Tuesday, 18 July 2017

OH MY DOCTOR BAB 8

NAYLI mendengar cerita Adrian bagaikan Adrian menceritakan kisah orang lain. Langsung tidak memberikan apa-apa kesan di hati bagaikan dia tidak pernah mengalaminya. Kalau benar cerita Adrian itu, ini bermakna ingatannya masih elok tatkala seminggu yang lalu. Dan dia dikatakan berpeleseran di kawasan itu sahaja sepanjang minggu itu. Malah tidur dan makannya di situ.
Nayli mengerutkan dahinya. Apa yang sebenarnya terjadi kepadanya? Kenapa dia tidak pulang ke rumah dalam tempoh seminggu ini? Di mana kedua ibu bapanya? Tidak risaukah mereka? Dan apa yang terjadi kepadanya sehingga ingatannya hilang? Kemalangan? Nayli menggeleng. Tiada langsung kesan kecederaan di tubuhnya.
Disosiatif Amnesia. Memori semantiknya memberitahu. Dia masih jelas siapa dirinya sebenarnya tetapi serasanya dalam otaknya ini terlalu banyak ilmu-ilmu saintifik yang dia ketahui. Dia tahu Disosiatif Amnesia tetapi dia tidak dapat menghuraikan dengan lebih lanjut mengenainya. Begitu juga dengan memori semantik. Kalau banyak sangat ilmu yang dia tahu mengapa pula Adrian mengatakan dia seorang pelacur jalanan? Ah tidak mungkin!
Walaupun dia tidak tahu siapa dirinya yang sebenar tetapi dia masih ingat siapa kedua-dua ibu bapanya. Dia tahu rumahnya terletak di Shah Alam tetapi dia tidak tahu di taman apa. Memori kanaka-kanak berusia 12 tahun membataskannya untuk mengingati semuanya. Keluarganya juga bukan calang-calang orang tetapi kenapa Adrian menuduhnya menjadi pelacur jalanan?
Nayli menggeleng. Dia yakin telahan Adrian itu salah. Adrian juga tidak pasti kerana Adrian hanya menelah berdasarkan penampilannya sahaja. Tidak banyak yang dapat dia ketahui tentang dirinya daripada Adrian kerana Adrian juga tidak mengetahuinya dengan jelas. Hanya pertemuan mereka di sebuah restoran dan diakhiri dengan kecederaan Adrian akibat perbuatannya.
“Di mana beg aku?”
Nayli kerut dahi. Sungguh dia tidak mengerti mengapa dia mahu mengambil beg lelaki itu. Apa yang dia telah lakukan dengan beg itu? Mahal sangatkah beg itu sampai bersungguh-sungguh Adrian mencarinya? Ya Allah..apa yang harus dia lakukan? Sekiranya dia tidak cuba mencari ingatannya sudah tentulah dia tidak akan ingat perkara ini sampai bila-bila. Dan Adrian akan terus menculiknya!
“Woiii..kau dengar tak? Mana beg aku?” jerkah Adrian seraya memegang lengan Nayli dengan kasar. Budak kecik ni memang sengaja suruh dia berkasar selalu!
“Beg?” Nayli kerut kening. Menahan sakit di tangan dan juga cuba mengembalikan ingatannya yang sudah hilang.
“Dia buat-buat tak ingat pulak! Beg aku yang kau curi! Mana dia?”
Apa? Mencuri? Nayli geleng kepala. Tidak mungkin! Tidak mungkin dia sanggup melakukan perkara sejijik itu! Ah Adrian pasti menipu semata-mata untuk menyakiti hatinya.
“Saya tak tahu. Saya tak ingat!” jujur Nayli berkata.
Adrian mendenggus kasar. Dia makin melenting bila Nayli tidak habis-habis mahu menguji kesabarannya. Ikutkan hatinya yang marah pipi mulus itu mahu ditamparnya berkali-kali. Biar gadis itu tidak berani mempermainkan dirinya lagi. Tapi dia bukan jenis sebegitu. Marah macam mana sekalipun dia tidak akan mencederakan kaum yang lemah.
“Kau nak main-mainkan aku lagi ke?”
“Bukan macam tu. Saya minta maaf. Saya sanggup bayar berapa saja yang encik nak tapi tolong lepaskan saya!” Jika dengan duit, Adrian sanggup melepaskannya..dia sanggup bayar berapa saja yang Adrian mahukan. Dia akan mendapatkannya walau apa cara sekalipun.
Sekali lagi Adrian merengkuh lengan Nayli, Nayli mengerang kesakitan. Berkerut dahinya menahan sakit.
“Kau ingat, aku hadap sangat duit haram kau tu? Aku nak beg aku sahaja!”
“Saya tak tahu kat mana! Saya gantikan yang baru! Tolong lepaskan saya! Saya nak balik! Mama! Papa!” dalam sendu Nayli merayu. Matanya berkaca. Sebak dadanya apabila diperlakukan sebegitu.
“Kau tak faham bahasa ke? Aku nak beg aku yang itu jugak! Bagitau aku kat mana beg aku tu!”
“Saya cakap saya tak tahu! Saya tak tahu!” kata Nayli dalam sendu sedannya. Semangatnya terasa lemah. Menghadapi dunia dewasa dengan mental berusia 12 tahun memang membuatkan perasaannya semakin tertekan.
Adrian mendenggus kasar. Budak kecik ni memang sengaja nak mainkan aku lagi!
Fine..aku cakap elok-elok kau tak nak dengar kan.”
Adrian melepaskan pegangannya. Dia membuka butang bajunya. Satu persatu sehingga menampakkan dada bidangnya. Senyuman sinis terukir di bibir lelakinya.
“Apa awak nak buat ni?” Nafas Nayli seakan mahu berhenti.
“Kau fikirkanlah sendiri apa bayaran setimpal kerana menghilangkan barang penting aku!”
Nayli terkesima. Apa maksud lelaki itu dengan 'bayaran setimpal?'. Tak kanlah sampai menyerahkan tubuhnya pulak!
“Saya tak tahu! Sumpah saya memang tak tahu!” jerit Nayli bersama air mata yang mengalir panas di pipi. Rasa takutnya buat dia hampir putus nafas.
“Kau masih nak menipu lagi, budak kecik? Kau nak cabar aku ke?” keras Adrian bersuara. Hatinya sedikit geram bila Nayli masih berdegil.
Nayli menggeleng bersama juraian air matanya. “Tak! Saya tak tipu!”
Dalam juraian air mata dia memberanikan dirinya memandang ke dalam anak mata Adrian. “Saya tak tipu. Saya tak tahu apa yang dah jadi kepada saya. Saya lupa segala-galanya. Dan apa yang saya tahu saya berusia 12 tahun dan berada dalam tubuh dewasa Nayli!”
Adrian tercengang. Mulut melopong dan dia tidak tahu nak kata apa lagi.

JUS tembikai disedutnya hingga tinggal separuh. Namun tidak dapat menghilangkan keresahan hatinya. Rasa macam tidak percaya pula. Mungkin gadis itu berbohong.
Adrian pandang jam di pergelangan tangan. Lama sungguh waktu berlalu. Rasanya hampir bengkok belakangnya duduk di kerusi menunggu kedatangan seseorang. Sungguh penantian itu cukup membosankan!
Namun demi sebuah kepastian dia memaksa dirinya untuk terus bersabar. Lagipun hanya Amri satu-satunya kawan yang dia percayai. Hanya Amri yang sentiasa membantunya dalam kesusahan.
Sorry lambat. Apa hal tiba-tiba kau nak jumpa aku ni?” Amri melabuhkan punggungnya bertentangan Adrian.
“Aku ada masalah lagi,” keluh Adrian sambil meraup wajahnya.
“Masalah apa pula?” Kening Amri berkerut. Melihatkan kekeruhan wajah Adrian itu dia tahu pasti ada sesuatu yang meresahkan Adrian.
“Budak yang aku culik tu hilang ingatan pulak,” terang Adrian.
Wajah Amri nampak pegun. Adrian tahu Amri terkejut dengan kenyataannya. Malah Amri pasti lebih terkejut kalau dia ceritakan yang ingatan Nayli sekarang adalah 12 tahun dalam tubuh dewasanya. Mungkinkah Nayli kurang siuman?
“Kenapa? Apa yang kau buat sampai dia hilang ingatan?”
Adrian mengeluh lemah. Dia masih sangsi. Tidak mungkin tiba-tiba sahaja gadis itu hilang ingatan. Setahunya jikalau seseorang itu hilang ingatan disebabkan otaknya mengalami gegeran. Selalunya disebabkan kemalangan jalan raya. Tetapi tidak pula dia lihat kesan kecederaan pada gadis itu. Atau gadis itu sememangnya gila sejak dari awal pertemuan mereka lagi? Andrian ketap bibir. Dia dapat rasakan tafsirannya ini benar kerana hanya orang gila sahaja yang sanggup memperlakukannya sebegitu. Nampaknya harapan untuk dia mendapatkan kembali begnya sudah tiada. Perlukah dia mengalah lantas membiarkan haknya dirampas orang lain? Hati Adrian bengkak lagi. Matanya mula hangat.
“Aku rasa dia memang dah gila. Patutlah perangai macam tu!”
Lemah sahaja bicara Adrian. Dia sudah putus harapan. Satu-satunya senjata yang dia ada telah dicuri oleh gadis gila dan pastinya dibuang entah ke mana. Ya Allah, kenapalah nasib aku malang sangat!
“Habis tu apa kau nak buat dengan budak tu? Tak kan kau nak biarkan budak tu kat rumah kau selamanya!” Amri juga sudah tidak betah sendiri. Hai..Adrian pun satu! Tak kanlah tak dapat nak bezakan budak gila atau tidak.
“Entah! Aku pun buntu! Masalah lama tak selesai lagi timbul pula masalah baru!” renggus Adrian. Tidak mungkin dia sanggup meninggalkan gadis itu di tempat di mana dia mengambilnya dulu. Walaupun gadis itu tiada kaitan dengannya namun dia masih ada rasa bimbang akan keselamatannya. Sudahlah berwajah cantik, pasti akan menjadi mangsa nafsu serakah manusia yang berhati binatang. Tetapi kalau dibiarkan di rumahnya bimbang pula akan menjadi masalah kepadanya kelak.
“Siapa yang kau culik sebenarnya?” tanya Amri ingin membantu. Adrian pernah beritahunya gadis itu adalah gadis liar. Mungkin gadis itu perlu dihantar di mana-mana pusat jagaan.
“Entah! Ni gambar dia!” Adrian menghulurkan telefon bimbitnya kepada Amri.
 Tidak sabar menunggu jawapan dari mulut Adrian, segera Amri melihat skrin yang berada di tangannya. Saat mata tertacap kepada seraut wajah mulut Amri terngaga luas. Dada berdebar tidak keruan. Kepala menggeleng tidak percaya.
“Nayli?”
“Kau kenal dia?” tanya Adrian tidak sabar.
“Mestilah aku kenal. Ini anak Datuk Mazlan! Dia satu sekolah dengan aku masa aku sekolah menengah dulu. Macam mana dia boleh curi beg kau pulak?” tanya Amri tidak berpuas hati. Dia tidak percaya yang Nayli sanggup mencuri.
Adrian merenung Amri tajam. “Anak Datuk Mazlan? Perempuan gila ni anak Datuk Mazlan?” suara Adrian sudah meninggi.
“Nayli hilang ingatan?” tanya Amri pula, tidak percaya. Tiada angin tiada ribut macam mana Nayli boleh hilang ingatan? “Kau pasti ke dia hilang ingatan? Atau dia tipu kau?” sambung Amri. Pandangan kembali ditumpukan kepada gambar Nayli di hadapannya. Ada sangsi menghujam dadanya kala ini.
“Aku tak pasti tapi itulah katanya,” terang Adrian.
Amri pantas mengetip jari. “Entah-entah dia mainkan kau aje kot! Lagipun dia memang budak bermasalah sejak dari dulu lagi!”

“KAU tipu aku bukan?” Andrian merenggus geram. Dia tengok gadis itu elok sahaja. Tak nampak pun mana-mana kecederaan di kepalanya. Takkanlah tiba-tiba sahaja boleh hilang ingatan pula!
“Saya tak tipu. Memang saya tak ingat apa yang terjadi!”
Nayli ketap bibir. Dia memang dah agak Adrian tidak akan mempercayainya. Lebih-lebih lagi bila melihat keadaan dirinya yang sihat walafiat. Tetapi Adrian harus sedar hilang ingatan boleh terjadi dalam banyak perkara. Sekali lagi memori semantiknya memberitahu.
Amri mendenggus geram. “Kau nak main-mainkan aku bukan? Aku tengok badan kau sihat aje. Macam mana kau boleh hilang ingatan pulak!” desis Andrian.
“Memang badan saya sihat tetapi mental saya yang tak sihat,” kata Nayli dalam debar. Takut rasanya mahu menghadapi baran Adrian.
“Kau ingat aku bodoh? Tak kan tiba-tiba aja kau boleh hilang ingatan!” tekan Adrian lagi. Rahang diketap marah.
“Saya tak tahu sebabnya.” Nayli menggeleng. Dia cuba mencari ingatannya. Mencari sebab kenapa ingatannya mahu bersembunyi.
“Tipu!” Adrian merengkuh lengan Nayli kejap. Nayli tersentak.
“Siapa sebenarnya kau? Kenapa kau curi beg aku? Atas arahan siapa kau buat semua ini?”
“Sa..sakit!” Pegangan kejap Adrian di lengannya begitu menyakitkan. Dia tahu bukan mudah Adrian mahu mempercayainya. Lebih-lebih lagi apabila Adrian hanya melihat sisi gelapnya sahaja.
“Tahu pun sakit! Sekarang aku nak kau berterus terang! Di mana beg aku?”
“Saya tak tahu!” Air mata Nayli tumpah. Dia tidak tahu bagaimana mahu menerangkan duduk perkara yang sebenarnya.
Adrian menolak tubuh Nayli. Nayli yang tak bersedia terjatuh. Dia mengaduh perlahan bila kakinya rasa terseliuh. Namun sikit pun tidak menimbulkan rasa belas di hati Adrian. Adrian mendekati tubuh Nayli. Dagu Nayli dipaut kasar. Air mata Nayli yang mengalir di pipi tidak diendahkan.
“Siapa yang upah kau sampai begini kau tutup mulut! Berapa yang diorang bayar? Aku boleh bayar tiga kali ganda asalkan kau beritahu aku di mana beg aku! Lebih baik kau beritahu di mana beg aku budak kecik!” penuh dendam Adrian bersuara.
“Disosiatif Amnesia! Saya rasa saya kena penyakit tu!”

“CUBA kau google Disosiatif Amnesia tu apa.”
Lamunan Adrian tersentak. Dia mengangkat wajah dan terus menentang Amri dengan perasaan yang sukar hendak digambar. Debar di dada semakin tidak keruan. Siapa sangka insan yang diculik selama ini rupa-rupanya anak Datuk Mazlan. Kalau benar gadis itu hilang ingatan lebih baik dia menyerahkannya kepada Amri untuk diserahkan kepada Datuk Mazlan.
“Wujud ke penyakit tu? Lagipun macam mana dia tahu?” tanya Adrian tanpa sabar.
Amri menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. Wajah Nayli kini terbayang di layar ingatannya membabitkan perasaan benci dalam hati. Memang sejak dari dulu lagi dia tidak pernah senang dengan gadis bernama Nayli itu.
“Nayli tu doktor! Mestilah dia tahu semua ini. Mungkin ini juga helah dia untuk lepaskan diri.”
What?” Tak dapat dibendung rasa terkejut, mata kuyu Adrian terbuka luas.
Doktor? Kenapa boleh tidur di jalanan? Atau memang budak tu dah gila!
“Aku yakin dia sengaja upah samseng untuk belasah kau kerana mahu balas dendam. Dia memang pendendam orangnya. Cuma aku tak pasti kenapa dia boleh tidur di jalanan pula!”
Adrian diam. Memikir. Misterinya seorang gadis bernama Nayli. Semuanya masih menjadi tanda tanya.
“Apa yang kau tahu tentang Nayli?” tanya Adrian cukup berminat. Selama ini dia tidak pernah berminat tentang sesiapa pun. Tetapi pelik kenapa kepada perempuan yang telah memperorak-perandakan hidupnya. Hatinya begitu mudah tertarik untuk mengetahuinya.
“Hubungan aku dengan dia tak rapat sangat sebab aku ketua pengawas dan dia pelajar bermasalah. Lepas dia dibuang sekolah aku tak pernah dengar apa-apa tentang dia. Sampailah satu hari tu aku terbaca news tentang keluarga dia. Dari situlah aku tahu dia kini seorang doktor.”
“Kau tak suka dia?” Dari bahasa tubuh Adrian dapat membacanya.
“Mestilah. Dia pun pernah buat kat aku apa yang dia dah buat pada kau!”
Terbeliak biji mata Adrian. Bagai tidak percaya apa yang telah diperkatakan tetapi bila Amri mengangguk, dia mengeluh lemah.
“Maknanya kita mengalami nasib yang sama?” Dia masih tidak percaya yang gadis yang diculiknya memang sejak dari dulu lagi berperangai sebegitu.
“Tapi aku lebih teruk. Dia upah samseng pukul aku sampai kaki aku patah. Tiga bulan jugak aku tak boleh jalan. Dan sebab itu dia kena buang sekolah!”
Adrian telan liur. Dasyat betul penangan budak kecik ini.
“Apa yang kau buat sampai sebegitu sekali dia marah?”
“Aku kan ketua pengawas. Tak salah bukan kalau aku report masalah disiplin dia kepada guru disiplin?”
Adrian mengangguk. Dalam kepala masih memikirkan tentang gadis itu.
Apa yang telah terjadi kepada kau, Nayli?
Disosiatif Amnesia? Apa tu?

Hatinya tidak betah sendiri.

Tuesday, 11 July 2017

oh my doctor bab 7

NAYLI menghembuskan asap rokok sekuat hati bagai melepaskan kesendatan hati yang sedang membukam kalbu. Merokok adalah tabiatnya bila dia berasa gelisah, tertekan dan kecewa. Padahal dia sememangnya arif tentang bahana rokok kepada kesihatan jantungnya. Peliknya Nayli rasakan jantungnya semakin tenang setiap kali dia hembuskan kepulan asap berkepul-kepul di udara.
Ketika ini rasa sepi benar-benar melintas setiap relung hatinya. Masalah di hospital semakin menekan perasaannya. Dia benar-benar memerlukan teman bicara. Malangnya dia tiada sesiapa.
Tiba-tiba wajah cemberut lelaki tadi bermain di mindanya. Nayli tersenyum sambil terus menghisap rokoknya dalam-dalam.
‘Padan muka kau! Siapa suruh cari masalah dengan aku!’ hati Nayli mendongkol sendirian.
Kali ini yang dirasakannya adalah perasaan puas. Sepuas menelan bermacam pil yang diberikan tiga teman hiburnya. Teman yang suka benar menjahanamkan dirinya. Tetapi apa boleh buat. Hanya cara ini sahaja yang mampu dia lakukan demi untuk menghilangkan tekanan yang membelenggu perasaannya.
“Cik!”
Puncak tekanan Nayli berada di tahap paling tinggi bila matanya bertemu pandang dengan seorang lelaki berbadan tegap di hadapannya. Ah ada sahaja orang yang mahu mengganggunya!
“Nak apa?” soal Nayli kasar. Hampir sahaja dia menengking lelaki di hadapannya ini. Menjadi kepantangannya apabila dia diganggu.
“Saya pengurus restoran ini,” kata lelaki itu dengan tertib.
So?’ Kening Nayli terjungkit. Sengaja dia mempamerkan riak menjengkelkan.
“Di sini tak boleh merokok cik. Ramai sudah customer yang complain cik merokok di sini. Kalau cik nak merokok, cik boleh merokok di luar. Maafkan saya ya cik.”
“Kalau saya tak nak macam mana?” Nayli sengaja mencabar.

TUBUH Nayli ditolak kasar ke luar dari restoran. Hampir tersadung tubuhnya di kaki lima. Bibir diketap kuat. Sakit betul hatinya. Tidak pernah selama ini dia dimalukan sebegini. Bila matanya terpandang wajah yang sedang tersenyum sinis di hadapan restoran, penumbuk dikepal kuat.
“Macam mana rasanya kena halau? Rasa macam anjing kurap tak?” tanya Adrian dengan senyuman yang sengaja dilebarkan. Biar hati Nayli semakin sakit dengan kata-katanya ini. Kali ini dia benar-benar puas melihatkan keadaan Nayli.
Penumbuk dikepal lagi. Sedaya upaya dia cuba menahan sabarnya yang semakin rabak. Bila Adrian merapatinya, Nayli tahan tangannya daripada terbang mencari muka Adrian. Dia tidak mahu perkara ini menjadi kecoh di sini.
“Siapa kau sebenarnya hah? Pelacur ke?” bisik Adrian ke telinganya.
Berdentum dada Nayli mendengarkan cacian lelaki itu. Kalau tidak difikirkan siapa dirinya mahu sahaja dia membelasah lelaki ini di sini. Namun belum sempat dia berkata telinganya terus disapa dengan perlian lelaki itu.
“Berapa untuk semalam? Banyak ni cukup?”
Dan lelaki itu terus membaling beberapa keping wang kertas seringgit ke mukanya sebelum berlalu pergi. Nayli mengepal penumbuknya. Dada pula sudah berombak kencang.
“Dia memang nak cari pasal dengan aku! Dia tak tahu siapa aku lagi agaknya!” Nayli berdenggus sendirian.
Pantas Nayli mengeluarkan telefon bimbit dari tas tangannya. Setelah mendail satu nombor dia menunggu panggilannya bersambut.
“Hantar orang kat aku! Tempat biasa!” arah Nayli sebelum mematikan panggilan. Dan senyuman sinis pula tersungging di bibirnya kali ini.

ADRIAN panik bila sekumpulan lelaki bersenjata kayu menghampirinya. Adrian pandang ke kiri. Pandang ke kanan. Baru dia sedari kawasan yang dilaluinya adalah kawasan sunyi. Tiada seorang pun di situ melainkan dirinya sahaja.
“Pukul dia!”
Suara perempuan yang memberi arahan tetapi Adrian tidak nampak wajahnya kerana dilindungi oleh lelaki-lelaki perkasa itu. Suara yang sungguh meremangkan bulu romanya.
Adrian berundur ke belakang beberapa tapak. Liur ditelan kesat. Mata tepat memandang lelaki-lelaki perkasa di hadapannya dengan seribu persoalan di dada. Apa salahnya kepada mereka?
“Serang!!” kedengaran jeritan geng samseng menyerbu ke arahnya. Walaupun panik Adrian cuba menenangkan perasaannya dan cuba menghadapi situasi ini dengan sebaik mungkin.
Pantas Adrian menyusun langkah menahan serangan kumpulan samseng yang mula menggila. Nasib baik dia ada belajar ilmu mempertahankan diri ketika menjadi palapes dahulu. Sedaya mungkin dia cuba mempraktikkan di sini.
Adrian menghayunkan penumbuknya ke perut salah seorang penyerangnya. Lalu menyiku bahu lelaki yang tertunduk menahan senak itu. Satu demi satu samseng ditumbangkan. Namun..
DEBUK!!
Tiba-tiba kepalanya dipukul oleh kayu. Berpinar matanya. Kemudian satu sepakan tepat mengenai perutnya. Adrian terbatuk dek kerana senak. Menggigil kakinya cuba menahan berat badannya. Namun pukulan yang tepat mengenai belakangnya membuatkan tubuhnya terjatuh ke tanah.
Adrian cuba bangun. Tetapi segerombolan samseng terus menyerangnya bertalu-talu. Mukanya ditumbuk! Perutnya disepak! Batang tubuhnya diterajang! Darah sudah membasahi mukanya. Sakit seluruh anggotanya.
“Cukup!”
Suara itu kedengaran lagi. Derap tapak kaki menghampirinya. Dan sesaat kemudian rambutnya ditarik dengan kasar.
“Ini hadiahnya kalau kau cari pasal dengan aku!”
Dalam ketidakdayaannya Adrian dapat lihat wajah gadis itu. Gadis yang dijumpainya di restoran sebentar tadi. Sungguh tidak disangka gadis itu berdendam sampai sebegini kepadanya.
“Kau..” belum pun sempat Adrian menghabiskan kata-kata, gadis itu sudah menendang batang tubuhnya. Adrian mengerang kesakitan. Untuk melawan lagi dia sudah tidak berdaya.
“Ini sebenarnya harga diri aku!” Nayli menghadiahkan terajangnya ke tubuh Adrian dan kali ini Adrian benar-benar tidak berdaya. Pandangannya berbalam. Namun sempat dia lihat gadis itu mencapai beg galasnya sebelum pandangannya menjadi kelam.