Ketika ajal semakin
menghimpit, tiada siapa yang mampu melelapkan mata. Masa yang sekelumit akan dipergunakan
sepenuhnya. Setiap saat yang berbaki Ikhwan gunakan dengan
sebaik-baiknya.
Menggigil, mengeletar, gelisah, perit, sebak,
takut menjadi sapaannya. Terjahan demi terjahan hebat terus-terusan mengganas
di hatinya. Tubuhnya menggigil tanpa diundang. Mengeletar dengan bayangan yang
meracau. Ya Allah, sudahkah aku bersedia? Benarkah aku sudah bersedia? Taubat
aku diterimakah? Sesungguhnya aku terlalu banyak berdosa. Di dalam penjara
abadi Ikhwan terus menangisi dirinya.
Ikhwan masih
terjelupuk di atas tikar sejadah. Di saat-saat akhir hayatnya hanya ini yang
mampu dilakukannya. Dia tidak henti-henti meminta keampunan, keredhaan dan
kematian yang singkat daripada Allah. Jauh di sudut hatinya dia mengharapkan
agar rohnya terpilih mendapat tempat di sisi Allah. Lantas menerima rahmat dan
ehsan Allah. Ya Allah layakkah aku menerima semua ini sedangkan dosa aku
sebesar dunia?
Sayup kedengaran
azan subuh dilaungkan dari masjid yang berdekatan. Tubuh Ikhwan menggigil entah
kenapa. Jiwanya semakin kemaruk. Hatinya menjadi semakin kalut. Dia tahu saat
untuk dia kembali kepada Allah semakin hampir. Dia rasa mahu menjerit, meraung
dengan suratan takdir yang telah tersurat kepadanya. Bayangan wajah ayahnya dan
Harith Mishka mula terbayang di ruang matanya. Dan air mata Ikhwan semakin laju
mengalir. Dia menangis, menangisi nasib yang telah tersurat buatnya.
Ikhwan menarik
nafasnya dalam-dalam. Dia tahu saat ini dia harus kuat. Mesti tabah. Hatinya
mesti tegap untuk menggagahi mengangkat takbiratul ihram buat kali yang
terakhir. Takbir terakhir! Tangisan Ikhwan semakin kuat. Kesayuan semakin
mengocak jiwanya. Kalaulah dia tidak melakukan kesilapan ini sudah pastinya
nasibnya lebih baik daripada ini.
Namun Ikhwan
gagahkan dirinya untuk berdiri. Dia mahu menyempurnakan subuh terakhirnya
dengan penuh kusyuk. Walau lututnya dirasainya semakin longgar. Dirinya pula
terasa goyah. Subuh terakhir dirasakan cukup hening, bening dan dingin sekali. Dia
cuba sedaya upaya untuk kusyuk, menyerahkan seluruh raganya kepada Yang Esa.
“Assalamualaikum
Warah Matullah. Assalamualaikum Warah Matullah.”
Tubuh Ikhwan
mengeletar hebat tatkala selesai salam diberikan. Dia sedar kini dia menantikan
salam daripada pegawai penjara pula. Tinggal berbaki beberapa detik sahaja
sebelum malaikat maut datang menjemputnya. Debaran di dada Ikhwan semakin
berkocak laju. Malah degupan jantungnya di luar kebiasaannya. Tubuh badannya
terasa seram sejuk. Jiwanya terasa kosong. Gelap!
Dengan tangan
menggigil, Ikhwan mengangkat kedua-dua telapak tangannya. Dia sedar saat-saat
yang berbaki ini tidak boleh dipersiakan. Dia mahu memohon ketenangan yang
abadi. Memohon agar rohnya dipermudahkan tatkala bercerai dari jasadnya nanti!
Allah. Allah. Allah.
Bibir Ikhwan basah dengan zikir kepada yang Maha Kuasa. Dia sedar saat ini
hanya Allah sebaik-baik sandaran untuknya. Dia mahu pergi dalam keadaan yang
bersih. Suci daripada dosa yang terpalit di tubuhnya. Dan dia terus menyerahkan
dirinya kepada Allah swt.
Tap! Tap! Tap!
Derap tapak kaki
terasa semakin menghampiri. Serentak dengan itu, tubuh Ikhwan mengeletar hebat
apabila mendengarkan derap kaki itu. Lebih hebat daripada tadi. Langkah mereka
dirasakan begitu kejap, begitu pantas. Malah semakin memekakkan telinganya.
Ikhwan semakin tidak keruan. Resahnya semakin menjadi-jadi. Dia tidak tahu mahu
berbuat apa. Mahu melarikan diri tetapi kakinya longlai entah kenapa. Ya Allah
ampunkan aku. Ikhwan terus menangis.
“Assalamualaikum.”
Sapaan daripada pegawai penjara
membuatkan tubuh Ikhwan terhenjuk sedikit. Badannnya menggigil di luar
kebiasaannya. Dadanya sesak. Saat itu dia rasa mahu menangis dan meraung sekuat
hati.
“Masa sudah sampai dan maafkan saya,” kata pegawai
penjara itu lagi.
Bahu Ikhwan
tersentak lagi. Darahnya berderau mengalir tanpa keruan. Jantungnya seolah-olah
terhenti dengan tiba-tiba. Ya Allah, bagaimana harus aku hadapi detik ini?
Sesungguhnya aku begitu takut untuk menghadapi saat kematian ku ini.
Tabahkanlah hati dan jiwaku untuk menghadapi saat getir ini. Semadikanlah roh
aku nanti dalam kalangan roh-roh yang mendapat rahmat-Mu.
“Aku sudah rogol dia! Kau masih nak
ke ‘bekas’ aku?”
Suara itu bagaikan bergema di
telinganya. Kenangan pahit itu mula terbayang-bayang diruang ingatannya.
“Aku benci kau! Sampai mati pun aku
tak akan maafkan kau!”
Jeritan Safiya kepadanya setelah dia
merampas mahkota gadis itu benar-benar menghantuinya. Nafas Ikhwan terasa
sesak. Dadanya terasa mahu pecah. Safiya, maafkan abang.
“Ini semua salah
ayahlah! Terlalu manjakan sangat anak angkat ayah! Tengok sekarang apa yang dia
telah buat kepada kita? Kita beri susu dia balas tuba!”
Ikhwan menekup
wajahnya. Tangisannya semakin menggila. Kesalnya semakin dalam. Kalaulah dia
tidak melakukan semua kesilapan ini pastinya hidupnya tidak berakhir sebegini.
Badri ampunkan aku.
Tubuh Ikhwan menggigil hebat tatkala
pagar penjara dibuka. Bayangan wajah Badri dan Safiya hilang serta merta. Tatkala
ini dia sudah tidak mampu berdiri lagi. Tubuhnya lemah. Selemah-lemahnya. Wajah
pegawai penjara sudah tidak berani
dipandangnya. Malah salam yang dihulurkan kepadanya juga sudah tidak terdaya
untuknya menyambutnya.
“Banyakkan bersabar dan bertaubat. Sekarang mengucaplah di
sepanjang perjalanan ini,” kata pegawai penjara.
Ikhwan akur. Terus sahaja dia
mengucapkan kalimah agung itu. Saat ini dia hanya mampu menyerahkan semuanya
kepada Allah.
“Assahadualla ila
hailallah wa asshaduan namuhammadarasullah.”
Sebaik Ikhwan habis
mengucap terus sahaja kepalanya diserkup dengan kain karung hitam. Tatkala itu
tidak tergambar perasaan Ikhwan. Dia takut, gelisah dan tidak keruan. Kakinya
sudah longlai, lututnya longgar. Badannya menggigil. Malah bergoncang kuat.
Allah.
Allah. Allah. Seluruh anggotanya mengeletar menantikan hukuman gantung. Setiap
langkah yang diambil terasa sungguh menekan.
Badannya yang gagah sudah tidak ampuh lagi berdiri. Segala kekuatan hilang
entah ke mana. Tidak berdaya, lemah dan luluh segalanya.
“Ayah nak Ikh tahu yang
ayah terlalu sayangkan Ikh. Walau apa
pun terjadi kepada Ikh, Ikh tetap anak ayah dunia dan akhirat.”
Kali ini baru dia sedar
betapa bertuahnya dirinya. Walaupun dia tidak mengenali siapa ibu bapanya yang
sebenar tetapi dia dibesarkan oleh keluarga angkat yang sangat menyayanginya.
Tetapi dia yang tidak pandai bersyukur. Tidak pernah mahu membalas budi yang
sudah ditaburkan kepadanya sebaliknya dia telah menyapu arang ke muka mereka
yang telah berbakti kepadanya.
“Mishka sayang papa!
Mishka sayang sangat sangat dekat papa! Papa adalah papa Mishka yang terbaik di
dunia dan akhirat!”
Ikhwan menangis lagi.
Alangkah rugi dirinya mempersiakan nikmat yang Allah berikan kepadanya dahulu.
Kini dia hanya mampu menyesal dan meratap dengan kesilapan yang telah dia
lakukan. Semua nikmat itu akan ditinggalkan tidak lama lagi!
“Assahadualla ila hailallah wa asshaduan
namuhammadarasullah.”
Sepanjang
perjalanannya hanya kalimah syahadah yang meniti di bibirnya. Wajah-wajah insan
tersayang tidak lepas dari ingatannya.
Tidak lama lagi dia akan meninggalkan mereka semua. Tiada siapa yang
mampu mengubah takdirnya. Dia hanya mampu berserah kepada takdir Allah SWT.
“Assahadualla ila
hailallah wa asshaduan namuhammadarasullah. Ya Allah matikan aku dalam islam.
Matikan aku dalam iman.”
No comments:
Post a Comment