"Papa!"
Harith Mishka terjaga dari tidurnya.
Dia memandang sekeliling. Mencari insan yang amat dirindui. Namun hampa.
"Astafirullahazim."
Harith Mishka meraup wajahnya sambil
beristighfar beberapa kali. Mimpi itu bagaikan nyata. Malah wajah Ikhwan masih
terbayang lagi di matanya. Perlahan Harith Mishka menghadiahkan surah al
fatihah kepada arwah papanya, pesanan yang pernah disampaikan arwah kepadanya
dulu.
Harith Mishka duduk termunung di
katil. Kemunculan Anggun Danisha secara tiba-tiba sedikit sebanyak membuka
kembali kenangan lama yang sudah menjadi lipatan sejarah buatnya. Tanpa dipinta
kenangan itu kembali terakam di mindanya.
"Kenapa dia masih berada di
rumah kita?" jerkah Badri pada suatu hari. Wajahnya kelihatan menyinga
sambil memandang tajam ke arah Harith Mishka.
"Kenapa dengan kau ni Badri? Tak
de angin tak de ribut kau mengamuk macam ni?" tegur Encik Hashim. Encik
Hashim menggeleng lemah. Dia tidak menyangka yang Badri boleh jadi sebegini.
Entah apalah yang Badri tidak berpuas hati dengan Harith Mishka.
"Kenapa ayah masih biarkan dia
tinggal di sini?" tanya Badri sambil berdenggus geram. Dia benci dengan
pertanyaan ayahnya itu. Tidak tahukah ayahnya betapa dirinya sangat membenci
Harith Mishka?
"Habis tu kau nak biarkan dia
tinggal di mana?" tanya Encik Hashim kembali.
Harith Mishka hanya menjadi pendengar
setia. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia berlari masuk ke biliknya.
Sungguh dia tidak sanggup berhadapan dengan situasi sebegini. Malah hatinya
tidak kuat untuk mendengar caci maki yang keluar dari mulut Badri khas untuk
dirinya.
"Rumah kebajikan banyak. Hantar
ajelah dia ke sana," kata Badri.
Tercalar hati Harith Mishka apabila
mendengar bicara itu. Sedalam itu rupanya benci Badri terhadapnya. Harith
Mishka tertunduk diam. Airmata yang bergenang sedaya upaya ditahannya daripada
jatuh membasahi pipinya. Kalau benar dia akan ditinggalkan di sana, dia tidak
tahu bagaimanakah nasibnya kelak. Dapatkah dia menyusaikan dirinya dengan
mereka yang cukup asing dalam hidupnya?
"Astafirullahazim. Apa yang kau cakap
ni, Bad? Kau sedar tak Mishka tu anak sedara kau? Kenapa kau sanggup hantar dia
ke sana pula?" tanya Encik Hashim. Dia melepaskan nafas sesak. Sikap Badri
sejak akhir-akhir ini cukup mendera hati dan perasaannya. Malah kebenciannya
terhadap Harith Mishka semakin menjadi-jadi.
"Eh dia bukan anak sedara
Badlah! Mati hidup balik pun dia bukan anak sedara Bad! Bad benci dia! Bad tak
nak tengok muka dia di sini!" tengking Badri sambil jari telunjuk menunjuk
ke arah Harith Mishka yang hanya mendiamkan diri sejak dari tadi.
"Apa kena dengan kau ni Bad?
Kenapa kau benci sangat dengan Mishka?" tanya Encik Hashim lagi. Dia tahu
perkara ini perlu diselesaikannya dengan secepatnya. Kalau tidak pasti perkara
ini akan menjadi barah dalam keluarganya. Penyebab rumah tangga mereka musnah
selamanya.
"Sebab dia anak Ikhwan!"
kata Badri.
"Perkara yang lepas biarkanlah
berlalu. Buat apa kau kenang lagi. Ikhwan pun dah dapat balasan dia. Tak
perlulah kau nak lepaskan kemarahan kau kepada Mishka yang tak berdosa
ini," tegur Encik Hashim.
Badri mendenggus geram. Nasihat
ayahnya tidak dapat diterimanya. Dia yang menanggung sakit dan deritanya akibat
perbuatan Ikhwan itu. Bukan mudah untuk dia melenyapkan semua ini dengan
sekelip mata.
"Bad, kalau dah benci akan
membencinya sampai mati!" kata Badri.
"Astafirullahazim, mengucap Bad.
Jangan diikutkan sangat perangai syaitan," tegur Encik Hashim.
Harith Mishka mengetap bibir. Di
dalam hati dia bersyukur kerana Encik Hashim masih mahu menjaganya. Tidak
seperti mamanya yang terus terpedaya dengan janji manis lelaki dihadapannya
ini. Ah dia benci dengan Badri. Disebabkan Badri mamanya sanggup membuangnya.
"Syaitan? Siapa yang sebenarnya
syaitan? Bad ke budak ni?" tanya Badri yang masih mempertahankan egonya.
Harith Mishka hanya mampu menahan
hatinya dengan setiap bicara sinis lelaki itu. Dia tahu inilah harganya yang
dia perlu bayar kerana terpaksa menumpang di sini. Harith Mishka memejam
matanya. Setitik airmatanya keluar namun cepat-cepat disekanya. Dia tidak mahu
lelaki durjana itu mempersendakan kelemahannya itu. Di dalam diam dia cuba
menanam tekad untuk menjadi seorang lelaki yang tabah.
"Badri! Jaga mulut kau tu
sikit!" marah Encik Hashim tanpa dapat ditahan lagi.
"Tak kan ayah tak tahu dia ni
bakal menjadi syaitan besar. Lihat sahaja sejarah hidupnya. Anak haram! Anak
pengedar dadah! Ayah nak ke jaga budak macam ni? Entah-entah esok lusa dia ikut
jejak langkah papanya!" kata Badri.
Hati Harith Mishka sudah remuk dengan
apa yang didengarnya itu. Mahu sahaja dia melawan bicara sinis itu. Tidak
tertahan lagi batinnya mahu menanggung semua itu. Sakitnya! Pedihnya! Hanya
Allah sahaja yang dapat mengerti hati dan perasaannya saat ini.
"Cukup Badri!" tegur Encik
Hashim. Nafasnya sudah turun naik. Sabarnya sudah tipis. Dia benar-benar kecewa
dengan sikap Badri yang hanya merasakan dirinya seorang sahaja yang mulia.
"Mana boleh cukup ayah! Hantar
sahaja dia ke rumah kebajikan! Buat apa kita jaga anak pengedar dadah ini?"
"Badri!"
Tanpa sedar Encik Hashim telah melayangkan
penampar ke pipi Badri. Sungguh dia tidak mampu bersabar lagi. Sikap Badri
memang benar-benar sudah melampau!
"Jangan rasa diri kau seorang
sahaja yang baik dan mulia!" tegur Encik Hashim sambil mengetap giginya.
Dia masih cuba menahan perasaan marah yang sedang mencengkam.
Badri memegang pipinya yang terasa
panas dek penangan ayahnya. Panasnya terasa sampai ke ulu hatinya. Sakit!
Memang sakit sekali. Lebih menyakitkan apabila ayahnya sanggup menamparnya
disebabkan budak tidak guna itu. Badri mengenggam penumbuknya sekuat hati.
Matanya mencerlung tajam ke arah Harith Mishka. Kemarahannya semakin memuncak.
Pantas dia menerkam ke arah Harith
Mishka. Rambut lurus Harith Mishka ditariknya dengan sekuat hatinya. Harith
Mishka yang terkejut dengan perbuatan luar jangka Badri itu menjerit ketakutan.
Manakala Encik Hashim pula semakin panik melihatkan kelakuan anak terunanya
itu.
"Badri! Apa yang kau buat ni?
Kau dah gila ke?" jerkah Encik Hashim. Dia cuba meleraikan pergelutan itu.
Tetapi ternyata kudrat tuanya tidak mampu menandingi kudrat perkasa Badri.
Badri pula semakin mengganas. Terus sahaja tubuh Harith Mishka ditumbuk dan
ditendangnya sepuas hati.
"Aghhhh sakit pak su," rayu
Harith Mishka. Dia menangis dan cuba meraih simpati lelaki itu. Namun Badri
semakin agresif apabila mendengarkan rayuan anak kecil itu. Tatkala ini dia
berasa sangat puas. Anak kecil yang amat dibencinya kini sudah mendapat
pengajarannya.
Encik Hashim yang panik melihatkan
perbuatan Badri itu terus mendapatkan penyapu. Dan tanpa berfikir panjang dia
terus memukul tubuh Badri dengan menggunakan penyapu itu.
"Apa yang ayah buat ni?"
tengking Badri. Matanya merah mencerlung ke arah Encik Hashim pula. Kali ini
kemarahannya ditujukan kepada Encik Hashim yang tidak pernah membaca kata
hatinya.
"Kau tu dah gila ke?” jerkah
Encik Hashim pula.
"Memang Bad dah gila ayah!
Selagi Bad hidup Bad tak boleh tengok anak haram ini lagi!" jerkah Badri
pula.
Encik Hashim menarik nafasnya. Harith
Mishka yang kesakitan terus meluru ke arah Encik Hashim. Tubuh tua itu
dipeluknya dan anak kecil itu terus menangis di dalam pelukannya. Encik Hashim
berasa begitu simpati sekali. Kasihan Harith Mishka, dalam usia sekecil ini dia
telah diuji dengan pelbagai ujian. Dia tidak sanggup lagi melihat Harith Mishka
diuji sebegini.
“Ayah tak faham dengan kau, Bad.
Kenapa sifat kasih sayang tak pernah wujud dalam hati kau?” keluh Encik Hashim.
Terlalu sesak dadanya saat melihat kebencian yang ditunjukkan oleh Badri. Ya
Allah, kenapa Badri terlalu membenci Mishka? Apakah dendam yang cuba dia balas
pada anak kecil itu?
Ah kalaulah anak-anaknya memahami
sifat kasih sayang pasti kemelut ini tidak mungkin akan berlaku. Ikhwan tidak
akan terpenjara. Badri tidak akan terus berdendam dan Harith Mishka tidak akan
menjadi mangsa.
"Sekarang Bad nak ayah pilih
antara Bad atau anak haram itu?" tanya Badri. Sungguh dia berasa benci
apabila melihat Harith Mishka berada dalam pelukan ayahnya.
"Kalau ayah pilih Mishka kau nak
buat apa?" tanya Encik Hashim. Ya dia tahu tatkala ini dia sudah membuat
satu keputusan yang terbaik. Dia tahu Badri sudah mampu berdikari tetapi Harith
Mishka masih lagi memerlukan perhatiannya.
"Kalau macam tu Bad akan pergi.
Bad akan pergi selama-lamanya dari hidup ayah!"
Encik Hashim terkesima. Dia tidak
tahu untuk berkata apa. Dia tidak sangka sampai sebegitu Badri bertindak.
Tindakan yang hanya mengikut hawa nafsunya sahaja.
Innama ashku bassi wa khuzni
ila Allah, Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada
Allah.
Bibir Encik Hashim tidak
henti-henti membaca ayat ke 86 suruh Yusuf itu. Dia tahu saat hatinya walang
begini hanya Allah sahaja sebaik-baik sandaran untuknya. Tangisan Encik Hashim
semakin lebat mencurah ke pipinya. Menangis dan merintih dengan perbuatan si
anak yang tidak pernah tahu menghargai pengorbanannya.
No comments:
Post a Comment