Wednesday 23 March 2016

DARLINGKU MINAH ANGAU -BAB 1

BERBULU telinga Harith Mishka apabila mendengar suara gadis di sebelahnya merengek dan merayu di telefon. Mulut Harith Mishka dicebikkan. Menyampah betul dia dengan gadis itu. Macam dia seorang sahaja yang sedang bercinta.
"Honey, guess where I am now?"
Harith Mishka memandang tajam kepada gadis itu. Suara manja dan mengada-ngadanya itu membuatkan Harith Mishka berasa hendak termuntah. Nampak benar gadis ini tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Sampai tidak sedar topik perbualannya dengan kekasih hatinya sudah menjadi tumpuan penumpang ERL ini. Hisy, tak malu betul! Omel hati Harith Mishka.
"I'm in Malaysia! I tak sabar nak jumpa you, honey."
Harith Mishka mendengus sambil mencebik. Lagi menyampah apabila melihat jari telunjukgadis itumelakarkan imej love di tingkap ERL itu. Harith Mishka menggeleng kepalanya sendirian.
"Honey, I can't wait to see you. See you later. I love you.Muah! Muah! Muah!," kata Anggun Danisha. 
Jari telunjuknya masih bermain di tingkap ERL. Tanpa sedar imej love sudah banyak di lakarkan di tingkap ERL itu. Anggun Danisha tersenyum sendirian. Kelakar dengan keadaan dirinya yang selalu tidak dapat mengawal perasaan gila bayangnya terhadap Bunyamin.
Tiba-tiba senyuman meleret Anggun Danisha mati dengan serta merta, dari biasan cermin ERL dia mula menyedari lelaki yang berada di sebelahnya asyik merenungnya. Anggun Danisha membalas pandangan lelaki itu Yang peliknya lelaki itu tidak pula melarikan pandangannya. Malah lelaki itu terus menatap Anggun Danisha sehingga dia pula yang berasa malu. Pantas sahaja Anggun Danisha memalingkan wajahnya. Menghadap ke arah cermin tingkap yang sudah dipenuhi dengan lakaran imej love.
"Apasal lelaki tu tengok aku semacam aje?" tanya Anggun Danisha sendirian.
Dia cuba menelek wajahnya. Mana tahu ada yang tidak kena dengan wajahnya. Namun semuanya bersih sahaja. Malah tiada cacat cela di wajahnya.
Sekali lagi Anggun Danisha memerhatikan lelaki itu dari biasan cermin tingkap. Peliknya lelaki itu masih lagi merenungnya sebegitu membuatkan Anggun Danisha berasa tidak selesa. Apa kena dengan lelaki ini? Angau ke? Hati Anggun Danisha tertanya-tanya.
"Stesen Kl Central."
Pengumuman daripada interkom ERL membuatkan Anggun Danisha menarik nafas lega. Pantas sahaja dia bangun dan mengambil begnya. Dia mahu segera keluar daripada kemelut yang sangat merimaskan ini.
Tiba-tiba telefon bimbit Anggun Danisha berbunyi nyaring. Apabila nama Bunyamin tertera di skrin telefon membuatkan hatinya berbunga-bunga. Dia sudah terlupa di mana dia berada. Malah dia tidak lagi menghiraukan keadaan dalam ERL yang semakin sesak kerana semua penumpang mula berpusu-pusu keluar dari situ.
Begitu juga dengan Harith Mishka. Dia sudah bangun tanpa mempedulikan gadis yang sudah mula gila bayang itu. Harith Mishka juga mencapai telefon bimbitnya untuk menghubungi sseseorang. Namun, siapa sangka dalam kekalutan itu dia terlanggar Anggun Danisha. Telefon bimbit yang berada di tangan terjatuh ke lantai. Begitu juga dengan gadis itu. Telefon yang sebentar tadi melekap di telinganya terjatuh akibat pelanggaran itu.
Harith Mishka mendengus geram. Dia geram dengan perangai gadis itu. Terlalu asyik bergayut di telefon sampai tidak pandang kiri dan kanan. Mahu sahaja dia memberi nasihat percuma kepada gadis itu tetapi dek kerana mahu cepat Harith Mishka terus mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh kemudian terus berlalu pergi dari situ.


"AKU tak kenal dia tetapi kenapa dia asyik tenung aku macam tu?" bebel Anggun Danisha sambil melangkah menuruni ERL.
Keningnya dikerutkan. Dia masih berasa seram dengan tenungan lelaki di sebelahnya tadi. Seolah-olah mahu membahamnya hidup-hidup.
"Lelaki tu tak pernah tengok perempuan cantik kot!" bebel Anggun Danisha lagi.
Beg besar yang berada di tangannya ditarik. Dia mengangkat bahunya sambil tersenyum sendirian. Tiba-tiba dia berasa kelakar dengan dirinya. Mudah sangat perasaan sedangkan dirinya tidaklah secantik mana.
"Miss... tunggu!"
Mata Anggun Danisha membulat. Dadanya bagaikan terhenti berdegup. Malah dia tergamam apabila melihat lelaki yang merenungnya tadi sedang berlari mendapatkannya.
Ya ALLAH, apa yang dia nak daripada aku? Fikir Anggun Danisha.
"Miss, tunggu telefon!" kata lelaki itu.
"Macam mana ni? Dia nak nombor telefon aku!" jerit Anggun Danisha sendirian.
Dia sudah tidak betah sendiri. Derap langkah lelaki itu semakin meresahkan hati dan perasaannya.
"Sah dia nak mengurat aku! Entah-entah dia jenis lelaki gila seks! Ah tak boleh jadi ni! Aku mesti larikan diri," kata Anggun Danisha.
Tanpa menunggu sesaat terus sahaja Anggun Danisha membuka langkah seribu. Dia perlu berlari untuk menyelamatkan dirinya.
"Miss!"
Tiba-tiba Anggun Danisha rasa bahunya disentuh. Dia berasa begitu panik. Ternyata lelaki itu lebih pantas daripadanya. Mahu sahaja Anggun Danisha menjerit di situ juga. Namun dia cuba mengawal dirinya. Dia perlu berlagak tenang seperti tiada apa yang berlaku.
"Kenapa you ikut I?" tanya Anggun Danisha.
Degupan jantungnya semakin berdegup. Malah ia seolah-olah mahu pecah. Ya ALLAH, kenapa aku boleh mengelabah sebegini? Lagi menakutkan apabila lelaki itu hanya tersenyum sinis. Seolah-olah sedang mempersendakan pertanyaannya itu. Ya ALLAH, lelaki ini terlalu menakutkan!
"You sukakan I ke sebab tu you ikut I sejak dari dalam ERL lagi?" tanya Anggun Danisha tanpa selidik.
Namun malangnya lelaki itu tidak menjawab. Malah renungan tajamnya seolah-olah sedang mengiakan apa yang berada di fikiran Anggun Danisha ketika itu.
"Wait. You memang sukakan I?" jerit Anggun Danisha sambil terlopong mulutnya.
Dia tidak menyangka apa yang sedang bermain di fikirannya benar-benar menjadi kenyataan. Dia tahu dia perlu menolak lelaki itu dengan sebaik mungkin. Pastinya jikalau dia berkasar akan mengundang kemarahan lelaki itu.
"Maafkan I, bukan I tak sukakan you. I tahu you ni handsome jugak. Tapi I dah ada boyfriend. Lagipun I rasa you ni terlalu tua kalau mahu menjadi boyfriend I," kata Anggun Danisha dengan suara selembut mungkin. Dia tidak mahu lelaki itu terasa hati dengan penolakannya itu.
Harith Mishka tersentak. Terlalu tua? Wah, perempuan ni memang dah lebih! Bibir diketap rapat. Cuba menahan kesabaran yang kian menipis.
"I tahu you pastinya kecewa dengan penolakan I ni. Tapi you kena berfikiran positif. In fact, banyak lagi perempuan cantik di luar sana. Malah lebih cantik daripada I," kata Anggun Danisha cukup berpuas hati.
Malah ada rasa bangga pada akhir bicaranya itu. Siapa tidak berbangga jikalau ada lelaki jatuh cinta pandang pertama dengannya.
"Cantik?" tanya Harith Mishka. Rasa mahu bernanah telinganya apabila mendengar bicara minah perasan di hadapannya itu.
Anggun Danisha tersenyum meleret. Sungguh tidak disangka lelaki di hadapannya masih mahu memujinya walaupun sudah ditolaknya.
"I tahu I memang cantik. Malah ramai orang puji I cantik. Sayangnya you terlewat sedikit. Hati I sudah berpunya," kata Anggun Danisha sambil tersenyum malu.
"Ops... sorry. Aku rasa kau dah tersalah tafsir, Minah perasan!" kata Harith Mishka sambil menjegilkan matanya. Dia sudah tidak mampu bersabar lagi melayan minah perasan yang berada di hadapannya ini.
Anggun Danisha terkaku. Matanya terbuntang luas. Terkejut dia dengan ucapan lelaki itu. Ditambah lagi apabila lelaki itu melabelnya minah perasan sebegitu! Wah, ini memang kes serius. Dia ni tak boleh terima ke aku reject cinta dia?
"Telefon! Bagi telefon I," kata Harith Mishka.
Wajahnya serius. Tidak mahu minah perasan itu bertambah perasan jikalau dia bersikap mesra dengannya.
"Telefon you? Mana ada kat I. Oh, you nak ambil nombor telefon I ke? Taktik you tu dah lapuk sangat dah," kata Anggun Danisha sambil ketawa sendirian. Kononnya bicara lelaki itu begitu kelakar di pendengarannya.
Harith Mishka berdehem sambil menjeling tajam kepada Anggun Danisha. Telefon Anggun Danisha yang berada dalam poketnya dikeluarkan lalu diberikan kepadanya.
Terkebil-kebil Anggun Danisha mengambil telefon bimbit tersebut.
"That's yours! Give me mine!" kata Harith Mishka.
"Yalah! Macam mana handphone I boleh ada dengan you?" tanya Anggun Danisha dengan mata yang membuntang.
Dia cukup terkejut apabila telefon bimbitnya berada dengan lelaki itu. Rasanya telefon bimbitnya elok sahaja berada di dalam tas tangannya sejak tadi. Anggun Danisha begitu keliru dengan apa yang telah berlaku kepadanya kini.
Dalam kekeliruan itu Anggun Danisha mengeluarkan telefon bimbit yang berada di tangannya. Apabila melihat skrin telefon itu matanya terus membuntang. Bagaimana telefon bimbit lelaki di hadapannya berada dalam tas tangannya?
"Handphone you ke? Magic apa yang you dah gunakan ni?" tanya Anggun Danisha cukup keliru.
Harith Mishka terus merampas telefon bimbitnya. Melihatkan wajah blur Anggun Danisha, perasaannya bagaikan digeletek. Namun dia sengaja menunjukkan wajah yang serius. Tidak mahu bibit-bibit kemesraan terjalin antara mereka.
"You lupa ke you langgar I dan terambil handphone I!" kata Harith Mishka sebelum berlalu dari situ.
Anggun Danisha yang terkebil-kebil hanya mengangguk. Sebaik sahaja Harith Mishka berlalu, dia menarik nafas lega.
"Nasib baik tak ada apa yang berlaku. Nasib baik juga aku dapat balik handphone aku. Kalau tak macam mana aku nak contact Bunyamin kesayanganku," kata Anggun Danisha sambil mencium telefon bimbitnya berkali-kali. Bibirnya dilebarkan.
Wajah serius Harith Mishka sudah hilang dari ingatannya dan diganti pula wajah menggoda Bunyamin. Ah, dia tidak sabar untuk bertemu dengan kekasih hatinya!

No comments:

Post a Comment