Monday 22 July 2013

aku benci kau bab 4

“ Granny, Darius nak balik rumah mama. Darius rindu pada mama,” kata Darius dengan wajah yan sedih.
Sudah dua minggu dia tinggal bersama neneknya. Tidak pernah sekali pun dia berpisah begitu lama dengan ibunya yang tercinta. Selalunya dalam sebulan hanya dua hari dia akan tinggal dengan neneknya.
“ Buat apa Darius rindu pada mama Darius? Dia bukan rindukan Darius sebab itu dia tidak datang ambil Darius,” kata Puan Hendon bersahaja.
Wajah Darius semakin keruh apabila mendengarkan bicara Puan Hendon. Dia tidak tahu mengapa Puan Hendon sering memburukkan ibunya. Ada sahaja perbuatan Suraya yang tidak disukainya. Bagi Puan Hendon, sikap Suraya sering menjengkelkan dirinya.
“ Granny tipu. Mama rindukan Darius. Mama sayangkan Darius seperti mana Darius sayangkan mama,” bangkang Darius yang tidak ingin mempercayai bicara neneknya itu.
Bagi Darius, neneknya sengaja mahu memburukkan ibunya. Walaupun dia masih kecil, namun dia dapat menilai yang mana satu intan yang mana satu permata.
Puan Hendon mendenggus. Dia berasa marah dengan bicara Darius itu. Namun dia terus menyabarkan hatinya. Dia tahu bukan mudah untuknya membeli hati cucu kesayangannya itu. Puan Hendon melebarkan senyumannya.
“ Darius sayang, Darius masih kecil untuk menilai siapa ibu Darius yang sebenarnya. Nanti apabila Darius dah besar baru Darius sedar tentang sikap buruk mama Darius. Sebenarnya granny tak sampai hati untuk memberitahu Darius perkara sebenarnya tetapi granny kasihankan Darius yang sering tertipu dengan sikap hipokrit mama Darius,” kata Puan Hendon sambil membelai rambut cucunya dengan penuh kasih sayang.
Dia bencikan Suraya. Bagi Puan Hendon, Suraya merampas kasih sayang Adam daripadanya. Disebabkan Suraya Adam sanggup membelakangkan dirinya. Oleh sebab itu, kalau boleh dia mahu merampas kasih sayang Darius daripada Suraya. Biar Suraya rasakan apa yang dia rasa suatu masa dahulu.
Mata Darius memandang dengan perasaan tidak puas hati dengan bicara Puan Hendon. Dia tidak mahu mendengar bicara Puan Hendon seterusnya tetapi hatinya bagaikan mengeletek untuk mengetahui kebenaran yang sebenar.
“ Siapa mama yang sebenarnya, granny?” Tanya Darius cukup berdebar.
Puan Hendon tersenyum dengan pertanyaan Darius. Mudah benar untuk meracuni pemikiran seorang anak kecil.
“ Darius tahu tak kenapa mama sering hantar Darius ke rumah granny?” Tanya Puan Hendon cuba meracuni pemikiran Darius.
Padan muka kau, Suraya! Salah kau juga kerana membenarkan anak kau rapat dengan aku! Bicara Puan Hendon di dalam hatinya.
Darius menggeleng. Dia terus memandang tanpa sabar kepada Puan Hendon.
“ Sebab mama tak nak Darius tahu perangai sebenarnya yang suka berfoya-foya,” kata Puan Hendon.
Darius mengeleng kepala. Sukar dia mahu percaya dengan bicara neneknya itu. Dia kenal benar dengan sikap ibunya yang cukup penyayang itu. Tidak pernah sekali pun sikap ibunya membuatkan Darius berasa berjauh hati
“ Granny tipu!” Marah Darius.
Dia mula berasa marah dengan bicara neneknya itu.
“ Betul! Papa sering mengadu sikap mama Darius kepada granny. Kalau Darius tak percaya Darius tanya papa.”
Darius sudah bangun. Dia berasa rimas dengan bicara neneknya itu. Malah dia semakin membenci Puan Hendon yang suka memburukkan ibunya. Baginya tiada siapa yang boleh memburukkan ibunya dan tiada siapa yang boleh memisahkan kasih sayangnya terhadap ibunya sendiri.
“ Grannya tipu! Granny tipu! Darius tahu granny tipu! Darius benci Granny! Darius benci granny!” Kata Darius sambil menghentak kakinya.
Airmata sudah bertakung di kolam matanya. Hatinya di himpit sebak yang bukan kepalang. Penipuan demi penipuan membuatkan perasaannya semakin tertekan. Dia terlalu menyanyangi ibunya dan dia tidak akan sesekali membiarkan sesiapa pun memburukkan imej ibunya yang bersih itu.
Tiada siapa yang lebih mengenali ibunya daripada dirinya sendiri. Fikir Darius sendirian.

No comments:

Post a Comment