah segala dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Dan rahmatilah keduanya seperti mana mereka mendidikku dari kecil hinggalah dewasa.
“ Abah tak bersalah sayang. Abah dianiaya,” kata Encik Amin. Kemudian dia mencium ubun rambut Amir Rifqi. Dan tatkala ciuman berderai, tubuh Encik Amin terus di heret oleh anggota polis.
Amir Rifqi terpaku. Hatinya tersiat dalam. Tidak sanggup dia menyaksikan keadaan itu. Ayahnya dibawa pergi persis seorang penjenayah besar.
“ Abah, abah, jangan tinggalkan Rifqi,” jerit Amir Rifqi.
Namun jeritan Amir Rifqi itu langsung tidak dipedulikan oleh anggota polis tersebut. Mereka terus membawa Encik Amin menuju ke kereta polis yang diparkir di hadapan rumah. Sampai sahaja di hadapan kereta, tubuh Encik Amin terus ditolak masuk ke dalam kereta.
Ya Allah, sakitnya hati ini. Pedihnya. Seorang bapa yang menjadi tunjang kepada sebuah keluarga di bawa pergi dalam keadaan aib begini. Tidak! Tidak! Ayahku bukan seorang penjenayah! Tak mungkin! Hatinya terus menafikan apa yang sedang dilihatnya.
“ Abang! abang!”
Kali ini barulah Amir Rifqi sedar akan kehadiran ibunya di sisi. Ibu yang banyak menyepi sejak dari tadi. Airmata semakin laju mengalir di pipi. Pantas tubuh Puan Ainina dipeluknya erat.
“ Ya Allah, kenapa Kau uji keluarga ku seberat ini?” rintih Puan Ainina dalam dakapan Amir Rifqi.

Lasernya Mulut Dia Bab 1

Kudin yang sedang memandu mengintai kelibat Tan Sri Hasan di balik cermin pandang belakang. Kelihatan Tan Sri Hasan sedang termenung panjang. Kudin perasan dengan sikap Tan Sri Hasan yang asyik termenung sejak kebelakangan ini.
“ Termenung panjang, Tan Sri,” tegur Kudin, pembantu peribadi setia Tan Sri Hasan sejak 15 tahun lalu.
Tan Sri Hasan mendenggus lemah. Selemah hatinya tatkala ini.
“ Akhir-akhir ini saya asyik teringatkan arwah Amin,” luah Tan Sri Hasan tanpa berselindung lagi. Kudin sememangnya mengenali Amin dan mengetahui tentang kisah Amin.
“ Perkara yang sudah lepas tu biarlah berlalu,” kata Kudin.
“ Apa yang telah saya lakukan dahulu tidak boleh ditebus dengan apa-apa pun. Saya menyesal,” kata Tan Sri Hasan.
“ Kalaulah saya tidak tamakkan harta dunia dahulu, pasti semua ini tidak akan terjadi,” luah Tan Sri Hasan lagi. Suaranya kedengaran serak. Dia hampir menitiskan airmatanya. Penyesalan yang ditanggungnya ini begitu dalam sehingga telah memakan dirinya sendiri.
“ Tan Sri, jangan terlalu fikirkan sangat. Tan Sri tu kan sakit. Nanti penyakit Tan Sri bertambah teruk,” nasihat Kudin.
“ Kalau saya mati kelak, macamana saya nak berjawab dengan Allah,” keluh Tan Sri Hasan.
Kudin terdiam. Sedih hatinya apabila mendengarkan bicara Tan Sri Hasan itu. Dia faham bebanan perasaan yang ditanggung oleh Tan Sri Hasan.
“ Tan Sri ada mencari keluarga arwah Amin?” Tanya Kudin.
Tan Sri Hasan mengeluh. Keluhan yang mengambarkan betapa tersiksanya batin Tan Sri Hasan tatkala ini.
“ Saya tak berani nak mencari mereka. Saya tak berani untuk berhadapan dengan dosa saya,” kata Tan Sri Hasan lemah. Pandangannya ditebarkan kepada jalan raya yang lengang. Matanya berlinangan dengan jernihan airmata. Perasaan yang mencengkam ini telah membunuh nikmat kehidupannya.
Kudin juga turut mengeluh. Dia bagaikan dapat menyelami kesakitan yang sedang ditanggung Tan Sri Hasan tatkala ini.
“ Beginilah Tan Sri. Biar saya cari mereka,” cadang Kudin.
Tan Sri Hasan yang sedang membuang pandang di luar terus sahaja memberikan tumpuan kepada Kudin yang setia dengan pemanduannya.
“ Buat apa?” tanya Tan Sri Hasan tidak mengerti. Ada ketakutan yang mula bergayut di hatinya tatkala ini. Bagaimana jika keluarga arwah Amin tidak mahu memaafkannya? Tan Sri Hasan mengeluh lemah. Dia sudah tidak termampu untuk berfikir jauh lagi tentang keluarga arwah Amin.
“ La Tan Sri boleh tanya lagi? Mestilah untuk meminta maaf. Daripada Tan Sri asyik menghukum diri Tan Sri begini, lebih baik Tan Sri berjumpa dengan mereka dan memohon maaf,” ujar Kudin panjang lebar.
“ Mahukah mereka memaafkan saya? Saya ni banyak berdosa kepada mereka. Saya tak layak dimaafkan,” kata Tan Sri Hasan terus tertunduk menyesali diri dan menghukum hati atas apa yang sudah berlaku.
“ Insyalah Tan Sri, kita cuba dulu. Yang penting kita kena cari keluarga arwah dulu,” kata Kudin.
Tan Sri Hasan mengangguk. Hatinya terhiris pilu. Hampir sepuluh tahun dia menanggung perasaan ini sendirian. Tiba-tiba airmatanya mengalir laju. Perasaan sebaknya tidak dapat dibendung lagi.
“ Kudin, tolong saya. Tolong cari mereka. Saya sebenarnya sudah tidak sanggup lagi hidup dalam perasaan ini. Saya sudah tidak sanggup,” luah Tan Sri Hasan, pilu. Ya Allah, berikanlah sedikit ketenangan untukku kali ini. Ia sudah lama tidak ku kecapi.
Luluh hati Kudin apabila mendengarkan bicara tersebut.
“ Insyalah, saya cuba Tan Sri,” ujar Kudin, lemah.

Sinopsis Lasernya Mulut Dia

Kerana kesilapan lampau membuatkan Tan Sri Hasan hidup dalam penyesalan. Kerana kesilapan lampau juga menyebabkan Tan Sri Hasan meminang Amir Rifqi untuk anak gadisnya Ayris Imani. Amir Rifqi terkedu menerima pinangan itu. Apatah lagi dia tidak dapat menerima Lady bosnya yang berwajah ketat, kasar, cakap seperti tertelan speaker, macam singa betina itu akan dijadikan isterinya. Bimbang takut dia pula menjadi isteri bukannya suami! Tidak sangka rupa-rupanya mimpi ngerinya menjadi kenyataan apabila dia akhirnya berkahwin juga dengan lady bosnya itu. Namun baru sahaja dia mahu mengecapi bulan madu kisah lampau mula tersingkap kembali. Lalu bulan madunya menjadi racun. Amir Rifqi mendendami Tan Sri Hasan. Dia juga membenci Ayris Imani. Bagaimanakah kehidupan Ayris Imani setelah dibenci oleh suaminya sendiri? Bolehkah Tan Sri Hasan mendapat pengampunan daripada Amir Rifqi?

REVIEW LASERNYA MULUT DIA

perghhhhhh.... x sangka.. bila pegang buku nie ngan niat nak baca. dah expect dah, mesti ada part banyak gaduh2 mulut. tp x sangka, ayaq mata sendri yg kita sedekahkan... huhuhuhu... part awal2 depa gaduh2 tue mmg comel. dan dan plak ngan amir rifqi beri salam ngan marabbuka.. mmg gelak dekah2 sambil baca sorang2.. belum laie part2 hati perasaan. seyesly byk info sharing dlm nie. buka mata buka minda. 

tapi, bila that time dah tiba, perghhh.. sakit hati, sebak jiwa. nanges la nanges la nangesla.. dah jatuh ditimpa tangga pastu hempap plak pasu bunga.. camtu la diibaratkan kehidupan ayris... sedih kot. baca part2 perasaan ayris buat diri nanges teresak2.. kesiannya ayris.

sib baek peluang kedua tue selalu ada. i believe in second chance. do you?

Lasernya Mulut DIa

REVIEW DARI SALAH SEORANG PEMBACA
ni karya pertama penulis yg sy bc....mula2 x bli ms kt pbakl 2015 hr tu....tp bl ada 2,3 org frens yg bgtau bk ni best, trs sy mtk kwn blikan....di awal cerita pun dh bt sy menangis....then kemudian bt sy gelak dgn gelagat rifki dan iman....rs bahagia bl mereka bersatu menjd suami isteri...
namun bahagia yg di harapkn sehingga ke jannah, retak apb datuk razali dtg membt onar dgn membingkar kisah di seblk kematian ayah rifki dan aib yg menimpa rifki sekeluarga 15 thn yg lalu.....krn dendam yg msh berbekas di hati, rifki nekad menghancurkan hati seorg isteri....syg nya pd si isteri msh ada, namun dendam pd pak mentua melebihi rs syg itu....perceraian berlaku, dan ayah iman meninggal kerana perceraian itu......lebih menyedihkan x lama selepas diceraikan, iman disahkan mengidap penyakit kronik dan disahkan hanya mampu hidup ant 3-6 bln shj.....sudah jatuh ditimpa tangga...itu lah yg berlaku pd iman.....di saat2 iman menemui penciptaNya, dia ingin sekali rifki berada di sisinya....dpt kah impian iman itu tercapai sedangkan ant dia dan rifki tiada lagi ikatan.....dan dendam di hati rifki itu mampukah diusir pergi??? dpt kah rifki membahagiakan iman bt terakhir kalinya??????