Blog ini memaparkan beberapa bab daripada novel-novel karya Rabihah Nur Ridhuan.
Monday, 16 May 2016
Saturday, 14 May 2016
DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 17
Mata Harith Mishka tidak berkelip memandang
sesusuk tubuh di hadapannya. Benarkah apa yang sedang terpampang di hadapan
matanya tatkala ini? Anggun Danisha sedang memakai baju kurung dan bertudung
litup? Ish mesti semua ini hanya mimpi! Bukankah minah saleh celup itu lebih
banyak memakai pakaian ala-ala baratnya. Malah kehidupannya lebih mirip kepada
orang barat! Tidak mungkin dengan sekelip mata Anggun Danisha berubah sedrastik
itu!
Pantas Harith Mishka menampar pipinya. Dia cuba
menyedarkan dirinya. Namun kesakitan yang dirasainya tatkala dia menampar
pipinya menyebabkan Harith Mishka sedar yang dia sedang berada di alam realiti.
Malah wajah Anggun Danisha yang ayu berbaju kurung dan bertudung litup itu
masih berada di hadapannya.
Buat seketika Harith Mishka seolah-olah sedang
terpesona dengan apa yang terpampang di matanya tatkala ini. Tiada cacat cela
pada wajah itu. Memang dia mengakui Anggun Danisha mempunyai paras wajah yang
cukup ayu sekali. Hidung yang terletak, bibir merah bak saga. Di tambah dengan
lesung pipit menghiasi kedua-dua pipinya melengkapkan kesempurnaan pada wajah
itu. Buat pertama kalinya dada Harith Mishka bergetar buat seorang wanita.
Perasaan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Perasaan yang indah dan
cukup membahagiakan.
"Ta ra...cantik tak I hari ini?" tanya
Anggun Danisha sambil berposing maut di hadapan Harith Mishka. Tidak segan
Anggun Danisha berpusing sebegitu. Manakala Harith Mishka sudah menelan liur.
Al maklumlah mana pernah ada perempuan yang berani berposing maut sebegitu.
Hampir sahaja tersungkur imannya apabila melihat aksi sebegitu.
"Kau ni nak buat apa? Kau nak aku seret kau
masuk bilik ke?" tanya Harith Mishka sambil sengaja menseriuskan wajahnya.
Dia cuba menstabilkan perasaan tidak menentunya. Sudah tidak tentu arah dibuatnya.
"What?"
tanya Anggun Danisha sambil mengerutkan keningnya. Sungguh dia tidak faham dengan bicara lelaki itu. Dipandang pada baju
kurung yang melekap di badannya. Rasanya sempurna sahaja baju yang dibawa dari
Finland itu.
"What was I
did wrong?" tanya Anggun Danisha lagi. Dia terus
memerhatikan riak serius Harith Mishka.
Harith Mishka mendenggus geram. Dia tidak tahu
sama ada gadis di hadapannya sengaja buat-buat tidak tahu ataupun dia
sememangnya tidak tahu?
"Yang kau tiba-tiba goda aku tu apasal?"
tanya Harith Mishka.
Anggun Danisha segera menegakkan tubuhnya.
Sungguh dia tidak menyangka hanya gayanya sebegitu boleh diistilahkan sebagai menggoda
bagi lelaki di Malaysia! Kolotnya!
"Macam tu dah tergoda ke?" tanya
Anggun Danisha tanpa ada riak bersalah."I bukannya pakai seksi pun! Siap
bertudung litup lagi you boleh tergoda," tambah Anggun Danisha lagi. Dia
sengaja mengusik Harith Mishka.
"Cubalah kau buat lagi! Nanti kau tahulah
nasib kau," kata Harith Mishka sambil membeliakkan matanya.
"Tadi bercakap macam ustaz tapi
rupa-rupanya iman tak de lah kuat mana," usik Anggun Danisha sambil terus
berlalu ke kereta.
Harith Mishka mendenggus geram. Hatinya
tiba-tiba terasa begitu panas dengan perlian Anggun Danisha itu. Ah perempuan
ini memang sengaja mencari fasal dengannya!
"Yang kau masuk dalam kereta aku tu
kenapa?" tanya Harith Mishka. Dia terus masuk ke dalam keretanya. Wajah
Anggun Danisha yang duduk di tempat duduk di sebelahnya dijelingnya geram.
Sungguh dia tidak suka dengan sikap selamba Anggun Danisha. Sesuka hatinya
sahaja mahu masuk ke dalam keretanya tanpa mendapat kebenarannya terlebih
dahulu!
Anggun Danisha hanya beriak selamba. Malah
sengaja dia melebarkan senyuman untuk menambahkan perasaan sakit hati lelaki
yang berada di sebelahnya itu.
"Nak jalan-jalan," kata Anggun
Danisha. Dia sengaja berkata begitu untuk menyakitkan lagi hati Harith Mishka.
Dia mahu tengok setakat mana lelaki itu boleh bertahan dengan ragamnya.
"Jalan-jalan?" tanya Harith Mishka
sambil membeliakkan matanya. Wajah Anggun Danisha ditenungnya serius. Namun
hatinya bertambah sakit apabila gadis itu hanya berwajah selamba. "Ada aku
ajak kau pergi jalan-jalan?" tambah Harith Mishka.
"Memang you tak ajak I tapi I ajak
you," kata Anggun Danisha.
Harith Mishka mendenggus geram. Bibirnya diketap
rapat. Cuba menahan dirinya daripada terus memaki hamun gadis di sebelahnya.
Nafasnya sudah turun naik. Perasaan indah yang merantai hatinya sebentar tadi
sudah hilang entah ke mana. Ah dia sememangnya sudah gila kerana boleh ada perasaan
begitu dengan gadis seperti ini.
"Kau ingat aku tak de kerja ke? Lebih baik
kau turun sekarang sebelum aku tarik kau keluar," kata Harith Mishka
dengan kasar.
Anggun Danisha hanya mengangkat tanda peace kepada lelaki itu sambil
melebarkan senyumannya. Tiada tanda-tanda untuk dia keluar dari kereta lelaki
itu. Malah wajah garang Harith Mishka tidak menakutkan dirinya.
"You ni garang sangat sebab itulah sampai
sekarang you tak ada girlfriend. Cuba
cool sikit," kata Anggun Danisha
dengan lembut. Dia sengaja melemparkan senyuman lebar. Biar lelaki itu terus
terbakar dengan reaksinya itu.
"Apa yang kau nak sebenarnya?" tanya
Harith Mishka dengan garang. Sungguh dia tidak mampu bersabar dengan Anggun
Danisha. Sudahlah pandai-pandai sahaja gadis itu mengatakan yang dia tiada
teman wanita! Dia ingat aku ni tak laku sangat ke? Dia tidak tahukah muka aku
yang handsome ni telah mencairkan hati
ramai wanita?
"I nak tumpang you. I nak jumpa my
sweetheart," terang Anggun Danisha.
"Tumpang?" tanya Harith Mishka sambil merenggus
geram. Geram benar dia dengan sikap Anggun Danisha yang sesuka hatinya sahaja
membuat keputusan tanpa berbincang dengannya.
"Alah you bekerja di Lembah Pantai. Same place with Bunyamin," terang
Anggun Danisha.
"Kau ingat Lembah Pantai tu kecil?"
"Just
drop me kat mana-mana bus stand
yang ada di situ. Nanti I suruh Bunyamin pick
up I di situ," kata Anggun Danisha.
"Jadi sebab tu kau pakai macam ni?"
tanya Harith Mishka jelak. Tiba-tiba dia berasa menyampah untuk mendengar kisah
cinta Anggun Danisha itu.
Cepat-cepat Anggun Danisha mengangguk.
"Sebab Min suka I bertudung."
"Min?"
"Bunyamin! I akan lakukan apa sahaja yang
Min suka," kata Anggun Danisha sambil tersenyum penuh harapan. Dia
mengharapkan perubahan yang dilakukan ini mampu memberikan perkembangan yang
positif dalam hubungan mereka kelak.
Harith Mishka mencebek. Rasa mahu termuntah
mendengarkan pengakuan Anggun Danisha itu. Baginya Anggun Danisha terlalu
berlebih dalam mengejar cintanya.
"Kau ni tak boleh ke jadi diri sendiri? Don’t be a woman that need a man, but be a
woman that a man need," perli Harith Mishka.
Anggun Danisha tidak memperdulikan bicara Harith
Mishka itu. Sebaliknya dia sudah mula angau dengan perasaan cintanya. Hanya
wajah Bunyamin yang bermain di layar ingatannya tatkala ini. Seperti biasa
apabila Anggun Danisha mula angau dia akan melukis imej love dengan jarinya. Apabila melihat tangan Anggun Danisha yang sudah
berada di cermin tingkapnya, terus sahaja mata Harith Mishka membeliak.
"Hei jangan pandai-pandai nak lukis love kat situ," kata Harith Mishka
memberi amaran.
Anggun Danisha mengeluh geram. Baru sahaja dia
mahu melayan angaunya tetapi Harith Mishka sudah mengacaunya! Ah potong stim
betul mamat ni!
DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 16
Laman Facebook dibukanya dengan perasaan yang berdebar. Nama Bunyamin di
taipnya tanpa sabar. Sudah lama dia tidak melihat gambar terbaru Bunyamin yang
selalu di kemas kininya di laman ini. Sebenarnya aktiviti ini adalah aktiviti
yang sering dilakukannya semenjak dia dan Bunyamin terpaksa memutuskan hubungan
cinta mereka akibat tentangan papanya.
Mata Anggun Danisha terpaku apabila melihat
gambar Bunyamin dengan seorang wanita berbaju kurung kuning dan memakai tudung
sedondon dengan warnanya. Tiba-tiba hati Anggun Danisha berasa begitu sakit.
Perasaan cemburunya semakin menguasai dirinya. Sungguh dia ingin mengetahui apa
hubungan Bunyamin dengan wanita itu. Namun tidak tertulis apa-apa di situ.
"Kenapa Min tak tulis apa-apa? Just update gambar perempuan ni
aje?" tanya Anggun Danisha sendirian. Matanya masih terpaku kepada gambar
perempuan itu. Dia mula membandingkan kecantikan antara dirinya dengan wanita
itu. Mulutnya dicebek geram.
"Min dah buta ke? Perempuan yang tak
secantik mana ini yang mahu dipilihnya. Ah apa yang menariknya tentang wanita
ini? Mungkin sebab dia bertudung! Ya betul! Min suka perempuan yang
bertudung," kata Anggun Danisha sendirian. Hatinya membengkak. Dia berasa
menyesal kerana tidak pernah mengikut kehendak Bunyamin. Semasa mereka sedang
hangat bercinta lelaki itu acapkali mahu dia menutup aurat namun Anggun Danisha
hanya memekakkan telinganya. Dia tidak mahu dipandang pelik apabila tampil
bertudung di negara Barat yang sentiasa mengamalkan kehidupan bebas itu.
"Ah siapa perempuan ini?" kata Anggun
Danisha.
Tanpa sabar terus dia membaca komen-komen yang
telah dititipkan di situ. Ternyata semua komen yang diberikan telah merentap
hati dan perasaannya. Tahniah! Memang pasangan sepadan! Macam merpati dua
sejoli! Dada Anggun Danisha terasa mahu meletup. Pantas sahaja dia menutup
laptopnya dengan kasar.
"Tak kan secepat itu Min mendapat penganti.
Ah tak boleh! Aku akan pastikan Bunyamin menjadi hak milik aku semula. Tidak
mungkin semudah itu Min dapat melupakan cinta kami," kata Anggun Danisha.
Anggun Danisha menarik nafasnya. Entah kenapa
hatinya berkobar-kobar. Bagaikan timbul satu semangat di dalam dirinya untuk
kembali menakluki Bunyamin. Dia tahu dia perlu berubah menjadi apa yang disukai
oleh Bunyamin. Malah dia akan pastikan Bunyamin terharu dengan pengorbanan yang
telah dilakukannya ini.
Sedang Anggun Danisha termenung sendirian,
tiba-tiba telefon bimbit Anggun Danisha bernyanyi. Nombor telefon yang tidak
dikenali itu pantas diangkatnya. Nombor telefon daripada talian tetap. Dia
yakin itu adalah nombor pejabat Bunyamin kerana hanya Bunyamin sahaja yang tahu
nombor telefonnya di Malaysia.
"Hello
sayang," kata Anggun Danisha ceria. Hilang terus segala kegundahan hatinya
tatkala ini. Wajah Bunyamin yang setia menemani mimpinya mula terbayang di
ruang matanya.
"Sayang? Nak termuntah aku
mendengarnya," jerkah suara di hujung talian.
Anggun Danisha terpempam. Matanya membulat.
Terkejut dirinya dengan suara kasar di hujung talian. Dia memandang telefon
bimbitnya dengan kerutan di dahi. Siapa pemanggil di hujung sana? Tersalah
panggilankah?
"Kau ingat aku ni Buaya Man kau ke?"
tambah suara di hujung talian.
Buaya Man? Kening Anggun Danisha dikerutkan.
Siapa pula Buaya Man ni? Anggun Danisha tertanya-tanya sendirian. Gaya
percakapan lelaki di hujung panggilan bagai mengenali dirinya. Tiba-tiba mulut
Anggun Danisha terlopong. Bunyamin jadi Buaya Man?
"Mishka? Mishkakah ini?" tanya Anggun
Danisha hampir menjerit.
"Iyalah. Tak kan Buaya Man kau pula!"
kata Harith Mishka sinis.
Anggun Danisha menepuk dahinya. Bibir diketapkan
rapat. Sungguh dia berasa malu dengan lelaki itu. Kenapa dia begitu gelojoh
memanggil sayang tanpa memastikan terlebih dahulu siapa pemanggilnya. Tidak
fasal-fasal dia sudah memalukan dirinya sendiri.
"Bukan Buaya Man! Bunyamin! You jangan
sesuka hati you sahaja mengelar boyfriend
I macam tu!" tegur Anggun Danisha. Dia sengaja mengeraskan suaranya. Biar
lelaki itu nampak ketegasan dirinya.
"Whatever!"
balas Harith Mishka masih tidak mahu mengaku kalah.
Anggun Danisha berdehem. Sebenarnya dia tidak
mampu bersabar dengan perangai Harith Mishka yang sengaja mencari pasal
dengannya.
"You nak apa ni? Macam mana you dapat phone number I?" tanya Anggun Danisha. Suaranya masih serius. Malas
dia mahu melayan Harith Mishka yang tidak betul itu!
"Tolong jangan perasan sangat boleh tak?
Atuk yang suruh aku call kau,"
kata Harith Mishka.
Anggun Danisha mencebek. Menyampah benar dia
dengan bicara sinis lelaki itu. Siapa yang perasan pula? Salahkah kalau dia
bertanya?
"Asyik terperap dalam bilik sejak dari
tadi. You ni masih tidur lagi ke? Dah solat subuh ke belum?" bebel Harith
Mishka. Dia faham benar dengan perangai manusia yang dibesarkan di negara
barat. Pastinya bebas dan tiada pegangan agama.
"You ni jangan berlagak macan ustaz boleh
tak? You nak apa sebenarnya?" tanya Anggun Danisha.
"Atuk suruh aku bagitau kau yang kau akan
tinggal seorang di rumah. Atuk dah pergi klinik. Dia ada appointment hari ini. Aku baru nak gerak ke pejabat," kata
Harith Mishka. Suaranya mendatar. Tiada kemesraan yang mahu ditunjukkannya.
"I tinggal seorang la. Hmmm," keluh
Anggun Danisha. Dia sudah dapat membayangkan tahap kebosanannya kelak. Ah lebih
baik aku jumpa Bunyamin! Detik hati Anggun Danisha tiba-tiba. Pantas sahaja
senyuman Anggun Danisha meleret.
"You kerja di mana?" tanya Anggun
Danisha. Dia sudah merangka sesuatu. Dia mahu memberi kejutan kepada Bunyamin.
Kejutan yang mampu membuatkan Bunyamin terpaku memandangnya buat kali pertama.
"Lembah Pantai. Kenapa?"
Mata Anggun Danisha membulat. Hatinya melonjak
gembira.
"Kerja mana?" tanya Anggun Danisha
sekali lagi.
"Lembah Pantai!" jerit Harith Mishka
sambil mendenggus geram. Dia ni memang tak dengar atau buat-buat tak dengar?
Mendengarkan jawapan dari Harith Mishka itu
membuatkan senyuman Anggun Danisha semakin lebar. Nampaknya semua ini satu
kebetulan yang cukup menyenangkan dirinya.
"Kalau macam tu you tunggu sekejap. Give me 5 minute," kata Anggun
Danisha sebelum dia terus menamatkan panggilannya. Manakala Harith Mishka
tercenggang sendirian.
"Dia ni nak buat apa pulak?" tanya
Harith Mishka. Pantas dia melihat jam di pergelangan tangannya.
"Aku dah lambat ni! Hisshhh minah ni suka
sangat menaikkan darah aku!" renggus Harith Mishka lagi.
DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 15
"Papa!"
Harith Mishka terjaga dari tidurnya.
Dia memandang sekeliling. Mencari insan yang amat dirindui. Namun hampa.
"Astafirullahazim."
Harith Mishka meraup wajahnya sambil
beristighfar beberapa kali. Mimpi itu bagaikan nyata. Malah wajah Ikhwan masih
terbayang lagi di matanya. Perlahan Harith Mishka menghadiahkan surah al
fatihah kepada arwah papanya, pesanan yang pernah disampaikan arwah kepadanya
dulu.
Harith Mishka duduk termunung di
katil. Kemunculan Anggun Danisha secara tiba-tiba sedikit sebanyak membuka
kembali kenangan lama yang sudah menjadi lipatan sejarah buatnya. Tanpa dipinta
kenangan itu kembali terakam di mindanya.
"Kenapa dia masih berada di
rumah kita?" jerkah Badri pada suatu hari. Wajahnya kelihatan menyinga
sambil memandang tajam ke arah Harith Mishka.
"Kenapa dengan kau ni Badri? Tak
de angin tak de ribut kau mengamuk macam ni?" tegur Encik Hashim. Encik
Hashim menggeleng lemah. Dia tidak menyangka yang Badri boleh jadi sebegini.
Entah apalah yang Badri tidak berpuas hati dengan Harith Mishka.
"Kenapa ayah masih biarkan dia
tinggal di sini?" tanya Badri sambil berdenggus geram. Dia benci dengan
pertanyaan ayahnya itu. Tidak tahukah ayahnya betapa dirinya sangat membenci
Harith Mishka?
"Habis tu kau nak biarkan dia
tinggal di mana?" tanya Encik Hashim kembali.
Harith Mishka hanya menjadi pendengar
setia. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia berlari masuk ke biliknya.
Sungguh dia tidak sanggup berhadapan dengan situasi sebegini. Malah hatinya
tidak kuat untuk mendengar caci maki yang keluar dari mulut Badri khas untuk
dirinya.
"Rumah kebajikan banyak. Hantar
ajelah dia ke sana," kata Badri.
Tercalar hati Harith Mishka apabila
mendengar bicara itu. Sedalam itu rupanya benci Badri terhadapnya. Harith
Mishka tertunduk diam. Airmata yang bergenang sedaya upaya ditahannya daripada
jatuh membasahi pipinya. Kalau benar dia akan ditinggalkan di sana, dia tidak
tahu bagaimanakah nasibnya kelak. Dapatkah dia menyusaikan dirinya dengan
mereka yang cukup asing dalam hidupnya?
"Astafirullahazim. Apa yang kau cakap
ni, Bad? Kau sedar tak Mishka tu anak sedara kau? Kenapa kau sanggup hantar dia
ke sana pula?" tanya Encik Hashim. Dia melepaskan nafas sesak. Sikap Badri
sejak akhir-akhir ini cukup mendera hati dan perasaannya. Malah kebenciannya
terhadap Harith Mishka semakin menjadi-jadi.
"Eh dia bukan anak sedara
Badlah! Mati hidup balik pun dia bukan anak sedara Bad! Bad benci dia! Bad tak
nak tengok muka dia di sini!" tengking Badri sambil jari telunjuk menunjuk
ke arah Harith Mishka yang hanya mendiamkan diri sejak dari tadi.
"Apa kena dengan kau ni Bad?
Kenapa kau benci sangat dengan Mishka?" tanya Encik Hashim lagi. Dia tahu
perkara ini perlu diselesaikannya dengan secepatnya. Kalau tidak pasti perkara
ini akan menjadi barah dalam keluarganya. Penyebab rumah tangga mereka musnah
selamanya.
"Sebab dia anak Ikhwan!"
kata Badri.
"Perkara yang lepas biarkanlah
berlalu. Buat apa kau kenang lagi. Ikhwan pun dah dapat balasan dia. Tak
perlulah kau nak lepaskan kemarahan kau kepada Mishka yang tak berdosa
ini," tegur Encik Hashim.
Badri mendenggus geram. Nasihat
ayahnya tidak dapat diterimanya. Dia yang menanggung sakit dan deritanya akibat
perbuatan Ikhwan itu. Bukan mudah untuk dia melenyapkan semua ini dengan
sekelip mata.
"Bad, kalau dah benci akan
membencinya sampai mati!" kata Badri.
"Astafirullahazim, mengucap Bad.
Jangan diikutkan sangat perangai syaitan," tegur Encik Hashim.
Harith Mishka mengetap bibir. Di
dalam hati dia bersyukur kerana Encik Hashim masih mahu menjaganya. Tidak
seperti mamanya yang terus terpedaya dengan janji manis lelaki dihadapannya
ini. Ah dia benci dengan Badri. Disebabkan Badri mamanya sanggup membuangnya.
"Syaitan? Siapa yang sebenarnya
syaitan? Bad ke budak ni?" tanya Badri yang masih mempertahankan egonya.
Harith Mishka hanya mampu menahan
hatinya dengan setiap bicara sinis lelaki itu. Dia tahu inilah harganya yang
dia perlu bayar kerana terpaksa menumpang di sini. Harith Mishka memejam
matanya. Setitik airmatanya keluar namun cepat-cepat disekanya. Dia tidak mahu
lelaki durjana itu mempersendakan kelemahannya itu. Di dalam diam dia cuba
menanam tekad untuk menjadi seorang lelaki yang tabah.
"Badri! Jaga mulut kau tu
sikit!" marah Encik Hashim tanpa dapat ditahan lagi.
"Tak kan ayah tak tahu dia ni
bakal menjadi syaitan besar. Lihat sahaja sejarah hidupnya. Anak haram! Anak
pengedar dadah! Ayah nak ke jaga budak macam ni? Entah-entah esok lusa dia ikut
jejak langkah papanya!" kata Badri.
Hati Harith Mishka sudah remuk dengan
apa yang didengarnya itu. Mahu sahaja dia melawan bicara sinis itu. Tidak
tertahan lagi batinnya mahu menanggung semua itu. Sakitnya! Pedihnya! Hanya
Allah sahaja yang dapat mengerti hati dan perasaannya saat ini.
"Cukup Badri!" tegur Encik
Hashim. Nafasnya sudah turun naik. Sabarnya sudah tipis. Dia benar-benar kecewa
dengan sikap Badri yang hanya merasakan dirinya seorang sahaja yang mulia.
"Mana boleh cukup ayah! Hantar
sahaja dia ke rumah kebajikan! Buat apa kita jaga anak pengedar dadah ini?"
"Badri!"
Tanpa sedar Encik Hashim telah melayangkan
penampar ke pipi Badri. Sungguh dia tidak mampu bersabar lagi. Sikap Badri
memang benar-benar sudah melampau!
"Jangan rasa diri kau seorang
sahaja yang baik dan mulia!" tegur Encik Hashim sambil mengetap giginya.
Dia masih cuba menahan perasaan marah yang sedang mencengkam.
Badri memegang pipinya yang terasa
panas dek penangan ayahnya. Panasnya terasa sampai ke ulu hatinya. Sakit!
Memang sakit sekali. Lebih menyakitkan apabila ayahnya sanggup menamparnya
disebabkan budak tidak guna itu. Badri mengenggam penumbuknya sekuat hati.
Matanya mencerlung tajam ke arah Harith Mishka. Kemarahannya semakin memuncak.
Pantas dia menerkam ke arah Harith
Mishka. Rambut lurus Harith Mishka ditariknya dengan sekuat hatinya. Harith
Mishka yang terkejut dengan perbuatan luar jangka Badri itu menjerit ketakutan.
Manakala Encik Hashim pula semakin panik melihatkan kelakuan anak terunanya
itu.
"Badri! Apa yang kau buat ni?
Kau dah gila ke?" jerkah Encik Hashim. Dia cuba meleraikan pergelutan itu.
Tetapi ternyata kudrat tuanya tidak mampu menandingi kudrat perkasa Badri.
Badri pula semakin mengganas. Terus sahaja tubuh Harith Mishka ditumbuk dan
ditendangnya sepuas hati.
"Aghhhh sakit pak su," rayu
Harith Mishka. Dia menangis dan cuba meraih simpati lelaki itu. Namun Badri
semakin agresif apabila mendengarkan rayuan anak kecil itu. Tatkala ini dia
berasa sangat puas. Anak kecil yang amat dibencinya kini sudah mendapat
pengajarannya.
Encik Hashim yang panik melihatkan
perbuatan Badri itu terus mendapatkan penyapu. Dan tanpa berfikir panjang dia
terus memukul tubuh Badri dengan menggunakan penyapu itu.
"Apa yang ayah buat ni?"
tengking Badri. Matanya merah mencerlung ke arah Encik Hashim pula. Kali ini
kemarahannya ditujukan kepada Encik Hashim yang tidak pernah membaca kata
hatinya.
"Kau tu dah gila ke?” jerkah
Encik Hashim pula.
"Memang Bad dah gila ayah!
Selagi Bad hidup Bad tak boleh tengok anak haram ini lagi!" jerkah Badri
pula.
Encik Hashim menarik nafasnya. Harith
Mishka yang kesakitan terus meluru ke arah Encik Hashim. Tubuh tua itu
dipeluknya dan anak kecil itu terus menangis di dalam pelukannya. Encik Hashim
berasa begitu simpati sekali. Kasihan Harith Mishka, dalam usia sekecil ini dia
telah diuji dengan pelbagai ujian. Dia tidak sanggup lagi melihat Harith Mishka
diuji sebegini.
“Ayah tak faham dengan kau, Bad.
Kenapa sifat kasih sayang tak pernah wujud dalam hati kau?” keluh Encik Hashim.
Terlalu sesak dadanya saat melihat kebencian yang ditunjukkan oleh Badri. Ya
Allah, kenapa Badri terlalu membenci Mishka? Apakah dendam yang cuba dia balas
pada anak kecil itu?
Ah kalaulah anak-anaknya memahami
sifat kasih sayang pasti kemelut ini tidak mungkin akan berlaku. Ikhwan tidak
akan terpenjara. Badri tidak akan terus berdendam dan Harith Mishka tidak akan
menjadi mangsa.
"Sekarang Bad nak ayah pilih
antara Bad atau anak haram itu?" tanya Badri. Sungguh dia berasa benci
apabila melihat Harith Mishka berada dalam pelukan ayahnya.
"Kalau ayah pilih Mishka kau nak
buat apa?" tanya Encik Hashim. Ya dia tahu tatkala ini dia sudah membuat
satu keputusan yang terbaik. Dia tahu Badri sudah mampu berdikari tetapi Harith
Mishka masih lagi memerlukan perhatiannya.
"Kalau macam tu Bad akan pergi.
Bad akan pergi selama-lamanya dari hidup ayah!"
Encik Hashim terkesima. Dia tidak
tahu untuk berkata apa. Dia tidak sangka sampai sebegitu Badri bertindak.
Tindakan yang hanya mengikut hawa nafsunya sahaja.
Innama ashku bassi wa khuzni
ila Allah, Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada
Allah.
Bibir Encik Hashim tidak
henti-henti membaca ayat ke 86 suruh Yusuf itu. Dia tahu saat hatinya walang
begini hanya Allah sahaja sebaik-baik sandaran untuknya. Tangisan Encik Hashim
semakin lebat mencurah ke pipinya. Menangis dan merintih dengan perbuatan si
anak yang tidak pernah tahu menghargai pengorbanannya.
DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 14
Ketika ajal semakin
menghimpit, tiada siapa yang mampu melelapkan mata. Masa yang sekelumit akan dipergunakan
sepenuhnya. Setiap saat yang berbaki Ikhwan gunakan dengan
sebaik-baiknya.
Menggigil, mengeletar, gelisah, perit, sebak,
takut menjadi sapaannya. Terjahan demi terjahan hebat terus-terusan mengganas
di hatinya. Tubuhnya menggigil tanpa diundang. Mengeletar dengan bayangan yang
meracau. Ya Allah, sudahkah aku bersedia? Benarkah aku sudah bersedia? Taubat
aku diterimakah? Sesungguhnya aku terlalu banyak berdosa. Di dalam penjara
abadi Ikhwan terus menangisi dirinya.
Ikhwan masih
terjelupuk di atas tikar sejadah. Di saat-saat akhir hayatnya hanya ini yang
mampu dilakukannya. Dia tidak henti-henti meminta keampunan, keredhaan dan
kematian yang singkat daripada Allah. Jauh di sudut hatinya dia mengharapkan
agar rohnya terpilih mendapat tempat di sisi Allah. Lantas menerima rahmat dan
ehsan Allah. Ya Allah layakkah aku menerima semua ini sedangkan dosa aku
sebesar dunia?
Sayup kedengaran
azan subuh dilaungkan dari masjid yang berdekatan. Tubuh Ikhwan menggigil entah
kenapa. Jiwanya semakin kemaruk. Hatinya menjadi semakin kalut. Dia tahu saat
untuk dia kembali kepada Allah semakin hampir. Dia rasa mahu menjerit, meraung
dengan suratan takdir yang telah tersurat kepadanya. Bayangan wajah ayahnya dan
Harith Mishka mula terbayang di ruang matanya. Dan air mata Ikhwan semakin laju
mengalir. Dia menangis, menangisi nasib yang telah tersurat buatnya.
Ikhwan menarik
nafasnya dalam-dalam. Dia tahu saat ini dia harus kuat. Mesti tabah. Hatinya
mesti tegap untuk menggagahi mengangkat takbiratul ihram buat kali yang
terakhir. Takbir terakhir! Tangisan Ikhwan semakin kuat. Kesayuan semakin
mengocak jiwanya. Kalaulah dia tidak melakukan kesilapan ini sudah pastinya
nasibnya lebih baik daripada ini.
Namun Ikhwan
gagahkan dirinya untuk berdiri. Dia mahu menyempurnakan subuh terakhirnya
dengan penuh kusyuk. Walau lututnya dirasainya semakin longgar. Dirinya pula
terasa goyah. Subuh terakhir dirasakan cukup hening, bening dan dingin sekali. Dia
cuba sedaya upaya untuk kusyuk, menyerahkan seluruh raganya kepada Yang Esa.
“Assalamualaikum
Warah Matullah. Assalamualaikum Warah Matullah.”
Tubuh Ikhwan
mengeletar hebat tatkala selesai salam diberikan. Dia sedar kini dia menantikan
salam daripada pegawai penjara pula. Tinggal berbaki beberapa detik sahaja
sebelum malaikat maut datang menjemputnya. Debaran di dada Ikhwan semakin
berkocak laju. Malah degupan jantungnya di luar kebiasaannya. Tubuh badannya
terasa seram sejuk. Jiwanya terasa kosong. Gelap!
Dengan tangan
menggigil, Ikhwan mengangkat kedua-dua telapak tangannya. Dia sedar saat-saat
yang berbaki ini tidak boleh dipersiakan. Dia mahu memohon ketenangan yang
abadi. Memohon agar rohnya dipermudahkan tatkala bercerai dari jasadnya nanti!
Allah. Allah. Allah.
Bibir Ikhwan basah dengan zikir kepada yang Maha Kuasa. Dia sedar saat ini
hanya Allah sebaik-baik sandaran untuknya. Dia mahu pergi dalam keadaan yang
bersih. Suci daripada dosa yang terpalit di tubuhnya. Dan dia terus menyerahkan
dirinya kepada Allah swt.
Tap! Tap! Tap!
Derap tapak kaki
terasa semakin menghampiri. Serentak dengan itu, tubuh Ikhwan mengeletar hebat
apabila mendengarkan derap kaki itu. Lebih hebat daripada tadi. Langkah mereka
dirasakan begitu kejap, begitu pantas. Malah semakin memekakkan telinganya.
Ikhwan semakin tidak keruan. Resahnya semakin menjadi-jadi. Dia tidak tahu mahu
berbuat apa. Mahu melarikan diri tetapi kakinya longlai entah kenapa. Ya Allah
ampunkan aku. Ikhwan terus menangis.
“Assalamualaikum.”
Sapaan daripada pegawai penjara
membuatkan tubuh Ikhwan terhenjuk sedikit. Badannnya menggigil di luar
kebiasaannya. Dadanya sesak. Saat itu dia rasa mahu menangis dan meraung sekuat
hati.
“Masa sudah sampai dan maafkan saya,” kata pegawai
penjara itu lagi.
Bahu Ikhwan
tersentak lagi. Darahnya berderau mengalir tanpa keruan. Jantungnya seolah-olah
terhenti dengan tiba-tiba. Ya Allah, bagaimana harus aku hadapi detik ini?
Sesungguhnya aku begitu takut untuk menghadapi saat kematian ku ini.
Tabahkanlah hati dan jiwaku untuk menghadapi saat getir ini. Semadikanlah roh
aku nanti dalam kalangan roh-roh yang mendapat rahmat-Mu.
“Aku sudah rogol dia! Kau masih nak
ke ‘bekas’ aku?”
Suara itu bagaikan bergema di
telinganya. Kenangan pahit itu mula terbayang-bayang diruang ingatannya.
“Aku benci kau! Sampai mati pun aku
tak akan maafkan kau!”
Jeritan Safiya kepadanya setelah dia
merampas mahkota gadis itu benar-benar menghantuinya. Nafas Ikhwan terasa
sesak. Dadanya terasa mahu pecah. Safiya, maafkan abang.
“Ini semua salah
ayahlah! Terlalu manjakan sangat anak angkat ayah! Tengok sekarang apa yang dia
telah buat kepada kita? Kita beri susu dia balas tuba!”
Ikhwan menekup
wajahnya. Tangisannya semakin menggila. Kesalnya semakin dalam. Kalaulah dia
tidak melakukan semua kesilapan ini pastinya hidupnya tidak berakhir sebegini.
Badri ampunkan aku.
Tubuh Ikhwan menggigil hebat tatkala
pagar penjara dibuka. Bayangan wajah Badri dan Safiya hilang serta merta. Tatkala
ini dia sudah tidak mampu berdiri lagi. Tubuhnya lemah. Selemah-lemahnya. Wajah
pegawai penjara sudah tidak berani
dipandangnya. Malah salam yang dihulurkan kepadanya juga sudah tidak terdaya
untuknya menyambutnya.
“Banyakkan bersabar dan bertaubat. Sekarang mengucaplah di
sepanjang perjalanan ini,” kata pegawai penjara.
Ikhwan akur. Terus sahaja dia
mengucapkan kalimah agung itu. Saat ini dia hanya mampu menyerahkan semuanya
kepada Allah.
“Assahadualla ila
hailallah wa asshaduan namuhammadarasullah.”
Sebaik Ikhwan habis
mengucap terus sahaja kepalanya diserkup dengan kain karung hitam. Tatkala itu
tidak tergambar perasaan Ikhwan. Dia takut, gelisah dan tidak keruan. Kakinya
sudah longlai, lututnya longgar. Badannya menggigil. Malah bergoncang kuat.
Allah.
Allah. Allah. Seluruh anggotanya mengeletar menantikan hukuman gantung. Setiap
langkah yang diambil terasa sungguh menekan.
Badannya yang gagah sudah tidak ampuh lagi berdiri. Segala kekuatan hilang
entah ke mana. Tidak berdaya, lemah dan luluh segalanya.
“Ayah nak Ikh tahu yang
ayah terlalu sayangkan Ikh. Walau apa
pun terjadi kepada Ikh, Ikh tetap anak ayah dunia dan akhirat.”
Kali ini baru dia sedar
betapa bertuahnya dirinya. Walaupun dia tidak mengenali siapa ibu bapanya yang
sebenar tetapi dia dibesarkan oleh keluarga angkat yang sangat menyayanginya.
Tetapi dia yang tidak pandai bersyukur. Tidak pernah mahu membalas budi yang
sudah ditaburkan kepadanya sebaliknya dia telah menyapu arang ke muka mereka
yang telah berbakti kepadanya.
“Mishka sayang papa!
Mishka sayang sangat sangat dekat papa! Papa adalah papa Mishka yang terbaik di
dunia dan akhirat!”
Ikhwan menangis lagi.
Alangkah rugi dirinya mempersiakan nikmat yang Allah berikan kepadanya dahulu.
Kini dia hanya mampu menyesal dan meratap dengan kesilapan yang telah dia
lakukan. Semua nikmat itu akan ditinggalkan tidak lama lagi!
“Assahadualla ila hailallah wa asshaduan
namuhammadarasullah.”
Sepanjang
perjalanannya hanya kalimah syahadah yang meniti di bibirnya. Wajah-wajah insan
tersayang tidak lepas dari ingatannya.
Tidak lama lagi dia akan meninggalkan mereka semua. Tiada siapa yang
mampu mengubah takdirnya. Dia hanya mampu berserah kepada takdir Allah SWT.
“Assahadualla ila
hailallah wa asshaduan namuhammadarasullah. Ya Allah matikan aku dalam islam.
Matikan aku dalam iman.”
DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 13
Sejak dari minggu lepas
lagi perasaan Encik Hashim tidak keruan. Kaki yang melangkah menuju ke
destinasi juga bagaikan tidak berpijak di bumi yang nyata. Malah nafasnya
terasa lelah sehingga menyukarkan dirinya untuk bernafas.
Sekali sekala Encik
Hashim melirik jam tangannya. Waktu itu cukup meresahkannya. Ditarik tangan
Harith Mishka supaya menyaingi langkahnya. Dia tidak mahu terlambat walau
seminit pun untuk berada di situ. Tatkala ini sesaat cukup bermakna buat
dirinya.
Tangan kanannya pula
memegang bakul yang berisi makanan kegemaran Ikhwan. Dia tidak tahu sama ada
pihak penjara akan membenarkan dia membawa masuk makanan itu atau tidak. Namun
untuk kali terakhir ini dia mahu melakukan segala-galanya untuk Ikhwan.
Selepas melakukan
pemeriksaan badan, Encik Hashim terus di bawa ke bilik pengarah penjara, bilik
khas yang disediakan untuk waris banduan yang bakal digantung pada esok hari.
Encik Hashim kecewa kerana pihak penjara tidak membenarkannya untuk membawa
makanan kepada Ikhwan. Katanya Ikhwan akan diberi peluang untuk memilih makanan
terakhirnya yang berharga RM7.50. Hmm apalah tersuap ke dalam mulut, kalau tahu
esok akan mati! Hati Encik Hashim semakin tidak keruan.
Pertemuan terakhir?
Seram sejuk Encik Hashim mendengarnya. Tetapi itulah hakikat yang terpaksa
diterimanya. Esok anak kesayangannya itu bakal menerima hukuman gantung sampai
mati! Satu hukuman yang tidak pernah terduga untuknya. Malah tidak pernah
terfikir olehnya anak yang dijaganya penuh kasih suatu masa dulu akan menemui
ajalnya pada esok hari.
Suasana pilu, sedih,
sayu dan tidak kurang pasrah memenuhi ruang bilik pengarah penjara itu. Encik
Hashim cuba berpura-pura tabah. Dia sudah berjanji dengan dirinya untuk tidak
akan menangis di hadapan anaknya itu. Dia tidak mahu meresahkan fikiran Ikhwan
apabila anak kesayangannya melihat air matanya. Malah dia turut berpesan kepada
Harith Mishka supaya tidak menangis di hadapan papanya.
“Ayah,” panggil Ikhwan. Suaranya serak.
Pantas sahaja Encik
Hashim bangun dan terus memeluk tubuh itu. Dia memeluk tubuh Ikhwan lama. Dia
sedar kali ini adalah peluang terakhir dia dapat memeluk tubuh ini. Esok hari
tubuh ini akan menjadi jenazah yang bakal diuruskannya. Apabila mengingati itu
semua membuatkan Encik Hashim menangis hiba.
Harith Mishka tertegun.
Dia memandang seorang lelaki kurus, tinggi yang lengkap memakai uniform
penjara. Bukan keadaannya yang membuatkan jantung Harith Mishka seperti
berhenti berdegup. Tetapi wajah itu. Meskipun tidak terurus sudah pastinya
wajah itu bakal menjadi kenangan terakhir buatnya.
“Ampunkan dosa Ikh,
ayah,” kata Ikhwan dalam tangisannya. Buat seketika mereka saling berpelukan
dan bertangisan di situ. Ternyata Encik Hashim tidak dapat mengotakan janjinya.
Mereka berdua mahu menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya.
“Papa?” panggil Harith
Mishka, serak.
Ketika Ikhwan menoleh
dan mendekat, Harith Mishka terpaku. Airmata lelaki itu tumpah ke pipinya yang
cengkung. Dengan lemah dia menggapai. Harith Mishka hanya mampu melihat. Dia
berasa sebak. Tanpa sedar airmatanya turut mengalir. Dia dapat merasai
kesedihan ini.
Menurut atuknya,
papanya akan dikenakan hukuman gantung sampai mati pada esok hari. Dia sedar
mulai esok dia akan bergelar yatim piatu secara rasminya. Tiada lagi papa yang
sudah banyak berubah semenjak dia berada di penjara. Jujur Harith Mishka
katakan yang dia amat menyenangi peribadi papanya setelah dia berada di
penjara. Dia tahu papanya sudah benar-benar insaf namun sayang seribu kali
sayang papanya tidak diberi peluang kedua.
“Mishka, anak papa.”
Harith Mishka
mengangkat wajahnya. Wajah Ikhwan kini berada di hadapannya. Wajah itu basah
dengan airmata. Namun masih terlakar senyuman di bibir papanya itu.
Ikhwan duduk di hadapan
Harith Mishka. Tangan anak kesayangannya itu dicapai. Manakala sebelah tangannya
lagi mengusap umbun rambut itu penuh kasih.
“Anak papa dah besar.
Cepat betul masa berlalu.”
Harith Mishka tidak
membalas ucapan papanya. Dia juga tidak menghindar ketika Ikhwan mengelus
pipinya. Dalam tangisan, dia menatap wajah itu lama.
“Jangan jadi macam papa, ya sayang. Apa yang
berlaku kepada papa, papa harap Mishka jadikan iktibar. Jadi anak yang baik.
Bahagiakan hati atuk. Papa tahu selama ini papa banyak menyusahkan atuk dan
papa harap Mishka boleh tebus kesilapan papa ini dengan membahagiakan hati atuk
selamanya,” kata Ikhwan sebelum mengucup ubun rambut Harith Mishka.
Kerongkong Harith
Mishka makin kelat. Pandangannya kabur dek airmata yang tidak henti-henti
mengalir. Menyukarkan dirinya untuk melihat wajah Ikhwan yang amat dirinduinya.
Harith Mishka
mengangguk. Airmata kesedihan sudah laju mengalir di pipinya. Sungguh dia
berasa sedih dengan bicara papanya itu. Jauh di lubuk hatinya, ada rasa sesal
yang panjang. Sesal terhadap tragedi demi tragedi ini. Tapi kesakitan oleh
pukulan mama dulu tiba-tiba bagaikan terasa di tubuhnya. Luka hati kerana
makian mamanya suatu masa dahulu bagaikan tergiang-giang di telinganya.
Tiba-tiba Harith Mishka
sedar sesuatu. Ketika mamanya masih ada, saat makian dan pukulan mamanya
menjadi santapan rutinnya, hati Harith Mishka tidak pernah merasa dendam. Dia
masih mengasihi mamanya. Menyayanginya dengan hati yang tulus. Malah dia berusaha
menyenangkan hati mamanya.
Namun sejak papanya
berubah, sejak hubungannya dengan papanya semakin rapat, Harith Mishka rasakan
ada yang terbalik di hatinya. Tiba-tiba dia begitu bencikan arwah mamanya.
Baginya, mamanya seorang wanita yang tamak dan tidak pandai mensyukuri nikmat.
“Selepas ini Mishka kena kuat. Mishka sudah
tak ada papa dan mama lagi. Jadi anak yang baik ya sayang. Dan tolong jangan
benci dengan papa walaupun papa sudah buat kesilapan besar ini.” Di akhir
bicaranya itu, Ikhwan sudah menangis tersedu-sedu. Dia tahu apa yang berlaku
kepadanya ini akan tetap memberi kesan kepada anak kesayangannya itu. Walau dia
sudah insaf namun masyarakat tetap akan memandang serong kepada anaknya.
Sepanjang hidupnya Harith Mishka akan digelar sebagai anak pengedar dadah! Anak
banduan yang mati di tali gantung!
Harith Mishka
mengangguk berkali-kali. Mahu sahaja dia menyuarakan kata hatinya. Dia tidak pernah membenci papanya itu. Malah
dia menyayanginya sepenuh hati. Namun entah kenapa lidahnya kelu dan dia hanya
mampu menangis dan terus menangis.
“Jangan tinggalkan Mishka papa,” lirih Harith
Mishka terus meraih tubuh Ikhwan ke dalam pelukannya. Saat pelukan mereka
bertemu, hatinya terasa begitu bahagia sekali. Tidak pernah seumur hidupnya
merasa sebahagia ini. Dipeluk dan disayangi oleh insan yang tersayang. Bencinya
kepada arwah mamanya semakin berkudis. Tetapi hatinya lebih benci kepada Badri
yang telah menghasut mamanya menjadi begitu.
“Papa sayang Misha.
Jadi anak yang baik ya sayang,” kata Ikhwan terus mencium pipi Harith Mishka.
Dia mahu melepaskan kerinduan yang sedang bertamu di hati. Dia sedar ini adalah
peluangnya yang terakhir sebelum dia dijemput untuk mengadap Yang Maha Kuasa.
Encik Hashim semakin
tersedu. Perasaannya saat ini terlalu sukar digambarkan. Antara sedih dan
bahagia. Sedih anak kesayangan akan pergi meninggalkannya. Namun ada rasa
bahagia yang bertamu di hatinya. Ikhwan pergi dalam keadaan dia sempat
bertaubat dengan dosa-dosa yang telah dilakukannya. Jauh di dasar hatinya Encik
Hashim mengucap syukur kerana Allah membuka hati Ikhwan untuk kembali
kepadaNya. Bagi Encik Hashim, cara kematian seseorang tidak penting, yang
penting adalah mati dalam keadaan beriman atau Husnul Khatimah.
Sekurang-kurangnya
dengan mengetahui waktu dan tiba hari kematian. Ikhwan mungkin sudah
melengkapkan dirinya dengan bekalan untuk dibawa ke akhirat kelak. Dalam
kepiluan itu bibir Encik Hashim masih mampu mengukirkan senyuman bahagia.
“Mana Badri?” tanya
Ikhwan sambil memandang sekeliling. Mana tahu Badri menyorok di mana-mana.
Encik Hashim hanya
tertunduk. Sungguh dia tidak sanggup untuk memberitahu semua kebenaran itu. Dia
tidak mahu melukakan hati dan perasaan Ikhwan. Manakala Harith Mishka hanya
menggigit bibir. Perasaan benci semakin bertunas di hatinya apabila nama lelaki
itu disebut.
“Dia ada kerja sikit,”
tipu Encik Hashim. Hakikat sebenar Badri sudah pergi meninggalkannya. Badri
yang terlalu ego dengan keputusannya. Merasakan hanya dirinya seorang yang baik
dan suci.
Ikhwan tertunduk lemah.
Tangan kanannya masih mengusap rambut Harith Mishka. Perasaannya terdera. Dia
tahu tatkala ini Badri masih tidak dapat memaafkan dirinya. Ah bagaimana dia
mahu mengadap Allah jikalau dosanya dengan Badri masih tidak dapat lelaki itu
ampunkan?
“Dia masih marahkan
Ikh?” tanya Ikhwan dalam sebak. Tiada perkataan yang dapat mengambarkan
perasaannya. Mungkin ini balasan Allah kerana kejahatan yang dilakukannya
selama ini. Di hujung hayatnya ini dia sangat memerlukan ucapan kemaafan daripada
Badri.
Harith Mishka tersenyum
sinis. Mahu sahaja dia memberitahu kebenaran itu. Sebenarnya Badri bukanlah
sesuci yang disangka papanya. Mahu sahaja dia memberitahu yang selama ini Badri
telah bermain cinta dengan mamanya tanpa pengetahuan papanya. Lelaki itu hanya
suci pada zahirnya tetapi batinnya penuh berkeladak dengan dosa yang telah
dilakukannya. Malah bagi Harith Mishka papanya yang tinggal di tempat hina sebegini
lebih suci daripada Badri! Tidak layak untuk papanya memohon ampun dan maaf
kepada lelaki itu! Harith Mishka mengetap bibirnya. Menahan emosi marah yang
semakin memuncak naik.
“Sabarlah Ikh.
Lambat-laun Bad pasti akan maafkan Ikh,” pujuk Encik Hashim.
Ikhwan hanya
mengangguk. Dia tahu bukan mudah untuk Badri mengampunkan dosa-dosa yang telah
dilakukannya melainkan hukuman tali gantung menjadi penebus dosanya. Itulah
neraca yang telah ditentukan di dunia ini.
“Ayah beritahu pada Bad
yang Ikh minta maaf. Minta ampun banyak-banyak. Ikh tahu Ikh banyak buat dosa
kepada dia,” tangis Ikhwan. Dia sudah tidak mampu menahan perasaannya.
Bercampur baur rasa kesal, salah, taubat di hati yang terpendam.
“Ikh menyesal dengan
apa yang telah Ikh lakukan. Ikh dah menzalimi Bad. Ya Allah, bersihkanlah dosa
aku ini,” tangis Ikhwan lagi. Kini dunia yang luas dirasakan sempit. Dada yang
bidang terasa sesak sekali.
Harith Mishka menangis
tersedu-sedu melihat keadaaan papanya itu. Dia berasa cukup simpati kepada
papanya. Papanya yang terlalu naif dalam menilai sebuah perhubungan. Kalaulah
papanya tahu yang selama ini Badrilah yang menjadi duri dalam daging dalam
rumah tangganya mahukah papanya itu memohon ampun maaf dari lelaki jahat itu?
“Ayah mohon ampun dan
maaf jikalau ada salah ayah sepanjang ayah membesarkan Ikh. Ayah nak Ikh tahu
yang ayah terlalu sayangkan Ikh. Walau
apa pun terjadi kepada Ikh, Ikh tetap anak ayah dunia dan akhirat.”
Harith Mishka hanya
mampu mendengar ucapan maaf dari Encik Hashim kepada Ikhwan buat kali terakhir.
Dia menyapu airmatanya dengan seribu perasaan yang mencengkam perasaannya.
“Ikh juga minta maaf
kepada ayah. Ikh sedar Ikh banyak buat dosa kepada ayah. Kepada Bad,” luah
Ikhwan dalam airmatanya.
“Walau apa pun ayah
maafkan Ikh dan ayah halalkan makan minum Ikh.
Cuma...”
Kata Encik Hashim
terhenti di situ. Diam dan sunyi. Seketika esak tangis Encik Hashim kedengaran
jelas walaupun cuba dilindungi kesedihannya itu.
“Cuma...Cuma apa ayah?”
selepas beberapa ketika, Ikhwan bersuara. Ikhwan juga tidak sanggup melihat
Encik Hashim menangis dan berasa serba salah pada dirinya yang banyak berdosa.
“Ayah minta maaf. Ayah
tidak dapat memujuk Badri. Badri seolah-olah ingin terus melupakan Ikh. Ayah
serba salah. Walau apa pun Ikh tetap anak ayah dunia dan akhirat. Ikh..jauh di
sudut hati ayah, tidak pernah sesekali ayah membenci Ikh,” kata Encik Hashim
tersedu-sedu. Cuba menenangkan dirinya namun tidak berjaya. Airmata yang mengalir
terus laju mengalir ke pipinya.
Ikhwan memahami
kedudukan ayahnya. Ayahnya tidak mempunyai hak untuk memaksa Badri.
“Tidak mengapalah ayah.
Ikh redha. Mungkin semua ini sudah tersurat buat Ikh. Mati di dalam keadaan
tidak diampunkan Bad. Cuma Ikh minta ayah jagalah anak Ikh dengan baik. Dialah
satu-satunya harta yang Ikh tinggalkan kepada ayah.”
Pantas Encik Hashim
memeluk Ikhwan lagi. Begitu juga dengan Harith Mishka. Buat seketika mereka bertiga
bertangisan di situ sehinggalah mereka dikejutkan oleh suara pegawai penjara.
Mereka tahu masa yang diberikan untuk mereka sudah tamat.
“Maaf, masa sudah
tamat,” kata salah seorang pegawai penjara yang ada di situ.
Dalam gigil dan tidak
mengerti, Harith Mishka diam. Dia ingin merayu supaya dilanjutkan masanya, tapi
lidahnya kelu. Dia ingin meratap, tapi hatinya hampa. Sudahnya dia hanya diam
dan merenung papanya yang telah dibawa oleh dua orang pegawai penjara itu.
Namun Harith Mishka
tersedar. Kini dia baru sedar sejak dari tadi lagi dia tidak pernah menyuarakan
rasa hatinya kepada papanya. Harith Mishka menangis. Dia tahu kali ini adalah
peluang terakhirnya untuk meluahkan segalanya. Dia tidak mahu menyesal seumur
hidup.
“Papa!” jerit Harith
Mishka dalam tangisannya. Dia terus memandang langkah Badri yang terus menjadi
longlai.
“Mishka sayang papa!
Mishka sayang sangat sangat dengan papa! Papa adalah papa Mishka yang terbaik
di dunia dan akhirat!” kata Harith Mishka saat Ikhwan berpaling memandangnya.
Ikhwan menjadi sebak.
Dia rasa ingin menangis, menjerit dan ketawa sekuat hati. Tersentuh hatinya
dengan bicara tulus anaknya itu tetapi pada masa yang sama hatinya merintih
dengan takdir yang telah tersurat untuknya.
“Papa sayangkan Mishka.
Terlalu sayangkan Mishka. Tolong jangan bencikan papa,” kata Ikhwan dalam
tangisannya. Saat ini mahu sahaja dia memeluk tubuh anak kesayangannya itu
namun dia tidak berdaya. Tangannya yang sudah bergari dan kawalan ketat daripada
dua orang pegawai penjara tidak memungkinkan untuk dia berbuat begitu. Malah
tubuhnya terus ditarik oleh mereka sebaik sahaja dia menyuarakan kata hatinya.
Tiada lagi kata yang
mampu mengungkapkan kata hati Harith Mishka saat ini. Takut, resah, bersalah,
kasihan, sayang segalanya berbalam, berkecamuk, merusuk setiap inci dinding
hati. Dadanya kian sempit. Nafasnya tersekat-sekat. Sukar untuk Harith Mishka
terima yang esok papanya bakal menjadi jenazah. Harith Mishka hanya mampu
menangis sambil memeluk tubuh atuknya yang sedang tersedu di sisinya.
Sebelum wajah insan
tersayang hilang dari pandangan, Ikhwan berpaling sekali lagi. Wajah Encik
Hashim ditenungnya lama. Kemudian beralih pula kepada Harith Mishka yang sudah
basah airmatanya.
“Ayah, Ikhwan sayang
ayah. Terima kasih kerana sayangkan Ikh selama ini. Mishka, jadi anak yang
baik. Bahagiakan hati atuk. Mishka, jangan benci atau marah kepada papa,”
rintihnya dalam tangisannya.
Subscribe to:
Posts (Atom)