Saturday 14 May 2016

DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 17

Mata Harith Mishka tidak berkelip memandang sesusuk tubuh di hadapannya. Benarkah apa yang sedang terpampang di hadapan matanya tatkala ini? Anggun Danisha sedang memakai baju kurung dan bertudung litup? Ish mesti semua ini hanya mimpi! Bukankah minah saleh celup itu lebih banyak memakai pakaian ala-ala baratnya. Malah kehidupannya lebih mirip kepada orang barat! Tidak mungkin dengan sekelip mata Anggun Danisha berubah sedrastik itu!
Pantas Harith Mishka menampar pipinya. Dia cuba menyedarkan dirinya. Namun kesakitan yang dirasainya tatkala dia menampar pipinya menyebabkan Harith Mishka sedar yang dia sedang berada di alam realiti. Malah wajah Anggun Danisha yang ayu berbaju kurung dan bertudung litup itu masih berada di hadapannya.
Buat seketika Harith Mishka seolah-olah sedang terpesona dengan apa yang terpampang di matanya tatkala ini. Tiada cacat cela pada wajah itu. Memang dia mengakui Anggun Danisha mempunyai paras wajah yang cukup ayu sekali. Hidung yang terletak, bibir merah bak saga. Di tambah dengan lesung pipit menghiasi kedua-dua pipinya melengkapkan kesempurnaan pada wajah itu. Buat pertama kalinya dada Harith Mishka bergetar buat seorang wanita. Perasaan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Perasaan yang indah dan cukup membahagiakan.
"Ta ra...cantik tak I hari ini?" tanya Anggun Danisha sambil berposing maut di hadapan Harith Mishka. Tidak segan Anggun Danisha berpusing sebegitu. Manakala Harith Mishka sudah menelan liur. Al maklumlah mana pernah ada perempuan yang berani berposing maut sebegitu. Hampir sahaja tersungkur imannya apabila melihat aksi sebegitu.
"Kau ni nak buat apa? Kau nak aku seret kau masuk bilik ke?" tanya Harith Mishka sambil sengaja menseriuskan wajahnya. Dia cuba menstabilkan perasaan tidak menentunya. Sudah tidak tentu arah dibuatnya.
"What?" tanya Anggun Danisha sambil mengerutkan keningnya. Sungguh dia tidak faham  dengan bicara lelaki itu. Dipandang pada baju kurung yang melekap di badannya. Rasanya sempurna sahaja baju yang dibawa dari Finland itu.
"What was I did wrong?" tanya Anggun Danisha lagi. Dia terus memerhatikan riak serius Harith Mishka.
Harith Mishka mendenggus geram. Dia tidak tahu sama ada gadis di hadapannya sengaja buat-buat tidak tahu ataupun dia sememangnya tidak tahu?
"Yang kau tiba-tiba goda aku tu apasal?" tanya Harith Mishka.
Anggun Danisha segera menegakkan tubuhnya. Sungguh dia tidak menyangka hanya gayanya sebegitu boleh diistilahkan sebagai menggoda bagi lelaki di Malaysia! Kolotnya!
"Macam tu dah tergoda ke?" tanya Anggun Danisha tanpa ada riak bersalah."I bukannya pakai seksi pun! Siap bertudung litup lagi you boleh tergoda," tambah Anggun Danisha lagi. Dia sengaja mengusik Harith Mishka.
"Cubalah kau buat lagi! Nanti kau tahulah nasib kau," kata Harith Mishka sambil membeliakkan matanya.
"Tadi bercakap macam ustaz tapi rupa-rupanya iman tak de lah kuat mana," usik Anggun Danisha sambil terus berlalu ke kereta.
Harith Mishka mendenggus geram. Hatinya tiba-tiba terasa begitu panas dengan perlian Anggun Danisha itu. Ah perempuan ini memang sengaja mencari fasal dengannya!
"Yang kau masuk dalam kereta aku tu kenapa?" tanya Harith Mishka. Dia terus masuk ke dalam keretanya. Wajah Anggun Danisha yang duduk di tempat duduk di sebelahnya dijelingnya geram. Sungguh dia tidak suka dengan sikap selamba Anggun Danisha. Sesuka hatinya sahaja mahu masuk ke dalam keretanya tanpa mendapat kebenarannya terlebih dahulu!
Anggun Danisha hanya beriak selamba. Malah sengaja dia melebarkan senyuman untuk menambahkan perasaan sakit hati lelaki yang berada di sebelahnya itu.
"Nak jalan-jalan," kata Anggun Danisha. Dia sengaja berkata begitu untuk menyakitkan lagi hati Harith Mishka. Dia mahu tengok setakat mana lelaki itu boleh bertahan dengan ragamnya.
"Jalan-jalan?" tanya Harith Mishka sambil membeliakkan matanya. Wajah Anggun Danisha ditenungnya serius. Namun hatinya bertambah sakit apabila gadis itu hanya berwajah selamba. "Ada aku ajak kau pergi jalan-jalan?" tambah Harith Mishka.
"Memang you tak ajak I tapi I ajak you," kata Anggun Danisha.
Harith Mishka mendenggus geram. Bibirnya diketap rapat. Cuba menahan dirinya daripada terus memaki hamun gadis di sebelahnya. Nafasnya sudah turun naik. Perasaan indah yang merantai hatinya sebentar tadi sudah hilang entah ke mana. Ah dia sememangnya sudah gila kerana boleh ada perasaan begitu dengan gadis seperti ini.
"Kau ingat aku tak de kerja ke? Lebih baik kau turun sekarang sebelum aku tarik kau keluar," kata Harith Mishka dengan kasar.
Anggun Danisha hanya mengangkat tanda peace kepada lelaki itu sambil melebarkan senyumannya. Tiada tanda-tanda untuk dia keluar dari kereta lelaki itu. Malah wajah garang Harith Mishka tidak menakutkan dirinya.
"You ni garang sangat sebab itulah sampai sekarang you tak ada girlfriend. Cuba cool sikit," kata Anggun Danisha dengan lembut. Dia sengaja melemparkan senyuman lebar. Biar lelaki itu terus terbakar dengan reaksinya itu.
"Apa yang kau nak sebenarnya?" tanya Harith Mishka dengan garang. Sungguh dia tidak mampu bersabar dengan Anggun Danisha. Sudahlah pandai-pandai sahaja gadis itu mengatakan yang dia tiada teman wanita! Dia ingat aku ni tak laku sangat ke? Dia tidak tahukah muka aku yang handsome ni telah mencairkan hati ramai wanita?
"I nak tumpang you. I nak jumpa my sweetheart," terang Anggun Danisha.
"Tumpang?" tanya Harith Mishka sambil merenggus geram. Geram benar dia dengan sikap Anggun Danisha yang sesuka hatinya sahaja membuat keputusan tanpa berbincang dengannya.
"Alah you bekerja di Lembah Pantai. Same place with Bunyamin," terang Anggun Danisha.
"Kau ingat Lembah Pantai tu kecil?"
"Just drop me kat mana-mana bus stand yang ada di situ. Nanti I suruh Bunyamin pick up I di situ," kata Anggun Danisha.
"Jadi sebab tu kau pakai macam ni?" tanya Harith Mishka jelak. Tiba-tiba dia berasa menyampah untuk mendengar kisah cinta Anggun Danisha itu.
Cepat-cepat Anggun Danisha mengangguk.
"Sebab Min suka I bertudung."
"Min?"
"Bunyamin! I akan lakukan apa sahaja yang Min suka," kata Anggun Danisha sambil tersenyum penuh harapan. Dia mengharapkan perubahan yang dilakukan ini mampu memberikan perkembangan yang positif dalam hubungan mereka kelak.
Harith Mishka mencebek. Rasa mahu termuntah mendengarkan pengakuan Anggun Danisha itu. Baginya Anggun Danisha terlalu berlebih dalam mengejar cintanya.
"Kau ni tak boleh ke jadi diri sendiri? Don’t be a woman that need a man, but be a woman that a man need," perli Harith Mishka.
Anggun Danisha tidak memperdulikan bicara Harith Mishka itu. Sebaliknya dia sudah mula angau dengan perasaan cintanya. Hanya wajah Bunyamin yang bermain di layar ingatannya tatkala ini. Seperti biasa apabila Anggun Danisha mula angau dia akan melukis imej love dengan jarinya. Apabila melihat tangan Anggun Danisha yang sudah berada di cermin tingkapnya, terus sahaja mata Harith Mishka membeliak.
"Hei jangan pandai-pandai nak lukis love kat situ," kata Harith Mishka memberi amaran.
Anggun Danisha mengeluh geram. Baru sahaja dia mahu melayan angaunya tetapi Harith Mishka sudah mengacaunya! Ah potong stim betul mamat ni!


No comments:

Post a Comment