SUDAH tiga kali Mak Su Salwani mengetuk pintu
namun Nayli masih buat tidak tahu. Mak Su Salwani menggeleng sendirian.
Hai..apalah yang Nayli sedang fikirkan? Mak Su Salwani menapak masuk. Mendekati
Nayli lalu dihulurkan senaskah Al-Quran buat gadis itu.
Wajah Nayli nampak sedikit terkejut.
Namun Mak Su Salwani hanya tersenyum sahaja.
“Bila
rasa tak tahan dengan sakitnya dunia menangislah kepada Allah. Mohon kekuatan
dariNya,” nasihat Mak Su Salwani. Dia berasa simpati dengan nasib malang yang
menimpa anak gadis ini.
Nayli mengeluh lemah. Dia mengambil
kitab suci Al-Quran lalu dipeluknya.
“Mak su rasa saya ni jahat ke? Banyak
ke dosa yang telah saya buat?” Nayli sudah penat menelah sendirian. Malah dia
benar-benar rasa berdosa dengan apa yang telah dia lakukan kepada Adrian. Tidak
terbayang apa yang ada di fikirannya sehingga dia tergamak memperlakukan Adrian
sebegitu.
Mak Su Salwani duduk. Tangan Nayli
digapainya penuh kasih. Dia tidak pernah berkahwin. Hanya Adrian yang dia
anggap macam anak kandungnya sendiri. Tapi bila bersama Nayli entah kenapa
hatinya jatuh sayang kepada gadis itu.
“Tak payah fikir lagi. Kadang-kadang
apa yang terjadi ini yang akan bawa kita pada Allah. Hidup tanpa ujian bukannya
hidup namanya, Nayli,” nasihat Mak Su Salwani penuh hikmah. Siapalah dirinya
untuk menghukum Nayli sedangkan dia tahu semua manusia bukannya maksum.
“Tapi..”
“Sudah..sudah..tak payah nak salahkan
diri Nayli lagi. Sekarang mak su nak Nayli pergi ambil wuduk. Maghrib dah nak
masuk tu. Kita berjemaah dan mengaji sama-sama ya nak,” kata Mak Su Salwani
dengan lembut.
Nayli menyapu air mata di tubir
matanya. Air mata penyesalan kalau mungkin dia pernah buat silap dulu. Ya dia
yakin dia pernah buat silap. Dan kesannya sedang menghimpit sekarang.
“Tapi hati saya tak pernah tenang Mak
su. Semenjak saya hilang ingatan hati saya tak pernah tenang,” suara Nayli
lirih kali ini. Penyesalan atas masa lalu masih menghambat diri. Mak Su Salwani
menekup mulut Nayli lembut. Dia menggeleng.
“Sebab itu Nayli perlukan perlindungan.
Hanya Dia tempat kita berlindung. Serahkan diri kepadaNya. Berdoa dan terus berdoa. Insya Allah hati
Nayli akan tenang dan semua masalah yang berselirat ini akan hilang.”
Pelindung? Allah pelindungnya? Nayli
meraup wajahnya. Hatinya dipagut pilu mengingatkan belas ihsan Allah padanya
yang selama ini dilupakannya. Hatinya menangis sendiri. Apatah lagi bila
melihatkan wajah yang berada di hadapannya bagaikan bercahaya di matanya.
Senyuman yang tergaris di bibir kemerahan itu bagaikan menghantar pertolongan
kepadanya yang sedang kelemasan.
“Jangan terus menyalahkan diri sendiri,
sayang. Selagi Nayli bernyawa di muka bumi ini, selagi itulah pintu taubat
terbuka lebar. Nayli kena ingat, bila Allah menutup satu pintu itu buat kita,
Dia akan buka banyak lagi pintu yang lain. Tinggal kita saja nak mencari dan
memilih pintu-pintu yang membawa kita ke arahnya.”
Nayli terkedu. Diam seribu kata. Hati
yang dulu keresahan sedikit demi sedikit tenang mendengarkan kalimah yang
menyapa keinsafan.
HENING sepertiga malam Nayli berjaga demi
untuk menghambakan dirinya kepada Yang Maha Kuasa. Kata Mak Su Salwani
sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardu ialah sembahyang sunat malam.
Dan dia cuba melatih dirinya untuk mengamalkannya. Demi mencari secebis
ketenangan yang begitu payah menyinggah kamar hatinya.
“Terlalu banyak fadilat dan kelebihan
sembahyang tahajud. Ini kerana tahajud merupakan satu amalan yang sukar
dilakukan. Walaupun bilangan rakaatnya hanya dua sahaja tetapi tidak semua
orang mampu melakukannya. Apatah lagi waktunya adalah pada waktu malam dan
selepas tidur. Oleh itu Allah menjanjikan ganjaran yang besar terhadap mereka
yang sanggup melepaskan selimutnya semata-mata untuk mengerjakan tahajjud.”
Kata-kata Mak Su Salwani masih segar di
ingatannya. Kata-kata yang yang menjadi inspirasi kepadanya untuk terus melangkah
walau dalam kegelapan.
“Selagi ada nafas selagi ada hidayah
dalam hati, tidak ada istilah terlambat untuk berubah. Mak su nak Nayli pegang
surah Al-Baqarah ayat 153 sebagai pedoman untuk Nayli. Ayat itu bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan
dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.
Ingat Nayli, sabar dan solat adalah penolong dan pembimbing untuk memperoleh
belas kasihan Allah serta kebahagian dunia dan akhirat. Sesungguhnya Allah
beserta orang-orang yang sabar.
Dengan itu dia cuba mendidik dirinya
untuk sabar dan bersolat. Kerana itu dia begitu berusaha walau kadang kala rasa
tidak tertanggung pundaknya menanggung beban ini. Namun dia tiada pilihan lain
lagi.
Hanya dengan cara ini sahaja dapat dia
menyucikan dirinya daripada dosa-dosanya yang lalu. Dia tidak mahu menjadi
penghutang sedangkan kebaikan yang dia kerjakan, belum tentu lagi diterima.
Belum tentu lagi dapat menjadi jaminan untuk dia hidu bau syurga.
“Nayli ada mak ayah?” tanya Mak Su
Salwani pada suatu petang.
Nayli mengangguk. Dia rebahkan tubuhnya
di atas katil bujang. Memandang tepat ke syiling. Sudah masuk satu minggu dia
tinggal di rumah Adrian. Agaknya bagaimana keadaan mama dan papa?
“Pasti orang tua Nayli risaukan Nayli.
Ish Adrian ni memang sengaja cari nahas!” renggus Mak Su Salawani sendirian.
Nayli hanya diam. Putaran fikiran hanya kepada kedua ibu bapanya.
Sudahkah mereka membuat laporan polis?
Rasanya itulah prosedur yang patut dibuat. Selalu juga dia melihat di dada
akhbar berita kehilangan orang. Tetapi itu di zaman kanak-kanaknya. Tidak tahu
sama ada prosedur itu masih releven atau tidak pada masa kini.
Tiba-tiba dada Nayli berdebar hebat.
Kalau dibuat laporan polis pasti Adrian ditanggap. Dia menggeleng. Sungguh dia
tidak mahu Adrian ditangkap kerana semua kesalahan itu berpunca daripada
kekilafan dirinya.
TELEFON bimbit dibaling ke sofa. Kemudian dihenyakkan punggungnya di sofa
dengan kasar sambil mendenggus. Sakit hatinya menghadapi karenah anak yang
nyata mencabar kesabarannya dari hari ke hari. Sabar Datin Aisyah sudah rabak.
“Nayli memang
dah melampau!”
Datuk Mazlan
yang sedang membaca berita dalam talian memanggungkan kepalanya. Tablet yang
berada di tangan diletakkan di atas sofa. Wajah keruh isterinya direnung lama.
Wajah yang sentiasa dilakar sejak 16 tahun yang lalu.
“Bukan dia kat
Korea sekarang? Nayli buat apa pula?” tanya Datuk Mazlan tenang sahaja. Tenang
di bibir tetapi di hati resah dan bimbang sebenarnya. Tidak pernah walau
sedetik anak tunggalnya itu membiarkan hidup mereka suami isteri tenang.
“Ketua jabatan
dia call. Nayli ponteng kerja lagi.
Saya call dia sampai ke sudah tak
angkat,” terang Datin Aisyah bersama dengan keluh kesahnya.
Datuk Mazlan
menggeleng lemah. “Ya Allah, apa nak jadi dengan Nayli ni! Abang ingat kalau
biarkan dia pilih profesion yang dia suka, dia akan berubah. Ini tidak. Dari
sekolah sampai bekerja tahu ponteng aje kerjanya!” renggus Datuk Mazlan. Dia
benar-benar kecewa dengan sikap si anak.
“Abang rasa
sesuatu berlaku kat Nayli ke?” tanya Datin Aisyah berbaur resah. Dia tidak
boleh lari daripada rasa fobianya walaupun acapkali Nayli tidak pulang ke
rumah. Ternyata tragedi buruk itu sudah membelit seluruh kehidupan mereka.
“Apa yang Ai
bimbang sangat? Diakan tengah bercuti tu. Tengah tenangkan dirinya dengan apa
yang dah berlaku. Biarkan sahaja dia dulu.”
“Tapi
sekurang-kurangnya angkatlah telefon saya ni,” kata Datin Aisyah dengan keluhan
lemah. Memang Nayli jarang berkomunikasi dengan mereka. Kadang-kadang dia lebih
suka tidur di hospital, di rumah temannya selepas puas berparti. Malah anaknya
sering hilang tanpa jejak berminggu lamanya dan kemudian pulang tanpa
menerangkan ke mana dia telah menghilang. Hati seorang ibu tidak betah melihat
sikap anak dari hari ke hari. Dia tahu Nayli menderita tapi cara Nayli
melepaskan penderitaannya adalah cara yang salah.
“Entah apa lagi
yang nak diberontaknya. Kita dah bagi lebih daripada apa yang dia nak,” runggut
Datuk Mazlan pula.
“Dia tertekan
tu. Dia tak boleh terima apa yang dah jadi pada dia,” bela Datin Aisyah.
Wajahnya semakin mendung. Hati dia mula tak betah bila tragedi itu mula
diungkit. Birai matanya pasti mahu basah.
Apatah lagi
apabila melihat Nayli yang semakin menderita dari hari ke hari. Bagaimana Nayli
menangis dan merintih di hadapannya 16 tahun yang lalu. Bagaimana dia begitu
belas namun tidak mampu melakukan apa-apa demi untuk meringankan penderitaan
anak. Yang pasti, Nayli tidak mahu melupakan. Tidak mahu memaafkan. Lantas
membuatkan hidupnya semakin menderita dari hari ke hari.
“Dah 16 tahun
Ai..”
“Tapi perkara
tu bukan senang nak dilupakan. Tragedi buruk! Tragedi yang dah musnahkan
kehidupan anak kita! Ai sendiri masih rasa sakit dan pedihnya, abang! Inikan
pula Nayli yang menanggungnya,”sambung Datin Aisyah dengan suara yang dalam
daripada rengkung. Rasa sesak dadanya bila acapkali perkara itu dibangkitkan.
“Apa yang
berlaku tu ada hikmahnya Ai.” Cuba disedapkan hati isterinya tanpa dia sedar,
hati dia juga merasakan yang sama. Anaknya tidak mampu untuk menghadapi
kenyataan yang memeritkan. Hati seorang bapa semakin luluh. Kerana
ketidakupayaannya menjadi pelindung telah melemparkan kehidupan zuriatnya ke
lembah derita yang berpanjangan.
“Entahlah
abang. Dari dulu hingga sekarang Ai tak nampak pun apa hikmahnya. Kadang-kadang
Ai terpikir juga apa guna kita kaya raya tetapi kebahagian seorang anak tidak
mampu kita beli. Kalau orang lain kekayaan ini adalah satu nikmat tapi bagi Ai
ia satu malapetaka besar. Bodohkan Ai ni.” Gelak halus berhembus daripada celah
bibir Datin Aisyah. Dia menggeleng kecil sebelum menyapu air mata yang jatuh di
tubir mata.
Datuk Mazlan
menelan liurnya yang terasa kesat. Hatinya menangis kerana maksud tersirat itu
dapat dibacanya. Biarpun di bibir isterinya senyuman manis sering menghiasi
tetapi dalam hati air jernih itu sering meghujani.
“Dia anak Datuk
Mazlan. Antara orang terkaya di Malaysia. Dia punyai segala-galanya. Sepatutnya
dia lebih bahagia daripada orang lain. Tetapi kenapa tidak, abang?” suara Datin
Aisyah kedengaran sesak. Tunduk meraup wajahnya sebelum dipaut tubuh suaminya
erat.
“Maafkan abang,
Ai. Maafkan abang kerana tak berdaya melindungi anak kita.” Air mata Datuk
Mazlan mengalir tanpa dipinta saat memeluk tubuh Datin Aisyah dan dapat dia
rasa bahu Datin Aisyah terhenjut sama. Datin Aisyah sedang sembunyikan tangis.
Dan dia juga perlu sorok segala kepedihan biar apa pun terjadi. Apa yang pasti
kebahagian seorang anak perlu diraihnya walau terpaksa mengorbankan seluruh
hartanya.
“Kalaulah...”
suara Datin Aisyah disekat sebak. “Kalaulah Allah hilangkan ingatan Nayli
alangkah baiknya. Tidaklah anak kita menderita lagi,” kata Datin Aisyah dalam
tangisannya.
Terkedu Datuk
Mazlan mendengarnya. Pelukan dileraikan sambil memandang wajah basah isterinya.
“Astafirullahazim...apa
yang Ai cakap ni? Mengucap Ai. Mengucap!” tegur Datuk Mazlan. Air mata
lelakinya menitis lagi.
“Ai nak anak
kita bahagia abang! Ai sedih tengok Nayli begitu,” tangis Datin Aisyah. Jika
dia mampu mengubah segalanya alangkah indahnya. Namun hakikat pedih terpaksa
ditelannya. Dia tidak pernah mampu dan tidak akan mampu.