Friday, 10 July 2015

Review Lasernya Mulut Dia

Fully recommended …Kalau tengok dari tajuk , mmg ingat cerita kelakar ,tetapi bila baca… haishhh menangis menangis menangis , ketawa mengekek , senyum gatal lps tu sambung balik menangis menangis menangis. Tengok.. berapa banyak ku nangis baca novel ni . 1 kepuasan .. memang betul2 best. Mlm ni nak ulang2 baca lagi .. ulang ulang sampai airmata tak kuar dah… kah kah kah.

Tan Sri Hassan sering teringatkan kesilapan lampaunya pada zaman muda hanya kerana dia tamakkan wang dia telah menyebabkan 2 kematian berlaku dan seorang anak kehilangan ke2 ibubapanya . Dia seringkali menangis dan menyesal kerana gagal menjadi peguam yang menjalankan tugas dengan jujur dan berlandaskan agama, kerana terasuk dengan sogokan wang dari Datuk Razali , dia telah menganiaya Amin salah seorang pekerja Datuk Razali dan memutar belitkan fakta sehinggakan Amin didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara dan tidak lama kemudian dia meninggal kerana rusuhan berlaku didlm penjara yg didiaminya , selepas itu isterinya yang mengidap Leukimia telah mengikutnya kerana dia tidak cukup wang untuk membiayai perubatannya selepas suaminya meninggal. Tinggallah Amir Rifqi yg ketika itu berumur 16 tahun sebatang kara, Hidup Rifqi tidak seindah org lain, dia sering dihina sebagai anak banduan. Rifqi tidak patah semangat, dia bekerja sambil belajar untuk menampung kehidupannya. Dia bertekad untuk menjadi peguam bagi menegakkan keadilan. Tan Sri Hassan menyuarakan penyesalannya kepada Kudin pembantu peribadinya dan meminta Kudin mencari keluarga Amin, setelah dia mengertahui apa yang berlaku terhadap Rizqi , Tan Sri Hassan menawarkan biasisiswa dari Syarikat guaman miliknya itu untuk Rifqi belajar dengan syarat Rifqi kena bekerja dengan mereka setelah tamat pengajianya.

Anak Tan Sri Hassan juga bekerja di Firma guaman milik papanya yang terkenal itu, Akan tetapi sikap Ayris Imani yang sombong dan suka marah2 itu tidak disenangi oleh pekerja2 papanya, walaupun sering dinasihati oleh papanya , Iman tetap kekal dengan perangainya itu, Kehadiran Rifqi di firma itu pada mulanya membangkitkan perasaan marah kepada Iman kerana sikap Rifqi yang sedikit loyar buruk dan suka melawannya . Perangai selamba dan sedikit kelam kabut Rifqi menyebabkan semua pekerja di situ tidak kering gusi ketawakannya lebih2 lagi bila dia mengenakan Iman

“You ni dah kenapa? Tak fasal2 boleh bersilat bagai di sini. Tulah , lain kali kalau nak masuk bagi salam. Ini tak, main redah aje. Ataupun you ni sememangnya tak tahu cara nak bagi salam? Takkan perkara asas tu pun tak tahu. Maklumlah staf baru. Banyak sangat yang tak tahu.” Perli Ayris Imani.

“ Saya tahulah! Tak perlu ajar saya! “ Jawap Amir Rifqi selamba.

“ Hah , kalau macam tu cubalah bagi salam!” Suruh Ayris Imani.

“Marabuka”

Semua orang yang berada di dalam bilik mesyuarat terdiam seketika. Masing-masing memandang antara satu sama lain. Sungguh mereka tidak menyangka Amir Rifqi akan berkata begitu. Kemudian terus terburai ketawa mereka. Begitu juga dengan Ayris Imani yang sentiasa berwajah serius itu.

Iman kadang2 naik angin dengan Rifqi , tetapi Rifqi buat bodoh je. Keadaan itu menyebabkan Tan Sri Hassan berkenan dengan Rifqi kerana baginya Rifqi yang boleh mengubah perangai sombong dan garang anaknya itu, dia dan Kudin merancang mcm2 cara untuk menyatukan mereka . Akhirnya kerana dia tidak tahan , dia meluahkan keinginannya kepada mereka yang dia ingin melihat mereka berkahwin. Pada mula Rifqi dan Iman menentang , Rifqi menentang kerana takutkan dia akan diisterikan oleh Iman yang garang itu . Seriau beb tambah2 dia pernah melihat Iman menyepak kelangkang Datuk Razali. Akan tetapi setelah mereka melakukan isytikarah dan petunjuk Allah semasa mereka mengerjakan umrah di Mekkah , mereka menerimanya. Akan tetapi sikap garang Iman sering menyebabkan Rifqi terasa, dia menasihati Iman supaya menghormatinya sebagai bakal suami, Iman tidak puas hati dan tetap marah dan menjerkah Rifqi , Rifqi merajuk dan ia menyebabkan Iman tidak senang hati dan dia menghubungi bakal suaminya itu dan meminta maaf . Selepas kahwin , perangai Iman mula berubah , dia melayan Rifqi dengan baik, kemanjaan dan sikap hormat iman kepada Rifqi menyebabkan rumahtangga mereka bahagia, penuh dengan gurau senda . Akan tetapi ketika Tan Sri Hassan dan Kudin mengerjakan ibadah umrah, Datuk Razali telah memecahkan rahsia kepada Rifqi tentang apa yang berlaku kepada ayahnya . Dan dia mengatakan Tan Sri Hassan yang menyebabkan Amin dipenjarakan . Ini menyebabkan Rifqi marah dan sering bertindak kasar terhadap Iman. Iman yang tidak mengertahui apa yang berlaku merasa sedih kerana suaminya berubah secara tiba2. Bila dia bertanya kenapa, Rifqi menyatakan dia benci kepada Tan Sri Hassan sekeluarga. Iman memberitahu apa yg berlaku kepada papanya dan Tan Sri Hassan mengatakan yg bapa Rifqi menjadi mangsa akibat perangai tamaknya dulu. Oleh kerana risau dengan apa yang berlaku , Tan sri Hassan dan Kudin kembali ke Malaysia . Rifqi marah walaupun Tan Sri memohon maaf , oleh kerana mengikut kata hatinya , Rifqi telah menceraikan Iman pada masa itu dan TanSri telah terkena serangan jantung dan meninggal dunia . Walaupun mengertahui yang bapa mentuanya telah meninggal, Rifqi yang membencinya tidak menziarahinya . Tinggallah Iman keseorangan menhadapi kesedihan itu. Selepas beberapa hari Rifqi pulang dan menyatakan dia telah mendaftarkan penceraian mereka utk dibicarakan. Walaupun Iman merayu , dia tetap mengatakan dia tidak dapat hidup bersama anak org yang membunuh ayahnya. Malang bertimpa2 bila Iman disahkan menghidap Leukimia dan disahkan oleh doktor akan hidup antara 3 – 6 bulan lagi . Sedihkan? Best tau … nak tahu apa yang berlaku seterusnya , sila beli n baca novel ni.

Lasernya Mulut Dia Bab 16

Tan Sri Hasan menyemak beberapa fail kes yang telah syarikatnya kendalikan dalam tempoh sebulan ini. Dalam pemerhatian Tan Sri Hasan, kebanyakan kes yang dikendalikan mereka di bawah Akta Dadah Berbahaya iaitu memiliki dadah dan memasukkan dadah ke dalam badan. Saban minggu kes ini mencatatkan jumlah yang paling banyak. Daripada yang masih muda sehingga yang sudah tua. Baik lelaki mahupun perempuan. Terdapat juga di kalangan mereka ini yang pernah ditangkap, dituduh dan disabitkan kesalahan sebelum ini. Bukan sekali, malah ada yang berkali-kali. Ya Allah, betapa tenatnya masalah dadah ini di Malaysia. Tetapi kenapa hukum Islam tidak mahu dilaksanakan lagi?
“ Tan Sri buat apa tu?” tanya Kudin tatkala dia masuk ke dalam ruang pejabat Tan Sri Hasan. Tan Sri Hasan mendonggak sepintas lalu sebelum kembali menumpukan perhatian kepada fail yang berada di atas mejanya.
“ Tengah semak beberapa fail ini. Sedih saya melihat keadaan sekarang ini,” luah Tan Sri Hasan.
“ Kenapa pula?” tanya Kudin bimbang sekali.
“ Tengoklah kebanyakan kes yang syarikat kita handle kebanyakannya di bawah Akta Dadah Berbahaya,” kata Tan Sri Hasan.
“ Kes dadah ini sudah menjadi barah dalam masyarakat kita,” komen Kudin pula.
“ Sebab itulah hukuman berat juga perlu dikenakan ke atas penangih,” kata Tan Sri Hasan. Menurut pendapat Tan Sri Hasan penangih yang berulang akan memberi bebanan kepada keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa. Di dalam hukuman ta’zir pihak berkuasa boleh mengenakan hukuman yang setimpal dengan bijaksana. Hukuman yang tidak ditetapkan oleh syarak tetapi boleh dikenakan oleh pihak berkuasa dengan tujuan menghukum dan membimbing.
“ Dalam islam, hukum pengharaman dadah berdasarkan hadis Ummu Salamah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud yang bermaksud Rasullulah melarang setiap perkara yang memabukkan,” terang Tan Sri Hasan. Begitulah gaya dan percakapan seorang peguam. Setiap hujah yang dikemukan pasti dengan bukti dan dalilnya.
“ Saya pernah terbaca satu rencana yang bertajuk kewajaran peruntukan hukuman berat ke atas penagih dadah di Malaysia menurut perspektif syariah yang mencadangkan supaya hukuman pengambilan dadah dilakukan sama seperti hukuman ke atas peminum arak contohnya kesalahan buat kali pertama dikenakan sebanyak 40 sebatan dan kesalahan berulang dikenakan jumlah yang sama ataupun lebih iaitu 80 sebatan dan di bawah prinsip ta’zir bagi kesalahan buat kali ketiga boleh dikenakan 120 sebatan atau penjara. Saya percaya dengan hukuman sebegini sudah tentunya penangih dadah atau masyarakat sekitar yang melihat hukuman ini tidak akan berani untuk mengambil najis terkutuk ini,” terang Tan Sri Hasan panjang lebar.
“ Saya juga bersetuju Tan Sri. Sebab masalah penyalahgunaan dadah ini adalah gejala penyakit masyarakat yang paling merbahaya. Ia menyerang semua lapisan masyarakat khususnya golongan muda. Dadah melemahkan kekuatan ekonomi dan melumpuhkan pembangunan negara,” sokong Kudin.
“ Asyik berbincang fasal isu dadah sampai terlupa, sebenarnya tujuan kamu datang ke sini kenapa?” tanya Tan Sri Hasan. Kudin tersenyum lebar dengan pertanyaan Tan Sri Hasan itu.
“ Datang nak bagi laporan la ni,” kata Kudin sambil tersengih penuh makna.
“ Laporan? Laporan apa pula ni? Kamu ni macam ada sesuatu aje,” duga Tan Sri Hasan.
“Riuh satu pejabat, Tan Sri,” kata Kudin dengan sengihan lebar.
“ Kenapa pula?” tanya Tan Sri Hasan masih tidak dapat menangkap sesuatu.
“ Cik Iman dengan Rifqi bergaduh,” kata Kudin lagi.
Penyataan Kudin itu membuatkan Tan Sri Hasan mula memberikan tumpuan kepada Kudin. Jelas senyuman lebar terpamer di wajahnya.
“ Oh nampaknya buku sudah bertemu dengan ruas. Saya ingat semua orang takut dengan Iman. Rupanya ada juga yang berani melawan. Syukur,” kata Tan Sri Hasan.
Kudin tergelak besar mendengarkan bicara Tan Sri Hasan itu. Siapa tidak kenal dengan anak Tan Sri Hasan yang garang macam singa betina itu. Satu pejabat sememangnya sangat fobia dengannya. Sampaikan sudah ramai yang rela hati meletak jawatan kerana tidak tahan dengan karenah Ayris Iman yang mudah naik angin itu.
“ Cik Iman tu kasar semacam. Mana orang tak takut,” komen Kudin. Malah anaknya Damia juga kadang kala mengadu kepadanya tentang ketidakpuasan hati anaknya dengan sikap Ayris Imani itu.
“ Saya sebenarnya berkenan sangat dengan Rifqi. Budaknya baik, sopan dan pandai hormat orang tua,” luah Tan Sri Hasan. Dengan Kudin dia tidak pernah berahsia. Baginya Kudin adalah orang kepercayaannya yang setia.
“ Memang budaknya baik,” tambah Kudin pula.
“ Dia seorang yang tabah. Kalaulah saya tak buat kesilapan dulu pastinya hidupnya tidak segetir itu,” kata Tan Sri Hasan. Dia sudah mula menyalahkan dirinya. Tan Sri Hasan mendenggus lemah.
“ Sudahlah Tan Sri. Jangan di ungkit lagi perkara lama. Tan Sri sudah memperbetulkan keadaan bukan?” nasihat Kudin, cuba menceriakan hati Tan Sri Hasan. Kalau boleh dia tidak mahu Tan Sri Hasan terus-terusan menyalahi dirinya.
“ Tapi saya tak berani untuk memohon maaf daripadanya lagi,” akui Tan Sri Hasan, jujur. Itulah kelemahannya. Dia masih tiada kekuataan untuk melakukan semua itu. Dia takut Amir Rifqi akan terus membencinya sedangkan dia begitu menyayangi anak muda itu. Dia sudah mengganggap Amir Rifqi seperti darah dagingnya sendiri.
“ Biarlah keadaan reda dulu. Lagipun kat ofis ni sudah kecoh dengan pergaduhan antara Cik Iman dan Rifqi,” kata Kudin, cuba mengeluarkan Tan Sri Hasan daripada terus digauli dengan perasaan bersalah dan menyesal.
Tan Sri Hasan mendenggus lemah. Ragam anak muda kadang-kala memeningkan dirinya. Namun Tan Sri Hasan tersenyum pula apabila tiba-tiba dia mendapat satu idea.
“ Kalau macam tu apa kata saya jodohkan Iman dengan Rifqi,” kata Tan Sri Hasan yang sudah tersengih lebar. Manakala Kudin pula melopong tidak percaya apabila mendengarkan cadangan mengejut Tan Sri Hasan itu.
“ Nak ke Cik Iman?” tanya Kudin yang begitu tidak yakin dengan cadangan Tan Sri Hasan itu.
“ Saya wali mujbir dia. Saya berhak paksa dia,” kata Tan Sri Hasan. Wali mujbir adalah wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih dara tanpa meminta izin gadis itu terlebih dahulu.
“ Iskh Tan Sri ni, budak zaman sekarang mana suka paksa-paksa,” kata Kudin.
“ Tahulah saya pujuk anak saya tu. Lagipun kita sebagai orang tua ni pun kena bijak juga kalau nak anak ikut cakap kita,” kata Tan Sri Hasan.
“ Tan Sri nak buat apa?”
“ Adalah plan saya. Awak tunggu dan lihat sahaja,” kata Tan Sri Hasan tersengih lebar.

Lasernya Mulut Dia Bab 15

Hari ini Amir Rifqi tidak mengikut Ayris Imani ke penjara sebaliknya menjalankan follow up untuk kes-kes yang di ambilnya pada minggu sebelum itu. Tidak banyak yang dilakukan setakat menghubungi keluarga tertuduh sekiranya diminta melakukannya.
Amir Rifqi kemudiannya menyediakan senarai nama pesalah yang memerlukan khidmat bantuan guaman yang akan diberikan kepada Ayris Imani untuk tindakan lanjut.
“ Rifqi, you sudah pergi ke immigration?”
Suara Ayris Imani mengejutkan Amir Rifqi yang sedang tekun menyediakan senarai nama pesalah yang memerlukan khidmat bantuan guaman.
“ Sudah. Minggu lepas saya sudah pergi bersama Damia,” kata Amir Rifqi sambil tersengih lebar. Seperti biasa Ayris Imani akan menunjukkan muka ketatnya.
“ Ada I tanya you pergi dengan siapa?” tanya Ayris Imani sinis.
Kerek betul minah ketat ni. Aku punyalah mahu beramah mesra dia boleh buat muka ketat? Sabar je lah! Sudahnya Amir Rifqi tersengih macam kerang busuk. Biar Ayris Imani makin panas dengan reaksinya itu.
“ You dah buat kertas temuduga?” tanya Ayris Imani sambil mendenggus geram. Sakit matanya melihat kerang busuk itu! Kalau gigi putih tak pe lah juga. Ni kuning berkeladak! Kalau dikikis kuningnya itu sampai boleh di buat keju. Eee gelinya.
“ Sudah. Hari tu I ada interview beberapa orang bangla. You tahu tak best betul interview ni. Boleh develop interview skill. Nak dapat cerita sebenar dari bangla pergh punyalah susah. You tahulah bangla ni memang kaki pusing. Kadang-kadang ada fakta yang diaorang cuba sembunyikan. Tapi tengoklah siapa yang interview. Ni Rifqilah! Pandai auta! I kasi soalan perangkap sikit barulah dapat fakta sebenar! Tapi interview ni very challengingYou nak tahu sebab apa? Sebab diaorang ni bukannya faham bahasa melayu pun! Faham sikit-sikit je! Bahasa inggeris lagilah hancur!” cerita Amir Rifqi panjang lebar. Dia pula ketawa terbahak-bahak. Kononnya kelakar benarlah ceritanya itu. Tetapi peliknya Ayris Imani hanya buat wajah selamba.
“ Dah habis?” tanya Ayris Imani sambil berpeluk tubuh.
Amir Rifqi berdehem.
“ You ni tak de sense of humor ke? Muka tu asyik ketat memanjang. Tak takut cepat tua ke?” tanya Amir Rifqi masih mahu berjenaka.
“ Kerja sebagai lawyer bukannya kerja main-main. Kena serius! Kalau tidak masalah tidak selesai. You jangan lupa every action of yours will effect someone life, someone property, someone family. Kerja ni bukan kerja main-main,” tegur Ayris Imani.
“ Baik bos,” kata Amir Rifqi mendatar. Huh meranalah siapa yang menjadi suaminya. Serius 24 jam.
“ Mana kertas temuduga?” tanya Ayris Imani.
Tanpa menjawab Amir Rifqi memberikan fail kepada minah ketat itu. Fail dibuka dan dia membeleknya dengan kusyuk.
“ Bagaimana you buat fakta kes ini?” tanya Ayris Imani dengan kasar.
Seperti biasa apabila Ayris Imani marah, Amir Rifqi hanya senyum macam kerang busuk. Apa lagi yang dia boleh buat. Tak kan pula dia mahu melawan bosnya yang angin semacam itu.
“ I buat macam biasalah,’ jawab Amir Rifqi.
“ Siapa yang ajar you buat macam ni? Itu sebablah masa chambering dulu kena salin nota!” marah Ayris Imani. Suaranya kedengaran tegas. Boleh buat Amir Rifqi kecut perut. Amir Rifqi menelan liur.
“ Macamana bos tahu I tak salin nota? Bos stalker I ek?” Amir Rifqi kalau bab menjawab memang nombor satu. Kalau tidak sia-sia sahajalah dia menjadi peguam kalau bab-bab menjawab dia tidak jadi juara. Amir Rifqi nampak Ayris Imani sudah panas berapi. Macam nak hangus satu badan! Tapi Amir Rifqi hanya ketawa puas di dalam hatinya kerana dapat mengenakan kembali minah ketat itu.
Ayris Imani mendenggus geram. Kurang asam punya kuli. Boleh pula dia mengena aku time aku tengah angin macam ni! Iskh aku sumbat fail ni dalam mulut kau baru tahu!
“ Itulah susahnya kerja dengan budak baru! Sudah ambil chambering pun masih bodoh! Ambil balik report you ni!” Ayris Imani menjerit kuat sehingga pekerja lain yang sedang ralit membuat kerja pun sudah mula menoleh.
Hish, teruk betul minah ketat ni! Nak bercakap tak pernah berlembut. Asyik high volume je. Agaknya kalau dia ada suami boleh tahan ke dengan perangai dia ni? Buat sakit telinga je!
“ Kalau bodoh bos tolonglah ajarkan. Sebab tu lah Tan Sri suruh bos training saya bukan?” Amir Rifqi tidak mahu mengalah. Eh dia lelakilah! Tak kan lah dia mahu mengalah dengan perempuan? Oh tidak! Ini akan menjatuhkan martamatnya sebagai seorang lelaki macho! Apatah lagi teman-teman sekerjanya sedang memerhatikannya tatkala ini.
Ayris Imani mendenggus geram. Matanya merenung tajam menikam mata Amir Rifqi. Bersinar seperti burung helang yang sedang bersiap sedia untuk menyambar mangsanya.
“ Ohh you melawan ya. Ada hati nak mengajar I. Ada I minta taklimat dari you? Tu lah kerja tak pernah serius. Dari tadi asyik bercakap. Buat habis air liur je,” marah Ayris Imani. Marah Ayris Imani sudah sampai ke kepala. Dia bukan peduli pun ada mata yang sedang melihat dan ada telinga yang sedang menadah.
“ Kalau tak bercakap takut mulut busuk pula! Macam mulut you!”
Tergamam! Tiba-tiba Ayris Imani tergamam. Bagaikan terkena penahan petir. Mulut aku busuk ke? Oh tidak! Terus sahaja Ayris Imani menutup mulutnya.
Semua pekerja memandang antara satu sama lain. Mereka bagaikan terkejut dengan apa yang terkeluar dari mulut Amir Rifqi. Apabila Ayris Imani berlari masuk ke dalam biliknya, apa lagi terburai terus ketawa mereka. Berdekah-dekah. Masing-masing seronok apabila Amir Rifqi berjaya mengenakan Ayris Imani yang garang macam singa itu.
“ KURANG asam! Dia kata mulut aku busuk! Eee..rasa macam nak tampar-tampar je dia!” Jerit Ayris Imani sambil menghentakkan kakinya.
“ Iskh busuk ke mulut aku ni?” tanya Ayris Imani sambil terkocoh-kocoh cuba mencium bau mulutnya. Iskh busuknya. Mana aku nak letak muka ni? Malunya… Luah Ayris Imani sendirian.

Lasernya Mulut Dia Bab 14

Amir Rifqi meneliti sebuah fail yang akan dikendalikannya bersama dengan Tan Sri Hasan. Dia berasa bertuah kerana menerima tunjuk ajar daripada Tan Sri Hasan sendiri. Tan Sri Hasan banyak memberi tunjuk ajar kepadanya tentang bagaimana menjadi seorang peguam yang hebat. Bukan sahaja setakat hebat di dunia tetapi hebat juga di mata Allah, Tuhan pencipta alam.
“ Kita kena bersedia setiap masa. Pastikan kita tahu semua fakta-fakta kes, bukti-bukti yang dibawa, jumlah tuntutan dan segalanya tentang kes. You have to master the knowledge on the files,” kata Tan Sri Hasan, memberi tunjuk ajar kepada Amir Rifqi.
“ Kena hafal semua ke fakta kes dalam fail ini?” tanya Amir Rifqi. Bukan senang dia mahu menghafal semuanya. Kalau menulis memanglah senang. Tetapi kalau berdepan sendiri bolehkah dia melawan hujah peguam lawan? Ah, apa pun kerjaya semuanya bukan senang. Pastinya ada cabaran tersendiri.
“ Ya, mesti. Bila peguam lawan mengutarakan apa-apa isu, kita sudah bersedia untuk membalas balik dan ianya disokong dengan bukti yang ada,” jawab Tan Sri Hasan.
Amir Rifqi mengangguk. Kemudian dia meneliti dokumen-dokumen yang ada di dalam fail. Dia akan mengendalikan kes seorang wanita yang telah dikenakan tindakan kebankrapan oleh jabatan insolvensi Malaysia akibat namanya digunakan oleh abang kandungnya untuk memulakan perniagaan. Abangnya tidak dapat membayar hutang sebanyak RM 224 ribu menyebabkan dia juga terheret sama untuk menanggung hutang tersebut.
“ Kasihan client ini. Tidak fasal-fasal dia yang kena notis kebankrapan atas hutang orang lain. Client ni takut kalau rumahnya akan dilelong,” kata Amir Rifqi menceritakan kes yang akan dikendalikannya.
Tan Sri Hasan menggangguk. Dia memandang wajah Amir Rifqi. Apabila terpandangkan wajah itu pastinya perasaan bersalah itu terus merantai dirinya. Ya Allah, jahatnya dirinya. Manusia jenis apakah dia? Ya Allah, dia hanya mementingkan dirinya sahaja. Dia langsung tidak memikirkan penderitaan yang terpaksa Amir Rifqi tanggung disebabkan sikap tamak haloba dirinya. Malah tiada sekelumit perasaan kesian terhadapnya. Kenapa dirinya begitu kejam, Ya Allah?
“ Sesiapa yang bankrup tidak dibenarkan memiliki apa-apa harta yang melebihi RM 5000 nilainya. Pihak yang memberi pinjaman seperti bank tidak boleh mencaj apa-apa faedah pinjaman ke atas sesiapa yang diistiharkan bankrup selepas enam bulan. Ini akan menyebabkan kemudahan pinjaman tidak lagi boleh berjalan. Oleh yang demikian, rumah client ini tentu akan dilelong,” kata Tan Sri Hasan, cuba melontarkan perasaan bersalah itu jauh-jauh. Namun ianya hanya sia-sia.
“ Kesiannya. Bukan dia yang berhutang semua itu tetapi dia hanya dijadikan kambing hitam sahaja. Habis tu bagaimana kita mahu menolongnya?” tanya Amir Rifqi cukup prihatin. Dia tidak mahu anak guamnya ini mengalami nasib yang sama seperti ayahnya. Sememangnya kedatanganya dalam dunia perundangan adalah untuk menegakkan keadilan.
“ Itulah, jangan senang berikan kebenaran untuk orang menggunakan nama kita walaupun saudara sendiri. Takut beginilah jadinya. Adakah syarikat abang client kita adalah sebuah syarikat Sdn Bhd? Kemungkinan tinggi client ini adalah seorang Pengarah syarikat atau partner syarikat,” tanya Tan Sri Hasan. Hatinya sayu menatap wajah Amir Rifqi.
“ Menurut penyataan clien, dia hanya menggunakan namanya untuk membuka akaun semasa bagi syarikat abangnya. Client tidak memegang apa-apa jawatan pun dalam syarikat abangnya itu. Kalau dirujuk kepada saman dan kenyataan tuntutan plaintif ini juga tidak menyatakan yang client adalah sebagai pengarah syarikat atau apa yang berkaitan dengan syarikat abang client,” terang Amir Rifqi.
Tan Sri Hasan mengangguk lagi. Dia bermain dengan dagu sambil meniliti fakta kes yang telah diberitahu oleh Amir Rifqi.
“ Jika surat tuntutan tidak menyatakan client sebagai pengarah, apakah yang dinyatakan terhadap client? Apakah client menerima apa-apa notis atau perintah mahkamah selepas client menerima Notis kebankrapan?” tanya Tan Sri Hasan lagi.
“ Dalam penyata tuntutan mengatakan defendan pertama yakni abang client atas persetujuan defendan kedua yakni client telah mengeluarkan satu keping cek milikan akaun defendan kedua kepada plaintif untuk tujuan menjelaskan pinjaman tersebut. Cek kedua RM 14 ribu telah ditunaikan dan diserahkan. Defendan pertama juga atas persetujuan defendan kedua telah mengeluarkan dua keping cek milikan akaun defendan kedua kepada plaintif untuk tujuan menjelaskan pinjaman tersebut tetapi kedua-dua cek telah dikembalikan setelah diserahkan atas alasan akaun tutup,” terang Amir Rifqi panjang lebar. Sememangnya dia belum ada pengalaman dan memerlukan tunjuk ajar daripada Tan Sri Hasan.
“ Mmm Penyataan Tuntutan itu amat mengelirukan. Macam tak ada klausa tindakan yang betul. Kalau betul tak ada sebab-sebab tindakan mahkamah yang munasabah penghakiman mereka perolehi boleh diketepikan,” kata Tan Sri Hasan.
Amir Rifqi menarik nafas penuh kelegaan. Lega dia apabila mendengarkan penyataan Tan Sri Hasan itu. Sekurang-kurangnya dapat juga dia membantu clientnya yang teraniaya itu.
“ Oh lega saya apabila Tan Sri berkata begitu,” kata Amir Rifqi.
“ Cuba cari apa-apa lagi yang boleh bantu kita menang dalam kes ini. Ingat Rifqi, every action of yours will effect someone life, someone property, someone family,” nasihat Tan Sri Hasan. Nasihat yang sering diberikan kepada Ayris Imani dan semua pekerjanya.
Amir Rifqi menganggukkan kepalanya. Dia faham dengan bicara ketuanya itu. Bukan senang menjadi seorang peguam. Dia tahu betapa susahnya menjadi seorang peguam. Sebelah kaki di syurga, sebelah di neraka. Kalau salah mengadili, boleh terjerumus dalam neraka. Moga Allah melindungi dirinya.
Namun begitu Amir Rifqi sedar sebenarnya tidak kiralah apa juga prospek kerjaya yang diceburi dan dilaluinya, sebenarnya terdedah kepada dosa. Bahkan menjadi seorang ustaz dan pendakwah sekalipun tetap terdedah kepada dosa kerana dia telah memikul satu amanah. Amanah inilah yang menentukan sebelah kakinya di neraka atau tidak.
“ Jangan lupa Rifqi, sebagai seorang peguam, kita mestilah mencuba mencegah mahkamah dari menjatuhkan hukuman secara tidak adil dan mungkin juga secara tidak Islamik. Di sinilah peranan terbesar kita sebagai peguam dalam membela keadilan dan kebenaran,” nasihat Tan Sri Hasan lagi.
Amir Rifqi menggangguk sambil mengeluh lemah. Ah alangkah baiknya kalaulah abah di adili oleh peguam yang jujur seperti Tan Sri Hasan. Pasti keadilan untuk abah dapat ditegakkan. Fikir Amir Rifqi sendirian.
“ Insyalah Tan Sri. Untung saya dapat bekerja dengan seorang peguam yang jujur seperti Tan Sri ini,” kata Amir Rifqi.
Tan Sri Hasan hanya mampu mengeluh lemah. Dia rasa tersindir dengan bicara Amir Rifqi itu. Ah Rifqi, kalau kau tahu akulah yang menyebabkan kematian ayah kau, pastinya kau tidak akan memuji aku sebegini. Aku memang tidak layak di puji, Rifqi. Aku terlalu banyak dosa! Dosa aku besar sebesar dunia!
“ Tak perlulah Rifqi puji saya begitu. Saya tak layak untuk semua itu. Saya banyak dosa,” kata Tan Sri Hasan menelan kesat apa yang sedang terpaku di sanubarinya.
“ Tan Sri ni terlalu merendah diri. Semua orang berdosa, Tan Sri. Yang maksumnya hanya Rasul sahaja,” luah Amir Rifqi.

Lasernya Mulut Dia Bab 13

Hari pertama sememangnya membosankan. Dia masih belum biasa untuk melakukan sebarang kerja. Masih perlu di suruh dan di arah untuk membuat sebarang kerja.
“ Nak buat apa ni?” tanya Amir Rifqi.
Farid yang sibuk meneliti sebuah fail mula memberi tumpuan kepada Amir Rifqi. Dia berasa kasihan dengan Amir Rifqi yang masih belum membiasakan diri dengan pekerjaan barunya itu.
“ Buat apa? Buat bodoh je lah,” kata Farid sambil ketawa.
Amir Rifqi mengetap bibir. Geram pula dia dengan sikap loyar buruk teman barunya itu.
“ Hah, kau boleh tolong aku tak?” tanya Farid tiba-tiba. Apabila melihat Amir Rifqi yang hanya termenung tanpa sebarang kerja membuatkan dia mendapat satu idea.
“ Tolong apa?”
“ Kau tolong beli nasi lemak kat warung depan opis kita tu. Tolonglah, aku lapar ni,” kata Farid. Dia sudah membuat muka seposen. Kononnya meminta simpati dari Amir Rifqi.
“ Iskh tak naklah aku. Tak fasal-fasal terkantoi pula. Kau pergilah sendiri,” kata Amir Rifqi. Dia ingat aku ni orang suruhan dia ke? Memang cadangan Farid itu tidak masuk dek akal. Sudahlah hari ini adalah hari pertama dia bekerja di sini.
“ Alah sekejap je. Tak sampai lima minit pun. Kalau bos cari kau, aku cakaplah kau pergi toilet. Tolonglah. Aku sakit perut ni,” rayu Farid.
“ Kau pergilah sendiri. Nanti aku tolong cover kau,” kata Amir Rifqi pula.
“ Kau tak de kerja, kau pergilah. Aku banyak kerja nak disiapkan ni. Please…”
Amir Rifqi mendenggus geram. Melihatkan wajah seposen Farid itu membuatkan dia tidak sampai hati.
“ Kalau aku kantoi nanti, siap kau! Hah kau nak makan apa?”
AMIR RIFQI terkejut. Tiba-tiba ruang pejabat menjadi sunyi sepi. Tiada sesiapa di dalamnya. Begitu juga dengan Farid yang kononnya mahu meng’cover’ dirinya. Eh mereka semua pergi mana ni? Amir Rifqi tertanya-tanya sendirian.
Dengan membawa beg plastik yang berisi dua bungkus nasi lemak untuk dirinya dan Farid, Amir Rifqi tawaf ke sekeliling ruang pejabat. Dia cuba mencari rakan sekerjanya yang lain. Tiba-tiba telinganya menangkap suara seseorang memberi taklimat di dalam bilik mesyuarat. Amir Rifqi mengeluh lemah. Dia tertanya-tanya sendirian. Mahu masukkah?
Perlahan-lahan Amir Rifqi membuka pintu bilik mesyuarat. Seperlahan yang dia mampu sehingga ketika dia membukanya dia menahan nafasnya buat seketika. Dia tidak mahu ada sesiapa menyedari kemunculannya di sini. Dia mahu menyelinap masuk seperti ala-ala James Bond.
Krekkk…nampaknya pintu tidak mahu bekerjasama dengannya. Malah bunyi pintu menyebabkan semua staf Tetuan Hasan & Associates terus menumpukan kepada kehadirannya. Sudahlah tatkala itu Ayris Imani sedang memberi taklimat. Oh tidak, pasti bencana besar akan menimpanya!
Mata Ayris Imani yang tajam mencerlung memandang Amir Rifqi yang tersengih macam kerang busuk. Dengan selamba Amir Rifqi mengangkat tangannya kepada Ayris Imani walaupun hati di dalam kecut semacam.
Tetapi dek kerana gabra punya pasal dia telah mengangkat tangan bersama dengan beg plastik nasi lemaknya. Apa lagi terkantoilah dia! Mata Amir Rifqi membulat. Oh tidak, dia sudah mengundang kemarahan kali kedua majikannya itu. Terus sahaja dia menyembunyikan beg plastik di tangannya ke belakang.
“ Apa yang ada di tangan you tu, Rifqi?” tanya Ayris Imani dengan sinis. Amir Rifqi pula hanya menunduk tanpa berani memandang kepada Ayris Imani yang merenung tajam kepadanya.
“ Berani you keluar pejabat waktu kerja? Hari pertama you dah berani tunjuk belang,” panjang lebar Ayris Imani memperli Amir Rifqi. Suaranya kedengaran tegas. Amir Rifqi menelan liur. Alahai, kenapalah bos aku garang macam singa betina?
“ Baiiiiikkkkkk….bos.”
Amir Rifqi mempraktikkan ajaran Farid kepadanya. Perkataan baik itu dia sebut panjang sekali sampai dia perasan yang ada beberapa staff tertawa sambil menutup mulut mereka. Takut ketawa mereka di dengari oleh Ayris Imani yang sedang menyinga itu.
“ You sengaja mempermainkan I?” tanya Ayris Imani.
Ayris Imani sudah mengamuk. Suaranya bergema nyaring. Hampir pecah gegendang telinga Amir Rifqi tatkala itu.
“ Bos cakap dengan siapa tu?” tanya Amir Rifqi sambil mengorek-ngorek telinganya. Kalau seminggu dia di sini boleh jadi pekak telinga dibuatnya mendengarkan jeritan histeria lady bosnya ini.
“ Dengan youlah!”
“ Kenapa bos menjerit? Saya dekat je pun. Kalau berbisik pun saya boleh dengar lagi,” selamba sahaja Amir Rifqi menjawab.
Pang! Ayris Imani menepuk meja dengan kuat.
“ You ni memang nak kena!”marah Ayris Imani.
“ Hah, bos nak buat apa dekat saya?”
Dek kerana gabra punya pasal, Amir Rifqi terus membuka buah silat yang ternyata sumbang lagaknya. Ayris Imani dan staff yang lain kepelikan memandang Amir Rifqi yang sedang berpancak silat. Dan selepas itu, apa lagi, bergema bilik mensyuarat dengan tawa mereka. Masing-masing memegang perut kerana tidak tahan melihat reaksi spontan Amir Rifqi itu.
Muka Amir Rifqi sudah bertukar merah. Malu semalu malunya. Dia menggaru kepalanya sendiri. Itulah, apasal dia gelabah semacam. Tidak fasal-fasal jatuh reputasinya yang kacak lagi macho ini.
“ You ni dah kenapa? Tak fasal-fasal boleh bersilat bagai di sini. Tu lah lain kali kalau nak masuk bagi salam. Ini tak main redah je. Ataupun you ni sememangnya tak tahu cara nak bagi salam? Tak kan perkara asas itu pun tak tahu? Al maklumlah staff baru. Banyak sangat yang tidak tahunya,” perli Ayris Imani.
Amir Rifqi mendenggus geram. Marahnya semakin membuak-buak. Lantas dengan selamba sahaja Amir Rifqi menjawab,
“ Saya tahulah! Tak perlu nak ajar saya!”
“ Hah kalau macam tu cubalah bagi salam!” kata Ayris Imani terus menduga.
“ Marabbuka!!!”
Senyap. Tiba-tiba sahaja Amir Rifqi rasa bilik mesyuarat itu menjadi senyap. Sunyi sepi bagaikan malaikat sedang lalu. Eh peliknya, kenapa mereka boleh senyap pula? Aku tersalah cakap ke?
Masyalah! Apa yang dah aku buat ni? Aku sepatutnya bagi salam. Amir Rifqi ketap bibir. Semua yang ada terdiam untuk sesaat. Masing-masing memandang antara satu sama lain. Sungguh mereka tidak menyangka Amir Rifqi akan berkata begitu.
Kemudian, apa lagi, terburai terus ketawa mereka. Begitu juga dengan Ayris Imani yang sentiasa berwajah serius itu. Baginya pekerja barunya itu memang kelakar. Lebih kelakar dari Zizan Raja Lawak sampai dia boleh ketawa hingga terkeluar airmata.
“ You ni dah kenapa? Tiba-tiba je nak ambil tugas mungkar dan nakir,” perli Ayris Imani sambil menggelengkan kepalanya. Ketawanya masih berbaki. Manakala Amir Rifqi hanya mampu menunduk. Tidak sangka hari pertamanya telah mencipta sejarah baru di sini.
“ Marabukka..”
Farid tergeleng sambil ketawa geli hati. Manakala Amir Rifqi hanya mampu menahan perasaannya.
“ Ah ini semua kau punya fasal,” marah Amir Rifqi. Di dalam hati dia terus mengutuk dirinya.
“ Kau ni macam kartunlah. Kelakar!” komen Farid lagi. Mengekek dia ketawa.
“ Asyik ketawa dari tadi. Kau tak puas-puas lagi ke nak mempersendakan aku?” kata Amir Rifqi sambil menjeling tajam. Manakala Farid terus lagi dengan sengihan lebarnya. Kepalanya tergeleng-geleng.
“ Marabuka? Macam mana kau boleh sebut perkataan itu?” tanya Farid.
“ Ah aku gelabahlah. Tiba-tiba je perkataan tu yang terpacul keluar dari mulut aku,” terang Amir Rifqi.
Farid ketawa lagi. Pelik Amir Rifqi melihatnya. Dah macam orang kurang siuman dia rasakan Farid tatkala ini. Asyik dari tadi mengekek tawanya. Temannya ini tidak penatkah ketawa dari tadi lagi? Atau satu wayar dalam kepalanya sudah tercabut disebabkan dia terlalu banyak ketawa?
“ Atau kau sememangnya tak tahu bagi salam,” Farid masih giat mengusik.
“ Eh aku tahulah. Assalamualaikum..assalamualaikum…puas hati?” marah Amir Rifqi sambil dia membuntangkan matanya kepada Farid.
“ Bukan Marabukka?” Usik Farid lagi.
Amir Rifqi hanya mampu menahan rasa. Tidak fasal-fasal hari ini dia sudah menjadi raja lawak di pejabatnya ini. Aduh, macamana pula skill ini boleh ada dalam dirinya? Amir Rifqi terus mengutuk diri.
“ Kau memang selalu begini ya?” tanya Farid.
Amir Rifqi yang sedang menunduk memanggungkan kepalanya. Dia terpinga-pinga dengan pertanyaan Farid itu.
“ Begini?” tanya Amir Rifqi kembali.
“ Tak pasal-pasal berpacak silat bagai.”
Amir Rifqi mendenggus kasar. Sungguh dia tidak mahu mengingati peristiwa yang cukup memalukan itu lagi.
“ Bos tu garang sangat. Tengok muka dia sahaja macam dah nak terkeluar kencing aku. Ni kan pula bila dia dah mengamuk. Sebab tu aku mengelabah semacam sampai aku buka buah silat aku,” terang Amir Rifqi.
Bicara Amir Rifqi itu membuatkan Farid semakin giat dengan tawanya. Sungguh dia rasa temannya yang seorang ini begitu kelakar sekali.

Lasernya Mulut Dia Bab 12

Amir Rifqi diperkenalkan kepada Ayris Imani, anak kepada Tan Sri Hasan. Apabila melihatkan Ayris Imani, badan Amir Rifqi menjadi seram sejuk. Menurut Farid, Ayris Imani seorang yang workaholic dan sangat serius di pejabat. Muka pula selalu ketat semacam. Walaupun dia seorang lelaki gagah perkasa, tetapi apabila melihatkan wajah ketat itu membuatkan kejantanannya hilang. Mak ai, teruknya penangan minah ketat ini.
“ Apa khabar errr cik puan,” kata Amir Rifiqi. Tidak tahu mahu membahasakan apa kepada minah ketat di hadapannya ini.
“ Cik! Nampak muka I macam mak cik dah ke?” perli Ayris Imani nampak sedikit angkuh. Marah benar dia apabila Amir Rifqi pandai-pandai ber’puan’kan dia yang masih single.
Ceh kerek gila minah ketat ni. Punyalah gigih aku berbudi bahasa dengan senyum meleret bagai! Sudahnya dia tak senyum! Cakap pun nak tak nak jer!
“ Amboi garangnya. Jangan garang sangat. Nanti tak ada orang yang nak dekat cik,” usik Amir Rifqi tersenyum lebar. Kononnya mahu membuat lawak antarabangsa.
“ Jadi lawyer kena serius tak boleh main-main. Kena professional,” kata Ayris Imani. Dia membuat suara garang dan mukanya sengaja diketatkan.
Amir Rifqi hanya mengangguk-angguk sambil tersenyum macam kerang busuk. Sumpah poyo gila kut minah ketat ni! Aku punyalah mahu ambil hati dia! Senyum sampai ke telinga! Tapi minah ketat tu boleh smash aku balik! Meluatnya aku!
“ Jadi lawyer ni seperti you bekerja dengan masalah orang. Kita yang kena setllekan masalah orang. Jadi kena serius. Tak boleh main-main,” kata Ayris Imani lagi sambil memandang muka putih ala-ala pondan di hadapannya itu.
Amir Rifqi tersengih lagi. Mungkin sebab itulah minah ketat ini serius sahaja. Sebab kepala otak dia sudah sarat dengan masalah orang kot! Duga Amir Rifqi sendirian.
Sepanjang Amir Rifqi tersengih macam kerang busuk, tidak sekalipun minah ketat itu membalas senyumannya. Iskh muka dia memang garang macam tu ke? Atau tak puas hati dengan aku? Iskh azab betullah jumpa orang macam ni!
“ You ni faham tak apa yang I cakapkan ni? Asyik tersengih je dari tadi,” perli Ayris Imani dengan suara agak tinggi sedikit. Sakit hatinya apabila melihatkan wajah pekerja barunya yang seolah-olah sedang mempersendakan dirinya.
“ Faaaahaaam cik,” kata Amir Rifqi sambil mengangguk berkali-kali. Perkataan faham itu sengaja dia cakap dengan kuat dan panjang. Mempraktikkan nasihat yang diberikan oleh Farid sebentar tadi.
Minah ketat ni tak reti nak cakap lembut ke? Asyik volume tinggi je. Tertelan speaker ke apa ni?
“ Ehem bos! Siapa suruh panggil cik pula?” Ayris Imani mengangkat kening. Lelaki putih melepak di hadapannya sudah mula nampak gelisah. Seronok pula Ayris Imani apabila dapat mengenakan pekerja barunya itu.
“ Baik bos!” Sengaja perkataan bos itu dikuatkan suaranya. Ayris Imani hanya membuat riak selamba. Biarkan lelaki di hadapannya rasa. Dia memang suka tunjuk gila kuasa lagi-lagi kepada pekerja baru yang nampak ‘nerd’ sahaja.
“ Sepanjang tempoh probation, apa-apa kerja you akan report kepada I,” kata Ayris Imani.
Alamak! Jatuhlah martabat aku sebagai lelaki macho apabila aku diperintah oleh bos perempuan! Oh tidak! Kenapa malang hidup aku mendapat bos muka ketat ini?
“ Menurut kata Tan Sri dia akan training you berkaitan kes saman sivil dan I akan training you berkaitan kes criminal,” kata Ayris Imani lagi. Dia terus merenungi Amir Rifqi yang asyik tersengih macam kerang busuk. Dia ni sedang mempersendakan aku ke?
Criminal? Mak ai dasyatnya minah ni? Patutlah muka ketat je. Rupanya berkawan dengan gangster.
“ Eh you dengar tak apa I cakap ni!” tengking Ayris Imani apabila melihatkan Amir Rifqi sedang berangan.
“ Dengar minah ketat,” latah Amir Rifqi. Terus sahaja dia menekup mulut. Habislah aku! Hah ambil kau, minah ketat aku bagi! Sepadanlah dengan muka kau yang tak reti nak senyum tu!
Mata Ayris Imani membuntang. Tidak sangka pekerja bawahannya boleh berkata begitu kepadanya. Inilah pertama kali dia mendengar pekerja bawahannya berani mengatanya di hadapan. Kalau tidak selalu di belakangnya sahaja. Oh tak pe, dia masih belum kenal siapa Ayris Imani. Sejarah sudah menunjukkan sekurang-kurangnya tiga orang pekerja telah meletak jawatan kerana Ayris Imani tidak suka kepada mereka. Mungkin pekerja baru di hadapannya mahu mengulangi sejarah lama.
“ What?” tanya Ayris Imani dengan wajah yang serius. Dia masih berlagak selamba sedangkan hati di dalam sudah mendidih melebihi tahap didih. Malah meruap-ruap di dalam.
“ Eh maafkan saya. Se..sebenarnya saya tidak tahu memanggil bos apa. Siapa nama bos ye?” kata Amir Rifqi kalut. Berpura-pura tidak tahu nama Ayris Imani sedangkan dari awal lagi Kudin sudah memberitahunya. Mampuslah aku! Terlepas cakap pula.
Ayris Imani mendenggus geram. Sambil berpeluk tubuh dia memandang Amir Rifqi dengan wajah serius.
“ Panggil sahaja Cik Ayris,” kata Ayris Imani sambil menjeling tajam.
Alamak dia jeling pula! Mampuslah aku kali ini. Relaks Rifqi. Kau kena ambil balik hati dia. Kalau tak kau memang sengaja menempah nahas!
“ Ayris, sedap nama itu. Kat rumah adik-adik panggil apa ya?” tanya Amir Rifqi. Dia cuba berlagak biasa sedangkan hati di dalam sudah tidak keruan. Takut di maki hamun oleh bosnya yang garang macam singa betina itu. Seingat Amir Rifqi, kebanyakan perempuan sangat sensitif apabila lelaki mula berbual tentang keluarganya. Perempuan akan mula rasa selesa dan boleh didekati dengan lebih rapat lagi. Harap-harap taktiknya kali ini menjadilah.
“ Saya anak tunggal. Ayah panggil Iman je. Kenapa? ” balasnya dengan suara mendatar. Namun dia berasa agak selesa apabila lelaki itu mula membicarakan tentang keluarganya.
“ Oh Imani jadi Iman. Panggil cik Iman ok tak? Sedap sikit bunyinya,” balas Amir Rifqi.
“ Whatever!” kata Ayris Imani masih mempertahankan egonya manakala Amir Rifqi terus menggigit bibir. Mampuslah aku!

Lasernya Mulut Dia Bab 11

Amir Rifqi melihat penampilannya di sebalik cermin kaca yang tergantung di dinding. Kemas dan kacak. Namun kekemasan dirinya tidak dapat mengurangkan debaran di dadanya. Ini adalah hari pertama dia akan melaporkan diri di syarikat perundangan yang cukup gah ini setelah hampir empat tahun bertarung untuk mendapatkan segulung ijazah.
“ Mama, Rifqi sudah menjadi seorang peguam. Rifqi janji mama untuk mendapatkan keadilan untuk arwah abah,” kata Amir Rifqi tatkala dia memandang wajahnya buat kali terakhir di balik cermin.
“ Dah handsome, dah.”
Tiba-tiba bahu Amir Rifqi di tepuk tatkala dia sedang melayan perasaannya di hadapan cermin. Amir Rifqi tersenyum. Senyuman yang melindungi perasaan malunya.
“ First day di sini?” tanya lelaki itu.
“ Sebab itulah saya nervous semacam,” akui Amir Rifqi malu-malu.
“ Biasalah. Aku dulu pun first day macam kau juga,” kata lelaki itu.
Amir Rifqi hanya mampu tersipu malu. Tidak sangka pula perbuatannya itu di intai oleh orang lain di dalam diam.
“ Anyway, aku Farid. Aku adalah salah seorang lawyer di syarikat ini,” kata lelaki itu memperkenalkan dirinya. Dia menghulurkan salamnya.
“ Saya Amir Rifqi. Panggil sahaja Rifqi,” kata Amir Rifqi sambil menyambut salam dari Farid.
“ Dah lama ke kau kerja di sini?” tanya Amir Rifqi lagi. Sengaja mahu beramah mesra dengan Farid yang menjadi rakan sekerjanya.
“ Dah hampir empat tahun. Kerja di sini oklah. Tan Sri baik tetapi…” bicara Farid itu terhenti di situ sahaja membuatkan Amir Rifqi tertanya sendirian.
“ Tapi apa?” tanya Amir Rifqi. Dia sudah mula berdebar. Mana tahu sesuatu yang buruk berlaku di syarikat ini.
“ Tapi anak Tan Sri tu ada sedikit kerek,” kata Farid.
“ Kerek? Kerek macamana?” tanya Amir Rifqi masih mahu menyelidiki.
“ Dia seorang yang workaholic dan sangat serius,” terang Farid.
Amir Rifqi mula berdebar. Rasa takut pula mendengarkan cerita Farid itu.
“ Mesti garang kan?” tanya Amir Rifqi lagi.
“ Garang nak mampus. Kalah singa betina,” kata Farid bersungguh-sungguh.
“ Perempuan?” tanya Amir Rifqi.
“ Ya. Tapi sejak akhir-akhir ini, masyalah, moody dia semakin menjadi-jadi. Staff tanya sikit sahaja, nada dia cakap macam nak makan orang,” terang Farid sengaja menakutkan Amir Rifqi. Amir Rifqi kelihatan sudah tidak betah berdiri.
“ Mak aii, dasyatnya,” kata Amir Rifqi takut-takut.
Farid tersenyum geli hati melihatkan gelagat Amir Rifqi itu.
“ Harap-haraplah kau tak kena dengan dia. Kalau tidak, masak kau,” kata Farid.
“ Kalau kena macamana? Mampus aku,” kata Amir Rifqi dengan wajah cuak. Di dalam hati puas dia berdoa agar dia tidak bekerja dengan bos yang garang itu.
“ Kalau kena nasib kaulah! Ha ha…kalau aku kena marah dengan dia, aku relaks je. Iyakan je cakap dia. Bila dia bosan dia stop le. Kalau lawan kang dia aim kau pekerja bermasalah pula. Ha lagi satu tip, tiap kali dia berhenti kejap masa dia marah tu kau cakap baikkkk… dengan kuat dan panjang. Last-last dia boring dia stop lah,” nasihat Farid sambil ketawa suka hati.
Amir Rifqi hanya menahan perasaan. Kurang asam mamat ni! Boleh pula dia gelak time aku gelabah. Dia ni sengaja nak takutkan aku ke? Kata Amir Rifqi sendirian.



TAN SRI HASAN tidak betah duduk. Sekejap dia duduk sekejap pula dia berdiri. Hari ini dia serba tidak kena.
“ Kenapa dengan Tan sri ni?” tanya Kudin apabila melihatkan majikannya seperti kera terkena belacan.
“ Betul ke dia nak lapor diri hari ini?” tanya Tan Sri Hasan.
“ Dia? Siapa dia?” tanya Kudin kembali.
Tan Sri Hasan mendenggus mendengarkan bicara Kudin itu.
“ Amir Rifqi! Betulkah dia datang melapor diri hari ini?” tanya Tan Sri Hasan lagi.
“ Ohhh…budak tu..ikut tarikhnya dia datang lapor diri hari inilah. Dalam surat perjanjian yang saya sediakan dahulu ada mengatakan semua itu,” terang Kudin.
“ Bagaimana pelajarannya?” tanya Tan Sri Hasan masih mahu menyelidiki. Ada perasaan sayang yang bertaut kepada insan yang tidak pernah dikenalinya itu. Perasaan itu wujud akibat dosa yang telah dilakukannya.
“ Budaknya cerdik Tan Sri. Dapat first class honour,” kata Kudin.
“ Alhamdulilah,” kata Tan Sri Hasan yang begitu bangga dengan kejayaan yang diraih oleh Amir Rifqi itu.
“ Saya tak sabar nak berjumpanya,” kata Tan Sri Hasan penuh pengharapan.
“ ASSALAMUALAIKUM, saya Amir Rifqi. Saya datang melapor diri di sini.”
Tan Sri Hasan terus merenungi lelaki yang berada di hadapannya. Wajahnya tidak ubah seperti arwah Amin yang pernah dianiayanya dahulu.
“ Doa orang yang teraniaya amat mustajab tuan. Tetapi saya tidak sekejam itu untuk mendoakan keburukan ke atas tuan. Cuma saya doakan tuan insaf dan dihantui dengan penganiayaan yang tuan telah lakukan kepada saya seumur hidup tuan. Tuan tidak akan hidup dengan aman sebaliknya tuan dihantui dengan kesalahan yang telah tuan lakukan kepada saya.”
Bicara Amin 14 tahun yang lalu bagaikan tergiang-giang di telinganya. Tiba-tiba Tan Sri Hasan terasa ingin menangis. Meraung sekuat hati.
Dalam perasaan bersalah yang mengunung tinggi, terus sahaja Tan Sri Hasan meraih tubuh Amir Rifqi ke dalam pelukannya. Airmata yang dipertahankan melurut jua.
Pelik. Majikannya begitu pelik. Amir Rifqi terkedu apabila tubuh sasanya dipeluk oleh Tan Sri Hasan. Inikah cara salam perkenalan bagi peguam-peguam di Malaysia? Fikir Amir Rifqi sendirian.
“ Tan Sri..”
Panggilan Kudin itu membuatkan Tan Sri Hasan tersedar. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Cuba melegakan segala perasaan gundah yang mencengkam sebelum merenggangkan pelukan antara mereka. Sisa airmata yang berada di tubir matanya disapu sambil memaksa dirinya untuk berlagak ceria.
“ Apa khabar anak muda? Sebenarnya beginilah cara salam perkenalan bagi kita yang bergelar peguam,” kata Tan Sri Hasan, cuba menyembunyikan keterlajuran perbuatannya sebentar tadi. Manakala Kudin pula hanya tersengih lebar.
“ Pandai pula Tan Sri cover,” kata Kudin di dalam hatinya.
“ Baik,” kata Amir Rifqi sambil menyuakan salam kepada Tan Sri Hasan. Sebenarnya dia sendiri keliru. Patutkah bersalaman lagi dengan Tan Sri Hasan setelah mereka berpelukan sebentar tadi? Tetapi kenapa ketika dia berkenalan dengan Farid, lelaki itu tidak memeluknya sedangkan lelaki itu juga adalah peguam?
Tan Sri Hasan menyambut huluran salam daripada Amir Rifqi. Saat salam bertaut, Tan Sri Hasan hampir menitiskan airmatanya sekali lagi tetapi dia cuba kuatkan dirinya untuk berlagak biasa. Dia tidak mahu anak muda dihadapannya ini membencinya setelah mengetahui kejahatan yang pernah Tan Sri Hasan lakukan kepada keluarganya.
“ Ini Kudin, pembantu peribadi saya,” kata Tan Sri Hasan, memperkenalkan Kudin kepada Amir Rifqi.
“ Juga merangkap pemandu kehormat Tan Sri,” seloroh Kudin sambil menghulurkan salam kepada Amir Rifqi.
“ Bukan pemandu kehormat tetapi pemandu terhormat saya. Mana tidaknya sudah hampir 19 tahun dia bekerja dengan saya,” terang Tan Sri Hasan lagi.
“ Ooo maknanya Encik Kudin ni orang kepercayaan Tan Sri lah,” kata Amir Rifqi cuba beramah mesra.
“ Memang Kudin ni orang kepercayaan saya. Semua rahsia saya di tangan dia,” kata Tan Sri Hasan.
“ Ada-ada je lah Tan Sri ni. Mana saya tahu rahsia Tan Sri,” kata Kudin membetulkan bicara Tan Sri Hasan itu.
“ Sebenarnya Kudin juga adalah seorang peguam. Tetapi semenjak saya melantiknya menjadi PA saya, dia sudah tidak aktif lagi menjadi peguam,” terang Tan Sri Hasan lagi.
“ Rifqi panggil sahaja pak cik. Pak cik juga ada anak yang lebih kurang sebaya Rifqi. Dia juga bekerja di sini,” kata Kudin lagi.
Amir Rifqi mengangguk. Di dalam hati dia kagum dengan kepetahan dan keramahan kedua-dua lelaki di hadapannya itu. Terutamanya Tan Sri Hasan yang tidak langsung sombong dengannya. Mungkin Tan Sri Hasan seorang yang suka merendah diri dan menghormati orang lain walaupun lelaki itu begitu kaya dengan harta dunia.
“ Ya anak Kudin juga bekerja di sini. Nanti Rifqi boleh berkenalan dengan Damia di luar sana. Kudin, kenalkan juga Rifqi dengan Iman. Rifqi akan di latih oleh saya dan Iman,” arah Tan Sri Hasan.
“ Iman? Siapa Iman?” tanya Amir Rifqi. Di dalam hati dia berdoa agar dia tidak di latih oleh bos garang yang telah di ceritakan oleh Farid sebentar tadi.
“ Oh Iman tu anak saya. Satu-satunya anak yang saya ada,” terang Tan Sri Hasan membuatkan Amir Rifqi terkedu tanpa kata. Ah masak dia!
“ Baik, Tan Sri. Rifqi jom pak cik bawa awak berkenalan dengan pekerja yang lain,” kata Kudin sebelum membawa Amir Rifqi keluar daripada bilik Tan Sri Hasan.
Sebaik sahaja Kudin dan Amir Rifqi melangkah keluar dari biliknya, Tan Sri Hasan terus sahaja menangis, melepaskan segala perasaan yang sedang mencengkam di jiwanya ini. Kekesalan ini terlalu dalam.
“ Amin, maafkan aku. Rifqi maafkan saya,” tangis Tan Sri Hasan sendirian.

Lasernya Mulut Dia Bab 10

Ayris Imani membaca surat jemputan yang dihulurkan oleh ayahnya. Sebuah forum yang dianjurkan oleh agensi bukan kerajaan tentang pelaksanaan hukum hudud di Malaysia. Sebuah forum yang agak menarik pada pandangan Ayris Imani. Apatah lagi isu hukum hudud bukanlah perkara baru. Ia mendapat liputan meluas di negara ini setelah negara jiran, iaitu Brunei telah melaksanakan hukum Allah ini.
“ Ayah, sebenarnya apakah hukum hudud tu?” tanya Ayris Imani inginkan penjelasan sebenar. Dia tahu bapanya yang sudah lama berkecimpung dalam bidang perundangan pastinya mengetahui perkara ini dengan sejelas-jelasnya.
Tan Sri Hasan yang mendengar pertanyaan Ayris Imani itu tersenyum gembira. Dia begitu seronok apabila Ayris Imani mahu mengambil tahu tentang hal-hal keagamaan. Dia berdoa agar Ayris Imani tidak menjadi sepertinya yang telah mengetepikan hal-hal keagamaan dalam kehidupan sehariannya suatu masa dahulu.
“ Hukum hudud adalah hukuman yang telah ditetapkan Allah dalam al-Quran dan hadis. Manusia dilarang mengubah, menokok atau mengurangkannya. Kalau Iman nak tahu, hudud ini terdiri daripada pelbagai kesalahan. Dalam perbahasan ulama, hudud dikatakan mempunyai enam atau tujuh kesalahan. Antaranya ialah zina, qazaf, minum arak, merompak dan murtad. Kesalahan-kesalahan yang ayah sebutkan tadi bukan sahaja telah termaktub di dalam al-Quran, malah hukumannya juga telah ditetapkan Allah,” jelas Tan Sri Hasan panjang lebar.
“ Hukuman hudud yang Iman tahu adalah hukuman bagi orang yang mencuri adalah potong tangan. Hukuman lain Iman tak lulus lagi. Iman bukannya pandai sangat undang-undang syariah ni,” kata Ayris Imani mengaku kekilafan dirinya.
“ Itulah yang ayah tak suka. Sepatutnya Iman sebagai pengamal undang-undang tahu undang-undang syariah dan undang-undang sivil walaupun Iman hanya handle kes sivil sahaja,” nasihat Tan Sri Hasan.
Ayris Imani hanya tersengih apabila ayahnya menasihatinya sebegitu.
“ Sebenarnya Iman, hukum hudud ini telah dilaksanakan dalam Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Tetapi apabila British datang menjajah negara kita menyebabkan hukuman itu terhakis. Lebih teruk lagi apabila fungsi mahkamah syariah sudah dikecilkan sebagaimana yang kita lihat hari ini. Mahkamah syariah pada waktu itu diletakkan di bawah mahkamah sivil dan sebarang keputusan mahkamah syariah boleh dipinda oleh mahkamah sivil,” terang Tan Sri Hasan lagi.
“ Oh baru Iman tahu. Iman ingatkan negara kita ini tak pernah melaksanakan hudud,” kata Ayris Imani penuh minat.
“ Sebab itu ayah suruh Iman master dalam syariah law juga,” nasihat Tan Sri Hasan lagi.
“ Sebab apa hudud masih sukar dilaksanakan di Malaysia, ayah? Adakah sebab negara kita ini berbilang kaum? Tidak seperti di Brunei, penduduknya kecil dan tidak berbilang kaum,” tanya Ayris Imani masih ingin mengetahui dengan sejelas-jelasnya.
“ Sebenarnya Iman, sistem perundangan di Malaysia tidak sama dengan sistem perundangan di Brunei. Kuasa tertinggi di Brunei terletak pada sultan sendiri dan Brunei mengamalkan pemerintahan secara monarki. Jadi sultan berhak menitahkan sebarang arahan kepada kerajaannya sama ada mahu dilaksanakan undang-undang Islam atau sebaliknya. Perkara ini tidak berlaku di negara kita. Walaupun ada di kalangan sultan Melayu yang menitahkan hukum hudud dijalankan, namun ia tidak mengikat pihak Parlimen untuk melaksanakannya,” terang Tan Sri Hasan.
“ Maknanya ayah, kalau Malaysia mahu melaksanakan hukum hudud perkara pokok yang perlu dibuat adalah meminda Perlembangan Persekutuan dengan kelulusan 2/3 ahli Parlimen daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” tambah Ayris Imani. Cuba memberikan pendapatnya.
“ Betul tu. Kalau dipersetujui kerajaan juga perlu meminda akta bidang kuasa mahkamah syariah 1984 yang membataskan bidang kuasa mahkamah syariah selama ini,” kata Tan Sri Hasan lagi.
“ Dan sebab itu jugalah Kelantan hingga kini tidak mampu melaksanakan hudud?” tanya Ayris Imani.
“ Kelantan tidak boleh melaksanakan hudud disebabkan keterbatasan akta bidang kuasa mahkamah syariah 1984 untuk menjatuhkan hukuman seperti yang dijelaskan dalam hukum hudud. Kalau Iman ada masa, cuba Iman rujuk jadual 9 senarai 2, kuasa yang diberikan oleh Parlimen kepada kerajaan negeri hanya khusus melibatkan jenayah-jenayah bersifat individual sahaja. Selain itu, sebarang undang-undang yang hendak dibuat dan dijalankan oleh kerajaan negeri mesti selari dengan perlembagaan,” terang Tan Sri Hasan.
Ayris Imani mengangguk. Ternyata ayahnya begitu arif dan faham dengan undang-undang syariah walaupun ayahnya bukannya seorang peguam syariah. Timbul kekaguman di dalam dirinya apabila melihatkan ayahnya itu begitu petah memberikan pendapatnya.
“ Maknanya ayah, sebarang hukuman yang hendak dibuat oleh kerajaan negeri mesti tidak boleh mendahului daripada segala yang termaktub di dalam perlembagaan?” tanya Ayris Imani yang masih lagi berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang hukuman hudud ini.
Tan Sri Hasan mengangguk.
“ Perkara tersebutlah yang menyebabkan sehingga ke hari ini Kelantan tidak dapat melaksanakan undang-undang Islam itu,” kata Tan Sri Hasan.
Ayris Imani mengangguk. Pada zaman salafussoleh dahulu, fungsi Hudud adalah membawa keselamatan hidup di dunia dan akhirat. Tetapi sekarang hudud ini di anggap zalim disebabkan oleh masyarakat yang jahil agama, yang lemah iman, yang tidak sabar dan faham erti ujian dan takdir Allah SWT.
“ Ayah sokong tak hudud?” tanya Ayris Imani terus menduga.
“ Iman pula bagaimana?” tanya Tan Sri Hasan kepada Ayris Imani kembali. Dia tersenyum sambil memandang raut wajah anaknya.
“ Iman tak berani komen sebab Iman ini cetek sikit tentang undang-undang syariah. Tetapi bagi Iman hukuman Allah mestilah kita laksanakan. Walaupun ada juga orang kata hudud ni tak sesuai di Malaysia sebab Malaysia ni masyarakat majmuk. Nanti kalau hudud dilaksanakan habislah industri pelancongan kita dan macam-macam lagilah,” kata Ayris Imani.
Ayris Imani sedar dalam keghairahan masyarakat memberi pendapat, tanpa sedar pendapat itu sebenarnya telah mengheret mereka untuk menghina hukum islam. Kadang-kala manusia tidak sedar bahawa hudud itu bukanlah miliknya atau milik orang lain tetapi ia adalah hukum yang diturunkan kepada manusia kerana keihsanan Yang Maha Kuasa.
“ Ayah rasa sudah ada kewajaran untuk kita melaksanakan hukuman hudud. Iman lihat sahajalah statistik kesalahan jenayah di negara kita. Semakin ketara dan tidak boleh dibendung lagi. Tetapi kalau dilaksanakan nanti, pastinya akan terhasil satu perubahan yang besar dan ketara. Antara yang boleh dilihat jelas adalah pelbagai kesalahan di bawah mahkamah sivil akan dipindahkan ke mahkamah syariah,” kata Tan Sri Hasan.
“ Tetapi kan ayah, negara kita masyarakat majmuk bukan? Sesuai ke ayah kalau nak laksanakan hudud?” tanya Ayris Imani lagi. Itulah alasan yang banyak diberikan di media massa.
“ Pelaksanaan hudud ini bukan melibatkan soal majmuk atau tidak sesebuah negara. Hudud ini hanya melibatkan orang Islam. Orang bukan Islam mempunyai pilihan sama ada mahu memilih undang-undang sivil yang sedia ada atau hukum hudud. Jadi ayah rasa, soal majmuk bukan merupakan kekangan atau masalah yang membuatkan Malaysia sehingga ke hari ini tidak mampu melaksanakan hudud,” kata Tan Sri Hasan.
“ Sebab itulah kerajaan perlu mewar-warkan hukuman hudud ini di media massa supaya masyarakat faham dan dapat diterima oleh masyarakat Malaysia. Tak de lah masyarakat asyik pandang hudud ini adalah satu hukuman yang kejam,” Ayris Imani memberikan pendapatnya pula.
“ Betul tu, Iman. Masyarakat kadang-kala melihat hukuman hudud itu kejam dan tidak berperikemanusian. Ini semua disebabkan mereka terlalu terpengaruh dengan propaganda barat. Islam bukan agama menghukum tetapi agama mendidik. Dalam islam hukum itu adalah langkah terakhir. Kalau sesuatu perkara itu cuba dihalang tetapi tidak boleh juga maka langkah terakhir adalah menghukum.”
“ Sebenarnya hukuman hudud itu ada tahapnya dan bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. Contohnya seperti berzina. Secara umumnya, masyarakat hanya tahu hukuman bagi kesalahan itu adalah sebat 100 kali bagi yang belum berkahwin dan rejam sampai mati bagi yang telah berkahwin. Tapi sebenarnya pembuktian zina itu terlalu ketat sebab kes-kes zaman Nabi pun yang pernah dihukum, semuanya berdasarkan pengakuan orang yang melakukan kesalahan dan bukannya berdasarkan keterangan saksi.”
“ Sebab itulah perkara ini perlu dijelaskan kepada masyarakat. Kalau mereka faham, mereka tidak akan risau dan menentang perlaksanaan hukum hudud ini. Hukuman berzina dalam mahkamah syariah hanya denda atau penjara. Lepas tu mereka akan berzina lagi sebab bukannya susah pun bayar denda. Sebab tu lah anak luar nikah dibuang merata tempat,” komen Ayris Imani.
“ Ha itulah pasal. Kalau hukum islam rejam sampai mati bagi yang pernah berkahwin dan sebatan bagi yang bujang. Agak-agak kalau kita tengok hukum rejam atau sebat tu tergamak tak kita nak buat zina? Islam sendiri merupakan ajaran mendidik. Bukan menghukum sesuka hati. Malah pensyariatan hudud dan qisas di dalam hukum jenayah islam sendiri adalah untuk mendidik masyarakt menjadi baik. Membentuk masyarakat yang takut untuk melakukan kejahatan dan kemungkaran hasil dari kesedaran dari dalam diri mereka sendiri,” terang Tan Sri Hasan panjang lebar
Ayris Imani mengangguk. Bersetuju dengan bicara ayahnya itu. Sememangnya hukuman hudud ini adalah bertujuan untuk mencegah serta mendidik dan bukanlah semata-mata untuk menghukum. Tidak wujud penindasan bagi sesetengah golongan. Malah, undang-undang jenayah Islam cukup adil bagi semua agama.
“ Kita adalah pejuang keadilan, Iman. Jika Iman hayati konsep dan pelaksanaannya, Iman pasti akan mengangkat tangan untuk menjadi orang yang pertama melaungkan pelaksanaannya,” kata Tan Sri Hasan lagi.

Lasernya Mulut Dia Bab 9

Amir Rifqi tersenyum riang apabila membaca surat tawaran yang diberikan kepadanya. Dia bersyukur dengan tawaran yang tidak di sangka-sangka ini walaupun dia tidak pernah memohon permohonan ini. Mungkin inilah rezeki yang telah Allah berikan kepadanya setelah hampir 10 tahun dia hidup dalam penganiayaan.
Tawaran mengikuti ijazah sarjana muda undang-undang secara sepenuh masa dengan biasiswa.
Matanya terus tertumpu kepada tajuk utama surat tawaran tersebut tanpa memperdulikan televisyen yang sedang menyiarkan rancangan berita. Tawaran yang diberikan oleh syarikat Tetuan Hasan & Associates sungguh mengembirakan hatinya. Syarikat itu menawarkan biasiswa pengajian dan elaun sara hidup, buku dan alat tulis sepanjang pengajiannya dan sekiranya dia menerimanya dia perlu bekerja di syarikat tersebut selama empat tahun.
“Tetuan Hasan & Associates,” kata Amir Rifqi sendirian.
“ Syarikat guaman yang gah di Malaysia Tetuan Hasan & Associates melakarkan sebuah lagi kejayaan cemerlang apabila berjaya menegakkan keadilan kepada mangsa penipuan hartanah. Kejayaan ini merupakan kejayaan yang cukup bermakna kepada mangsa-mangsa tersebut kerana hampir sepuluh tahun mereka berjuang untuk mendapatkan kembali hak mereka. Kes ini dikendalikan oleh Tan Sri Hasan. Sememangnya Tan Sri Hasan adalah seorang peguam yang sangat handal dan dilabelkan sebagai peguam yang tidak pernah kalah dalam perbicaraan sepanjang tempoh dia berkhidmat sebagai peguam. Malah ada juga yang berpendapat bahawa sesuatu kes pastinya akan menang jika Tan Sri Hasan yang mengendalikannya.”
Amir Rifqi menumpukan perhatiannya kepada skrin televisyen yang memaparkan cerita kehandalan seorang peguam. Tiba-tiba bibir Amir Rifqi mengukirkan senyuman lebar. Siapa sangka dia bakal berkhidmat di syarikat yang cukup berprestij ini suatu hari nanti.
“ Terima kasih Tetuan Hasan. Jasa syarikat tuan akan saya kenang sampai bila-bila,” kata Amir Rifqi sambil tersenyum lebar. Sungguh dia bersyukur kerana syarikat ini telah membantunya untuk mencapai cita-citanya. Di dalam diam dia menanam tekad untuk menjadi seperti Tan Sri Hasan, peguam yang sangat gah dan cukup disenangi oleh semua.
“ Janji dengan mama, tegakkan keadilan untuk abah.”
Tiba-tiba bicara ibunya sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir membuatkan Amir Rifqi menjadi sebak. Hatinya dipaut pilu.
“ Mama, Rifqi bakal menjadi peguam. Rifqi akan cari keadilan buat abah,” kata Amir Rifqi dalam linangan airmata.
AMIR RIFQI mengayuh basikal dengan pantas. Sepantas debaran di dadanya. Sesekali basikal yang ditungganginya terlanggar lopak air sehingga membuatkan air kotor itu terpecik ke seluar sekolahnya. Namun Amir Rifqi tidak peduli. Yang pasti dia mahu sampai ke rumah dengan segera. Wajah insan tersayang yang sedang menanggung kesakitan tidak sabar untuk ditatapnya.
Begitulah keadaan Amir Rifqi yang tidak pernah betah berada di sekolah. Walaupun berada di sekolah fikirannya hanya kepada ibunya yang sedang sakit tenat di rumah. Sebenarnya dia tidak mahu ke sekolah. Dia mahu bekerja sahaja supaya dia mempunyai wang untuk menampung kos perubatan ibunya yang mahal. Tetapi ibunya melarang. Setiap kali dia suakan keinginannya itu, pastinya ibunya menangis dan bersedih. Sungguh dia tidak sanggup melihat ibunya bersedih sebegitu membuatkan dia terpaksa akur dengan keinginan ibunya itu.
“ Mama..mama,” jerit Amir Rifqi sambil meletakkan basikal yang ditunggangnya di bawah pohon jambu. Dadanya berdebar hebat. Kadang-kala dia takut. Takut kalau-kalau apabila dia pulang ke rumah dia tidak dapat bertemu dengan ibunya lagi. Sungguh, perasaan itu sangat menyiksa dirinya.
Pantas sahaja Amir Rifqi menapak masuk ke dalam rumah. Ingin mendapatkan ibunya lebih dari segala-galanya.
“ Mama…” kata Amir Rifqi sambil menarik nafas lega. Lega apabila melihatkan ibunya masih bernafas seperti selalunya.
Puan Ainina hanya memandang Amir Rifqi dengan perasaan sebak. Sebak apabila memikirkan anak tunggalnya ini akan ditinggalkan buat selama-lamanya. Mendapat penyakit kanser ini seolah-olah seperti mendapat hukuman mati. Lebih teruk lagi apabila dia tidak mendapat rawatan secukupnya pastinya penyakit kanser ini akan cepat merebak.
“ Mama tak nak pergi hospital ke?” tanya Amir Rifqi. Keengganan ibunya untuk berjumpa doktor amat meresahkan hatinya.
Puan Ainina hanya menggeleng. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Apatah lagi semua harta milik suaminya telah dibekukan oleh mahkamah akibat tuduhan yang telah dikenakan ke atas suaminya itu.
“ Nantilah. Mama tak sakit pun. Nanti kalau mama dah tak tahan mama minta Rifqi dan atuk bawa mama ke hospital ye,” bohong Puan Ainina.
“ Mama..Rifqi sedih tengok mama begini,” tangis Amir Rifqi.
“ Mama sihat sayang. Air yasin yang Rifqi dan atuk baca saban malam amat mujarab. Selepas mama minum, mama tak rasa sakit pun,” tipu Puan Ainina lagi. Dia tidak mahu memberikan tekanan kepada Amir Rifqi. Dia sedar apa yang telah berlaku kepada suaminya itu benar-benar telah memberi tamparan hebat kepada Amir Rifqi. Amir Rifqi di ejek, di maki dan di pandang hina disebabkan perkara tersebut. Dia tahu betapa Amir Rifqi sangat-sangat menderita dengan tragedi yang menimpa keluarga mereka.
“ Mama nak minum air yasin lagi?” tanya Amir Rifqi. Dia berasa lega apabila ibunya berkata begitu.
Puan Ainina mengangguk. Segera Amir Rifqi membantu ibunya untuk bangun sebelum menyuapkan air yasin ke dalam mulut ibunya dengan penuh perasaan kasih.
“ Alhamdulilah. Ayat Allah ini cukup mustajab,” kata Puan Ainina.
Puan Ainina kemudiannya berbaring semula. Dia cuba menyembunyikan kesakitan yang ditanggungnya tatkala ini. Kesakitan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Namun dia tahu dia perlu kuat demi satu-satu zuriatnya yang tersayang.
“ Rifqi, kena belajar berdikari mulai sekarang. Rifqi kena belajar jadi kuat. Rifqi tahu bukan, mama sakit dan mama tidak tahu berapa lama lagi mama boleh bersama dengan Rifqi. Jadi anak yang baik ya sayang. Walaupun mama tiada untuk mendidik Rifqi kelak, tetapi mama rayu kepada Rifqi, tolong jadi insan yang baik. Baik di mata Allah, di mata manusia dan di mata semua makhluk Allah,” nasihat Puan Ainina sambil memegang telapak tangan anak kesayangannya. Di tatap wajah itu penuh kasih. Entah berapa lama lagi Allah memberi peluang untuknya menatap wajah itu?
Allah, walaupun aku sudah tiada kelak, Kau jagalah anak aku dengan baik. Jadikanlah dia pemuda yang dapat membantu menegakkan agamaMu. Hanya padaMu aku bergantung harap. Doa Puan Ainina di dalam hatinya.
“ Mama, apa yang mama cakapkan ni?” tanya Amir Rifqi sebak. Airmata sudah bertakung di kelopak matanya. Airmata yang tidak pernah kering semenjak kejadian aib itu berlaku kepada keluarganya. Allah, betapa besarnya ujian yang Kau turunkan kepada kami sekeluarga.
Puan Ainina memaksa dirinya untuk tersenyum walaupun kesakitan yang mencengkam ini begitu sukar baginya untuk berbuat demikian. Senyuman yang dapat melegakan rawan anak kesayangannya itu. Senyuman yang sebenarnya sudah pupus dalam keluarga mereka sejak peristiwa aib itu berlaku.
“ Mama kena cakap sayang sebab mama tahu Allah akan tarik nyawa mama bila-bila masa sahaja. Apabila Rifqi sudah besar kelak, mama harap Rifqi boleh menjadi seorang lawyer,” bicara Puan Ainina terhenti seketika. Dia rasa sebak sekali. Hampir sahaja dia menitiskan airmata. Namun sedaya upaya dia cuba bertahan. Dia tidak mahu anaknya itu turut bersedih.
“ Lawyer yang amanah dan takut kepada Allah. Dan jika Rifqi ada kesempatan dan peluang tolong tegakkan keadilan buat abah. Dia tidak bersalah sayang. Dia telah diperangkap oleh mereka yang tamakkan harta dunia,” kata Puan Ainina. Akhirnya dia menangis juga. Dia sudah tidak mampu bertahan lagi apabila mengenangkan penderitaan yang terpaksa di tanggung oleh suaminya akibat fitnah orang.
Kasihan abah sayang. Abah begitu menderita sekali. Sudahlah difitnah dan dianiaya. Akhirnya dia mati dengan membawa nama yang busuk. Di mana keadilan untuk suamiku Ya Allah? Kenapa Kau tidak menengakkan keadilan untuknya? Rintih Puan Ainina di dalam hatinya. Dia tidak mahu merintih di depan anaknya. Takut rintihannya ini akan terus menganggu emosi anaknya yang sememangnya sudah terjejas.
“ Insyalah mama,” kata Amir Rifqi sambil menyapu airmata yang sedang laju mengalir di pipinya.
Puan Ainina memaksa dirinya supaya tersenyum lagi. Dia mengusap wajah Amir Rifqi yang kelihatan agak cengkung sedikit. Membuktikan batin anak tunggalnya itu begitu menderita.
“ Satu lagi sayang, jangan berdendam dengan orang. Mama tahu, saat ini Rifqi begitu menderita. Rifqi di maki, di cela disebabkan tragedi perit ini. Mama harap Rifqi bersabar ya sayang. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang bersabar,” nasihat Puan Ainina.
“ Baik mama,” kata Amir Rifqi yang sudah tersedu.
Ah..dapatkah dia bersabar selamanya? Sedangkan hatinya sungguh menderita. Batinnya tersiksa. Emosinya terganggu disebabkan perkara ini. Kenapa mereka yang mencaci dan mencelanya tidak menyelami sendiri perasannya? Allah, Kau kurniakanlah seribu ketabahan dan kekuatan buatku dalam menempuhi kehidupanku yang begitu mencabar ini.