Monday 22 July 2013

aku benci kau (bab 2)

Apabila Suraya membuka matanya dia masih terbaring di tempat di mana Adam telah menperlakukan dirinya dengan kejam. Dia menangis tersedu-sedu. Sampai hati Adam membiarkan dirinya terus menanggung kesakitan ini tanpa merawatnya. Adakah Adam sudah tidak memperdulikannya lagi? Atau lelaki itu sememangnya mahu membiarkannya terus mati?
Suraya terus menangis semahu-mahunya. Hatinya bagaikan di siat-siat. Hancur lumat hingga tidak merasai apa-apa lagi. Betapa kejamnya Adam saat ini. Derita yang ditanggung bagaikan tiada penghujungnya. Mungkinkah ada sinar untuknya mengecapi kebahagian kelak?
Dengan terketar-ketar, Suraya cuba bangun. Dia perlu ke hospital. Dia tahu lukanya terlalu parah dan dia perlu mendapat rawatan sebaiknya. Malangnya baru dua tiga langkah dia sudah kembali terjelopok ke lantai. Badannya lemah. Kepalanya sakit dan entah kenapa badannya menggigil bagaikan sedang kesejukan. Apa yang sedang berlaku kepadanya saat ini?
Suraya terus meratapi nasib diri. Kalau boleh mahu sahaja dia berdoa kepada Tuhan agar mencabut nyawanya saat ini. Dugaan yang dilaluinya ini cukup berat dan tidak mampu untuk dia menghadapinya seorang diri. Hatinya kian sedih mengenangkan dirinya yang hanya sebatang kara. Dia dibesarkan di rumah anak yatim dan selama ini hanya Adam tempatnya bergantung harap. Setelah Adam memperlakukan dirinya sebegini dia tidak tahu ke manakah dia harus lari untuk mendapatkan perlindungan dari segala derita yang dialaminya ini.
“ Bersabarlah Suraya. Bersabarlah. Ingat Allah sang pencipta yang maha agung, ingat Darius anak kau yang masih memerlukan engkau.”
Tiba-tiba tiupan semangat itu datang di dalam hatinya. Ya dia perlu kuat demi Darius. Darius masih memerlukan dirinya sebagai seorang ibu. Darius masih perlukan perhatiannya. Dia perlu cepat sembuh dari kesakitan ini. Nasib baik Darius berada di rumah neneknya. Kalau tidak pastinya Darius akan menyaksikan pergaduhan yang begitu kejam ini. Ah dia tidak mahu Darius menyaksikan semua ini. Kalau boleh dia tidak mahu memberi tekanan kepada Darius dengan masalah keluarga yang begitu menghimpit ini.
Dengan semangat yang cekal, Suraya menggagahkan dirinya untuk bangun semula. Semuanya dilakukan demi Darius. Putera hatinya yang tersayang. Apabila dia berdiri pandangannya kembali berpinar. Dia merasakan tubuhnya terhuyung-hayang. Dan dalam beberapa saat Suraya kembali rebah ke lantai.
Suraya tersedu lagi. Betapa sukarnya untuk dia bangun semula. Adakah hidup yang bakal di tempuhinya sesukar ini? Suraya semakin kecewa.
“ Abang, tolong bawa Su ke hospital. Su sakit sangat,” rayu Suraya apabila terpandangkan Adam yang sudah lengkap berpakaian kemeja untuk ke pejabat. Rupa-rupanya Adam telah membiarkannya tidak sedarkan diri semalaman di sini. Tidak bimbangkah lelaki ini kepadanya? Tergamaknya Adam memperlakukan dirinya sebegini.
Pandangan Adam tajam sekali bagaikan mahu membaham Suraya tatkala itu. Suraya benci dengan pandangan itu. Malah dia semakin benci dengan lelaki yang berada di hadapannya ini.
“ Apa muslihat kau kali ini? Kau nak buat laporan polis yang aku pukul kau? Kau nak humban aku dalam penjara pula?” Kata Adam bengis sekali.
Suraya menangis lagi. Sampai hati Adam menuturkan bicara sebegitu terhadapnya. Tidak terlintas langsung difikirannya untuk berbuat demikian. Dia bukannya pura-pura sakit atau sedang meraih simpati daripada suaminya itu. Butakah Adam saat ini untuk melihat sendiri kesakitan yang maha hebat yang terpaksa di tanggungnya akibat perbuatan jahat suaminya itu? Setelah apa yang berlaku adakah Adam layak bergelar suami kepadanya lagi?
“ Abang, tolonglah. Su benar-benar dalam kesakitan ini. Tolonglah Su rayu. Sakit abang….sakit sangat-sangat,” rayu Suraya lagi.
Kalau diikutkan hatinya yang lara, dia sudah penat untuk menagih simpati daripada Adam yang tidak berperikemanusian itu. Apa yang dilakukannya ini hanyalah untuk Darius. Dia mahu cepat sembuh demi untuk Darius.
Adam mencebik. Segera dia mendapatkan Suraya.
“ Apa aku peduli? Lantaklah kau nak sakit ke atau nak mati di sini!” Kata Adam.
Pedihnya hati apabila mendengarkan bicara Adam yang cukup tajam itu. Ternyata Adam sudah tidak perlukan dirinya dalam hidupnya lagi. Lelaki angkuh ini semakin angkuh dan merasakan dirinya lebih hebat dari segala-galanya.
“ Aku pergi kerja dulu! Kalau aku tahu kau ke hospital siap kau aku kerjakan! Kau jangan lupa aku mempunyai pengaruh yang kuat dan boleh melakukan apa sahaja. Kalau kau nak Darius selamat lebih baik kau buat apa yang aku suruh!”
Terlopong mulut Suraya apabila mendengarkan ugutan dari Adam itu. Inilah kali pertama Adam menggugutnya. Rupa-rupanya lelaki itu begitu takut dipenjarakan sehingga sanggup membiarkan dirinya terlantar kesakitan sebegitu.
“ Apa kau nak buat dengan anak aku hah?” Tanya Suraya dengan suara yang begitu lemah sekali. Selemah hatinya tatkala ini dengan sikap suaminya itu. Tergamak suaminya menggunakan Darius untuk menggugutnya.
“ Kalau aku boleh cederakan kau, tidak mustahil juga aku boleh cederakan anak kau! Fikirlah baik-baik. Jangan sampai hanya kerana perbuatan bodoh kau itu mencederakan anak kau sendiri!”
Anak kau? Adakah Adam mengganggap Darius itu bukan anaknya? Hati Suraya merintih pilu.
“ Aku benci kau Adam!” Tangis Suraya.
Adam hanya ketawa mendengarkan bicara Suraya itu.
“ Buat sementara waktu ini, Adam tinggal dengan mak aku. Aku akan beritahu kepada mak aku bahawa menantu yang sangat dibencinya ini sedang sakit dan tidak dapat menjaga Darius buat sementara waktu,” kata Adam sebelum berlalu dari situ.
Suraya hanya mampu menangis dengan keputusan yang telah dibuat oleh Adam itu. Dia mengharapkan ibu mertuanya datang ke rumahnya untuk melawatnya apabila mengetahui dirinya sakit tetapi dia tahu semuanya itu hanya angan-angannya sahaja kerana ibu mertuanya itu terlalu bencikan dirinya. Malah dirinya di halang daripada menjejakkan kaki ke rumah mertuanya. Ah betapa malangnya hidupnya ini.

No comments:

Post a Comment