Monday 22 July 2013

aku benci kau bab 11

“ Ya Allah…apa yang telah terjadi kepada kau, Suraya?” Tanya Hakimah dengan debaran di dada. Keadaan Suraya yang bagaikan kurang siuman membuatkan hatinya bertambah resah.
Sebentar tadi Hakimah mendapat panggilan daripada pihak hotel meminta dia segera datang menjemput sahabatnya itu di situ. Hatinya masih tertanya-tanya mengapa Suraya boleh berada di hotel ini. Apakah tujuan sebenar Suraya berada di sini dan mengapa Suraya berkelakuan bagaikan orang kurang waras ini?
Sebaik sahaja melihatkan wajah Hakimah, Suraya terus meluru dan mendakap tubuh Hakimah dengan erat. Dia terus menghamburkan airmata kekecewaan di dada Hakimah.
“ Peluk aku, Kimah. Peluk aku, Kimah. Peluk aku agar semua kesakitan ini hilang,” tangis Suraya dalam pelukan Hakimah.
Hakimah menguatkan pelukannya. Hatinya dihambar sayu dengan bicara Suraya itu. Akhirnya dia juga turut menangis bersama-sama dengan Suraya.
“ Apa yang telah berlaku kepada kau, Su? Ceritakan kepada aku,” kata Hakimah sambil mengelus rambut Suraya yang panjang mengurai.
“ Hati aku sakit sangat, Kimah! Sakit sangat-sangat! Kalau boleh aku mahu membunuh mereka biar mereka mati di tangan aku!” Kata Suraya dalam tangisannya.
Hakimah dapat menggagak pasti ada sesuatu yang buruk telah menimpa sabahat baiknya itu. Pasti semua ini angkara Adam. Hakimah yakin benar. Perasaan benci dan geram semakin membara di hati Hakimah. Wajah Adam yang jahat itu menari-nari di ruang ingatannya. Seperti juga Suraya, Hakimah juga terasa ingin menamatkan riwayat Adam yang kejam itu.
“ Apa yang Adam dah lakukan kepada kau?” Tanya Hakimah dengan perasaan membara. Di dalam diam dia sudah berjanji akan menuntut bela ke atas apa yang telah terjadi kepada Suraya. Dia akan membantu Suraya mendapat pembalasan yang sewajarnya.
“ Mereka telah jual aku kepada lelaki inggeris semata-mata untuk mendapatkan tender. Aku sudah menjadi bahan dagangan mereka, Kimah! Aku ni tak ubah seperti pelacur! Aku ni kotor, Kimah…..” Cerita Suraya.
Bagaikan terhenti denyutan nadi Hakimah apabila mendengarkan cerita penuh duka itu. Benarkah apa yang sedang didengarinya itu atau Suraya sedang mereka cerita? Dia tidak pernah menyangka sama sekali Adam yang dikenalinya itu sejahat itu. Sanggup Adam memperlakukan isterinya sebegitu?
“ Binatang! Aku tak akan biarkan binatang itu hidup dengan tenang! Jom kita buat laporan polis!" Kata Hakimah.
Debaran di dadanya semakin laju. Hatinya sakit sekali. Tidak pernah dia merasakan kesakitan sebegini. Ya Allah betapa hebatnya dugaan yang telah Kau berikan kepada sahabatku ini. Kau tabahkan hatinya Ya Allah dalam menempuhi dugaan yang maha perit ini.
“ Aku tak nak buat laporan polis!” Kata Suraya. Tangisannya sentiasa menghiasi kolam matanya. Hanya itu yang mampu dia lakukan di saat kegetiran dan dugaan yang maha hebat yang dipersembahkan kepadanya tatkala ini. Dia mahu membalas dendam terhadap apa yang telah berlaku kepadanya. Dia sudah tidak peduli lagi dengan apa yang akan berlaku kepadanya asalkan hatinya puas setelah dia dapat menamatkan riwayat Adam yang durjana itu.
“ Kenapa kau tak nak buat laporan polis? Kau takut ke? Jangan takut Su, aku sentiasa ada bersama kau. Lagipun negara ini ada undang-undang. Adam tidak akan lepas dari hukumannya!” Pujuk Hakimah.
“ Undang-undang? Di manakah undang-undang itu ketika sepak terajang Adam menjadi santapan aku, Kimah? Di mana? Dunia ini tidak pernah adil buatku dan hanya aku yang layak menentukan nasib Adam!” Kata Suraya. Perasaan dendam itu semakin subur di hatinya. Wajah Adam yang durjana itu mula menari-nari di ruang ingatannya. Tatkala itu dia bagaikan melihat Adam sedang melutut di kakinya agar dirinya di maafkan.
Berdebar hebat Hakimah apabila mendengarkan ucapan Suraya itu. Dia mula dikerumuni dengan perasan takut dan bimbang. Mana tahu Suraya akan mengambil tindakan yang bakal merosakkan dirinya sendiri.
“ Apa yang kau nak lakukan, Su?” Tanya Hakimah sambil terus merenungi Suraya yang masih berada di dalam pelukannya.
Suraya melepaskan pelukan. Kemudian dia memandang Hakimah dengan perasaan berkobar-kobar. Dia bagaikan mendapat satu semangat.
“ Aku nak bunuh Adam!” Kata Suraya sambil tersenyum lebar.
Semakin berdebar hati Hakimah apabila mendengarkan bicara Suraya itu. Adakah Suraya benar-benar ingin melakukan semua itu atau sengaja mahu melepaskan tekanannya dengan berkata sedemikian? Ah tidak mungkin Suraya berani untuk melakukan semua itu.
“ Mengucap, Su. Mengucap!” Kata Hakimah sambil memegang kedua belah bahu Suraya. Kemudian Hakimah mengoncang bahu tubuh sahabat baiknya itu.
Sebaliknya Suraya hanya tersenyum mendengarkan bicara Hakimah itu membuatkan Hakimah semakin takut. Adakah Suraya benar-benar berfikiran waras tatkala ini?
“ Kau tahu tak apa yang aku akan lakukan? Mula-mula aku akan tikam dadanya kemudian aku akan keluarkan hatinya yang busuk itu dan aku akan cincang sampai lumat. Lepas tu aku akan kerat tangan dan kakinya yang selalu memukul dan menerajang aku, kemudian aku….”
“ Mengucap Su! Mengucap Su!” Kata Hakimah sambil mengegar tubuh Suraya.
Hakimah pandang ke dalam anak mata Suraya dengan hati yang waja agar kekentalan hatinya itu dapat dipindahkan kepada sahabatnya yang sudah tersungkur itu. Suraya yang bagaikan terkedu pada mulanya dengan bicara Hakimah itu akhirnya mengukirkan senyuman. Melihatkan senyuman Suraya itu membuatkan Hakimah dihambat resah.
“ Mengucap? Ha ha..mengucap? Ha ha…ha…ha…”
Makin kuat tawa Suraya memecah gegendang telinga Hakimah. Hakimah makin kalut. Airmatanya mengalir laju melihatkan keadaan Suraya itu. Simpatinya melimpah ruah. Dia terus mendakap Suraya dengan erat.
“Ya Allah apa yang harus aku lakukan untuk membantu sahabatku ini?” Doa Hakimah di dalam hati.
“ Mengucap? Macammana nak mengucap ye? Macam ni ke? Ashaduallaila ha il Allah, Wa ashaduanna muhammadul rasullallah,” kata Suraya sambil mendendangkan lagu nasyid kumpulan Raihan.
Kemudian Suraya menangis pula. Selepas itu dia ketawa pula. Keadaan Suraya itu bagaikan orang kurang siuman. Ya Suraya sudah hilang kewarasannya membuatkan Hakimah semakin di himpit pilu.
“ Mengucap Suraya..mengucap..ikut cakap aku ni..sebut Allah….Allah…” Kata Hakimah cuba menyedarkan Suraya.
Namun semuanya gagal. Suraya terus berkeadaan begitu membuatkan Hakimah semakin mendendami Adam

3 comments: