Friday 10 July 2015

Lasernya Mulut Dia Bab 3

Bermula pada hari ayahnya di tangkap polis telah merubah kehidupan Amir Rifqi seratus peratus. Tiada lagi erti bahagia dalam kehidupan mereka sekeluarga. Semuanya hanyalah derita yang tidak kesudahan.
“ Rifqi anak banduan! Rifqi anak banduan!!”
Amir Rifqi menyabarkan hatinya dengan ejekan dari Firdaus, teman sepermainannya. Ejekan yang sebenarnya sudah menjadi halwa telinganya.
“ Woi anak banduan, kau buat apa di sini? Nak datang mencuri macam bapa kau?”
Amir Rifqi mengeluh geram. Bicara Firdaus benar-benar menguris hati dan perasaannnya. Namun dia cuba bersabar.
“ Aku nak pergi kedai la,” kata Amir Rifqi mendatar. Bukan dia sengaja mahu melalui kawasan ini tetapi hanya jalan ini sahaja yang boleh dilaluinya untuk ke kedai yang terdekat.
“ Mesti nak pergi mencurilah tu! Anak banduan katakan,” ejek Firdaus lagi.
Ah dia benci dengan perkataan banduan itu. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa terlukanya hatinya dengan cacian itu.
“ Abah aku tak mencurilah!” marah Amir Rifqi. Dia sebenarnya sudah penat dengan ejekan daripada teman-temannya yang tidak pernah mengerti kesengsaraan batin yang terpaksa ditanggungnya ini.
“ Eh takkan kau dah lupa? Abah kau sekarang di penjara. Kena hukum sebab rasuah. Iskh kalau aku jadi kau mesti aku malu dapat ayah seperti kau,” ejek Firdaus.
“ Abah aku orang baiklah. Mama aku kata abah aku ditahan sebab nak bantu siasatan polis sahaja. Nanti keluarlah dia,” kata Amir Rifqi dengan nafas tertahan-tahan. Dia mahu membela ayahnya. Tidak akan sesekali dia membiarkan maruah ayahnya dipijak sesuka hati oleh orang lain!
“ Abah kau orang jahat!”
Ya Allah, hancurnya hati Amir Rifqi. Kesedihanku masih belum surut lagi, kini ditambah lagi dengan ejekan dan cacian teman-temannya. Ejeklah aku! Ejeklah sepuas-puasnya. Aku memang suka di ejek dan di cerca. Di dalam hati Amir Rifqi terus merintih.
“ Mak aku cakap abah kau ada hubungan songsang. Eii teruknya.”
“ Jaga sikit mulut kau!”
Sungguh hati ini sudah tidak mampu untuk bersabar lagi. Firdaus memang sudah melampau! Mahu sahaja airmata Amir Rifqi mengalir namun dia menahan. Dia tidak mahu Firdaus menganggap dirinya lemah. Dia sedar siapa dirinya.
“ Rifqi anak banduan! Rifqi anak banduan!” ejek Firdaus tanpa sedikit pun mahu menyelami hati Amir Rifqi yang sedang tersiksa.
“ Aku cakap diam!” kata Amir Rifqi.
“ Rifqi anak banduan! Rifqi anak banduan!”
Ejekan Firdaus itu terus sahaja dihadiahi dengan satu tumbukan yang maha hebat di pipinya. Ya Firdaus memang layak mendapat tumbukan itu. Biar dia rasa betapa sakitnya hatinya tatkala ini.
“ Kurang ajar!” kata Firdaus. Kemudian Firdaus terus menerpa ke arah Amir Rifqi. Tubuh Amir Rifqi jatuh ke tanah dan berlakulah pergelutan antara mereka.
“ Eh Rifqi, kenapa kau pukul anak aku? Oh kau nak masuk penjara macam bapa kau juga?” marah Mak Cik Imah yang tiba-tiba datang untuk meleraikan pergelutan antara mereka.
“ Bukan saya yang mulakan.” Amir Rifqi cuba membela diri. Dia mengharapkan Mak Cik Imah dapat memahami perasaannya tatkala ini.
Firdaus sudah bangun dan berlari bersembunyi di belakang punggung ibunya. Sempat Amir Rifqi mengerling ke arah Firdaus yang tersenyum sinis di balik punggung Mak Cik Imah yang menyergahnya.
“ Sudah! Memang dasar anak penjenayah!” kata Mak Cik Imah. Matanya tajam merenung Amir Rifqi.
Amir Rifqi yang masih terduduk di tanah hanya mampu menundukkan wajahnya. Rasa marah, tidak adil, tidak puas hati bercampur aduk di dalam hatinya.
“ Ingat ya, kalau kau usik anak aku lagi, aku akan report polis. Biar kau dengan bapa kau sama-sama merengkok dalam penjara!” Mak Cik Imah terus memberi amaran keras sambil jari telunjuk kanannya di gegar-gegarkan ke muka Amir Rifqi. Firdaus masih tersenyum sinis. Puas dia melihat Amir Rifqi kena marah.
Ah pedihnya. Amir Rifqi gagahkan diri untuk bangun. Sebenarnya badannya begitu sakit akibat pukulan Firdaus tetapi dia sudah tidak betah berada lama di situ. Ada tangisan yang sudah mula ingin pecah. Hinanya menjadi anak banduan. Ya Allah, Kau tabahkanlah hatiku. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya tatkala itu.
Amir Rifqi berlari pulang ke rumah. Sampai sahaja di rumah, terus sahaja dia masuk ke dalam bilik. Pintu bilik dihempasnya sekuat hati. Biar terkopak terus! Geram benar rasa hatinya. Airmatanya sudah tidak tertahan terus sahaja Amir Rifqi menangis. Hatinya benar-benar terluka. Ya Allah, sakitnya. Sakitnya!
“ Rifqi, buka pintu ni nak. Mama nak cakap sikit.”
Dari luar kedengaran suara Puan Ainina. Suaranya sentiasa lembut. Sememangnya begitulah Puan Ainina yang Amir Rifqi kenali. Lemah lembut dan penyayang.
“ Rifqi, bukalah sayang,” rayu Puan Ainina lagi setelah Amir Rifqi membatukan dirinya. Kelihatan tombol pintunya bergerak tanda Puan Ainina cuba membukanya dari luar.
Amir Rifqi melangkah malas menuju ke pintu. Dia memulas tombol sekadar melepaskan kuncinya. Kemudian Amir Rifqi kembali semula ke katil.
Puan Ainina hanya mampu mengeluh lemah dengan sikap anak tunggalnya itu. Dengan lemah, Puan Ainina membuka pintu bilik lalu melabuhkan punggungnya di sisi Amir Rifqi yang sedang terbaring di atas katil. Perlahan-lahan dia mengusap rambut anak tunggalnya itu.
Amir Rifqi memalingkan wajahnya di dinding. Hatinya masih panas dengan apa yang berlaku.
“ Kenapa orang sanggup menganiaya abah, mama?”
“ Sabarlah Rifqi,” kata Puan Ainina cuba menenangkan hati anaknya. Kasihan anaknya. Masih terlalu kecil tetapi sudah di uji dengan dugaan yang memeritkan.
“ Rifqi benci! Rifqi benci semua ini!” marah Amir Rifqi.
“ Kenapa ni sayang? Firdaus ejek Rifqi lagi ke?” tanya Puan Ainina yang sudah masak dengan perangai anaknya. Kalau Amir Rifqi tidak diejek masakan anaknya itu akan berperangai sebegitu. Di dalam hati dia terus merintih pilu. Kasihan Amir Rifqi.
“ Dahlah tu Rifqi. Jangan di layan sangat perangai Firdaus tu,” pujuk Puan Ainina sambil menggosok belakang tubuh Amir Rifqi.
“ Bukan sehari, bukan seminggu dia kutuk Rifqi. Sudah berbulan mama. Semenjak abah dipenjarakan. Rifqi tak tau apa dosa Rifqi pada dia sampai begini dia buat pada Rifqi,” adu Amir Rifqi. Nafas Amir Rifqi terhenti seketika. Dadanya sebak.
“ Rifqi dah tak sabar lagi mama. Rifqi dah tak sanggup tanggung semua ini. Rifqi dah tak tahan nak bersemuka dengan dia,” luah Amir Rifqi lagi.
Sayu hati Puan Ainina mendengarkan luahan hati anak tunggalnya itu. Matanya sudah merah menahan kesebakan hati. Namun seboleh mungkin dia cuba bertahan daripada airmatanya melurut jatuh. Dia tahu dia perlu berpura-pura kuat di hadapan anak kesayangannya ini.
“ Sudahlah tu sayang. Mama yakin lama kelamaan Firdaus akan berhenti mengejek Rifqi. Biarkan dia. Nanti dia penatlah. Kalau Rifqi layan dia lagi sukalah dia mengejek Rifqi. Yang penting sayang mama ni kena banyak bersabar,” pujuk Puan Ainina.
“ Sampai bila mama? Sampai bila-bila?” tanya Amir Rifqi, tidak puas hati dengan jawapan ibunya itu.
Hati Puan Ainina tersentuh dalam mendengarkan pertanyaan anak tunggalnya itu. Dia tahu Amir Rifqi sudah tidak tertanggung lagi dengan ujian berat ini.
“ Rifqi sedar mama. Rifqi sudah menjadi alat untuk ditertawakan, di ejek dan di hina sesuka hati mereka. Rifqi sedar siapa Rifqi. Anak banduan yang hina di mata masyarakat. Tapi Rifqi juga ada perasaan. Rifqi sedih, sedih sangat apabila mereka menghina dan mengejek Rifqi,” luah Amir Rifqi. Dia menangis semahu-mahunya.
Sungguh hati Puan Ainina begitu sedih dan pilu apabila mendengarkan luahan hati Amir Rifqi itu. Pantas tubuh anak remajanya itu diraihnya ke dalam dakapannya. Anakku, kenapalah nasib kau macam ni?

No comments:

Post a Comment