Tuesday 3 May 2016

DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 8

Safiya benci kepadanya. Benar-benar benci. Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu, yang seharusnya amat disayanginya, satu-satunya zuriat yang dimilikinya, malangnya Safiya membencinya sebenci bencinya.
Setiap hari Safiya tidak memperdulikan kehadirannya di sisi. Baginya memiliki anak itu adalah satu kesilapan besar. Kehadirannya benar-benar telah merobek hati dan perasaannya. Benar-benar memalukannya.
Harith Mishka. Nama yang cukup indah. Namun keindahan itu tidak pernah mengubat kelukaan yang dalam di hati Safiya. Setiap hari ada sahaja keletah Harith Mishka yang menjelek hatinya. Mengomel panjang lebar. Tentang itulah, inilah. Semuanya dilakukan untuk meraih perhatian Safiya. Namun semuanya sia-sia. Membuang tenaganya sahaja kerana Safiya sama sekali tidak menghiraukannya.
Entah apa yang merasuk Safiya hingga Safiya benar-benar membencinya. Dia anak kandungnya. Anak yang memerlukan perhatian dan kasih sayangnya. Tetapi tidak mungkin dia dapat menerima zuriat itu. Zuriat yang lahir daripada satu penganiayaan. Sesungguhnya dia tidak pernah menginginkan zuriat itu berada di rahimnya. Ya Allah, kenapa Kau masih membiarkan anak ini masih terus bernafas di bumiMu?
“Mama! Mama!” jerit Harith Mishka sambil berlari mendapatkan Safiya.
“Kau nak apa anak haram?” marah Safiya sambil menjegilkan matanya. Ya hanya gelaran itu sahaja yang layak untuk anak seperti itu.
Senyuman Harith Mishka mati. Dia bagaikan trauma dengan gelaran anak haram. Seakan-akan tergiang-giang kalimah itu di cuping telinganya. Lebih menyakitkan apabila ibu kandungnya juga sanggup menggelarnya dengan perkataan itu. Ya Allah, sakitnya hati ini.
“Kalau kau tak kacau aku dalam sehari boleh tak? Memang dasar anak haram!”
Harith Mishka hanya tunduk, tidak tahu mahu membalas. Selebihnya dia sendiri malu dengan status dirinya. Anak haram! Gelaran itu memang sebati di dalam dirinya. Di sekolah, di rumah, semua orang akan mencacinya dengan gelaran itu. Walaupun baru berusia tujuh tahun, hatinya tetap terluka dengan kenyataan ini.
"Pergi! Pergi kau anak haram! Aku benci kau!"
Aku benci kau! Aku benci kau! Kata-kata itu tergiang-giang di telinga Harith Mishka. Dia hanya mampu menadah telinga. Menerima segala kata-kata kesat mamanya. Pedih. Pedih rasa hati tidak terhingga.
"Mama...Mishka..." tergagap-gagap Harith Mishka berkata. Bicaranya tergantung setakat itu sahaja apabila melihat mata mamanya yang membulat memandangnya. Dia tahu kalau dia meneruskan bicaranya pastinya dia akan menerima habuannya. Habuan yang sudah lali menjadi santapan tubuhnya.
"Kau tak faham bahasa ke Mishka? Aku kata pergi! Pergi kau dari sini! Memang dasar anak haram!" Safiya menjerit lagi. Tapi sedarkah Safiya bahawa semua yang berlaku ini bukan salah anaknya?
Harith Mishka tertunduk lesu. Dia tidak faham mengapa mamanya terlalu membencinya. Namun pelik sekali perasaan ini. Mengapa dia tidak bisa membenci mamanya yang sering memarahinya? Malah perasaan rindu untuk dipeluk oleh seorang ibu yang rela berjuang antara hidup dan matinya kerana melahirkan dirinya semakin dalam.
"Sebab kau masa depan aku rosak! Hancur berkecai!"
Harith Mishka terkesima. Bicara ibunya langsung tidak difahaminya. Apa yang telah dia lakukan sampai dia sudah menghancurkan masa depan ibunya? Ingin sahaja dia berkata yang dia tidak pernah berniat untuk berbuat begitu. Malah tidak ingin sekalipun dia lahir di dunia ini jikalau untuk dibenci oleh wanita yang telah melahirkannya. Entahlah. Harith Mishka masih terlalu kecil untuk memahaminya.
Jauh di dasar hatinya, dia begitu menyayangi mamanya. Dia ingin bertanya pada mamanya, apakah kesalahan yang telah dilakukannya. Jika dirinya yang bersalah, dia tidak akan teragak-agak untuk memperbaikinya. Atau apa yang mamanya inginkan darinya agar dirinya dikasihi sepenuh hati. Walau teruk didera dan disakiti, kasih Harith Mishka pada mamanya tidak pernah surut. Tidak pernah ada secalit dendam pun dalam hatinya buat insan yang amat disayanginya itu. Dan Harith Mishka sungguh hairan dengan dirinya, kenapa dirinya bermati-matian menyayangi wanita itu?
"Kau tahu Mishka, bila aku tengok muka kau, aku teringat lelaki tak guna itu! Sebab itu aku benci kau tahu tak?" marah Safiya lagi. Dan tanpa dipinta airmatanya mengalir laju. Hatinya merintih pedih. Dia tidak tahu bagaimana nasib Ikhwan yang sedang meringkuk di penjara. Semenjak lelaki itu dipenjarakan dia tidak pernah sudi melawat suaminya di sana. Ya Allah, peritnya hidup ini. Kenapa Kau jodohkan lelaki sejahat itu kepada ku?
"Papa? Mama maksudkan papa ke?" tanya Harith Mishka.
Safiya hanya tertunduk sambil mengelus rambutnya kasar. Hatinya meruap marah apabila Harith Mishka masih tidak faham akan kehendaknya. Dia mahu anak kecil itu pergi tetapi sebaliknya semakin lama pula anak kecil itu berada di hadapannya.
“Kenapa papa sudah lama tak balik rumah? Betul ke papa masuk penjara?” tanya Harith Mishka. Dia memberanikan dirinya untuk bertanya perkara itu. Sudah lama persoalan ini bermain di mindanya.
"Kenapa kau sebut nama jantan tak guna itu lagi?" marah Safiya. Matanya membulat memandang Harith Mishka. Seolah-olah mahu membahamnya hidup-hidup. Harith Mishka ketakutan. Terus sahaja dia menudukkan wajahnya.
“Kawan-kawan Mishka kata papa orang jahat. Dia jual dadah. Sebab itu papa masuk penjara. Betul ke mama?” tanya Harith Mishka lagi. Wajah garang mamanya tidak berani dipandangnya. Namun dia tetap mahu menangih satu jawapan yang pasti daripada mamanya.
“Memang dia jahat! Kau baru tahu ke?” kata Safiya. Dia mengetap bibirnya. Ingin menahan rasa sedih yang sedang mencengkam di jiwanya.
Harith Mishka terkesima. Bicara mamanya itu benar-benar meruntun hatinya. Malah dia tidak dapat menerima apa yang telah dibicarakan mamanya itu. Dia terlalu hormat dan sayangkan papanya! Tidak mungkin papa yang diagungkannya selama ini adalah seorang yang jahat!
“Mama tipu! Mama tipu!” jerit Harith Mishka. Wajah mamanya dipandang dengan penuh rasa tidak puas hati.
“Kurang ajar! Berani kau kata aku begitu!” marah Safiya pantas bangun daripada tempat duduknya.
Harith Mishka menunduk. Wajah menyinga Safiya benar-benar menakutkan hatinya. Dia mengetap bibirnya. Dia tahu perbuatannya itu sudah menimbulkan kemarahan yang bukan sedikit dalam hati mamanya.
“Kau kata aku menipu ya?” kata Safiya yang sudah berada di hadapannya.
Harith Mishka mengetap bibir. Dadanya berdebar dengan tiba-tiba. Pandangan dan gerak laku Safiya begitu aneh sekali. Dia tahu pastinya dia bakal mendapat habuan daripada bicara celuparnya sebentar tadi.
Belum sempat Harith Mishka berfikir apa-apa, Safiya telah menarik rambut Harith Mishka. Tarikan yang kuat itu menyebabkan Harith Mishka menyerigai kesakitan.
“Sakit ma..” kata Harith Mishka cuba meraih simpati mamanya.
“Hati aku lagi sakit bila aku tengok kau asyik membela jantan tak guna itu!” marah Safiya. Kemudian Safiya menolak kepala Harith Mishka ke lututnya. Seterusnya tanpa perasaan belas dihentakkan kepala Harith Mishka ke arah lututnya. Spontan sahaja Harith Mishka menjerit kerana hentakan yang kuat itu cukup menyakitkan. Malah menyebabkan hidungnya mengalirkan darah pekat merah. Titis demi titis darah itu jatuh ke lutut Safiya. Sungguh Harith Mishka kaget dan berasa takut. Mengapa mamanya begitu tega memperlakukan dirinya sebegitu?
Aneh sekali apabila Harith Mishka melihat mamanya hanya sekadar tersenyum sinis kepadanya. Kemudian wanita itu terus berlalu tanpa sudi menanyakan sama ada dirinya sedang kesakitan atau tidak. Ya Allah, benarkah wanita ini adalah ibu kandungnya? Harith Mishka hanya mampu menangis. Menangis dan terus menangis dengan ketentuan takdir yang telah tersurat untuknya.

No comments:

Post a Comment