Hubungan
dingin mulai retak dan layu dari hari ke hari akibat tragedi lama. Semua yang
melihat pasti menyedari perbedaan dalam hubungan mereka yang bagaikan sudah
tidak bernyawa lagi. Bahkan tiada kemungkinan untuk mereka mahu mencuba
memperbetulkan kesilapan lalu.
"Mak cik ada something nak
bincangkan dengan kau." Seperti selalunya tutur bicara Puan Serina dingin
sahaja. Bukan dia mahu begitu tetapi Adrian yang memilih sebegitu.
Adrian
memandang ruang tamu yang tersergam indah. Memandang ruang tamu ini tidak
pernah buat dia rasa tidak selesa. Namun wajah angkuh yang kelihatan nyaman
berada di hadapannya membuatkan letak duduk dia panas. Sakit hatinya. Macam
mana dia boleh duduk setenang itu sedangkan ramai hati merana angkara
perbuatannya?
"Apa
dia?" tanya Adrian. Mata dipandang ke sisi. Tidak terdaya memandang wajah
tenang yang bagaikan tidak pernah terjadi apa-apa. Sedangkan tangan itulah yang
merobek hatinya dengan begitu kejam.
"Mak
cik nak jual Aryana Beach & Golf Resort!" kata Puan Serina. Dia ukir
senyuman tipis walau air wajah Adrian nampak begitu bengis.
Adrian
tersenyum senget. Dada pula terasa mahu pecah dengan permintaan itu.
"What? Mak cik dah gila
ke?" Tangan Adrian mengenggam penumbuk. Kemas! Melampau sungguh! Sudahlah
mempengaruhi ahli lembaga pengarah untuk menyingkirkannya daripada jawatan CEO
dan sekarang mahu menjual satu-satunya aset kesayangannya!
" Aryana
Beach & Golf Resort tidak mendatangkan keuntungan yang cukup dan ini
memberikan beban kepada Bumi Hijau. Mak cik rasa
hanya cara ini sahaja yang terbaik untuk menyelamatkan Bumi Hijau daripada
terus mengalami kerugian," terang Puan Serina lagi tanpa memperdulikan
bicara kasar Adrian. Memandang wajah Adrian saja dia sudah dapat agak apa yang
bermain dalam kepala anak tirinya.
“Aryana
Resort membuat keuntungan tetapi penyelenggaraan golf course melebihi
keuntungan yang dibuat!” bentak
Adrian. Dia memang dari awal lagi tidak bersetuju apabila Puan Serina mahu
menambah satu lagi fasiliti di Aryana Resort iaitu kelab golf. Dengan kurangnya
promosi yang baik sudah tentulah tidak dapat menarik pelaburan yang cukup untuk
menyelenggara resort itu dari segi kualitinya.
“Aryana
akan dijual kepada sebuah syarikat dari luar negara dan mereka akan menjalankan
projek pembangunan di sana,” terang
Puan Serina tanpa memperdulikan bantahan daripada Adrian.
"Sorry! Saya tak
akan benarkan!" kata Adrian senafas. Laju dadanya turun naik menahan
perasaan yang cukup memeritkan. Ini bermakna tiada lagi 329 challet tradisional
yang banyak merakam kenangan manis bersama mamanya di situ kerana pastinya akan
dimusnahkan atas alasan pembangunan. Adrian menggeleng. Selagi dia bernyawa dia
tidak akan biarkan perkara ini berlaku! Tidak sama sekali.
"Kau
kena benarkan jugak Adrian! Bumi Hijau diambang kejatuhan. Kalau kau tak
bersetuju kau akan lihat Bumi Hijau lingkup. Mesti kau tak nak semua itu
berlaku bukan?" tebak Puan Serina. Dia tersenyum sinis. Sebenarnya dia dan
Adrian sama sahaja. Sama-sama tamak untuk mendapatkan Bumi Hijau.
"Tak
kan Mak cik tak tahu betapa pentingnya Aryana
Resort kepada arwah mama saya? Idea menubuhkan Aryana Resort datangnya daripada
arwah mama saya. Dan resort itu membawa seribu kenangan kepada kami sekeluarga.
Saya terlalu sayangkan resort itu. Tidak mungkin saya benarkan semua ini
berlaku!"
Wajah Puan
Serina dipandang tanpa berkelip. Dia senyum sinis sendiri. Berani sungguh Puan
Serina mencabarnya sebegitu. Ah walau terpaksa mengadai nyawa sekali pun akan
dia lakukan demi Aryana Resort dan Bumi Hijau.
"Mama!
Mama! Mama! Kau tak ada nama lain ke yang boleh kau sebut? Kau tahu bukan orang
mati tak boleh hidup kembali?"
Adrian
mengetap bibir. Marahnya meluap-luap kala mendengarkan bicara ibu tirinya itu.
"Memang
mama dah lama mati tapi siapa yang membunuhnya? Dan auntie jangan
lupa anak dia masih hidup dan akan mempertahankan apa yang telah diusahakannya
selama ini!" tegas Adrian berkata.
"Oh really? Mampu
ke?" perli Puan Serina. Sengaja mahu mencabar Adrian. Anak muda di
hadapannya kini tidak ubah seperti seekor singa yang kehilangan taringnya.
Tiada lagi kekuatan seperti dulu.
Kalau dulu
setiap tindakannya akan mendapat sokongan kuat daripada papanya tetapi kini
papanya sudah tiada. Malah semenjak kematian papa Adrian, Puan Serina
menjalankan misi rahsianya demi untuk meraih sokongan ahli lembaga pengarah.
Tidak sukar untuk dia meraih sokongan itu kerana kebanyakan ahli lembaga pengarah
tidak berkenan dengan perangai sombong dan panas baran Adrian itu. Puan Serina
tersenyum sinis. Tidak lama lagi Adrian akan merasai zaman kejatuhannya.
"Mestilah
mampu! Malah untuk menyingkirkan ‘lalat’ dalam
Bumi Hijau sekalipun saya mampu!" kata Adrian sambil mengukirkan senyuman
sinisnya. Berpura-pura tenang dengan kata-kata ibu tirinya itu. “Setakat
tunjuk peha untuk raih sokongan ahli lembaga pengarah, siapa-siapa pun boleh
buat!”
“Adrian!” suara
Puan Serina berdentum.
"Kenapa?
Terasa?” Kening
Adrian berjongket tinggi. Dia gariskan senyuman sinis. Cukup tajam dan
mengilukan pada pandangan Puan Serina. Itulah bukti yang dia ada tetapi
malangnya bukti itu sudah hilang dalam beg yang dicuri Nayli dulu.
Buntang
biji mata Puan Serina. Mulut pula diketap geram. Perangai Adrian memang tidak
pernah berubah. Kalau tidak menyakitkan hatinya memang tidak sah!
"Apa
yang kau mengarut ini?"
Adrian
hamburkan tawa. Digengam penumbuk sekuat hati. Tidak sangka ibu tirinya terlalu
keji. Sanggup menjalinkan hubungan
sulit. Dengan orang kepercayaan arwah papanya pulak tu!
"Mak
cik ingat saya akan berdiam diri begitu sahaja? Selagi saya bernyawa Mak cik
tak boleh buat apa-apa kepada Aryana Resort! Itu janji saya kepada mama saya
dan saya akan tepatinya juga dengan apa cara sekalipun," kata Adrian. Dia
sudah bangun. Berlama-lama di sini membuatkan hatinya tidak betah. Air matanya
pula galak bertakung di hujung mata. Setiap ruang ada wajah mamanya. Telinga
pula tergiang-giang dengan tangisan mamanya.
Kaget
dengan tindakan Adrian itu, Puan Serina turut bangun. "Kau jangan jadi
bodoh, Adrian!" marah Puan Serina. Matanya tepat memandang wajah anak
tirinya.
Adrian
tidak peduli. Langkah diayun pantas sekali. Tidak mahu terus berlama-lama
berada di sini. Lelah dan cukup menekan perasaannya.
"Setuju
atau tidak Mak cik akan usulkan perkara ini dalam meeting bersama board of
director. Mak cik yakin mereka jugak turut bersetuju
dengan cadangan Mak cik ini.
Fikir baik-baik Adrian. Mak cik lakukan
semua ini demi untuk kepentingan kau jugak!"
Langkah
Adrian terhenti. Bibir diketap rapat. Marah memang dia marah dengan keputusan
yang dibuat oleh ibu tirinya.
"Fikir
baik-baik Adrian. Kau kena sedar semua yang Mak cik lakukan
ini demi untuk memastikan Bumi Hijau tidak bankrup!"
Mata
dipejam rapat. Sekelipan bayangan wajah itu menjelma lagi. Wajah yang dibasahi
oleh air mata. Wajah penuh penderitaan yang tidak terluah. Bengkak hati Adrian
saat mengenangkan wajah itu. Merintih batinnya. Rabak hatinya.
Kalaulah..kalaulah dia mampu menghalang semua itu daripada berlaku...
"Saya
tak akan biarkan Bumi Hijau jatuh tersungkur!" kata Adrian tanpa memandang
ke arah Puan Serina. Dengan perasaan sebak kaki diayun pantas. Dalam minda
ligat merencana pelbagai rancangan untuk menyelamatkan Aryana Resort. Biar
terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun dia tidak peduli. Asalkan satu-satunya
amanat mamanya dapat dijaga dengan baik.
"Mama,
Ad akan jaga Aryana Resort seperti nyawa Ad sendiri. Itu janji Ad!"
No comments:
Post a Comment