NAYLI mendengar cerita Adrian bagaikan
Adrian menceritakan kisah orang lain. Langsung tidak memberikan apa-apa kesan
di hati bagaikan dia tidak pernah mengalaminya. Kalau benar cerita Adrian itu,
ini bermakna ingatannya masih elok tatkala seminggu yang lalu. Dan dia
dikatakan berpeleseran di kawasan itu sahaja sepanjang minggu itu. Malah tidur
dan makannya di situ.
Nayli
mengerutkan dahinya. Apa yang sebenarnya terjadi kepadanya? Kenapa dia tidak
pulang ke rumah dalam tempoh seminggu ini? Di mana kedua ibu bapanya? Tidak
risaukah mereka? Dan apa yang terjadi kepadanya sehingga ingatannya hilang?
Kemalangan? Nayli menggeleng. Tiada langsung kesan kecederaan di tubuhnya.
Disosiatif Amnesia. Memori semantiknya memberitahu. Dia masih
jelas siapa dirinya sebenarnya tetapi serasanya dalam otaknya ini terlalu
banyak ilmu-ilmu saintifik yang dia ketahui. Dia tahu Disosiatif Amnesia tetapi
dia tidak dapat menghuraikan dengan lebih lanjut mengenainya. Begitu juga
dengan memori semantik. Kalau banyak sangat ilmu yang dia tahu mengapa pula
Adrian mengatakan dia seorang pelacur jalanan? Ah tidak mungkin!
Walaupun dia
tidak tahu siapa dirinya yang sebenar tetapi dia masih ingat siapa kedua-dua
ibu bapanya. Dia tahu rumahnya terletak di Shah Alam tetapi dia tidak tahu di
taman apa. Memori kanaka-kanak berusia 12 tahun membataskannya untuk mengingati
semuanya. Keluarganya juga bukan calang-calang orang tetapi kenapa Adrian
menuduhnya menjadi pelacur jalanan?
Nayli
menggeleng. Dia yakin telahan Adrian itu salah. Adrian juga tidak pasti kerana
Adrian hanya menelah berdasarkan penampilannya sahaja. Tidak banyak yang dapat
dia ketahui tentang dirinya daripada Adrian kerana Adrian juga tidak mengetahuinya
dengan jelas. Hanya pertemuan mereka di sebuah restoran dan diakhiri dengan
kecederaan Adrian akibat perbuatannya.
“Di mana beg
aku?”
Nayli kerut
dahi. Sungguh dia tidak mengerti mengapa dia mahu mengambil beg lelaki itu. Apa
yang dia telah lakukan dengan beg itu? Mahal sangatkah beg itu sampai
bersungguh-sungguh Adrian mencarinya? Ya Allah..apa yang harus dia lakukan? Sekiranya
dia tidak cuba mencari ingatannya sudah tentulah dia tidak akan ingat perkara
ini sampai bila-bila. Dan Adrian akan terus menculiknya!
“Woiii..kau
dengar tak? Mana beg aku?” jerkah Adrian seraya memegang lengan Nayli dengan
kasar. Budak kecik ni memang sengaja suruh dia berkasar selalu!
“Beg?” Nayli
kerut kening. Menahan sakit di tangan dan juga cuba mengembalikan ingatannya
yang sudah hilang.
“Dia buat-buat
tak ingat pulak! Beg aku yang kau curi! Mana dia?”
Apa? Mencuri?
Nayli geleng kepala. Tidak mungkin! Tidak mungkin dia sanggup melakukan perkara
sejijik itu! Ah Adrian pasti menipu semata-mata untuk menyakiti hatinya.
“Saya tak tahu.
Saya tak ingat!” jujur Nayli berkata.
Adrian
mendenggus kasar. Dia makin melenting bila Nayli tidak habis-habis mahu menguji
kesabarannya. Ikutkan hatinya yang marah pipi mulus itu mahu ditamparnya
berkali-kali. Biar gadis itu tidak berani mempermainkan dirinya lagi. Tapi dia
bukan jenis sebegitu. Marah macam mana sekalipun dia tidak akan mencederakan
kaum yang lemah.
“Kau nak
main-mainkan aku lagi ke?”
“Bukan macam
tu. Saya minta maaf. Saya sanggup bayar berapa saja yang encik nak tapi tolong
lepaskan saya!” Jika dengan duit, Adrian sanggup melepaskannya..dia sanggup
bayar berapa saja yang Adrian mahukan. Dia akan mendapatkannya walau apa cara
sekalipun.
Sekali lagi
Adrian merengkuh lengan Nayli, Nayli mengerang kesakitan. Berkerut dahinya
menahan sakit.
“Kau ingat, aku
hadap sangat duit haram kau tu? Aku nak beg aku sahaja!”
“Saya tak tahu
kat mana! Saya gantikan yang baru! Tolong lepaskan saya! Saya nak balik! Mama!
Papa!” dalam sendu Nayli merayu. Matanya berkaca. Sebak dadanya apabila
diperlakukan sebegitu.
“Kau tak faham
bahasa ke? Aku nak beg aku yang itu jugak! Bagitau aku kat mana beg aku tu!”
“Saya cakap
saya tak tahu! Saya tak tahu!” kata Nayli dalam sendu sedannya. Semangatnya
terasa lemah. Menghadapi dunia dewasa dengan mental berusia 12 tahun memang
membuatkan perasaannya semakin tertekan.
Adrian
mendenggus kasar. Budak kecik ni memang sengaja nak mainkan aku lagi!
“Fine..aku cakap elok-elok kau tak nak
dengar kan.”
Adrian
melepaskan pegangannya. Dia membuka butang bajunya. Satu persatu sehingga
menampakkan dada bidangnya. Senyuman sinis terukir di bibir lelakinya.
“Apa awak nak
buat ni?” Nafas Nayli seakan mahu berhenti.
“Kau
fikirkanlah sendiri apa bayaran setimpal kerana menghilangkan barang penting
aku!”
Nayli
terkesima. Apa maksud lelaki itu dengan 'bayaran setimpal?'. Tak kanlah sampai
menyerahkan tubuhnya pulak!
“Saya tak tahu!
Sumpah saya memang tak tahu!” jerit Nayli bersama air mata yang mengalir panas
di pipi. Rasa takutnya buat dia hampir putus nafas.
“Kau masih nak
menipu lagi, budak kecik? Kau nak cabar aku ke?” keras Adrian bersuara. Hatinya
sedikit geram bila Nayli masih berdegil.
Nayli
menggeleng bersama juraian air matanya. “Tak! Saya tak tipu!”
Dalam juraian
air mata dia memberanikan dirinya memandang ke dalam anak mata Adrian. “Saya
tak tipu. Saya tak tahu apa yang dah jadi kepada saya. Saya lupa
segala-galanya. Dan apa yang saya tahu saya berusia 12 tahun dan berada dalam
tubuh dewasa Nayli!”
Adrian
tercengang. Mulut melopong dan dia tidak tahu nak kata apa lagi.
JUS tembikai
disedutnya hingga tinggal separuh. Namun tidak dapat menghilangkan keresahan
hatinya. Rasa macam tidak percaya pula. Mungkin gadis itu berbohong.
Adrian pandang jam di pergelangan
tangan. Lama sungguh waktu berlalu. Rasanya hampir bengkok belakangnya duduk di
kerusi menunggu kedatangan seseorang. Sungguh penantian itu cukup membosankan!
Namun demi sebuah kepastian dia memaksa
dirinya untuk terus bersabar. Lagipun hanya Amri satu-satunya kawan yang dia
percayai. Hanya Amri yang sentiasa membantunya dalam kesusahan.
“Sorry
lambat. Apa hal tiba-tiba kau nak jumpa aku ni?” Amri melabuhkan punggungnya
bertentangan Adrian.
“Aku ada masalah lagi,” keluh Adrian
sambil meraup wajahnya.
“Masalah apa pula?” Kening Amri
berkerut. Melihatkan kekeruhan wajah Adrian itu dia tahu pasti ada sesuatu yang
meresahkan Adrian.
“Budak yang aku culik tu hilang ingatan
pulak,” terang Adrian.
Wajah Amri nampak pegun. Adrian tahu
Amri terkejut dengan kenyataannya. Malah Amri pasti lebih terkejut kalau dia
ceritakan yang ingatan Nayli sekarang adalah 12 tahun dalam tubuh dewasanya.
Mungkinkah Nayli kurang siuman?
“Kenapa? Apa yang kau buat sampai dia
hilang ingatan?”
Adrian mengeluh lemah. Dia masih
sangsi. Tidak mungkin tiba-tiba sahaja gadis itu hilang ingatan. Setahunya
jikalau seseorang itu hilang ingatan disebabkan otaknya mengalami gegeran.
Selalunya disebabkan kemalangan jalan raya. Tetapi tidak pula dia lihat kesan
kecederaan pada gadis itu. Atau gadis itu sememangnya gila sejak dari awal
pertemuan mereka lagi? Andrian ketap bibir. Dia dapat rasakan tafsirannya ini
benar kerana hanya orang gila sahaja yang sanggup memperlakukannya sebegitu.
Nampaknya harapan untuk dia mendapatkan kembali begnya sudah tiada. Perlukah
dia mengalah lantas membiarkan haknya dirampas orang lain? Hati Adrian bengkak
lagi. Matanya mula hangat.
“Aku rasa dia memang dah gila. Patutlah
perangai macam tu!”
Lemah sahaja bicara Adrian. Dia sudah
putus harapan. Satu-satunya senjata yang dia ada telah dicuri oleh gadis gila
dan pastinya dibuang entah ke mana. Ya Allah, kenapalah nasib aku malang
sangat!
“Habis tu apa kau nak buat dengan budak
tu? Tak kan kau nak biarkan budak tu kat rumah kau selamanya!” Amri juga sudah
tidak betah sendiri. Hai..Adrian pun satu! Tak kanlah tak dapat nak bezakan
budak gila atau tidak.
“Entah! Aku pun buntu! Masalah lama tak
selesai lagi timbul pula masalah baru!” renggus Adrian. Tidak mungkin dia
sanggup meninggalkan gadis itu di tempat di mana dia mengambilnya dulu.
Walaupun gadis itu tiada kaitan dengannya namun dia masih ada rasa bimbang akan
keselamatannya. Sudahlah berwajah cantik, pasti akan menjadi mangsa nafsu
serakah manusia yang berhati binatang. Tetapi kalau dibiarkan di rumahnya
bimbang pula akan menjadi masalah kepadanya kelak.
“Siapa yang kau culik sebenarnya?”
tanya Amri ingin membantu. Adrian pernah beritahunya gadis itu adalah gadis
liar. Mungkin gadis itu perlu dihantar di mana-mana pusat jagaan.
“Entah! Ni gambar dia!” Adrian
menghulurkan telefon bimbitnya kepada Amri.
Tidak sabar menunggu jawapan dari mulut
Adrian, segera Amri melihat skrin yang berada di tangannya. Saat mata tertacap
kepada seraut wajah mulut Amri terngaga luas. Dada berdebar tidak keruan.
Kepala menggeleng tidak percaya.
“Nayli?”
“Kau kenal dia?” tanya Adrian tidak
sabar.
“Mestilah aku kenal. Ini anak Datuk
Mazlan! Dia satu sekolah dengan aku masa aku sekolah menengah dulu. Macam mana
dia boleh curi beg kau pulak?” tanya Amri tidak berpuas hati. Dia tidak percaya
yang Nayli sanggup mencuri.
Adrian merenung Amri tajam. “Anak Datuk
Mazlan? Perempuan gila ni anak Datuk Mazlan?” suara Adrian sudah meninggi.
“Nayli hilang ingatan?” tanya Amri pula,
tidak percaya. Tiada angin tiada ribut macam mana Nayli boleh hilang ingatan? “Kau
pasti ke dia hilang ingatan? Atau dia tipu kau?” sambung Amri. Pandangan
kembali ditumpukan kepada gambar Nayli di hadapannya. Ada sangsi menghujam
dadanya kala ini.
“Aku tak pasti tapi itulah katanya,”
terang Adrian.
Amri pantas mengetip jari. “Entah-entah
dia mainkan kau aje kot! Lagipun dia memang budak bermasalah sejak dari dulu
lagi!”
“KAU tipu aku bukan?” Andrian merenggus
geram. Dia tengok gadis itu elok sahaja. Tak nampak pun mana-mana kecederaan di
kepalanya. Takkanlah tiba-tiba sahaja boleh hilang ingatan pula!
“Saya tak tipu. Memang saya tak ingat
apa yang terjadi!”
Nayli ketap bibir. Dia memang dah agak
Adrian tidak akan mempercayainya. Lebih-lebih lagi bila melihat keadaan dirinya
yang sihat walafiat. Tetapi Adrian harus sedar hilang ingatan boleh terjadi
dalam banyak perkara. Sekali lagi memori semantiknya memberitahu.
Amri mendenggus geram. “Kau nak
main-mainkan aku bukan? Aku tengok badan kau sihat aje. Macam mana kau boleh
hilang ingatan pulak!” desis Andrian.
“Memang badan saya sihat tetapi mental
saya yang tak sihat,” kata Nayli dalam debar. Takut rasanya mahu menghadapi
baran Adrian.
“Kau ingat aku bodoh? Tak kan tiba-tiba
aja kau boleh hilang ingatan!” tekan Adrian lagi. Rahang diketap marah.
“Saya tak tahu sebabnya.” Nayli
menggeleng. Dia cuba mencari ingatannya. Mencari sebab kenapa ingatannya mahu
bersembunyi.
“Tipu!” Adrian merengkuh lengan Nayli
kejap. Nayli tersentak.
“Siapa sebenarnya kau? Kenapa kau curi
beg aku? Atas arahan siapa kau buat semua ini?”
“Sa..sakit!” Pegangan kejap Adrian di
lengannya begitu menyakitkan. Dia tahu bukan mudah Adrian mahu mempercayainya.
Lebih-lebih lagi apabila Adrian hanya melihat sisi gelapnya sahaja.
“Tahu pun sakit! Sekarang aku nak kau
berterus terang! Di mana beg aku?”
“Saya tak tahu!” Air mata Nayli tumpah.
Dia tidak tahu bagaimana mahu menerangkan duduk perkara yang sebenarnya.
Adrian menolak tubuh Nayli. Nayli yang
tak bersedia terjatuh. Dia mengaduh perlahan bila kakinya rasa terseliuh. Namun
sikit pun tidak menimbulkan rasa belas di hati Adrian. Adrian mendekati tubuh
Nayli. Dagu Nayli dipaut kasar. Air mata Nayli yang mengalir di pipi tidak
diendahkan.
“Siapa yang upah kau sampai begini kau
tutup mulut! Berapa yang diorang bayar? Aku boleh bayar tiga kali ganda asalkan
kau beritahu aku di mana beg aku! Lebih baik kau beritahu di mana beg aku budak
kecik!” penuh dendam Adrian bersuara.
“Disosiatif Amnesia! Saya rasa saya kena penyakit tu!”
“CUBA kau google
Disosiatif Amnesia tu apa.”
Lamunan Adrian tersentak. Dia mengangkat wajah dan terus menentang Amri
dengan perasaan yang sukar hendak digambar. Debar di dada semakin tidak keruan.
Siapa sangka insan yang diculik selama ini rupa-rupanya anak Datuk Mazlan.
Kalau benar gadis itu hilang ingatan lebih baik dia menyerahkannya kepada Amri
untuk diserahkan kepada Datuk Mazlan.
“Wujud ke penyakit tu? Lagipun macam
mana dia tahu?” tanya Adrian tanpa sabar.
Amri menarik nafas panjang dan melepaskannya
perlahan. Wajah Nayli kini terbayang di layar ingatannya membabitkan perasaan
benci dalam hati. Memang sejak dari dulu lagi dia tidak pernah senang dengan
gadis bernama Nayli itu.
“Nayli tu doktor! Mestilah dia tahu
semua ini. Mungkin ini juga helah dia untuk lepaskan diri.”
“What?”
Tak dapat dibendung rasa terkejut, mata kuyu Adrian terbuka luas.
Doktor? Kenapa boleh tidur di jalanan?
Atau memang budak tu dah gila!
“Aku yakin dia sengaja upah samseng
untuk belasah kau kerana mahu balas dendam. Dia memang pendendam orangnya. Cuma
aku tak pasti kenapa dia boleh tidur di jalanan pula!”
Adrian diam. Memikir. Misterinya
seorang gadis bernama Nayli. Semuanya masih menjadi tanda tanya.
“Apa yang kau tahu tentang Nayli?”
tanya Adrian cukup berminat. Selama ini dia tidak pernah berminat tentang
sesiapa pun. Tetapi pelik kenapa kepada perempuan yang telah
memperorak-perandakan hidupnya. Hatinya begitu mudah tertarik untuk
mengetahuinya.
“Hubungan aku dengan dia tak rapat
sangat sebab aku ketua pengawas dan dia pelajar bermasalah. Lepas dia dibuang
sekolah aku tak pernah dengar apa-apa tentang dia. Sampailah satu hari tu aku
terbaca news tentang keluarga dia.
Dari situlah aku tahu dia kini seorang doktor.”
“Kau tak suka dia?” Dari bahasa tubuh
Adrian dapat membacanya.
“Mestilah. Dia pun pernah buat kat aku
apa yang dia dah buat pada kau!”
Terbeliak biji mata Adrian. Bagai tidak
percaya apa yang telah diperkatakan tetapi bila Amri mengangguk, dia mengeluh
lemah.
“Maknanya kita mengalami nasib yang
sama?” Dia masih tidak percaya yang gadis yang diculiknya memang sejak dari
dulu lagi berperangai sebegitu.
“Tapi aku lebih teruk. Dia upah samseng
pukul aku sampai kaki aku patah. Tiga bulan jugak aku tak boleh jalan. Dan
sebab itu dia kena buang sekolah!”
Adrian telan liur. Dasyat betul
penangan budak kecik ini.
“Apa yang kau buat sampai sebegitu
sekali dia marah?”
“Aku kan ketua pengawas. Tak salah
bukan kalau aku report masalah
disiplin dia kepada guru disiplin?”
Adrian mengangguk. Dalam kepala masih
memikirkan tentang gadis itu.
Apa yang telah terjadi kepada kau,
Nayli?
Disosiatif Amnesia? Apa tu?
Hatinya tidak betah sendiri.
No comments:
Post a Comment