Monday 31 July 2017

Cinta Hati Nayli (Cinta Hati Cik Doktor) (Oh My Doctor) Bab 9

SUDAH tiga kali Mak Su Salwani mengetuk pintu namun Nayli masih buat tidak tahu. Mak Su Salwani menggeleng sendirian. Hai..apalah yang Nayli sedang fikirkan? Mak Su Salwani menapak masuk. Mendekati Nayli lalu dihulurkan senaskah Al-Quran buat gadis itu.
Wajah Nayli nampak sedikit terkejut. Namun Mak Su Salwani hanya tersenyum sahaja.
 “Bila rasa tak tahan dengan sakitnya dunia menangislah kepada Allah. Mohon kekuatan dariNya,” nasihat Mak Su Salwani. Dia berasa simpati dengan nasib malang yang menimpa anak gadis ini.
Nayli mengeluh lemah. Dia mengambil kitab suci Al-Quran lalu dipeluknya.
“Mak su rasa saya ni jahat ke? Banyak ke dosa yang telah saya buat?” Nayli sudah penat menelah sendirian. Malah dia benar-benar rasa berdosa dengan apa yang telah dia lakukan kepada Adrian. Tidak terbayang apa yang ada di fikirannya sehingga dia tergamak memperlakukan Adrian sebegitu.
Mak Su Salwani duduk. Tangan Nayli digapainya penuh kasih. Dia tidak pernah berkahwin. Hanya Adrian yang dia anggap macam anak kandungnya sendiri. Tapi bila bersama Nayli entah kenapa hatinya jatuh sayang kepada gadis itu.
“Tak payah fikir lagi. Kadang-kadang apa yang terjadi ini yang akan bawa kita pada Allah. Hidup tanpa ujian bukannya hidup namanya, Nayli,” nasihat Mak Su Salwani penuh hikmah. Siapalah dirinya untuk menghukum Nayli sedangkan dia tahu semua manusia bukannya maksum.
“Tapi..”
“Sudah..sudah..tak payah nak salahkan diri Nayli lagi. Sekarang mak su nak Nayli pergi ambil wuduk. Maghrib dah nak masuk tu. Kita berjemaah dan mengaji sama-sama ya nak,” kata Mak Su Salwani dengan lembut.
Nayli menyapu air mata di tubir matanya. Air mata penyesalan kalau mungkin dia pernah buat silap dulu. Ya dia yakin dia pernah buat silap. Dan kesannya sedang menghimpit sekarang.
“Tapi hati saya tak pernah tenang Mak su. Semenjak saya hilang ingatan hati saya tak pernah tenang,” suara Nayli lirih kali ini. Penyesalan atas masa lalu masih menghambat diri. Mak Su Salwani menekup mulut Nayli lembut. Dia menggeleng.
“Sebab itu Nayli perlukan perlindungan. Hanya Dia tempat kita berlindung. Serahkan diri kepadaNya.  Berdoa dan terus berdoa. Insya Allah hati Nayli akan tenang dan semua masalah yang berselirat ini akan hilang.”
Pelindung? Allah pelindungnya? Nayli meraup wajahnya. Hatinya dipagut pilu mengingatkan belas ihsan Allah padanya yang selama ini dilupakannya. Hatinya menangis sendiri. Apatah lagi bila melihatkan wajah yang berada di hadapannya bagaikan bercahaya di matanya. Senyuman yang tergaris di bibir kemerahan itu bagaikan menghantar pertolongan kepadanya yang sedang kelemasan.
“Jangan terus menyalahkan diri sendiri, sayang. Selagi Nayli bernyawa di muka bumi ini, selagi itulah pintu taubat terbuka lebar. Nayli kena ingat, bila Allah menutup satu pintu itu buat kita, Dia akan buka banyak lagi pintu yang lain. Tinggal kita saja nak mencari dan memilih pintu-pintu yang membawa kita ke arahnya.”
Nayli terkedu. Diam seribu kata. Hati yang dulu keresahan sedikit demi sedikit tenang mendengarkan kalimah yang menyapa keinsafan.

HENING sepertiga malam Nayli berjaga demi untuk menghambakan dirinya kepada Yang Maha Kuasa. Kata Mak Su Salwani sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardu ialah sembahyang sunat malam. Dan dia cuba melatih dirinya untuk mengamalkannya. Demi mencari secebis ketenangan yang begitu payah menyinggah kamar hatinya.
“Terlalu banyak fadilat dan kelebihan sembahyang tahajud. Ini kerana tahajud merupakan satu amalan yang sukar dilakukan. Walaupun bilangan rakaatnya hanya dua sahaja tetapi tidak semua orang mampu melakukannya. Apatah lagi waktunya adalah pada waktu malam dan selepas tidur. Oleh itu Allah menjanjikan ganjaran yang besar terhadap mereka yang sanggup melepaskan selimutnya semata-mata untuk mengerjakan tahajjud.”
Kata-kata Mak Su Salwani masih segar di ingatannya. Kata-kata yang yang menjadi inspirasi kepadanya untuk terus melangkah walau dalam kegelapan.
“Selagi ada nafas selagi ada hidayah dalam hati, tidak ada istilah terlambat untuk berubah. Mak su nak Nayli pegang surah Al-Baqarah ayat 153 sebagai pedoman untuk Nayli. Ayat itu bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. Ingat Nayli, sabar dan solat adalah penolong dan pembimbing untuk memperoleh belas kasihan Allah serta kebahagian dunia dan akhirat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.
Dengan itu dia cuba mendidik dirinya untuk sabar dan bersolat. Kerana itu dia begitu berusaha walau kadang kala rasa tidak tertanggung pundaknya menanggung beban ini. Namun dia tiada pilihan lain lagi.
Hanya dengan cara ini sahaja dapat dia menyucikan dirinya daripada dosa-dosanya yang lalu. Dia tidak mahu menjadi penghutang sedangkan kebaikan yang dia kerjakan, belum tentu lagi diterima. Belum tentu lagi dapat menjadi jaminan untuk dia hidu bau syurga.
“Nayli ada mak ayah?” tanya Mak Su Salwani pada suatu petang.
Nayli mengangguk. Dia rebahkan tubuhnya di atas katil bujang. Memandang tepat ke syiling. Sudah masuk satu minggu dia tinggal di rumah Adrian. Agaknya bagaimana keadaan mama dan papa?
“Pasti orang tua Nayli risaukan Nayli. Ish Adrian ni memang sengaja cari nahas!” renggus Mak Su Salawani sendirian. Nayli hanya diam. Putaran fikiran hanya kepada kedua ibu bapanya.
Sudahkah mereka membuat laporan polis? Rasanya itulah prosedur yang patut dibuat. Selalu juga dia melihat di dada akhbar berita kehilangan orang. Tetapi itu di zaman kanak-kanaknya. Tidak tahu sama ada prosedur itu masih releven atau tidak pada masa kini.
Tiba-tiba dada Nayli berdebar hebat. Kalau dibuat laporan polis pasti Adrian ditanggap. Dia menggeleng. Sungguh dia tidak mahu Adrian ditangkap kerana semua kesalahan itu berpunca daripada kekilafan dirinya.

TELEFON bimbit dibaling ke sofa. Kemudian dihenyakkan punggungnya di sofa dengan kasar sambil mendenggus. Sakit hatinya menghadapi karenah anak yang nyata mencabar kesabarannya dari hari ke hari. Sabar Datin Aisyah sudah rabak.
“Nayli memang dah melampau!”
Datuk Mazlan yang sedang membaca berita dalam talian memanggungkan kepalanya. Tablet yang berada di tangan diletakkan di atas sofa. Wajah keruh isterinya direnung lama. Wajah yang sentiasa dilakar sejak 16 tahun yang lalu.
“Bukan dia kat Korea sekarang? Nayli buat apa pula?” tanya Datuk Mazlan tenang sahaja. Tenang di bibir tetapi di hati resah dan bimbang sebenarnya. Tidak pernah walau sedetik anak tunggalnya itu membiarkan hidup mereka suami isteri tenang.
“Ketua jabatan dia call. Nayli ponteng kerja lagi. Saya call dia sampai ke sudah tak angkat,” terang Datin Aisyah bersama dengan keluh kesahnya.
Datuk Mazlan menggeleng lemah. “Ya Allah, apa nak jadi dengan Nayli ni! Abang ingat kalau biarkan dia pilih profesion yang dia suka, dia akan berubah. Ini tidak. Dari sekolah sampai bekerja tahu ponteng aje kerjanya!” renggus Datuk Mazlan. Dia benar-benar kecewa dengan sikap si anak.
“Abang rasa sesuatu berlaku kat Nayli ke?” tanya Datin Aisyah berbaur resah. Dia tidak boleh lari daripada rasa fobianya walaupun acapkali Nayli tidak pulang ke rumah. Ternyata tragedi buruk itu sudah membelit seluruh kehidupan mereka.
“Apa yang Ai bimbang sangat? Diakan tengah bercuti tu. Tengah tenangkan dirinya dengan apa yang dah berlaku. Biarkan sahaja dia dulu.”
“Tapi sekurang-kurangnya angkatlah telefon saya ni,” kata Datin Aisyah dengan keluhan lemah. Memang Nayli jarang berkomunikasi dengan mereka. Kadang-kadang dia lebih suka tidur di hospital, di rumah temannya selepas puas berparti. Malah anaknya sering hilang tanpa jejak berminggu lamanya dan kemudian pulang tanpa menerangkan ke mana dia telah menghilang. Hati seorang ibu tidak betah melihat sikap anak dari hari ke hari. Dia tahu Nayli menderita tapi cara Nayli melepaskan penderitaannya adalah cara yang salah.
“Entah apa lagi yang nak diberontaknya. Kita dah bagi lebih daripada apa yang dia nak,” runggut Datuk Mazlan pula.
“Dia tertekan tu. Dia tak boleh terima apa yang dah jadi pada dia,” bela Datin Aisyah. Wajahnya semakin mendung. Hati dia mula tak betah bila tragedi itu mula diungkit. Birai matanya pasti mahu basah.
Apatah lagi apabila melihat Nayli yang semakin menderita dari hari ke hari. Bagaimana Nayli menangis dan merintih di hadapannya 16 tahun yang lalu. Bagaimana dia begitu belas namun tidak mampu melakukan apa-apa demi untuk meringankan penderitaan anak. Yang pasti, Nayli tidak mahu melupakan. Tidak mahu memaafkan. Lantas membuatkan hidupnya semakin menderita dari hari ke hari.
“Dah 16 tahun Ai..”
“Tapi perkara tu bukan senang nak dilupakan. Tragedi buruk! Tragedi yang dah musnahkan kehidupan anak kita! Ai sendiri masih rasa sakit dan pedihnya, abang! Inikan pula Nayli yang menanggungnya,”sambung Datin Aisyah dengan suara yang dalam daripada rengkung. Rasa sesak dadanya bila acapkali perkara itu dibangkitkan.
“Apa yang berlaku tu ada hikmahnya Ai.” Cuba disedapkan hati isterinya tanpa dia sedar, hati dia juga merasakan yang sama. Anaknya tidak mampu untuk menghadapi kenyataan yang memeritkan. Hati seorang bapa semakin luluh. Kerana ketidakupayaannya menjadi pelindung telah melemparkan kehidupan zuriatnya ke lembah derita yang berpanjangan.
“Entahlah abang. Dari dulu hingga sekarang Ai tak nampak pun apa hikmahnya. Kadang-kadang Ai terpikir juga apa guna kita kaya raya tetapi kebahagian seorang anak tidak mampu kita beli. Kalau orang lain kekayaan ini adalah satu nikmat tapi bagi Ai ia satu malapetaka besar. Bodohkan Ai ni.” Gelak halus berhembus daripada celah bibir Datin Aisyah. Dia menggeleng kecil sebelum menyapu air mata yang jatuh di tubir mata.
Datuk Mazlan menelan liurnya yang terasa kesat. Hatinya menangis kerana maksud tersirat itu dapat dibacanya. Biarpun di bibir isterinya senyuman manis sering menghiasi tetapi dalam hati air jernih itu sering meghujani.
“Dia anak Datuk Mazlan. Antara orang terkaya di Malaysia. Dia punyai segala-galanya. Sepatutnya dia lebih bahagia daripada orang lain. Tetapi kenapa tidak, abang?” suara Datin Aisyah kedengaran sesak. Tunduk meraup wajahnya sebelum dipaut tubuh suaminya erat.
“Maafkan abang, Ai. Maafkan abang kerana tak berdaya melindungi anak kita.” Air mata Datuk Mazlan mengalir tanpa dipinta saat memeluk tubuh Datin Aisyah dan dapat dia rasa bahu Datin Aisyah terhenjut sama. Datin Aisyah sedang sembunyikan tangis. Dan dia juga perlu sorok segala kepedihan biar apa pun terjadi. Apa yang pasti kebahagian seorang anak perlu diraihnya walau terpaksa mengorbankan seluruh hartanya.
“Kalaulah...” suara Datin Aisyah disekat sebak. “Kalaulah Allah hilangkan ingatan Nayli alangkah baiknya. Tidaklah anak kita menderita lagi,” kata Datin Aisyah dalam tangisannya.
Terkedu Datuk Mazlan mendengarnya. Pelukan dileraikan sambil memandang wajah basah isterinya.
“Astafirullahazim...apa yang Ai cakap ni? Mengucap Ai. Mengucap!” tegur Datuk Mazlan. Air mata lelakinya menitis lagi.
“Ai nak anak kita bahagia abang! Ai sedih tengok Nayli begitu,” tangis Datin Aisyah. Jika dia mampu mengubah segalanya alangkah indahnya. Namun hakikat pedih terpaksa ditelannya. Dia tidak pernah mampu dan tidak akan mampu.








No comments:

Post a Comment