Raut wajah yang terpantul di hadapan cermin yang retak seribu itu Nayli
tatap dengan penuh keliru. Dewasa! Cantik! Itulah yang terpampang. Kemudian
anak matanya ditalakan pula pada dua bukit yang meninggi di dadanya. Keliru
dengan apa yang terjadi membuatkan setiap inci tubuhnya bergetar kuat. Pelbagai
perasaan membuak-buak dalam diri.
Apa yang berlaku kepadanya? Kenapa dia boleh hidup dalam tubuh dewasa
Nayli? Bagaimana dia harus meneruskan hidup dengan mental yang berusia 12 tahun
dalam tubuh dewasanya ini? Bagaimana mahu dia mendapatkan beg yang diminta oleh
pak cik itu? Ya Allah, apa yang terjadi sebenarnya?
Teringatkan sesuatu pantas Nayli meluru ke pintu. Dia perlu melarikan
diri sebelum lelaki itu memperapa-apakan dirinya. Tombol pintu ditarik.
Berkunci!
Punah harapannya selama ini. Ternyata lelaki itu sudah menjadikan dia
tahanan reman di dalam rumah ini tanpa siapa pun yang tahu. Dia mula rasa
takut. Takut kepada penyiksaan yang bakal dipersembahkan oleh Adrian kelak.
Takut dia terus terbabas dalam dendam lelaki itu tanpa dia mengerti hujung
pangkalnya.
DARAH menitik satu per satu membasahi karpet berwarna hijau
muda itu. Adrian hanya memerhatikannya. Tidak ada daya untuk merawatnya. Adrian
penat. Otaknya tertekan. Hari berganti hari. Malam berganti siang. Dan dia tahu
dia tidak punyai banyak masa untuk mempertahankan dirinya. Satu-satunya senjata
yang dia ada berada dalam beg yang telah dicuri oleh gadis itu. Tetapi kenapa
begitu susah benar gadis itu mahu memberitahunya? Atau gadis itu adalah orang
upahan ibu tirinya dan sebab itulah dia begitu susah untuk membuka mulutnya?
Adrian berpaling kala terasa tangannya disentuh. Wajah itu menerpa kornea
matanya. Tenang dan begitu mendamaikan. Ada senyuman manis tersungging di
bibirnya, tanpa sedar Adrian turut mengukirkan senyuman yang sama.
"Kenapa dibiarkan luka itu begitu saja?" tanya Mak Su Salwani. Mak
Su Salwani adalah adik kepada arwah ibu Adrian. Anak dara tua yang tinggal
bersama Adrian sejak kematian papanya.
"Apalah sangat luka itu mak su dari luka dalam ni!" Adrian
angkat tangannya ke dada. Lalu ditepuknya beberapa kali. Rasa perit dan perih
tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.
Mak Su Salwani diam. Tangan Adrian dirawatnya dengan penuh berhati-hati.
Dia faham kelukaan yang tertanam dalam diri Adrian. Malah bukan sekali dia
melihat Adrian menderita. Malah berkali-kali. Dia disakiti, dinafikan hak dan
kini sedang bergelut sendirian mempertahankan jawatannya sebagai CEO.
Bibir diketap rapat. Menahan sebak yang mula merajai hatinya. Dia tahu
bukan mudah Adrian mahu berjuang. Apatah lagi apabila berhadapan dengan Puan Serena
yang berhati binatang itu. Malah Puan Serena terlebih dahulu mendapat
kepercayaan daripada semua ahli lembaga pengarah daripada Adrian.
"Mak su tahu Ad sakit hati. Tapi janganlah sampai menyakiti diri Ad
sendiri," nasihat Mak Su Salwani tanpa memandang Adrian. Tekun dia
membersihkan luka Adrian. Tidak mahu luka itu dijangkiti kuman sekaligus akan
menjejaskan kesihatan anak saudaranya. Dia tahu kala ini Adrian perlukan tubuh
dan minda yang sihat sebelum memasuki medan pertempuran yang maha hebat ini.
Adrian diam tidak berkutik. Bukan dia sengaja tapi sikap Nayli memang telah
menaikkan darahnya. Sangkanya mudah untuk mendapatkan begnya semula. Dia hanya
perlu memberi sedikit ketakutan pada gadis itu dan sudah pastinya gadis itu
akan terus membuka mulutnya. Lagipun dia tidak mahu mengurung gadis itu
lama-lama. Takut akan melibatkan pihak berkuasa pula. Tapi ternyata apa yang
dirancang sudah meleset daripada perancangan sebenar.
"Mak su juga tak suka Ad berkasar dengan perempuan. Sepatutnya
golongan perempuan perlu dilindungi. Bukan dikasari, Ad," tegur Mak Su Salwani
lagi.
"Perempuan macam tu memang tak layak untuk dilindungi mak su! Dia
bukan perempuan yang baik," denggus Adrian. Memang dia tidak suka berkasar
dengan perempuan tetapi sikap Nayli yang nyata mencabar dirinya telah
membuatkan sabarnya rabak.
Mak Su Salwani hanya mampu menggelengkan kepalanya. Dia faham benar
dengan sikap Adrian yang pantang ditegur itu. Sudahnya dia hanya mampu
meneruskan rawatan luka di tangan Adrian.
"Apalah yang dah budak perempuan tu buat sampai Ad marah macam
ni?" akhirnya terluah juga soalan yang membelit benaknya selama ini.
ADRIAN mengambil sampul yang dihulurkan oleh pembantu
khasnya, Amri. Dia terus membukanya dengan perasaan tidak sabar. Kemudian
senyuman terukir di bibir. Hati berasa puas. Dada pula terasa begitu lapang
sekali. Akhirnya dia mampu menumpaskan lawannya.
"Simpan maklumat ni baik-baik. Aku tak buat copy!"
tegur Amri.
Adrian mengangguk berkali-kali. "Aku akan jaganya macam menjaga
nyawa aku sendiri," kata Adrian sambil memasukkan sampul tersebut ke dalam
beg galasnya. Senyum masih tidak lekang di bibir.
"Kalau macam tu aku gerak dulu!"
Amri segera bangun sebelum bersalaman dengan Adrian. Dia kemudian berlalu
pergi meninggalkan Adrian yang masih tiada riak untuk beredar. Adrian hanya
memerhatikan gelagat manusia yang membanjiri restoran D’ Anjung
Qisha. Restoran ini cukup popular dengan masakan ala kampung dan menyediakan ruang
berhawa dingin dan juga bilik mesyuarat yang boleh ditempah pada bila-bila masa
sahaja.
Adrian gemar menggunakan ruang berhawa dingin di sini. Selain tempatnya
begitu selesa mutu makanannya juga cukup berkualiti dan menepati citarasanya. Tiba-tiba
Adrian terbatuk kala bau asap rokok memasuki rongga hidungnya. Marahnya
memuncak naik. Boleh pula ada orang yang menghisap rokok di tempat berhawa
dingin sebegini! Dia ni tak reti peraturan ke? Pantas kepala dipalingkan ke
arah empunya diri. Bila mata bertemu sepasang mata bundar itu Adrian kaget
seketika.
Perempuan? Merokok? Di tempat berhawa dingin? Oh ini memang sudah
melampau! Segera Adrian bangun. Kaki pantas diayun ke arah gadis itu.
"Excuse me cik adik," tegur Adrian. Dia
pandang dari atas ke bawah. Pakaiannya memang seksi habis. Dengan baju tanpa
lengan dan skrit pendek paras peha memang membuatkan matanya terjojol. Kalaulah
imannya tidak kuat sudah lama ditangkap gadis ini masuk dalam bilik hotel.
Kening Adrian berkerut. Dengan pakaian begini tidak mustahil gadis ini
adalah pelacur. Tetapi tak kan lah mahu mencari pelanggan di sini pula?
"Excuse me!" Adrian
berdecit. Geram melihatkan gadis itu yang tidak memperdulikan dirinya.
"Ada apa? I tak berminat dengan you!" kata Nayli dengan wajah
sombong. Menyampah dengan kehadiran lelaki entah apa-apa ini.
Adrian mendenggus. "Kau ingat aku berminat dengan perempuan macam
kau ni?"
"So?" Mulut Nayli diceberkan.
"Kau nampak sign tu?"
Kepala Nayli mengikut ke arah jari telunjuk Adrian. Bibir dicebek bila
matanya tertangkap pada tulisan dilarang merokok itu. Dengan selamba dia
menghembuskan asap rokok berkepul-kepul ke muka Adrian. Dia mencemik mulut.
"Ada I kisah?"
Kurang ajar! Adrian kepal penumbuk. Hatinya membengkak geram. Mahu sahaja
dia menjerit. Biar berdentum suaranya di seluruh restoran ini. Namun dia cuba
bertahan.
"Kau tunggulah nasib kau kejap lagi!" kata Adrian sebelum berlalu.
Namun sempat lagi dia menangkap tawa dan kata-kata sinis daripada gadis liar
itu.
"Tahu pun takut!"
No comments:
Post a Comment