Laman Facebook dibukanya dengan perasaan yang berdebar. Nama Bunyamin di
taipnya tanpa sabar. Sudah lama dia tidak melihat gambar terbaru Bunyamin yang
selalu di kemas kininya di laman ini. Sebenarnya aktiviti ini adalah aktiviti
yang sering dilakukannya semenjak dia dan Bunyamin terpaksa memutuskan hubungan
cinta mereka akibat tentangan papanya.
Mata Anggun Danisha terpaku apabila melihat
gambar Bunyamin dengan seorang wanita berbaju kurung kuning dan memakai tudung
sedondon dengan warnanya. Tiba-tiba hati Anggun Danisha berasa begitu sakit.
Perasaan cemburunya semakin menguasai dirinya. Sungguh dia ingin mengetahui apa
hubungan Bunyamin dengan wanita itu. Namun tidak tertulis apa-apa di situ.
"Kenapa Min tak tulis apa-apa? Just update gambar perempuan ni
aje?" tanya Anggun Danisha sendirian. Matanya masih terpaku kepada gambar
perempuan itu. Dia mula membandingkan kecantikan antara dirinya dengan wanita
itu. Mulutnya dicebek geram.
"Min dah buta ke? Perempuan yang tak
secantik mana ini yang mahu dipilihnya. Ah apa yang menariknya tentang wanita
ini? Mungkin sebab dia bertudung! Ya betul! Min suka perempuan yang
bertudung," kata Anggun Danisha sendirian. Hatinya membengkak. Dia berasa
menyesal kerana tidak pernah mengikut kehendak Bunyamin. Semasa mereka sedang
hangat bercinta lelaki itu acapkali mahu dia menutup aurat namun Anggun Danisha
hanya memekakkan telinganya. Dia tidak mahu dipandang pelik apabila tampil
bertudung di negara Barat yang sentiasa mengamalkan kehidupan bebas itu.
"Ah siapa perempuan ini?" kata Anggun
Danisha.
Tanpa sabar terus dia membaca komen-komen yang
telah dititipkan di situ. Ternyata semua komen yang diberikan telah merentap
hati dan perasaannya. Tahniah! Memang pasangan sepadan! Macam merpati dua
sejoli! Dada Anggun Danisha terasa mahu meletup. Pantas sahaja dia menutup
laptopnya dengan kasar.
"Tak kan secepat itu Min mendapat penganti.
Ah tak boleh! Aku akan pastikan Bunyamin menjadi hak milik aku semula. Tidak
mungkin semudah itu Min dapat melupakan cinta kami," kata Anggun Danisha.
Anggun Danisha menarik nafasnya. Entah kenapa
hatinya berkobar-kobar. Bagaikan timbul satu semangat di dalam dirinya untuk
kembali menakluki Bunyamin. Dia tahu dia perlu berubah menjadi apa yang disukai
oleh Bunyamin. Malah dia akan pastikan Bunyamin terharu dengan pengorbanan yang
telah dilakukannya ini.
Sedang Anggun Danisha termenung sendirian,
tiba-tiba telefon bimbit Anggun Danisha bernyanyi. Nombor telefon yang tidak
dikenali itu pantas diangkatnya. Nombor telefon daripada talian tetap. Dia
yakin itu adalah nombor pejabat Bunyamin kerana hanya Bunyamin sahaja yang tahu
nombor telefonnya di Malaysia.
"Hello
sayang," kata Anggun Danisha ceria. Hilang terus segala kegundahan hatinya
tatkala ini. Wajah Bunyamin yang setia menemani mimpinya mula terbayang di
ruang matanya.
"Sayang? Nak termuntah aku
mendengarnya," jerkah suara di hujung talian.
Anggun Danisha terpempam. Matanya membulat.
Terkejut dirinya dengan suara kasar di hujung talian. Dia memandang telefon
bimbitnya dengan kerutan di dahi. Siapa pemanggil di hujung sana? Tersalah
panggilankah?
"Kau ingat aku ni Buaya Man kau ke?"
tambah suara di hujung talian.
Buaya Man? Kening Anggun Danisha dikerutkan.
Siapa pula Buaya Man ni? Anggun Danisha tertanya-tanya sendirian. Gaya
percakapan lelaki di hujung panggilan bagai mengenali dirinya. Tiba-tiba mulut
Anggun Danisha terlopong. Bunyamin jadi Buaya Man?
"Mishka? Mishkakah ini?" tanya Anggun
Danisha hampir menjerit.
"Iyalah. Tak kan Buaya Man kau pula!"
kata Harith Mishka sinis.
Anggun Danisha menepuk dahinya. Bibir diketapkan
rapat. Sungguh dia berasa malu dengan lelaki itu. Kenapa dia begitu gelojoh
memanggil sayang tanpa memastikan terlebih dahulu siapa pemanggilnya. Tidak
fasal-fasal dia sudah memalukan dirinya sendiri.
"Bukan Buaya Man! Bunyamin! You jangan
sesuka hati you sahaja mengelar boyfriend
I macam tu!" tegur Anggun Danisha. Dia sengaja mengeraskan suaranya. Biar
lelaki itu nampak ketegasan dirinya.
"Whatever!"
balas Harith Mishka masih tidak mahu mengaku kalah.
Anggun Danisha berdehem. Sebenarnya dia tidak
mampu bersabar dengan perangai Harith Mishka yang sengaja mencari pasal
dengannya.
"You nak apa ni? Macam mana you dapat phone number I?" tanya Anggun Danisha. Suaranya masih serius. Malas
dia mahu melayan Harith Mishka yang tidak betul itu!
"Tolong jangan perasan sangat boleh tak?
Atuk yang suruh aku call kau,"
kata Harith Mishka.
Anggun Danisha mencebek. Menyampah benar dia
dengan bicara sinis lelaki itu. Siapa yang perasan pula? Salahkah kalau dia
bertanya?
"Asyik terperap dalam bilik sejak dari
tadi. You ni masih tidur lagi ke? Dah solat subuh ke belum?" bebel Harith
Mishka. Dia faham benar dengan perangai manusia yang dibesarkan di negara
barat. Pastinya bebas dan tiada pegangan agama.
"You ni jangan berlagak macan ustaz boleh
tak? You nak apa sebenarnya?" tanya Anggun Danisha.
"Atuk suruh aku bagitau kau yang kau akan
tinggal seorang di rumah. Atuk dah pergi klinik. Dia ada appointment hari ini. Aku baru nak gerak ke pejabat," kata
Harith Mishka. Suaranya mendatar. Tiada kemesraan yang mahu ditunjukkannya.
"I tinggal seorang la. Hmmm," keluh
Anggun Danisha. Dia sudah dapat membayangkan tahap kebosanannya kelak. Ah lebih
baik aku jumpa Bunyamin! Detik hati Anggun Danisha tiba-tiba. Pantas sahaja
senyuman Anggun Danisha meleret.
"You kerja di mana?" tanya Anggun
Danisha. Dia sudah merangka sesuatu. Dia mahu memberi kejutan kepada Bunyamin.
Kejutan yang mampu membuatkan Bunyamin terpaku memandangnya buat kali pertama.
"Lembah Pantai. Kenapa?"
Mata Anggun Danisha membulat. Hatinya melonjak
gembira.
"Kerja mana?" tanya Anggun Danisha
sekali lagi.
"Lembah Pantai!" jerit Harith Mishka
sambil mendenggus geram. Dia ni memang tak dengar atau buat-buat tak dengar?
Mendengarkan jawapan dari Harith Mishka itu
membuatkan senyuman Anggun Danisha semakin lebar. Nampaknya semua ini satu
kebetulan yang cukup menyenangkan dirinya.
"Kalau macam tu you tunggu sekejap. Give me 5 minute," kata Anggun
Danisha sebelum dia terus menamatkan panggilannya. Manakala Harith Mishka
tercenggang sendirian.
"Dia ni nak buat apa pulak?" tanya
Harith Mishka. Pantas dia melihat jam di pergelangan tangannya.
"Aku dah lambat ni! Hisshhh minah ni suka
sangat menaikkan darah aku!" renggus Harith Mishka lagi.
No comments:
Post a Comment