Tuesday 3 May 2016

DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 9

Dalam menongkah arus kehidupan di dunia yang serba mencabar, acap benar ujian bertandang tanpa diundang. Untuk itu, kita perlu sentiasa bersedia. Iman kalau sekadar setebal kulit bawang mana mungkin dapat digapai walau segengam tabah. Tabahkah Safiya menghadapi kemelut ini? Sepasang matanya tepat memandang ke arah Badri yang masih mengeluh mendengar ceritanya.
"Jadi polis datang ambil dia di sini?” tanya Badri masih tidak percaya.
"Waktu tu hanya aku dengan dia je ada di rumah. Tak sangka rupanya selama ini dia simpan dadah di dalam rumah," terang Safiya. Jauh di dasar hati dia akur yang langit tidak selalunya cerah. Begitu juga dengan hidup yang tidak selalunya indah.
"Nasib baik polis tak cekup kau sekali," kata Badri.
“Katanya polis dah lama ikut dia dan polis memang dah ada bukti yang kukuh untuk mendakwa dia,” cerita Safiya lagi.
Badri hanya mengangguk mendengarkan cerita Safiya itu. Dia juga turut mendengar cerita yang sama daripada ayahnya.
“Dia memang selalu sangat menyusahkan orang! Kau tahu tak sekarang ini ayah aku sibuk nak buat loan semata-mata untuk membayar kos guaman untuk dia. Ishk kalaulah si Ikhwan berdebah itu ada di depan aku memang tahulah nasib dia!” marah Badri tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Semenjak penangkapan Ikhwan hidup keluarganya menjadi kacau-bilau. Semuanya serba tidak kena. Ditambah lagi dengan umpat keji jiran-jiran yang suka menambah garam pada luka yang sedang berdarah.
Safiya hanya membisu. Dia sebenarnya sudah tidak ambil kisah tentang suaminya itu. Malah dia lebih suka jikalau suaminya terus meringkuk di penjara. Tidaklah hatinya terdera dengan perangai Ikhwan yang sering menduga hati dan perasaannya.
“Kau tak pergi melawat dia?” tanya Badri apabila melihat Safiya yang hanya membisu sejak dari tadi.
“Buat apa?” tanya Safiya sambil mencebekkan bibirnya. Benci benar dia dengan pertanyaan Badri itu. Selama ini bukan Badri tidak tahu dengan perasaannya. Walaupun dirinya milik Ikhwan namun hatinya masih milik Badri.
"Diakan suami kau," kata Badri. Bibirnya dicebekkan. Seolah-olah memperlekehkan gelaran yang dimiliki oleh Ikhwan itu.
“Tak kan kau tak tahu macam mana perasaan aku selama ini?” kata Safiya jujur sekali.
Badri hanya tersengih apabila mendengarkan pengakuan Safiya itu. Pengakuan yang sudah lama diketahuinya. Malah setelah dia menamatkan pengajiannya di luar negara mereka mula menjalinkan hubungan cinta secara senyap-senyap. Apabila perkara begini terjadi kepada Ikhwan, makin melompat kesukaanlah mereka berdua kerana cinta suci mereka tidak ada penghalangnya lagi.
“Jadi kau macamana?” tanya Badri.
“Aku mahu bina hidup baru. Aku sudah tak mahu ingat lagi perkara sedih ini lagi,” kata Safiya.
Badri tersenyum. Dia kemudiannya mengambil jari-jemari Safiya lalu disatukan dengan jari-jemarinya. Selama ini perbuatan sebegini hanya dilakukannya di luar rumah. Namun kini setelah Ikhwan dipenjarakan dia sudah berani memperlakukan Safiya sebegitu dalam rumah milik Ikhwan sendiri.
“Kau minta fasakh daripada Ikhwan,” kata Badri.
Safiya mengangguk. Memang perkara sebegitu yang diingininya daripada Ikhwan. Untuk apa perkahwinan ini dipertahankan sedangkan Ikhwan akan menghabiskan seluruh hidupnya di penjara.
“Aku akan tolong kau dapatkan peguam terbaik,” kata Badri sambil terus meramas jari-jemari Safiya yang berada dalam gengagamannya. Hatinya berbunga bahagia. Akhirnya wanita yang amat dicintainya bakal menjadi miliknya selamanya.
“Terima kasih, Bad. Kalau kau tak ada aku tak tahu bagaimana mahu meneruskan hidup aku lagi,” kata Safiya cukup terharu. Kalaulah Ikhwan tidak datang membuat onar, pastinya tatkala ini dia sedang menikmati kebahagian yang tidak terperi bersama dengan Badri.
“Demi kau aku sanggup lakukan apa sahaja, Safi. Tapi macam mana dengan anak haram tu?” tanya Badri sambil mendenggus kasar.
“Apa yang kau nak aku lakukan?” tanya Safiya. Dia tahu semestinya Badri tidak akan suka dengan zuriat musuhnya itu. Tidak mungkin lelaki itu begitu suci hatinya mahu membela zuriat itu.
“Aku tak kisah apa yang kau mahu lakukan kepada dia tetapi aku tak nak tengok muka dia langsung sepanjang hidup aku ini,” kata Badri.
Safiya memandang Badri dengan kerutan di dahinya. Sebenarnya dia masih belum jelas apa yang Badri ingin dia lakukan. Namun demi sebuah kebahagian dia rela melakukannya. Walaupun terpaksa mengorbankan zuriat yang pernah lahir daripada rahimnya sendiri.
“Tinggalkan dia di mana-mana sahaja asalkan jangan di rumah ayah aku atau keluarga kau! Aku tak nak tengok muka dia lagi. Kau tahu bukan betapa aku benci kepada dia? Lagipun buat apa kau menjaga orang yang kau sendiri benci?” kata Badri. Dia mengetap bibirnya. Ah senang benar baran dia naik apabila mengenangkan satu-satunya zuriat Ikhwan itu.
Safiya tunduk. Bicara Badri memang ada benarnya. Buat apa dia menjaga anak yang tidak pernah disayanginya? Malah dia hampir gila memendam kebencian kepada zuriat yang tidak pernah diinginkan itu.
"Lepas kau serahkan anak haram itu kau ikut aku," kata Badri.
Safiya tersentak. Pantas sahaja dia memandang kepada Badri. Bicara itu sukar untuk dimengertikannya. Namun ada rasa bahagia dalam hatinya yang suram.
" Buat apa?" tanya Safiya.
Badri tersenyum. Tangan Safiya dikucupnya penuh kasih.
"Jadi isteri aku. Aku nak jaga kau seumur hidupku."
Tanpa disedari ada cecair menitis di pipi. Hangat! Rasa sebak mula menyelubungi diri. Sebak maha amat. Sedih dan terharu! Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang tahu apa yang terbuku di hati Safiya kini.
“Kenapa kau terlalu baik pada aku, Badri? Kenapa?” luah Safiya perlahan. Airmata yang kian galak mengalir disekanya kasar. Sebenarnya dia sudah penat menangis. Menangisi hidupnya yang sentiasa diselaputi awan hitam.
Because I love you. I really love you,” kata Badri tulus.
Terharu Safiya mendengarkan luahan tulus lelaki itu. Ya Allah, setelah apa yang terjadi, kenapa Kau pertemukan aku dengan dia lagi? Kenapa Kau perlu hadirkan dia dalam hidup aku lagi? Namun akhirnya bibirnya mengukir senyuman lebar. Rupanya cinta mereka masih utuh seperti dahulu.
“I love you too,” ucap Safiya penuh syahdu.
Tanpa disedari sesiapa ada sepasang mata dan telinga yang setia mendengar sejak awal lagi. Airmatanya tumpah. Luluh hatinya apabila mengenangkan nasib dirinya.
"Aku setuju. Kita kahwin," tambah Safiya. Suaranya kedengaran begitu ceria sekali.
Hati Harith Mishka tersentak. Bukan kerana dendam tetapi kerana rasa malu dan muak dengan perbuataan sumbang mamanya itu. Rasa kasih pada mamanya tiba-tiba hilang entah ke mana. Tetapi hanya seketika. Aneh benar rasa hatinya. Dia tidak mampu membenci mamanya.
"Kita serahkan anak haram itu di rumah kebajikan."
"Ya kita serahkan anak haram itu di rumah kebajikan."
Suara penuh riang itu terus tergiang-giang di telinga Harith Mishka. Lututnya goyah. Kini Harith Mishka sedar siapa dirinya di mata mamanya. Betapa hinanya dirinya sehingga tega benar mamanya meninggalkan dirinya sendirian. Kenapa mama tidak pernah sayangkan Mishka?
"Mama, Mishka sayang mama!!!"
Mahu sahaja dia menjerit di telinga mamanya. Biar mamanya tahu betapa dia begitu menyayangi insan itu sepenuh hatinya.
"Jangan tinggalkam Mishka mama. Mishka sayang mama. Sayang sangat-sangat."
Air mata laju mengalir ke pipinya. Rasa takut dan pelbagai perasaan aneh lain menerpa dalam dirinya. Ya Allah bagaimana hidupku kelak setelah ditinggalkan mama?

No comments:

Post a Comment