MATA memandang wajah itu dengan perasaan
meluap-luap. Terasa mahu diplaster mulut itu yang sedang lancar mengemukan
cadangan penjualan Aryana Resort. Dia sudah tidak dapat mempertahankan
sabarnya. Kala ini terasa mahu menjerit dan memaki hamun Puan Serina yang sedang
lancar mengutarakan cadangan tidak bernasnya itu.
“Aryana Resort tidak ubah seperti
biawak hidup kepada Bumi Hijau. Kalau dibiarkan lama-lama ia boleh menggancam
kedudukan Bumi Hijau. Penjualan Aryana Resort bukan sahaja dapat menyelamatkan
Bumi Hijau daripada terus terdedah daripada risiko sebaliknya ia akan turut memberikan keuntungan sebanyak 20 juta ringgit
akibat daripada penjualan tersebut.”
Adrian ketap bibir. Menahan mulutnya
daripada terus mengeluarkan sesuatu yang tidak enak didengar di sini. Hati pula
terasa sebak. Bagaikan terbayang-bayang kegembiraan arwah mama saat menceritakan tentang cadangan penubuhan Aryana Resort. Aryana Resort bukan sekadar sebuah perniagaan baginya tetapi di
situlah merakamkan semua kenangan manis antaranya dan mama.
Aryana Resort diambil sempena nama mamanya kerana mamalah pencetus kepada penubuhan
Aryana Resort dan semua hiasan dalaman, rekaan serta sentuhan adalah daripada
mama sendiri. Sebab itu Adrian begitu
sayangkan resort tersebut.
Adrian pejam mata lagi. Tanpa sedar
setitik air matanya jatuh ke pipi. Cepat-cepat disekanya. Entah bila air
matanya bertakung dia sendiri tidak menyedarinya. Betapa kenangan yang hadir
begitu memeritkan hati dan perasaannya.
“Cadangan yang cukup baik. Penjualan
Aryana Resort bukan sahaja menyelamatkan Bumi Hijau daripada terus mengalami
kerugian sebaliknya ia juga akan memberikan suntikan modal kepada Bumi Hijau.”
Adrian lihat Puan Serina tersenyum
lebar. Pasti berpuas hati kerana cadangannya menerima sokongan daripada ahli
lembaga pengarah. Adrian tahu sejak dari dulu lagi Puan Serina mahu menyingkirkan Aryana Resort daripada Bumi Hijau.
Sejak dari dulu lagi Puan Serina tidak berkenan
dengan Aryana Resort kerana asas penubuhan Aryana Resort adalah lambang cinta arwah papa kepada mama yang tidak pernah ditonjolkan arwah papa kepada Puan
Serina.
“Aryana Resort mempunyai pantainya yang tersendiri dan berpontensi
memberikan keuntungan yang besar kepada kita kerana Resort itu terletak di
pulau pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong. Sebenarnya Aryana Resort membuat keuntungan tetapi
penyelenggaraan golf course melebihi
keuntungan yang dibuat. Jika mahu memulihkan Aryana Resort, kita hanya perlu
memberhentikan perkhidmatan golf course
sahaja,” bantah
Adrian. Dia akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan Aryana Resort. Selagi dia masih bernyawa selagi itulah dia akan mempertahankan haknya di sini.
“Kau
nak tambahkan lagi kerugian Bumi Hijau?” Puan Serina masih tetap mempertahankan
pendiriannya. Dia sudah dapat menganggak cadangannya ini pasti akan ditentang
habis-habisan oleh Adrian. Memang sudah dimaklumi oleh semua ahli lembaga
pengarah yang dia dan Adrian tidak pernah sebulu. Selalu sahaja mereka berdua
bertekak dalam setiap mesyuarat yang dijalankan.
“Aryana Resort rugi disebabkan ahli
lembaga pengarah sendiri tidak memberikan peruntukan sewajarnya untuk
mempromosi dan menyelenggaranya. Sebab itulah Aryana Resort kalah
dengan persaing-pesaingnya,” tambah Adrian. Turut naik darahnya melawan patah
bicara itu. Sememangnya dia tidak boleh
bersabar dengan Puan Serina.
“Adrian, buat apa kita perlu bazirkan
duit kepada pelaburan yang tidak berpotensi?” bangkang Puan Serina.
“Siapa kata Aryana Resort tidak berpotensi?
Sedangkan semua resort perniagaan di situ memberi keuntungan yang besar? Kenapa
hanya Aryana Resort mencatatkan kerugian daripada tahun ke tahun? Puan pernah
buat kajian tak kenapa semua ini terjadi? Bukankah sebab cadangan
golf course daripada Puan yang bagaikan sengaja memberi kerugian kepada Aryana Resort?” lancar
sahaja Adrian menuturkan bicaranya.
Puan Serina mendenggus geram. Geram
dengan Adrian yang tidak habis-habis mahu menyalahkan dirinya.
“Saya memberi cadangan demi untuk kebaikan Bumi Hijau. Lagipun
apa yang berlaku kepada Aryana Resort adalah persetujuan ahli lembaga pengarah
termasuk Encik Adrian sendiri bukan?”
“Jadi puan mengakulah yang puan yang telah menyebabkan Aryana Resort kerugian besar? Ini sudah terbukti yang puan lemah dalam
membuat keputusan. Puan tak mampu dan tidak akan mampu menerajui Bumi Hijau
dengan baik,” provokasi Adrian lagi.
“Adrian! Apa yang kau cakap ini?” Puan
Serina sudah tidak betah sendiri. Provokasi Adrian nyata sudah mencalar
kreadabelitinya yang mahu mengintai jawatan CEO.
Adrian tersenyum senget. Hatinya berasa
begitu puas kerana berjaya membuatkan Puan Serina marah. “Saya bercakap atas
dasar fakta semata-mata, Puan. Berikan tempoh masa selama setahun kepada saya
untuk menaikkan semula kegemilangan Aryana Resort seperti 15 tahun lalu. Kalau
saya gagal barulah saya serahkan kepada semua ahli lembaga pengarah sama ada
mahu menjualnya atau membiarkannya begitu sahaja,” kata Adrian dengan penuh
keyakinan. Walau apa pun terjadi dia akan cuba menaikkan Aryana Resort yang begitu
penting dalam hidup mama.
“Setahun? Maksud kau, kau mahu biarkan
kerugian ini berpanjangan selama setahun? Sekaligus menjejaskan perjalanan Bumi
Hijau?” tanya Puan Serina. Sungguh dia begitu tidak berpuas hati dengan
pendapat Adrian itu. Hati di dalam semakin resah tidak bertepian. Bimbang
kalau-kalau ahli lembaga pengarah terpengaruh dengan pendapat Adrian itu.
“Saya rasa tidak guna kita tangguhkan
penjualan Aryana Resort. Aryana Resort dalam keadaan tenat sekali. Kalau
dibiarkan pasti akan memudaratkan perjalanan Bumi Hijau secara keseluruhannya,”
sokong Datuk Ghazali.
“Saya juga turut bersetuju dengan
pendapat Datuk Gahazali itu!”
“Saya juga!”
“Saya!”
Puan Serina tersenyum lebar apabila
kebanyakan ahli lembaga pengarah mula bersetuju dengan pendapatnya. Dijeling
seketika Adrian yang sudah tidak betah sendirian.
“Dan kita boleh mulakan undian untuk
memilih CEO Bumi Hijau yang baru!”
No comments:
Post a Comment