Friday 10 July 2015

Lasernya Mulut DIa Bab 5

Amir Rifqi mendenggus geram. Sakit hatinya mendengarkan ejekan daripada Firdaus.
“ Sebab ayah kau jahatlah macam-macam hukuman yang Allah berikan kat dia,” perli Firdaus.
Pedih hatinya dengan perlian Firdaus itu. Dia juga punya hati dan perasaan. Hati siapa yang tidak sakit kalau saban hari di sindir dan di ejek.
“ Eh Firdaus, kau jaga mulut kau! Jangan bercakap ikut sedap mulut sahaja. Tak kena pada batang hidung kau, bolehlah kau bercakap begitu,” balas Amir Rifqi, geram bersulam benci. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja ditenyeh mulut Firdaus yang tidak ada insuran itu.
Pantas Amir Rifqi melangkah geram menuju ke rumahnya. Sakit hatinya sudah bernanah. Malah sudah tidak tertanggung tubuh kerdilnya menanggung segala tohmahan dari jiran tetangga.
Sampai sahaja di rumah, Amir Rifqi melihat ibunya sedang menangis di sofa. Tangisan ibunya cukup meruntun perasaannya. Semenjak ayahnya di penjara, dia tidak pernah melihat ibunya menangis. Dia tahu ibunya cuba berlagak kuat dihadapannya.
“ Mama sakit ke?” tanya Amir Rifqi terus mendapatkan ibunya. Sebenarnya pelbagai kebimbangan yang terlontar di sanubarinya semenjak ayahnya dipenjara. Mengenai wang belanja dan kos perubatan ibunya cukup melelahkan fikirannya. Hukuman pihak berkuasa yang telah membekukan akaun ayahnya sudah membuatkan hidup mereka tersepit. Ah berat sungguh dugaan ini.
Puan Ainina mengambil telapak tangan Amir Rifqi lalu disapunya penuh kasih.
“ Rifqi,” panggil Puan Ainina. Apabila melihat wajah anak tunggalnya membuatkan tangisannya semakin lebat. Sungguh dia berasa simpati dengan Amir Rifqi. Dia tahu Amir Rifqi menghadapi hari-hari yang sukar kerana terpaksa membawa gelaran anak banduan di pundaknya.
“ Mama nak cakap sikit. Mama nak Rifqi faham apa yang telah berlaku kepada abah,” kata Puan Ainina. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba melegakan kesakitan jiwa yang sedang ditanggungnya.
Amir Rifqi hanya menggangguk. Apa pun yang diceritakan ibunya, dia tetap yakin bahawa ayahnya tidak bersalah. Walaupun pelbagai tohmahan buruk yang telah dilemparkan kepada bapanya.
“ Abah dianiaya sayang. Rakan sekerja abah dan peguamnya telah berkomplot untuk mengenakan abah.”
Kasihan kat abah sayang. Bicara terakhir Puan Ainina hanya berlagu di dalam hatinya. Hatinya merintih pilu.
Amir Rifqi mendenggus geram. Matanya bulat memandang ibunya. Marahnya meluap-luap. Sakit hatinya semakin parah. Pantas satu tumbukan hebat dilemparkan ke meja di hadapannya.
“ Kurang ajar!” kata Amir Rifqi. Kalaulah dia mengenali kedua-dua insan yang telah menganiaya ayahnya, pastinya sudah lama mereka berdua dibunuhnya. Ya Allah, kejamnya mereka. Kenapa masih ada manusia sekejam ini di dunia ini?
“ Kesian kat abah. Dia dipenjarakan kerana fitnah manusia. Dan sekarang, sekarang…”
Puan Ainina tidak dapat meneruskan bicaranya. Dia menangis tersedu-sedu. Kesedihan yang mencengkam tidak mampu disembunyikan lagi. Ya Allah, Kau tabahkanlah hatiku.
“ Sekarang apa, mama?” tanya Amir Rifqi dalam debaran di dada. Hatinya dipagut kebimbangan yang tidak terperi. Bimbang sesuatu yang buruk bakal menimpa bapanya. 
“ Abah meninggal, Rifqi. Abah dah tak de. Dia dah tinggalkan kita buat selama-lamanya.”
Terpana Amir Rifqi mendengarkan berita yang cukup memilukan. Ya Allah, benarkah apa yang sedang di dengarinya? Ya Allah, kenapa malang sangat nasib bapanya? Allah, kenapa Kau tidak tegakkan keadilan buat abah? Tanpa sedar airmata kesedihan melurut laju di pipinya.
“ Ke..kenapa?” tanya Amir Rifqi. Bergegar dadanya menahan sebak yang bukan kepalang.
“ Ada rusuhan di penjara. Abah terbunuh dalam rusuhan itu,” kata Puan Ainina. Suaranya serak dan seakan tidak di dengar, tenggelam dek sedu sedan dan esakan yang sudah tidak terbendung lagi.
Makin lebat airmata Amir Rifqi apabila mendengar bicara ibunya itu. Kasihan abah! Hati Amir Rifqi merintih pilu.
“ Inalillah.”
Tiba-tiba Amir Rifqi berasa begitu benci sekali. Benci sebencinya kepada insan yang telah menganiaya bapanya.
“ Aku akan cari kebenaran buat abah,” desis Amir Rifqi di dalam hatinya.
AMIR RIFQI sudah tekad. Dia tahu ini adalah keputusan yang terbaik. Hanya cara ini sahaja yang boleh dilakukannya untuk mengubah hidupnya. Hanya pelajaran yang mampu membawanya ke sebuah kehidupan yang penuh gemilang.
“ Kau buat apa tu, Rifqi?” tanya Zainal, teman serumahnya.
“ Isi borang sambung belajar,” kata Amir Rifqi.
“ Wah bagusnya kau. Dah tua pun masih mahu belajar. Bagus, bagus,” kata Zainal sambil menepuk bahu teman serumahnya itu.
“ Hanya cara ini sahaja yang dapat mengubah kehidupan aku, Nal. Tak kan selama-lamanya aku nak jadi despatch,” kata Amir Rifqi.
Zainal hanya mengangguk dengan bicara Amir Rifqi itu.
“ Bagus, aku sokong kau. Semoga kau berjaya. Aku masuk tidur dulu ya. Esok aku nak kerja,” kata Zainal sebelum dia bangun menuju ke dalam biliknya. Manakala Amir Rifqi masih lagi di ruang tamu sambil melayan perasaannya.
Hampir sepuluh tahun peristiwa perit itu berlaku. Sepuluh tahun membuatkan hidup Amir Rifqi terus dibayangi dengan dendam. Kerana dendam dia berusaha kuat untuk mengembalikan maruah keluarganya yang sudah tercalar. Kerana dendam juga membuatkan dia memaksa dirinya untuk meneruskan hidupnya ini. Kerana dendam juga dia bertekad untuk berjaya.
Mama, tiba-tiba nama itu bermain di hatinya. Nama yang sering menemaninya walaupun kini dia sebatang kara di dunia ini. Nama yang membuatkan airmatanya sering mengalir apabila mengingatinya.
Abah, apabila nama itu tersua di sudut sanubarinya, hatinya semakin hiba. Perasaan dendam yang berkudis semakin membara. Perlahan-lahan Amir Rifqi menyapu airmata yang sedang mengalir di pipinya.
“ Abah tak bersalah, Rifqi. Abah tak bersalah. Abah dianiaya. Tolong percayakan abah, sayang,” kata-kata itu tergiang-giang di telinganya. Tanpa dipinta airmata lelakinya mengalir deras. Dia tidak mampu menahan hatinya.
“ Tolong jaga mama elok-elok. Mama sakit. Jangan buat mama susah hati. Abah sudah tiada, jadi Rifqi yang perlu ambil tugas menjaga keluarga sekarang.”
Amir Rifqi menangis lagi. Dia tidak faham kenapa manusia sanggup menganiaya bapanya sebegitu rupa. Apa salah bapanya sehingga dituduh sebegitu. Kerana manusia yang tamakkan harta dunia membuatkan bapanya terpenjara.
Tetapi bukan setakat itu penganiayaan yang telah mereka lakukan. Itu cuma titik hitam bermulanya kehidupan getirnya sebagai seorang anak banduan. Sepanjang kehidupannya dia di ejek dan di maki hamun kerana statusnya itu. Tetapi dia tidak kisah semua itu. Semua itu dia boleh tahan. Cuma…
Mama…Dia tidak sanggup melihat penderitaan yang ditanggung oleh mama. Mama sakit. Kenapa mereka tidak fikir semua itu sebelum mereka aniaya bapanya? Mama perlukan duit untuk merawat penyakit mautnya itu. Ah dia tidak sanggup mengenang itu semua. Betapa getirnya saat melihat ibunya menahan kesakitan tanpa mendapat rawatan perubatan yang sepatutnya. Ibunya hanya mampu terbaring di atas katil sambil menahan sakitnya dengan hanya meminum air yasin yang dibacanya saban malam. Allah…aku tidak sanggup mengenang semua itu lagi.
“ Ya Allah, kau temukanlah aku kepada mereka yang telah menganiaya abah. Kau berikanlah aku peluang untuk menegakkan keadilan buat abah,” doa Amir Rifqi di dalam hatinya.

No comments:

Post a Comment