Thursday, 22 December 2016

OH MY DOCTOR BAB 2

Raut wajah yang terpantul di hadapan cermin yang retak seribu itu Nayli tatap dengan penuh keliru. Dewasa! Cantik! Itulah yang terpampang. Kemudian anak matanya ditalakan pula pada dua bukit yang meninggi di dadanya. Keliru dengan apa yang terjadi membuatkan setiap inci tubuhnya bergetar kuat. Pelbagai perasaan membuak-buak dalam diri.
Apa yang berlaku kepadanya? Kenapa dia boleh hidup dalam tubuh dewasa Nayli? Bagaimana dia harus meneruskan hidup dengan mental yang berusia 12 tahun dalam tubuh dewasanya ini? Bagaimana mahu dia mendapatkan beg yang diminta oleh pak cik itu? Ya Allah, apa yang terjadi sebenarnya?
Teringatkan sesuatu pantas Nayli meluru ke pintu. Dia perlu melarikan diri sebelum lelaki itu memperapa-apakan dirinya. Tombol pintu ditarik. Berkunci!
Punah harapannya selama ini. Ternyata lelaki itu sudah menjadikan dia tahanan reman di dalam rumah ini tanpa siapa pun yang tahu. Dia mula rasa takut. Takut kepada penyiksaan yang bakal dipersembahkan oleh Adrian kelak. Takut dia terus terbabas dalam dendam lelaki itu tanpa dia mengerti hujung pangkalnya.

DARAH menitik satu per satu membasahi karpet berwarna hijau muda itu. Adrian hanya memerhatikannya. Tidak ada daya untuk merawatnya. Adrian penat. Otaknya tertekan. Hari berganti hari. Malam berganti siang. Dan dia tahu dia tidak punyai banyak masa untuk mempertahankan dirinya. Satu-satunya senjata yang dia ada berada dalam beg yang telah dicuri oleh gadis itu. Tetapi kenapa begitu susah benar gadis itu mahu memberitahunya? Atau gadis itu adalah orang upahan ibu tirinya dan sebab itulah dia begitu susah untuk membuka mulutnya?
Adrian berpaling kala terasa tangannya disentuh. Wajah itu menerpa kornea matanya. Tenang dan begitu mendamaikan. Ada senyuman manis tersungging di bibirnya, tanpa sedar Adrian turut mengukirkan senyuman yang sama.
"Kenapa dibiarkan luka itu begitu saja?" tanya Mak Su Salwani. Mak Su Salwani adalah adik kepada arwah ibu Adrian. Anak dara tua yang tinggal bersama Adrian sejak kematian papanya.
"Apalah sangat luka itu mak su dari luka dalam ni!" Adrian angkat tangannya ke dada. Lalu ditepuknya beberapa kali. Rasa perit dan perih tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.
Mak Su Salwani diam. Tangan Adrian dirawatnya dengan penuh berhati-hati. Dia faham kelukaan yang tertanam dalam diri Adrian. Malah bukan sekali dia melihat Adrian menderita. Malah berkali-kali. Dia disakiti, dinafikan hak dan kini sedang bergelut sendirian mempertahankan jawatannya sebagai CEO.
Bibir diketap rapat. Menahan sebak yang mula merajai hatinya. Dia tahu bukan mudah Adrian mahu berjuang. Apatah lagi apabila berhadapan dengan Puan Serena yang berhati binatang itu. Malah Puan Serena terlebih dahulu mendapat kepercayaan daripada semua ahli lembaga pengarah daripada Adrian.
"Mak su tahu Ad sakit hati. Tapi janganlah sampai menyakiti diri Ad sendiri," nasihat Mak Su Salwani tanpa memandang Adrian. Tekun dia membersihkan luka Adrian. Tidak mahu luka itu dijangkiti kuman sekaligus akan menjejaskan kesihatan anak saudaranya. Dia tahu kala ini Adrian perlukan tubuh dan minda yang sihat sebelum memasuki medan pertempuran yang maha hebat ini.
Adrian diam tidak berkutik. Bukan dia sengaja tapi sikap Nayli memang telah menaikkan darahnya. Sangkanya mudah untuk mendapatkan begnya semula. Dia hanya perlu memberi sedikit ketakutan pada gadis itu dan sudah pastinya gadis itu akan terus membuka mulutnya. Lagipun dia tidak mahu mengurung gadis itu lama-lama. Takut akan melibatkan pihak berkuasa pula. Tapi ternyata apa yang dirancang sudah meleset daripada perancangan sebenar.
"Mak su juga tak suka Ad berkasar dengan perempuan. Sepatutnya golongan perempuan perlu dilindungi. Bukan dikasari, Ad," tegur Mak Su Salwani lagi.
"Perempuan macam tu memang tak layak untuk dilindungi mak su! Dia bukan perempuan yang baik," denggus Adrian. Memang dia tidak suka berkasar dengan perempuan tetapi sikap Nayli yang nyata mencabar dirinya telah membuatkan sabarnya rabak.
Mak Su Salwani hanya mampu menggelengkan kepalanya. Dia faham benar dengan sikap Adrian yang pantang ditegur itu. Sudahnya dia hanya mampu meneruskan rawatan luka di tangan Adrian.
"Apalah yang dah budak perempuan tu buat sampai Ad marah macam ni?" akhirnya terluah juga soalan yang membelit benaknya selama ini.

ADRIAN mengambil sampul yang dihulurkan oleh pembantu khasnya, Amri. Dia terus membukanya dengan perasaan tidak sabar. Kemudian senyuman terukir di bibir. Hati berasa puas. Dada pula terasa begitu lapang sekali. Akhirnya dia mampu menumpaskan lawannya.
"Simpan maklumat ni baik-baik. Aku tak buat copy!" tegur Amri.
Adrian mengangguk berkali-kali. "Aku akan jaganya macam menjaga nyawa aku sendiri," kata Adrian sambil memasukkan sampul tersebut ke dalam beg galasnya. Senyum masih tidak lekang di bibir.
"Kalau macam tu aku gerak dulu!"
Amri segera bangun sebelum bersalaman dengan Adrian. Dia kemudian berlalu pergi meninggalkan Adrian yang masih tiada riak untuk beredar. Adrian hanya memerhatikan gelagat manusia yang membanjiri restoran D Anjung Qisha. Restoran ini cukup popular dengan masakan ala kampung dan menyediakan ruang berhawa dingin dan juga bilik mesyuarat yang boleh ditempah pada bila-bila masa sahaja.
Adrian gemar menggunakan ruang berhawa dingin di sini. Selain tempatnya begitu selesa mutu makanannya juga cukup berkualiti dan menepati citarasanya. Tiba-tiba Adrian terbatuk kala bau asap rokok memasuki rongga hidungnya. Marahnya memuncak naik. Boleh pula ada orang yang menghisap rokok di tempat berhawa dingin sebegini! Dia ni tak reti peraturan ke? Pantas kepala dipalingkan ke arah empunya diri. Bila mata bertemu sepasang mata bundar itu Adrian kaget seketika.
Perempuan? Merokok? Di tempat berhawa dingin? Oh ini memang sudah melampau! Segera Adrian bangun. Kaki pantas diayun ke arah gadis itu.
"Excuse me cik adik," tegur Adrian. Dia pandang dari atas ke bawah. Pakaiannya memang seksi habis. Dengan baju tanpa lengan dan skrit pendek paras peha memang membuatkan matanya terjojol. Kalaulah imannya tidak kuat sudah lama ditangkap gadis ini masuk dalam bilik hotel.
Kening Adrian berkerut. Dengan pakaian begini tidak mustahil gadis ini adalah pelacur. Tetapi tak kan lah mahu mencari pelanggan di sini pula?
"Excuse me!" Adrian berdecit. Geram melihatkan gadis itu yang tidak memperdulikan dirinya.
"Ada apa? I tak berminat dengan you!" kata Nayli dengan wajah sombong. Menyampah dengan kehadiran lelaki entah apa-apa ini.
Adrian mendenggus. "Kau ingat aku berminat dengan perempuan macam kau ni?"
"So?" Mulut Nayli diceberkan.
"Kau nampak sign tu?"
Kepala Nayli mengikut ke arah jari telunjuk Adrian. Bibir dicebek bila matanya tertangkap pada tulisan dilarang merokok itu. Dengan selamba dia menghembuskan asap rokok berkepul-kepul ke muka Adrian. Dia mencemik mulut.
"Ada I kisah?"
Kurang ajar! Adrian kepal penumbuk. Hatinya membengkak geram. Mahu sahaja dia menjerit. Biar berdentum suaranya di seluruh restoran ini. Namun dia cuba bertahan.
"Kau tunggulah nasib kau kejap lagi!" kata Adrian sebelum berlalu. Namun sempat lagi dia menangkap tawa dan kata-kata sinis daripada gadis liar itu.
"Tahu pun takut!"


OH MY DOCTOR bab 1

Dia berjalan mundar mandir tanpa arah tuju. Dia keliru. Tidak tahu ke mana harus dia menapak. Ke kiri? ke kanan? Dia tidak tahu. Dunia ini terlalu asing buatnya. Di mana dia berada kala ini? Kenapa dia boleh berada di sini? Ke mana kedua ibu bapanya? Ya Allah, apa sebenarnya telah berlaku kepadanya?
Dalam kekeliruan perasaannya, Nayli tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran sebuah kereta yang berhenti di hadapannya secara mengejut. Sebelum sempat dia mencerna apa yang sedang berlaku ke atasnya, dia rasa tubuhnya dipaut dari belakang dan diheret masuk ke dalam perut kereta. Belum sempat dia menjerit, terasa ada tangan kasar yang menekup mulutnya dengan kain basah. Tatkala dia memandang wajah yang tersenyum sinis memandangnya, pandangannya semakin kabur dan dia terkulai tidak sedarkan diri.

"MANA BEG AKU?"
Saat telinga menangkap suara itu Nayli gagahkan dirinya untuk membuka mata. Cahaya memenuhi retinanya. Putih dan terang. Dia menutup matanya kembali bila terasa silau pada matanya. Lantas dia mengosok matanya beberapa kali sebelum membukanya lagi.
"Mana beg aku?"
Nayli segera bangun bila wajah itu tersua di matanya. Wajah yang sempat dilihatnya sebelum dia pengsan sebentar tadi. Dan serentak dengan itu dadanya berdebar tidak keruan. Dia pandang sekeliling. Dia sedang duduk di atas sofa di ruang tamu sebuah rumah yang cukup asing baginya. Keningnya berkerut. Rumah siapa? Kenapa dia dibawa ke sini? Apa yang berlaku kepadanya? Ada dua orang lelaki lain berada di belakang lelaki tadi. Nayli kaku. Nafasnya tersekat-sekat menahan takut yang amat.
"Kau di rumah aku!" terang lelaki yang mungkin berusia lewat 20-an.
Debaran jantung yang memang sedia tidak sekata itu bertambah berdebar saat mendengar bicara itu. "Kalau kau bagitau aku di mana kau letak beg aku, aku janji tak akan apa-apakan kau!"
"Beg?" kerutan di dahi semakin ketara. Dia pandang wajah itu lama. Ingin mencari memorinya. Dia benar-benar lupa. Tidak faham dengan maksud lelaki itu.
Lelaki itu tersenyum sinis sebelum mengambil tempat di sebelah Nayli. Tersentak Nayli apabila tiba-tiba lelaki itu menyentuh pehanya yang terdedah. Cepat-cepat Nayli mengalihkan posisi kakinya.
"Tolong lepaskan saya," rayu Nayli. Memang ketika ini hanya itu sahaja yang mampu dia fikirkan. Dia hanya mahu dilepaskan. Fikirannya buntu. Dia sungguh keliru. Dia benar-benar tidak faham apa yang telah terjadi kepadanya.
Apabila dia sedar sebentar tadi, dia berada di tempat yang cukup asing dan dengan pakaian yang cukup asing! Dan tiba-tiba dia ditangkap oleh lelaki ini pula!
"What?" soal lelaki itu dalam senyuman sinis.
"Hampir seminggu aku upah orang aku cari kau, lepas tu kau nak suruh aku lepaskan kau? Aku ni nampak macam orang bodoh ke?" soalnya lagi. Nadanya masih sinis.
Kening Nayli berkerut. Sungguh dia tidak mengerti. Adakah lelaki itu tersalah orang? Mahu sahaja dia bertanya tapi lidahnya membeku.
"Tolonglah lepaskan saya, pak cik. Saya rayu pak cik!" rayu Nayli penuh harapan. Airmatanya mengalir perlahan-lahan. Bahunya terhenjut-henjut menahan esak tangis sebelum menundukkan wajah.
Hah? Rahang Adrian macam nak terkeluar dengan panggilan gadis itu. Muka aku nampak tua sangat ke sampai dia nak panggil aku pak cik? Haiihhh..dia tu nampak muda 2-3 tahun daripada aku sahaja! Atau dia ni nak main-main dengan aku?
"Umur kau berapa?" sengaja Adrian bertanya begitu. Konon-konon nak sedarkan gadis itu yang dia tidak layak dan tidak patut memanggilnya pak cik.
"12 tahun!"
Api kemarahan semakin memuncak. Haba dalam dadanya semakin mencapai darjah celcius paling tinggi. Ishh..dia ni memang sengaja ni! Sengaja nak naikkan kemarahannya sampai boleh buat lawak bodoh macam tu. Dan dengan selambanya Adrian sengaja melingkar tangan di sofa di belakang gadis itu. Dia nak mainkan aku sangatkan..tengok..siapa yang akan takut nanti.
Sungguh tidak selesa Nayli dengan perlakuan lelaki itu. Lalu dia mengesot sedikit ke kanan sofa. Mencipta jarak antara mereka. Namun semakin Nayli cuba mencipta jarak, semakin lelaki itu mengesot mendekati tubuh Nayli. Nayli sudah mula diserang rasa takut. Sekali lagi Nayli mengesot ke tepi sofa namun sepantas itu juga Adrian merapatkan tubuhnya ke tubuh Nayli. Nayli sudah mula tidak keruan. Rasa cuak dan seriau mula mengusai sanubarinya.
Tatkala lelaki itu semakin merapatkan tubuhnya, Nayli cepat-cepat menolak tubuh lelaki itu. Tidak mahu lelaki itu semakin mendekatinya namun kedua-dua tangan lelaki itu pantas menangkap dan menggengam kedua-dua tangannya sehingga menyebabkan pergerakannya kaku sebentar. Nayli tergamam seketika.
Pak cik...jangan..
Lelaki itu hanya tersenyum sinis tanpa suara. Belum pun sempat Nayli mencerna apa yang sedang berlaku.
Cup! Lelaki itu sudah bertindak mencium pipinya. Tersentak Nayli dengan tindakan lelaki itu. Terasa degup jantungnya berdegup lebih pantas dari biasa.
Tiba-tiba satu bayangan menerpa di ruang ingatannya. Bayangan yang dia sendiri tidak mengerti. Kanak-kanak lelaki yang sedang memakai baju pink. Ketakutan, menangis dan tertekan. Apa itu? Nayli cuba mengingati tetapi senyuman sinis yang tersungging di hadapannya membantutkan usahanya.
Tolong jangan apa-apakan saya, rayu Nayli dalam getaran suara.
Tanpa bicara dan kata, lelaki itu sekali lagi membawa bibirnya dekat ke wajah Nayli sehingga menyebabkan Nayli kaku tanpa suara. Dia ketakutan. Rasa yang sama seperti kanak-kanak lelaki berbaju pink itu! Dan Nayli hanya mampu memejamkan matanya rapat kala dia rasakan wajah lelaki itu sudah terlalu hampir dengan wajahnya.
Tiba-tiba tindakan lelaki itu kaku bila bunyi deringan lagu entah dari mana menyapa pendengarannya. Terdengar keluhan kecil sebelum dia rasakan tangannya dilepaskan. Namun begitu matanya masih dipejam rapat. Seketika kemudian dia rasakan seperti lelaki itu bangun dan bergerak menjauhinya.
Jo..jaga dia!
Pantas Nayli membuka matanya. Dilihatnya lelaki itu sudah pun menghilang ke luar rumah sambil melekapkan sesuatu ke telinganya.
Bibir digigit menahan esak dan tubuhnya mengeletar menahan ketakutan. Dia yang cuba bangkit tapi bila pandangannya kabur, tubuh pula lemah segala sendi membuatkan dia terduduk kembali. Dalam beratnya kepala dan kekeliruan yang menyapa dia cuba lapangkan minda dari terus memikirkan nasibnya. Pandangannya kian berbalam. Dia memegang kepala. Sakit di kepala semakin mencucuk. Dan tiba-tiba dunianya terasa gelap.


LANGSIR tingkap diselak sedikit untuk membenarkan cahaya matahari menghiasi bilik sederhana besar itu. Dari tingkap bilik dia dapat melihat panaroma alam yang cukup menenangkan. Namun tidak pada hatinya kala ini.
Dia mengerling tajam kepada seorang gadis yang terbaring lesu di atas katil. Matanya ditutup, berwajah mulus dan mampu mengetarkan naluri lelakinya. Dia nampak ketenangan pada wajah itu. Sesekali terasa damai jiwa menatap bening mata bundar yang bagaikan sedang dibuai mimpi indah.
Mimpi indah? Dada Adrian sakit tiba-tiba. Tangan dikepal kemas. Menyeru segala semangat yang berbaki. Bukti itu perlu dia dapat walau dengan apa cara sekalipun. Dia tidak akan kalah. Dia tidak akan membiarkan ibu tirinya merampas segala harta keluarganya. 
Adrian menggeleng sendirian. Dia masih tidak percaya yang dia boleh buat kerja gila sebegini. Tetapi jangan disalahkan dirinya. Kalau gadis itu tidak memulakannya pastinya dia tidak akan melakukan perkara sebegini!
Adrian menapak dengan penuh gaya menuju ke arah gadis itu. Hari ini dia mahu gadis itu membuka mulutnya. Dia tidak mahu mengurung gadis itu lama-lama. Bimbang ada yang mencarinya. Namun bila dilihat keadaannya rasanya gadis ini adalah gadis liar yang tidak dipedulikan oleh sesiapa. Mungkin kalau dibunuh sekalipun tiada siapa yang menyedarinya.
"Pak cik siapa?"
Adrian lihat kelopak mata gadis itu terbuka dan selebihnya terkatup rapat dengan nafas sedikit megah.
"Kau dah sedar?" tanya Adrian sambil melabuhkan punggungnya di kerusi berhampiran katil.
"Pak cik ni siapa?" tanya gadis itu lagi. Dia duduk sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Mungkin dia sedang bermimpi! Mimpi buruk barangkali!
Adrian ketap bibir. Menahan geram apabila panggilan itu masih meniti di bibir gadis itu. Dia memang sengaja mancari nahas!
Nayli tidak faham bila cerlungan tajam yang menikam matanya dihadiahkan oleh lelaki itu. Sungguh dia berasa kecut perut. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu sudah bercekak pinggang.
"Pak cik? Aku ni tua sangat ke sampai kau anggap aku ni pak cik kau, hah?"
Hati Adrian panas bila Nayli seperti mengejeknya. Panggil aku pak cik lagi? Ini memang satu penghinaan buat dirinya. Adrian menatap Nayli dalam-dalam bagai mahu menelan.
Mem..memang pun!
Adrian mengetap rahang. Penat bercakap dengan orang yang perasan muda macam Nayli ni. Riak wajah di hadapannya langsung tidak menunjukkan rasa bersalah menyebabkan dia diterjah perasaan marah.
"Siapa nama kau?" tanya Adrian kasar.
"Nayli!" Automatik nama itu terpancul di mulutnya. Kepala dipegangnya. Cuba mencari ingatannya. Namun semuanya kelam sekali.
"Umur kau?"
"12 tahun!"
Adrian tersenyum sinis. Nampaknya Nayli sengaja buat dia marah.
12 tahun? Kau buat lawak ke apa ni?
Saya serius pak cik. Kenapa saya nak buat lawak pulak? jawab Nayli jujur sekali. Sungguh dia tidak mengerti mengapa lelaki itu perlu berkata kepadanya. Takkan lelaki itu tidak dapat bezakan antara kanak-kanak dengan dewasa?
Adrian pantas menghampiri Nayli lalu dicapai rambut Nayli secara kasar. Matanya merah menahan marah. Sabarnya kian rabak.
"Kau nak main-main dengan aku ke?" tempik Adrian.
"Sakit pak cik!" ujar Nayli keras. Terasa pedih kulit kepalanya.
"Kau memang tak sedar diri ke atau kau sengaja nak tambahkan kemarahan aku?" Adrian terus merentap rambut Nayli lalu mengheret Nayli mendekat ke almari solek bersamanya. Nayli merayu bersungguh-sungguh bila Adrian menarik kasar rambutnya. Sakitnya usah dikata. Bagaikan hendak tercabut kulit kepalanya.
"Cuba kau suluh diri kau! Betul ke kau 12 tahun?" tengking Adrian lagi. Dia dipaksa mengikut langkah Adrian bila rambutnya ini terus ditarik.
"Kau tengok sekarang! Tengok!" jerkahnya lagi.
Dalam gigilan Nayli memanggungkan wajahnya. Saat biasan wajahnya menyapa retinannya bulat mata Nayli memandangnya. Dia menggeleng tidak percaya. Diamati wajahnya di cermin dinding.
"12 tahun ke kau macam ni? Kau sengajakan? Nak buat aku lagi marah?"
"Sia..siapa tu?" Terketar-ketar tangan naik menunjuk ke arah imej dirinya. Nayli terpaku kepada wajah yang dilihat. Seorang perempuan, berambut panjang melepasi bahu. Tulang pipi menonjol dengan dada yang sudah membukit tinggi. Mulut Nayli ternganga. Adakah ini dia? Kenapa wajahnya sebegini?
Adrian bulatkan mata. Soalan tak logik langsung kalau dia nak jawab. Agak-agak kalau dia cakap itu hantu mau tak si Nayli ni menjerit macam orang gila? Haiiihhh budak kecik ni! Memang sengaja nak naikkan kemarahan aku sahaja.
"Macam mana saya boleh masuk dalam tubuh orang lain?"
Saat ini mahu sahaja Adrian gelak tergolek-golek di lantai. Amboi ayat dia, macam dalam cerita futuristik. Boleh main masuk kat badan orang lain pula. Dia ni sengaja ni nak naikkan darah aku! Adrian mendenggus beberapa kali. Dan wajah sengaja diseriuskan lagi.
"Kau ni nak buat lawak ke apa?" Adrian kepal tangan. Menahan sabar yang semakin rabak.
"Tak pak cik!"
Pak cik? Apasal budak ni suka sangat panggil aku pak cik? Adrian menjeling tajam. Memberi isyarat kepada Nayli yang panggilannya itu sudah membuatkan dia semakin sentap!
"Ini bukan tubuh saya! Macam mana saya boleh ada di sini? Ish mesti semua ni mimpi," Nayli semakin panik. Air mata sudah bergenang ditubir matanya. Dia benar-benar keliru. Berada ditempat yang cukup asing dan di tubuh orang lain! Apa sebenarnya berlaku?
“ Jangan nak mainkan aku lagi!!!!!” Jerkah Adrian terus menghalakan penumbuknya ke arah Nayli.
Nayli yang ketakutan terus menjerit dan memejamkan matanya. Dia begitu takut sekali. Dadanya berdebar hebat dan dia terus memejamkan matanya menanti tumbukan padu itu singgah ke mukanya.
Prang!! Bunyi kaca berderai membuatkan Nayli segera membuka matanya. Dalam kebingungan Nayli dapat melihat cermin solek yang berderai cerminnya. Nafas dihela seketika. Kali ini dia bernasib baik kerana sasaran Adrian bukan di mukanya. Dia tidak tahu mengapa Adrian sengaja mensasarkan sasarannya di situ atau lelaki itu tersalah sasar?
Dalam ketakutan Nayli memberanikan dirinya untuk bertemu pandangan Adrian. Pandangan tajam Adrian membuatkan Nayli terus membisu. Pandangan itu lebih bengis dari semalam. Helaaan nafasnya begitu mengerunkan Nayli. Seumur hidupnya dia tidak pernah melihat lelaki sebegitu. Dia amat takut sekali. Ketakutan yang menggila sehingga kedua-dua lututnya menggigil hebat.
Pandangan Nayli semakin kabur. Airmatanya sudah memenuhi kolam matanya. Ketakutan yang menjalar membuatkannya terus menangis pilu.
"Ap..apa salah saya?" tersekat-sekat Nayli bertanya. Dia tidak jelas sebenarnya. Apa salahnya sehingga lelaki itu melayannya sebegini?
Pantas Adrian memegang dagu Nayli dengan kasar. Mata dibuntangkan sebelum dia berkata,
"Kau berhutang dengan aku! Dan selagi kau tak bayar hutang pada aku, aku tak akan lepaskan kau budak kecik!" Kemudian Adrian melepaskan dagu Nayli sebelum dia berlalu pergi.
Menggigil tubuh Nayli. Lemah segala sendinya. Kaki yang sudah ampuh tidak mampu berdiri lagi. Sudahnya dia terduduk di lantai menangisi nasib yang sudah tersurat buatnya.
"Mama..papa.." hanya nama itu meniti di bibirnya. Mengharapkan mereka datang menyelamatnya. Tiba-tiba dadanya tersentak hebat. Dejavu! Kenapa dia rasakan bagaikan pernah menghadapi situasi sebegini? Di mana? Bila? Dengan siapa? Persoalan yang tiada jawapan membuatkan tangisan Nayli semakin bergema.


Saturday, 14 May 2016

Aku benci kau (bab 2)

Koleksi novel-novel Rabihah Nur Ridhuan: aku benci kau (bab 2)

DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 17

Mata Harith Mishka tidak berkelip memandang sesusuk tubuh di hadapannya. Benarkah apa yang sedang terpampang di hadapan matanya tatkala ini? Anggun Danisha sedang memakai baju kurung dan bertudung litup? Ish mesti semua ini hanya mimpi! Bukankah minah saleh celup itu lebih banyak memakai pakaian ala-ala baratnya. Malah kehidupannya lebih mirip kepada orang barat! Tidak mungkin dengan sekelip mata Anggun Danisha berubah sedrastik itu!
Pantas Harith Mishka menampar pipinya. Dia cuba menyedarkan dirinya. Namun kesakitan yang dirasainya tatkala dia menampar pipinya menyebabkan Harith Mishka sedar yang dia sedang berada di alam realiti. Malah wajah Anggun Danisha yang ayu berbaju kurung dan bertudung litup itu masih berada di hadapannya.
Buat seketika Harith Mishka seolah-olah sedang terpesona dengan apa yang terpampang di matanya tatkala ini. Tiada cacat cela pada wajah itu. Memang dia mengakui Anggun Danisha mempunyai paras wajah yang cukup ayu sekali. Hidung yang terletak, bibir merah bak saga. Di tambah dengan lesung pipit menghiasi kedua-dua pipinya melengkapkan kesempurnaan pada wajah itu. Buat pertama kalinya dada Harith Mishka bergetar buat seorang wanita. Perasaan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Perasaan yang indah dan cukup membahagiakan.
"Ta ra...cantik tak I hari ini?" tanya Anggun Danisha sambil berposing maut di hadapan Harith Mishka. Tidak segan Anggun Danisha berpusing sebegitu. Manakala Harith Mishka sudah menelan liur. Al maklumlah mana pernah ada perempuan yang berani berposing maut sebegitu. Hampir sahaja tersungkur imannya apabila melihat aksi sebegitu.
"Kau ni nak buat apa? Kau nak aku seret kau masuk bilik ke?" tanya Harith Mishka sambil sengaja menseriuskan wajahnya. Dia cuba menstabilkan perasaan tidak menentunya. Sudah tidak tentu arah dibuatnya.
"What?" tanya Anggun Danisha sambil mengerutkan keningnya. Sungguh dia tidak faham  dengan bicara lelaki itu. Dipandang pada baju kurung yang melekap di badannya. Rasanya sempurna sahaja baju yang dibawa dari Finland itu.
"What was I did wrong?" tanya Anggun Danisha lagi. Dia terus memerhatikan riak serius Harith Mishka.
Harith Mishka mendenggus geram. Dia tidak tahu sama ada gadis di hadapannya sengaja buat-buat tidak tahu ataupun dia sememangnya tidak tahu?
"Yang kau tiba-tiba goda aku tu apasal?" tanya Harith Mishka.
Anggun Danisha segera menegakkan tubuhnya. Sungguh dia tidak menyangka hanya gayanya sebegitu boleh diistilahkan sebagai menggoda bagi lelaki di Malaysia! Kolotnya!
"Macam tu dah tergoda ke?" tanya Anggun Danisha tanpa ada riak bersalah."I bukannya pakai seksi pun! Siap bertudung litup lagi you boleh tergoda," tambah Anggun Danisha lagi. Dia sengaja mengusik Harith Mishka.
"Cubalah kau buat lagi! Nanti kau tahulah nasib kau," kata Harith Mishka sambil membeliakkan matanya.
"Tadi bercakap macam ustaz tapi rupa-rupanya iman tak de lah kuat mana," usik Anggun Danisha sambil terus berlalu ke kereta.
Harith Mishka mendenggus geram. Hatinya tiba-tiba terasa begitu panas dengan perlian Anggun Danisha itu. Ah perempuan ini memang sengaja mencari fasal dengannya!
"Yang kau masuk dalam kereta aku tu kenapa?" tanya Harith Mishka. Dia terus masuk ke dalam keretanya. Wajah Anggun Danisha yang duduk di tempat duduk di sebelahnya dijelingnya geram. Sungguh dia tidak suka dengan sikap selamba Anggun Danisha. Sesuka hatinya sahaja mahu masuk ke dalam keretanya tanpa mendapat kebenarannya terlebih dahulu!
Anggun Danisha hanya beriak selamba. Malah sengaja dia melebarkan senyuman untuk menambahkan perasaan sakit hati lelaki yang berada di sebelahnya itu.
"Nak jalan-jalan," kata Anggun Danisha. Dia sengaja berkata begitu untuk menyakitkan lagi hati Harith Mishka. Dia mahu tengok setakat mana lelaki itu boleh bertahan dengan ragamnya.
"Jalan-jalan?" tanya Harith Mishka sambil membeliakkan matanya. Wajah Anggun Danisha ditenungnya serius. Namun hatinya bertambah sakit apabila gadis itu hanya berwajah selamba. "Ada aku ajak kau pergi jalan-jalan?" tambah Harith Mishka.
"Memang you tak ajak I tapi I ajak you," kata Anggun Danisha.
Harith Mishka mendenggus geram. Bibirnya diketap rapat. Cuba menahan dirinya daripada terus memaki hamun gadis di sebelahnya. Nafasnya sudah turun naik. Perasaan indah yang merantai hatinya sebentar tadi sudah hilang entah ke mana. Ah dia sememangnya sudah gila kerana boleh ada perasaan begitu dengan gadis seperti ini.
"Kau ingat aku tak de kerja ke? Lebih baik kau turun sekarang sebelum aku tarik kau keluar," kata Harith Mishka dengan kasar.
Anggun Danisha hanya mengangkat tanda peace kepada lelaki itu sambil melebarkan senyumannya. Tiada tanda-tanda untuk dia keluar dari kereta lelaki itu. Malah wajah garang Harith Mishka tidak menakutkan dirinya.
"You ni garang sangat sebab itulah sampai sekarang you tak ada girlfriend. Cuba cool sikit," kata Anggun Danisha dengan lembut. Dia sengaja melemparkan senyuman lebar. Biar lelaki itu terus terbakar dengan reaksinya itu.
"Apa yang kau nak sebenarnya?" tanya Harith Mishka dengan garang. Sungguh dia tidak mampu bersabar dengan Anggun Danisha. Sudahlah pandai-pandai sahaja gadis itu mengatakan yang dia tiada teman wanita! Dia ingat aku ni tak laku sangat ke? Dia tidak tahukah muka aku yang handsome ni telah mencairkan hati ramai wanita?
"I nak tumpang you. I nak jumpa my sweetheart," terang Anggun Danisha.
"Tumpang?" tanya Harith Mishka sambil merenggus geram. Geram benar dia dengan sikap Anggun Danisha yang sesuka hatinya sahaja membuat keputusan tanpa berbincang dengannya.
"Alah you bekerja di Lembah Pantai. Same place with Bunyamin," terang Anggun Danisha.
"Kau ingat Lembah Pantai tu kecil?"
"Just drop me kat mana-mana bus stand yang ada di situ. Nanti I suruh Bunyamin pick up I di situ," kata Anggun Danisha.
"Jadi sebab tu kau pakai macam ni?" tanya Harith Mishka jelak. Tiba-tiba dia berasa menyampah untuk mendengar kisah cinta Anggun Danisha itu.
Cepat-cepat Anggun Danisha mengangguk.
"Sebab Min suka I bertudung."
"Min?"
"Bunyamin! I akan lakukan apa sahaja yang Min suka," kata Anggun Danisha sambil tersenyum penuh harapan. Dia mengharapkan perubahan yang dilakukan ini mampu memberikan perkembangan yang positif dalam hubungan mereka kelak.
Harith Mishka mencebek. Rasa mahu termuntah mendengarkan pengakuan Anggun Danisha itu. Baginya Anggun Danisha terlalu berlebih dalam mengejar cintanya.
"Kau ni tak boleh ke jadi diri sendiri? Don’t be a woman that need a man, but be a woman that a man need," perli Harith Mishka.
Anggun Danisha tidak memperdulikan bicara Harith Mishka itu. Sebaliknya dia sudah mula angau dengan perasaan cintanya. Hanya wajah Bunyamin yang bermain di layar ingatannya tatkala ini. Seperti biasa apabila Anggun Danisha mula angau dia akan melukis imej love dengan jarinya. Apabila melihat tangan Anggun Danisha yang sudah berada di cermin tingkapnya, terus sahaja mata Harith Mishka membeliak.
"Hei jangan pandai-pandai nak lukis love kat situ," kata Harith Mishka memberi amaran.
Anggun Danisha mengeluh geram. Baru sahaja dia mahu melayan angaunya tetapi Harith Mishka sudah mengacaunya! Ah potong stim betul mamat ni!


DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 16

Laman Facebook dibukanya dengan  perasaan yang berdebar. Nama Bunyamin di taipnya tanpa sabar. Sudah lama dia tidak melihat gambar terbaru Bunyamin yang selalu di kemas kininya di laman ini. Sebenarnya aktiviti ini adalah aktiviti yang sering dilakukannya semenjak dia dan Bunyamin terpaksa memutuskan hubungan cinta mereka akibat tentangan papanya.
Mata Anggun Danisha terpaku apabila melihat gambar Bunyamin dengan seorang wanita berbaju kurung kuning dan memakai tudung sedondon dengan warnanya. Tiba-tiba hati Anggun Danisha berasa begitu sakit. Perasaan cemburunya semakin menguasai dirinya. Sungguh dia ingin mengetahui apa hubungan Bunyamin dengan wanita itu. Namun tidak tertulis apa-apa di situ.
"Kenapa Min tak tulis apa-apa? Just update gambar perempuan ni aje?" tanya Anggun Danisha sendirian. Matanya masih terpaku kepada gambar perempuan itu. Dia mula membandingkan kecantikan antara dirinya dengan wanita itu. Mulutnya dicebek geram.
"Min dah buta ke? Perempuan yang tak secantik mana ini yang mahu dipilihnya. Ah apa yang menariknya tentang wanita ini? Mungkin sebab dia bertudung! Ya betul! Min suka perempuan yang bertudung," kata Anggun Danisha sendirian. Hatinya membengkak. Dia berasa menyesal kerana tidak pernah mengikut kehendak Bunyamin. Semasa mereka sedang hangat bercinta lelaki itu acapkali mahu dia menutup aurat namun Anggun Danisha hanya memekakkan telinganya. Dia tidak mahu dipandang pelik apabila tampil bertudung di negara Barat yang sentiasa mengamalkan kehidupan bebas itu.
"Ah siapa perempuan ini?" kata Anggun Danisha.
Tanpa sabar terus dia membaca komen-komen yang telah dititipkan di situ. Ternyata semua komen yang diberikan telah merentap hati dan perasaannya. Tahniah! Memang pasangan sepadan! Macam merpati dua sejoli! Dada Anggun Danisha terasa mahu meletup. Pantas sahaja dia menutup laptopnya dengan kasar.
"Tak kan secepat itu Min mendapat penganti. Ah tak boleh! Aku akan pastikan Bunyamin menjadi hak milik aku semula. Tidak mungkin semudah itu Min dapat melupakan cinta kami," kata Anggun Danisha.
Anggun Danisha menarik nafasnya. Entah kenapa hatinya berkobar-kobar. Bagaikan timbul satu semangat di dalam dirinya untuk kembali menakluki Bunyamin. Dia tahu dia perlu berubah menjadi apa yang disukai oleh Bunyamin. Malah dia akan pastikan Bunyamin terharu dengan pengorbanan yang telah dilakukannya ini.
Sedang Anggun Danisha termenung sendirian, tiba-tiba telefon bimbit Anggun Danisha bernyanyi. Nombor telefon yang tidak dikenali itu pantas diangkatnya. Nombor telefon daripada talian tetap. Dia yakin itu adalah nombor pejabat Bunyamin kerana hanya Bunyamin sahaja yang tahu nombor telefonnya di Malaysia.
"Hello sayang," kata Anggun Danisha ceria. Hilang terus segala kegundahan hatinya tatkala ini. Wajah Bunyamin yang setia menemani mimpinya mula terbayang di ruang matanya.
"Sayang? Nak termuntah aku mendengarnya," jerkah suara di hujung talian.
Anggun Danisha terpempam. Matanya membulat. Terkejut dirinya dengan suara kasar di hujung talian. Dia memandang telefon bimbitnya dengan kerutan di dahi. Siapa pemanggil di hujung sana? Tersalah panggilankah?
"Kau ingat aku ni Buaya Man kau ke?" tambah suara di hujung talian.
Buaya Man? Kening Anggun Danisha dikerutkan. Siapa pula Buaya Man ni? Anggun Danisha tertanya-tanya sendirian. Gaya percakapan lelaki di hujung panggilan bagai mengenali dirinya. Tiba-tiba mulut Anggun Danisha terlopong. Bunyamin jadi Buaya Man?
"Mishka? Mishkakah ini?" tanya Anggun Danisha hampir menjerit.
"Iyalah. Tak kan Buaya Man kau pula!" kata Harith Mishka sinis.
Anggun Danisha menepuk dahinya. Bibir diketapkan rapat. Sungguh dia berasa malu dengan lelaki itu. Kenapa dia begitu gelojoh memanggil sayang tanpa memastikan terlebih dahulu siapa pemanggilnya. Tidak fasal-fasal dia sudah memalukan dirinya sendiri.
"Bukan Buaya Man! Bunyamin! You jangan sesuka hati you sahaja mengelar boyfriend I macam tu!" tegur Anggun Danisha. Dia sengaja mengeraskan suaranya. Biar lelaki itu nampak ketegasan dirinya.
"Whatever!" balas Harith Mishka masih tidak mahu mengaku kalah.
Anggun Danisha berdehem. Sebenarnya dia tidak mampu bersabar dengan perangai Harith Mishka yang sengaja mencari pasal dengannya.
"You nak apa ni? Macam mana you dapat phone number I?" tanya Anggun Danisha. Suaranya masih serius. Malas dia mahu melayan Harith Mishka yang tidak betul itu!
"Tolong jangan perasan sangat boleh tak? Atuk yang suruh aku call kau," kata Harith Mishka.
Anggun Danisha mencebek. Menyampah benar dia dengan bicara sinis lelaki itu. Siapa yang perasan pula? Salahkah kalau dia bertanya?
"Asyik terperap dalam bilik sejak dari tadi. You ni masih tidur lagi ke? Dah solat subuh ke belum?" bebel Harith Mishka. Dia faham benar dengan perangai manusia yang dibesarkan di negara barat. Pastinya bebas dan tiada pegangan agama.
"You ni jangan berlagak macan ustaz boleh tak? You nak apa sebenarnya?" tanya Anggun Danisha.
"Atuk suruh aku bagitau kau yang kau akan tinggal seorang di rumah. Atuk dah pergi klinik. Dia ada appointment hari ini. Aku baru nak gerak ke pejabat," kata Harith Mishka. Suaranya mendatar. Tiada kemesraan yang mahu ditunjukkannya.
"I tinggal seorang la. Hmmm," keluh Anggun Danisha. Dia sudah dapat membayangkan tahap kebosanannya kelak. Ah lebih baik aku jumpa Bunyamin! Detik hati Anggun Danisha tiba-tiba. Pantas sahaja senyuman Anggun Danisha meleret.
"You kerja di mana?" tanya Anggun Danisha. Dia sudah merangka sesuatu. Dia mahu memberi kejutan kepada Bunyamin. Kejutan yang mampu membuatkan Bunyamin terpaku memandangnya buat kali pertama.
"Lembah Pantai. Kenapa?"
Mata Anggun Danisha membulat. Hatinya melonjak gembira.
"Kerja mana?" tanya Anggun Danisha sekali lagi.
"Lembah Pantai!" jerit Harith Mishka sambil mendenggus geram. Dia ni memang tak dengar atau buat-buat tak dengar?
Mendengarkan jawapan dari Harith Mishka itu membuatkan senyuman Anggun Danisha semakin lebar. Nampaknya semua ini satu kebetulan yang cukup menyenangkan dirinya.
"Kalau macam tu you tunggu sekejap. Give me 5 minute," kata Anggun Danisha sebelum dia terus menamatkan panggilannya. Manakala Harith Mishka tercenggang sendirian.
"Dia ni nak buat apa pulak?" tanya Harith Mishka. Pantas dia melihat jam di pergelangan tangannya.
"Aku dah lambat ni! Hisshhh minah ni suka sangat menaikkan darah aku!" renggus Harith Mishka lagi.