Monday 22 July 2013

aku benci kau (bab 1)

Kesetiaan dan kasih sayang adalah anugerah yang sangat berharga kepada mereka yang tahu menghargainya. Kesetiaan sebenarnya tidak terbatas kepada jantina lelaki atau perempuan sebaliknya ia merupakan benteng keimanan yang di bina agar diri dipelihara daripada melakukan perkara yang di luar batasan dalam apa keadaan sekali pun.
Kesetiaan dan kasih sayang sebenarnya mempunyai kaitan yang amat rapat kerana apabila seseorang menyayangi atau di sayangi dengan sepenuh hati maka dia akan berusaha untuk setia dan berkorban dalam pelbagai bentuk pengorbanan.
“ Sampai bila abang nak hidup macam ni? Bawa-bawalah bertaubat. Abang tu dah tua tahu tak. Bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik nyawa abang,” kata Suraya lembut sekali. Bagi Suraya, istilah setia sudah hilang dalam diri suaminya itu.
Namun sedaya upaya dia cuba menyedarkan suaminya dari terus bergelumang dengan dosa dan noda. Kalau boleh dia mahu terus hidup bersama suaminya di dunia dan akhirat. Dia terlalu sayangkan suaminya walaupun sikap suaminya itu sering mengguris hati wanitanya.
Adam mendenggus kuat. Dia terus menunding jarinya kepada Suraya dengan tubuhnya yang terhuyung-hayang. Alkohol yang telah menguasai segala urat sarafnya membuatkan dia berkeadaan demikian.
“ Kau tu siapa yang nak nasihatkan aku? Hei sedar dirilah sikit! Kalau tak kerana aku yang kutip kau di tepi jalan dan angkat taraf kau dan beri kau kekayaan ini kau dah lama jadi anjing kurap saat ini! Memang perempuan tak sedar diri! Ada hati nak nasihatkan aku!” Tengking Adam sinis sekali.
Tercalar hati Suraya apabila mendengarkan bicara suaminya yang ternyata benar sekali. Bukan dia tidak kenang jasa suaminya yang telah memberikan kemewahan ini kepadanya. Namun sedarkah Adam bahawa kemewahan ini tidak pernah sekali pun memberikan kebahagian dalam rumah tangga mereka ini.
“ Su ni isteri abang, isteri yang telah abang kahwini lapan tahun yang lalu. Tolonglah abang. Berubahlah demi Su dan anak kita, Darius,” kata Suraya dengan takungan airmata. Hati Suraya hancur. Mengapa Adam menguji Suraya begini.
“ Kurang ajar! Ada hati nak nasihatkan aku pula!” Kata Adam lantas menghadiahkan penampar di pipi kanan Suraya. Apabila iman tidak menguasai diri, manusia akan hilang pertimbangan.
Suraya menangis tersedu-sedu. Ini bukan kali pertama dia menerima penampar dari suaminya. Malah penampar ini sudah menjadi santapannya saban hari. Tidak cukup dengan itu, terajang Adam pernah singgah ke tubuhnya kalau Adam merasakan dirinya tercabar dengan bicara Suraya yang ternyata betul itu.
Dengan bengis Adam menarik rambut Suraya sehingga wanita jelita itu terdonggak ke belakang. Dia terus memandang Suraya dengan bahang kemarahan yang semakin menggila. Bagi Adam, Suraya tidak layak untuk memberikan nasihat kepadanya.
“ Kau ingat aku heran sangat taraf kau sebagai isteri aku! Kalau kau tak tahan dengan cara aku kau boleh blah dari sini. Aku bila-bila masa sahaja boleh lepaskan kau! Perempuan bagi aku tidak ubah seperti pelacur!”
Semakin deras airmata yang mengalir di pipi Suraya. Sudah acapkali dia mendengar bicara Adam itu yang tidak pernah sekali pun mempunyai rasa hormat terhadap wanita. Bencikah Adam kepada wanita atau lelaki itu sememangnya merasakan tarafnya sebagai seorang lelaki lebih mulia daripada seorang wanita?
“ Sampai hati abang nak samakan Su dengan pelacur. Abang jangan lupa pelacur inilah yang memberikan abang zuriat! Abang jangan ingat abang tu bagus sangat hanya kerana abang tu lelaki! Lelaki dan perempuan di sisi Allah adalah sama sahaja yang membezakannya hanyalah keimanan kepadanya!” Kata Suraya cuba menyedarkan Adam perkara yang sebenar.
Dia benci apabila Adam menyamakan tarafnya dengan seorang pelacur dan dia tidak mahu terus-terusan di pandang hina oleh suaminya sendiri.
“ Kurang ajar!”
Sekali lagi penampar Adam singgah di pipi gebu Suraya membuatkan wanita jelita itu terjatuh ke lantai. Ada lelehan darah yang keluar di celah bibirnya. Hati Suraya mula mendendangkan lagu nestapa.
Dengan bengis Adam menarik rambut Suraya. Cengkaman tangan Adam begitu kuat sekali sehinggakan Suraya merasakan kepalanya bagaikan mahu tercabut saat itu. Sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu.
“ Sekarang kau dah pandai lawan cakap aku ye! Baik aku nak tengok sampai bila kau boleh melawan aku lagi!” Kata Adam terus menarik rambut Suraya dengan kuat sehinggakan kepala Suraya terdongak ke belakang.
“ Abang, tolong lepaskan Su. Sakit abang,” rayu Suraya dengan linangan airmata.
Mendengarkan rayuan tersebut membuatkan Adam semakin memuncak egonya. Dia tahu dia ada segala-galanya membuatkan Suraya akan terus tunduk dan patuh kepadanya. Baginya perempuan tidak ubah seperti barang mainan yang langsung tiada nilainya.
Tanpa memperdulikan rayuan Suraya, Adam terus mengheret tubuh Suraya ke dinding.
“ Kau ingat kau dah layak benar nak nasihatkan aku? Nah rasakan ini!” Kata Adam lalu menghentak kepala Suraya ke dinding.
Berpinar mata Suraya apabila kepalanya di hentak sebegitu kuat. Kesakitan itu membuatkan kepalanya terasa bengap.
“ Maafkan Su, abang. Su yang salah. Maafkan Su…” rayu Suraya dalam esak tangisnya.
Hanya itu yang mampu dia lakukan saat ini. Merayu dan terus merayu agar dirinya di kasihani tanpa sedar perbuatannya ini telah membuatkan suaminya bertambah tinggi egonya. Ah apa lagi yang mampu dia lakukan sedangkan kesakitan yang mencengkam ini tidak mampu lagi untuk dia laluinya.
“ Ooo..baru sekarang kau mahu minta maaf? Nah rasakan lagi hukuman yang telah aku berikan kepada kau!”
Sekali lagi Adam menghentak kepala Suraya ke dinding. Berdenyut kepalanya apabila menerima hentakan buat kali ke dua. Suraya lihat ada kesan darah yang melekat di dinding itu akibat hentakan tersebut. Ah apalah sangat luka di dahinya berbanding luka hatinya yang semakin bernanah akibat perbuatan kejam suaminya terhadapnya. Siapakah dirinya yang sebenarnya di mata Adam tatkala ini? Hilang sudahkah segala kasih sayang yang dibajai mereka suatu masa dahulu sehingga Adam sanggup memperlakukannya sebegini?
“ Sakit abang. Tolong abang, kasihani Su. Su minta maaf. Tolonglah! Jangan lakukan Su sebegini lagi. Ia terlalu menyakitkan,” rayu Suraya dengan juraian airmata.
Airmata kesakitan yang tiada sempadannya. Luka yang bernanah ini semakin parah. Dia berasa hina, sehina-hinanya apabila diperlakukan sebegini. Tergamak suaminya memperlakukannya sebegini. Apa salahnya sehinggakan dia terpaksa menerima hukuman sekejam ini?
Adam ketawa berdekah-dekah apabila mendengarkan rayuan isterinya itu. Dia mula merasakan dirinya kuat dan gagah perkasa. Rayuan isterinya langsung tidak mengundang simpati dalam dirinya.
“ Sakit ya…ha haa…ha….Nah rasakan lagi!” Kata Adam sekali lagi menghentak kepala Suraya ke dinding.
Kali ini bukan sekali malah berkali-kali membuatkan Suraya menjerit kesakitan. Puas sudah Suraya merayu tetapi semuanya tidak diendahkan suaminya. Malah tiap kali Suraya menjerit makin kuat hentakan di kepalanya mengenai dinding. Darah yang melekap sedikit semakin banyak bagaikan sebuah mural abstrak yang di lukis di dinding tersebut. Lelehan darah jatuh setitik demi setitik mengenai mata Suraya. Kemudian ke pipinya lalu jatuh mengenai bajunya. Bajunya sudah basah. Suraya tidak pasti adakah bajunya basah disebabkan peluhnya atau kesan daripada lelehan darah tersebut. Matanya sudah berpinar. Kesakitan yang mencengkam ini terlalu menyakitkan sehinggakan dia tidak dapat merasa apa-apa. Badannya sudah semakin lemah. Tangisannya yang sebentar tadi menggila semakin reda. Dan dalam sekelip mata pandangannya mula gelap apabila sekali lagi kepalanya di hentak ke dinding

No comments:

Post a Comment