Dia berjalan mundar mandir tanpa arah tuju. Dia keliru. Tidak
tahu ke mana harus dia menapak. Ke kiri? ke kanan? Dia tidak tahu. Dunia ini
terlalu asing buatnya. Di mana dia berada kala ini? Kenapa dia boleh berada di
sini? Ke mana kedua ibu bapanya? Ya Allah, apa sebenarnya telah berlaku
kepadanya?
Dalam kekeliruan perasaannya, Nayli tiba-tiba dikejutkan
dengan kehadiran sebuah kereta yang berhenti di hadapannya secara mengejut.
Sebelum sempat dia mencerna apa yang sedang berlaku ke atasnya, dia rasa
tubuhnya dipaut dari belakang dan diheret masuk ke dalam perut kereta. Belum
sempat dia menjerit, terasa ada tangan kasar yang menekup mulutnya dengan kain
basah. Tatkala dia memandang wajah yang tersenyum sinis memandangnya,
pandangannya semakin kabur dan dia terkulai tidak sedarkan diri.
"MANA BEG AKU?"
Saat telinga menangkap suara itu Nayli gagahkan dirinya untuk
membuka mata. Cahaya memenuhi retinanya. Putih dan terang. Dia menutup matanya
kembali bila terasa silau pada matanya. Lantas dia mengosok matanya beberapa
kali sebelum membukanya lagi.
"Mana beg aku?"
Nayli segera bangun bila wajah itu tersua di matanya. Wajah
yang sempat dilihatnya sebelum dia pengsan sebentar tadi. Dan serentak dengan
itu dadanya berdebar tidak keruan. Dia pandang sekeliling. Dia sedang duduk di atas
sofa di ruang tamu sebuah rumah yang cukup asing baginya. Keningnya berkerut. Rumah
siapa? Kenapa dia dibawa ke sini? Apa yang berlaku kepadanya? Ada dua orang
lelaki lain berada di belakang lelaki tadi. Nayli kaku. Nafasnya tersekat-sekat
menahan takut yang amat.
"Kau di rumah aku!" terang lelaki yang mungkin
berusia lewat 20-an.
Debaran jantung yang memang sedia tidak sekata itu bertambah
berdebar saat mendengar bicara itu. "Kalau kau bagitau aku di mana kau
letak beg aku, aku janji tak akan apa-apakan kau!"
"Beg?" kerutan di dahi semakin ketara. Dia pandang
wajah itu lama. Ingin mencari memorinya. Dia benar-benar lupa. Tidak faham
dengan maksud lelaki itu.
Lelaki itu tersenyum sinis sebelum mengambil tempat di
sebelah Nayli. Tersentak Nayli apabila tiba-tiba lelaki itu menyentuh pehanya
yang terdedah. Cepat-cepat Nayli mengalihkan posisi kakinya.
"Tolong lepaskan saya," rayu Nayli. Memang ketika
ini hanya itu sahaja yang mampu dia fikirkan. Dia hanya mahu dilepaskan.
Fikirannya buntu. Dia sungguh keliru. Dia benar-benar tidak faham apa yang
telah terjadi kepadanya.
Apabila dia sedar sebentar tadi, dia berada di tempat yang
cukup asing dan dengan pakaian yang cukup asing! Dan tiba-tiba dia ditangkap
oleh lelaki ini pula!
"What?"
soal lelaki itu dalam senyuman sinis.
"Hampir seminggu aku upah orang aku cari kau, lepas tu
kau nak suruh aku lepaskan kau? Aku ni nampak macam orang bodoh ke?"
soalnya lagi. Nadanya masih sinis.
Kening Nayli berkerut. Sungguh dia tidak mengerti. Adakah
lelaki itu tersalah orang? Mahu sahaja dia bertanya tapi lidahnya membeku.
"Tolonglah lepaskan saya, pak cik. Saya rayu pak
cik!" rayu Nayli penuh harapan. Airmatanya mengalir perlahan-lahan.
Bahunya terhenjut-henjut menahan esak tangis sebelum menundukkan wajah.
Hah? Rahang Adrian macam nak terkeluar dengan panggilan gadis
itu. Muka aku nampak tua sangat ke sampai dia nak panggil aku pak cik?
Haiihhh..dia tu nampak muda 2-3 tahun daripada aku sahaja! Atau dia ni nak
main-main dengan aku?
"Umur kau berapa?" sengaja Adrian bertanya begitu.
Konon-konon nak sedarkan gadis itu yang dia tidak layak dan tidak patut
memanggilnya pak cik.
"12 tahun!"
Api kemarahan semakin memuncak. Haba dalam dadanya semakin
mencapai darjah celcius paling tinggi. Ishh..dia ni memang sengaja ni! Sengaja
nak naikkan kemarahannya sampai boleh buat lawak bodoh macam tu. Dan dengan
selambanya Adrian sengaja melingkar tangan di sofa di belakang gadis itu. Dia
nak mainkan aku sangatkan..tengok..siapa yang akan takut nanti.
Sungguh tidak selesa Nayli dengan perlakuan lelaki itu. Lalu
dia mengesot sedikit ke kanan sofa. Mencipta jarak antara mereka. Namun semakin
Nayli cuba mencipta jarak, semakin lelaki itu mengesot mendekati tubuh Nayli.
Nayli sudah mula diserang rasa takut. Sekali lagi Nayli mengesot ke tepi sofa
namun sepantas itu juga Adrian merapatkan tubuhnya ke tubuh Nayli. Nayli sudah
mula tidak keruan. Rasa cuak dan seriau mula mengusai sanubarinya.
Tatkala lelaki itu semakin merapatkan tubuhnya, Nayli
cepat-cepat menolak tubuh lelaki itu. Tidak mahu lelaki itu semakin
mendekatinya namun kedua-dua tangan lelaki itu pantas menangkap dan menggengam
kedua-dua tangannya sehingga menyebabkan pergerakannya kaku sebentar. Nayli
tergamam seketika.
“Pak
cik...jangan..”
Lelaki itu hanya tersenyum sinis tanpa suara. Belum pun
sempat Nayli mencerna apa yang sedang berlaku.
Cup! Lelaki itu sudah bertindak mencium pipinya. Tersentak
Nayli dengan tindakan lelaki itu. Terasa degup jantungnya berdegup lebih pantas
dari biasa.
Tiba-tiba satu bayangan menerpa di ruang ingatannya. Bayangan
yang dia sendiri tidak mengerti. Kanak-kanak lelaki yang sedang memakai baju
pink. Ketakutan, menangis dan tertekan. Apa itu? Nayli cuba mengingati tetapi
senyuman sinis yang tersungging di hadapannya membantutkan usahanya.
“Tolong
jangan apa-apakan saya,” rayu Nayli dalam getaran suara.
Tanpa bicara dan kata, lelaki itu sekali lagi membawa
bibirnya dekat ke wajah Nayli sehingga menyebabkan Nayli kaku tanpa suara. Dia
ketakutan. Rasa yang sama seperti kanak-kanak lelaki berbaju pink itu! Dan
Nayli hanya mampu memejamkan matanya rapat kala dia rasakan wajah lelaki itu
sudah terlalu hampir dengan wajahnya.
Tiba-tiba tindakan lelaki itu kaku bila bunyi deringan lagu
entah dari mana menyapa pendengarannya. Terdengar keluhan kecil sebelum dia
rasakan tangannya dilepaskan. Namun begitu matanya masih dipejam rapat.
Seketika kemudian dia rasakan seperti lelaki itu bangun dan bergerak menjauhinya.
“Jo..jaga
dia!”
Pantas Nayli membuka matanya. Dilihatnya lelaki itu sudah pun
menghilang ke luar rumah sambil melekapkan sesuatu ke telinganya.
Bibir digigit menahan esak dan tubuhnya mengeletar menahan
ketakutan. Dia yang cuba bangkit tapi bila pandangannya kabur, tubuh pula lemah
segala sendi membuatkan dia terduduk kembali. Dalam beratnya kepala dan
kekeliruan yang menyapa dia cuba lapangkan minda dari terus memikirkan
nasibnya. Pandangannya kian berbalam. Dia memegang kepala. Sakit di kepala semakin
mencucuk. Dan tiba-tiba dunianya terasa gelap.
LANGSIR tingkap diselak sedikit untuk
membenarkan cahaya matahari menghiasi bilik sederhana besar itu. Dari tingkap
bilik dia dapat melihat panaroma alam yang cukup menenangkan. Namun tidak pada
hatinya kala ini.
Dia mengerling tajam kepada seorang gadis yang terbaring lesu
di atas katil. Matanya ditutup, berwajah mulus dan mampu mengetarkan naluri
lelakinya. Dia nampak ketenangan pada wajah itu. Sesekali terasa damai jiwa
menatap bening mata bundar yang bagaikan sedang dibuai mimpi indah.
Mimpi indah? Dada Adrian sakit tiba-tiba. Tangan dikepal
kemas. Menyeru segala semangat yang berbaki. Bukti itu perlu dia dapat walau
dengan apa cara sekalipun. Dia tidak akan kalah. Dia tidak akan membiarkan ibu
tirinya merampas segala harta keluarganya.
Adrian menggeleng sendirian. Dia masih tidak percaya yang dia
boleh buat kerja gila sebegini. Tetapi jangan disalahkan dirinya. Kalau gadis
itu tidak memulakannya pastinya dia tidak akan melakukan perkara sebegini!
Adrian menapak dengan penuh gaya menuju ke arah gadis itu.
Hari ini dia mahu gadis itu membuka mulutnya. Dia tidak mahu mengurung gadis
itu lama-lama. Bimbang ada yang mencarinya. Namun bila dilihat keadaannya
rasanya gadis ini adalah gadis liar yang tidak dipedulikan oleh sesiapa.
Mungkin kalau dibunuh sekalipun tiada siapa yang menyedarinya.
"Pak cik siapa?"
Adrian lihat kelopak mata gadis itu terbuka dan selebihnya
terkatup rapat dengan nafas sedikit megah.
"Kau dah sedar?" tanya Adrian sambil melabuhkan
punggungnya di kerusi berhampiran katil.
"Pak cik ni siapa?" tanya gadis itu lagi. Dia duduk
sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Mungkin dia sedang bermimpi! Mimpi
buruk barangkali!
Adrian ketap bibir. Menahan geram apabila panggilan itu masih
meniti di bibir gadis itu. Dia memang sengaja mancari nahas!
Nayli tidak faham bila cerlungan tajam yang menikam matanya
dihadiahkan oleh lelaki itu. Sungguh dia berasa kecut perut. Lebih-lebih lagi
apabila lelaki itu sudah bercekak pinggang.
"Pak cik? Aku ni tua sangat ke sampai kau anggap aku ni
pak cik kau, hah?"
Hati Adrian panas bila Nayli seperti mengejeknya. Panggil aku
pak cik lagi? Ini memang satu penghinaan buat dirinya. Adrian menatap Nayli
dalam-dalam bagai mahu menelan.
“Mem..memang
pun!”
Adrian mengetap rahang. Penat bercakap dengan orang yang
perasan muda macam Nayli ni. Riak wajah di hadapannya langsung tidak
menunjukkan rasa bersalah menyebabkan dia diterjah perasaan marah.
"Siapa nama kau?" tanya Adrian kasar.
"Nayli!" Automatik nama itu terpancul di mulutnya.
Kepala dipegangnya. Cuba mencari ingatannya. Namun semuanya kelam sekali.
"Umur kau?"
"12 tahun!"
Adrian tersenyum sinis. Nampaknya Nayli sengaja buat dia
marah.
“12 tahun?
Kau buat lawak ke apa ni?”
“Saya
serius pak cik. Kenapa saya nak buat lawak pulak?” jawab
Nayli jujur sekali. Sungguh dia tidak mengerti mengapa lelaki itu perlu berkata
kepadanya. Takkan lelaki itu tidak dapat bezakan antara kanak-kanak dengan
dewasa?
Adrian pantas menghampiri Nayli lalu dicapai rambut Nayli
secara kasar. Matanya merah menahan marah. Sabarnya kian rabak.
"Kau nak main-main dengan aku ke?" tempik Adrian.
"Sakit pak cik!" ujar Nayli keras. Terasa pedih
kulit kepalanya.
"Kau memang tak sedar diri ke atau kau sengaja nak
tambahkan kemarahan aku?" Adrian terus merentap rambut Nayli lalu
mengheret Nayli mendekat ke almari solek bersamanya. Nayli merayu
bersungguh-sungguh bila Adrian menarik kasar rambutnya. Sakitnya usah dikata.
Bagaikan hendak tercabut kulit kepalanya.
"Cuba kau suluh diri kau! Betul ke kau 12 tahun?"
tengking Adrian lagi. Dia dipaksa mengikut langkah Adrian bila rambutnya ini
terus ditarik.
"Kau tengok sekarang! Tengok!" jerkahnya lagi.
Dalam gigilan Nayli memanggungkan wajahnya. Saat biasan
wajahnya menyapa retinannya bulat mata Nayli memandangnya. Dia menggeleng tidak
percaya. Diamati wajahnya di cermin dinding.
"12 tahun ke kau macam ni? Kau sengajakan? Nak buat aku
lagi marah?"
"Sia..siapa tu?" Terketar-ketar tangan naik
menunjuk ke arah imej dirinya. Nayli terpaku kepada wajah yang dilihat. Seorang
perempuan, berambut panjang melepasi bahu. Tulang pipi menonjol dengan dada
yang sudah membukit tinggi. Mulut Nayli ternganga. Adakah ini dia? Kenapa
wajahnya sebegini?
Adrian bulatkan mata. Soalan tak logik langsung kalau dia nak
jawab. Agak-agak kalau dia cakap itu hantu mau tak si Nayli ni menjerit macam
orang gila? Haiiihhh ‘budak kecik’ ni!
Memang sengaja nak naikkan kemarahan aku sahaja.
"Macam mana saya boleh masuk dalam tubuh orang lain?"
Saat ini mahu sahaja Adrian gelak
tergolek-golek di lantai. Amboi ayat dia, macam dalam cerita
futuristik. Boleh main masuk kat badan orang lain pula. Dia ni sengaja ni nak
naikkan darah aku! Adrian mendenggus beberapa kali. Dan wajah sengaja diseriuskan lagi.
"Kau ni nak buat lawak ke apa?" Adrian kepal
tangan. Menahan sabar yang semakin rabak.
"Tak pak cik!"
Pak cik? Apasal budak ni suka sangat panggil aku pak cik?
Adrian menjeling tajam. Memberi isyarat kepada Nayli yang panggilannya itu
sudah membuatkan dia semakin sentap!
"Ini bukan tubuh saya! Macam mana saya boleh ada di
sini? Ish mesti semua ni mimpi," Nayli semakin panik. Air mata sudah
bergenang ditubir matanya. Dia benar-benar keliru. Berada ditempat yang cukup
asing dan di tubuh orang lain! Apa sebenarnya berlaku?
“ Jangan nak mainkan aku lagi!!!!!” Jerkah Adrian terus menghalakan
penumbuknya ke arah Nayli.
Nayli yang ketakutan terus menjerit dan memejamkan matanya. Dia begitu
takut sekali. Dadanya berdebar hebat dan dia terus memejamkan matanya menanti
tumbukan padu itu singgah ke mukanya.
Prang!! Bunyi kaca berderai membuatkan Nayli segera membuka matanya.
Dalam kebingungan Nayli dapat melihat cermin solek yang berderai cerminnya.
Nafas dihela seketika. Kali ini dia bernasib baik kerana sasaran Adrian bukan
di mukanya. Dia tidak tahu mengapa Adrian sengaja mensasarkan sasarannya di
situ atau lelaki itu tersalah sasar?
Dalam ketakutan Nayli memberanikan dirinya untuk bertemu pandangan
Adrian. Pandangan tajam Adrian membuatkan Nayli terus membisu. Pandangan itu
lebih bengis dari semalam. Helaaan nafasnya begitu mengerunkan Nayli. Seumur
hidupnya dia tidak pernah melihat lelaki sebegitu. Dia amat takut sekali. Ketakutan
yang menggila sehingga kedua-dua lututnya menggigil hebat.
Pandangan Nayli semakin kabur. Airmatanya sudah memenuhi kolam matanya.
Ketakutan yang menjalar membuatkannya terus menangis pilu.
"Ap..apa salah saya?" tersekat-sekat Nayli
bertanya. Dia tidak jelas sebenarnya. Apa salahnya sehingga lelaki itu
melayannya sebegini?
Pantas Adrian memegang dagu Nayli dengan kasar. Mata
dibuntangkan sebelum dia berkata,
"Kau berhutang dengan aku! Dan selagi kau tak bayar
hutang pada aku, aku tak akan lepaskan kau budak kecik!" Kemudian Adrian
melepaskan dagu Nayli sebelum dia berlalu pergi.
Menggigil tubuh Nayli. Lemah segala sendinya. Kaki yang sudah
ampuh tidak mampu berdiri lagi. Sudahnya dia terduduk di lantai menangisi nasib
yang sudah tersurat buatnya.
"Mama..papa.." hanya nama itu meniti di bibirnya.
Mengharapkan mereka datang menyelamatnya. Tiba-tiba dadanya tersentak hebat.
Dejavu! Kenapa dia rasakan bagaikan pernah menghadapi situasi sebegini? Di
mana? Bila? Dengan siapa? Persoalan yang tiada jawapan membuatkan tangisan
Nayli semakin bergema.
No comments:
Post a Comment