NAYLI menghembuskan asap rokok sekuat hati bagai
melepaskan kesendatan hati yang sedang membukam kalbu. Merokok adalah tabiatnya
bila dia berasa gelisah, tertekan dan kecewa. Padahal dia sememangnya arif
tentang bahana rokok kepada kesihatan jantungnya. Peliknya Nayli rasakan
jantungnya semakin tenang setiap kali dia hembuskan kepulan asap berkepul-kepul
di udara.
Ketika ini rasa sepi benar-benar melintas setiap relung
hatinya. Masalah di hospital semakin menekan perasaannya. Dia benar-benar
memerlukan teman bicara. Malangnya dia tiada sesiapa.
Tiba-tiba wajah cemberut lelaki tadi bermain di mindanya.
Nayli tersenyum sambil terus menghisap rokoknya dalam-dalam.
‘Padan muka kau! Siapa suruh cari masalah dengan aku!’
hati Nayli mendongkol sendirian.
Kali ini yang dirasakannya adalah perasaan puas. Sepuas
menelan bermacam pil yang diberikan tiga teman hiburnya. Teman yang suka benar
menjahanamkan dirinya. Tetapi apa boleh buat. Hanya cara ini sahaja yang mampu
dia lakukan demi untuk menghilangkan tekanan yang membelenggu perasaannya.
“Cik!”
Puncak tekanan Nayli berada di tahap paling tinggi bila
matanya bertemu pandang dengan seorang lelaki berbadan tegap di hadapannya. Ah
ada sahaja orang yang mahu mengganggunya!
“Nak apa?” soal Nayli kasar. Hampir sahaja dia menengking
lelaki di hadapannya ini. Menjadi kepantangannya apabila dia diganggu.
“Saya pengurus restoran ini,” kata lelaki itu dengan
tertib.
“So?’ Kening
Nayli terjungkit. Sengaja dia mempamerkan riak menjengkelkan.
“Di sini tak boleh merokok cik. Ramai sudah customer yang complain cik merokok di sini. Kalau cik nak merokok, cik boleh
merokok di luar. Maafkan saya ya cik.”
“Kalau saya tak nak macam mana?” Nayli sengaja mencabar.
TUBUH Nayli ditolak kasar ke luar dari restoran. Hampir
tersadung tubuhnya di kaki lima. Bibir diketap kuat. Sakit betul hatinya. Tidak
pernah selama ini dia dimalukan sebegini. Bila matanya terpandang wajah yang
sedang tersenyum sinis di hadapan restoran, penumbuk dikepal kuat.
“Macam mana rasanya kena halau? Rasa macam anjing kurap
tak?” tanya Adrian dengan senyuman yang sengaja dilebarkan. Biar hati Nayli
semakin sakit dengan kata-katanya ini. Kali ini dia benar-benar puas melihatkan
keadaan Nayli.
Penumbuk dikepal lagi. Sedaya upaya dia cuba menahan
sabarnya yang semakin rabak. Bila Adrian merapatinya, Nayli tahan tangannya
daripada terbang mencari muka Adrian. Dia tidak mahu perkara ini menjadi kecoh
di sini.
“Siapa kau sebenarnya hah? Pelacur ke?” bisik Adrian ke
telinganya.
Berdentum dada Nayli mendengarkan cacian lelaki itu.
Kalau tidak difikirkan siapa dirinya mahu sahaja dia membelasah lelaki ini di
sini. Namun belum sempat dia berkata telinganya terus disapa dengan perlian
lelaki itu.
“Berapa untuk semalam? Banyak ni cukup?”
Dan lelaki itu terus membaling beberapa keping wang
kertas seringgit ke mukanya sebelum berlalu pergi. Nayli mengepal penumbuknya.
Dada pula sudah berombak kencang.
“Dia memang nak cari pasal dengan aku! Dia tak tahu siapa
aku lagi agaknya!” Nayli berdenggus sendirian.
Pantas Nayli mengeluarkan telefon bimbit dari tas
tangannya. Setelah mendail satu nombor dia menunggu panggilannya bersambut.
“Hantar orang kat aku! Tempat biasa!” arah Nayli sebelum
mematikan panggilan. Dan senyuman sinis pula tersungging di bibirnya kali ini.
ADRIAN panik bila sekumpulan lelaki bersenjata kayu
menghampirinya. Adrian pandang ke kiri. Pandang ke kanan. Baru dia sedari
kawasan yang dilaluinya adalah kawasan sunyi. Tiada seorang pun di situ
melainkan dirinya sahaja.
“Pukul dia!”
Suara perempuan yang memberi arahan tetapi Adrian tidak
nampak wajahnya kerana dilindungi oleh lelaki-lelaki perkasa itu. Suara yang
sungguh meremangkan bulu romanya.
Adrian berundur ke belakang beberapa tapak. Liur ditelan
kesat. Mata tepat memandang lelaki-lelaki perkasa di hadapannya dengan seribu
persoalan di dada. Apa salahnya kepada mereka?
“Serang!!” kedengaran jeritan geng samseng menyerbu ke
arahnya. Walaupun panik Adrian cuba menenangkan perasaannya dan cuba menghadapi
situasi ini dengan sebaik mungkin.
Pantas Adrian menyusun langkah menahan serangan kumpulan
samseng yang mula menggila. Nasib baik dia ada belajar ilmu mempertahankan diri
ketika menjadi palapes dahulu. Sedaya mungkin dia cuba mempraktikkan di sini.
Adrian menghayunkan penumbuknya ke perut salah seorang
penyerangnya. Lalu menyiku bahu lelaki yang tertunduk menahan senak itu. Satu
demi satu samseng ditumbangkan. Namun..
DEBUK!!
Tiba-tiba kepalanya dipukul oleh kayu. Berpinar matanya.
Kemudian satu sepakan tepat mengenai perutnya. Adrian terbatuk dek kerana
senak. Menggigil kakinya cuba menahan berat badannya. Namun pukulan yang tepat
mengenai belakangnya membuatkan tubuhnya terjatuh ke tanah.
Adrian cuba bangun. Tetapi segerombolan samseng terus
menyerangnya bertalu-talu. Mukanya ditumbuk! Perutnya disepak! Batang tubuhnya
diterajang! Darah sudah membasahi mukanya. Sakit seluruh anggotanya.
“Cukup!”
Suara itu kedengaran lagi. Derap tapak kaki
menghampirinya. Dan sesaat kemudian rambutnya ditarik dengan kasar.
“Ini hadiahnya kalau kau cari pasal dengan aku!”
Dalam ketidakdayaannya Adrian dapat lihat wajah gadis
itu. Gadis yang dijumpainya di restoran sebentar tadi. Sungguh tidak disangka
gadis itu berdendam sampai sebegini kepadanya.
“Kau..” belum pun sempat Adrian menghabiskan kata-kata,
gadis itu sudah menendang batang tubuhnya. Adrian mengerang kesakitan. Untuk
melawan lagi dia sudah tidak berdaya.
“Ini sebenarnya harga diri aku!” Nayli menghadiahkan
terajangnya ke tubuh Adrian dan kali ini Adrian benar-benar tidak berdaya.
Pandangannya berbalam. Namun sempat dia lihat gadis itu mencapai beg galasnya
sebelum pandangannya menjadi kelam.
No comments:
Post a Comment