Tuesday 3 May 2016

DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 6

“Mishka salam Pak Su,” kata Encik Hashim kepada cucunya yang berusia enam tahun. Kedatangan Ikhwan dan ahli keluarganya disambut dengan senyuman lebar.
“Buat apa nak salam dengan aku? Pergi kau jauh-jauh! Aku tak nak tangan aku kotor menyentuh anak haram macam kau!” marah Badri tanpa sudi memandang kepada Harith Mishka yang sedang menghulurkan tangan kepadanya.
“Mishka pergi main dengan mama!” tegur Ikhwan. Harith Mishka yang tidak tahu apa-apa terus mendapatkan ibunya yang sudah membawa diri ke ruang dapur. Manakala Ikhwan pula terus melabuhkan punggungnya di sofa bersama dengan Encik Hashim dan Badri. Wajah cemburut Badri dipandangnya dengan sengihan sinis. Dia tahu Badri masih tidak dapat melupakan peristiwa lama.
“Ayah, ni ada duit sedikit untuk belanja ayah bulan ni,” kata Ikhwan. Dia menghulurkan beberapa keping wang kertas seratus ringgit.
“Banyak duit ini, Ikh,” tegur Encik Hashim. Dia begitu terkejut dengan jumlah yang diberikan oleh Ikhwan itu. Serba salah dia mahu mengambilnya. Lagipun dia tahu perangai Ikhwan yang tidak pernah peduli antara dosa dan pahala itu.
“Kau ambil mana duit sebanyak ni? Kau mencuri ke?” tuduh Badri. Dia memandang penuh curiga wang yang dihulurkan oleh Ikhwan itu. Tidak mungkin Ikhwan yang berjawatan rendah itu mampu memberikan wang sebanyak itu kepada ayahnya.
“Betul ke duit curi ini, Ikh?” tanya Encik Hashim penuh curiga. Dadanya sesak dengan tanggapannya itu.
“Eh mana ada, ayah. Ini duit halal. Duit dari titik peluh Ikh sendiri,” kata Ikhwan cuba membela dirinya. 
“Betul ke? Kalau setakat jawatan rendah macam kau ni mana mungkin kau dapat bagi duit sebanyak itu kepada ayah,” sangkal Badri.
“Eh lebih baik berjawatan rendah daripada keluar daripada Universiti tapi sampai sekarang tanam anggur!” perli Ikhwan sambil mencebekkan mulutnya.
Mata Badri membeliak memandang Ikhwan. Hatinya mendidih mendengarkan perlian pedas daripada Ikhwan itu. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia mencilikan mulut Ikhwan yang tiada insuran itu! Sesedap hatinya sahaja memperlinya sebegitu!
“Nasib baiklah Safi kahwin dengan aku. Kalau dengan kau pastinya dia sudah kebulur saat ini,” tambah Ikhwan lagi. Sengaja mahu memarakkan lagi api yang sedang marak.
“Kau!...”
“Sudah! Sudah! Jangan bergaduh lagi,” kata Encik Hashim terus memotong bicara Badri itu. Dia tidak mahu pergaduhan antara kedua-dua anaknya itu berpanjangan.
“Dari mana Ikh dapat duit sebanyak ini?” tanya Encik Hashim. Sebenarnya dia masih belum berpuas hati selagi dia tidak mendapat jawapan yang sejelas-jelasnya daripada anaknya itu. Dia bimbang jikalau Ikhwan tersalah pertimbangan.
“Ikh buat direct selling. Alhamdulilah sejak kebelakangan ini banyak pula downline yang masuk. Itu sebablah Ikh dapat rezeki lebih sikit. Itu yang boleh bagi duit pada ayah,” terang Ikhwan.
Encik Hashim mengurut dada apabila mendengarkan penerangan Ikhwan itu. Senang hatinya. Sekurang-kurangnya dia tahu Ikhwan melakukan kerja yang halal.
“Eh boleh percaya ke? Entah-entah kau jual dadah,” sangkal Badri.
“Eh mulut kau jaga sikit! Jangan macam longkang pecah!” marah Ikhwan yang ternyata berang dengan sangkaan Badri itu. Wajahnya merah padam.
“Sudah! Sudah! Kamu berdua ni kalau tak bergaduh memang tak sah!” marah Encik Badri. Dia mengurut dadanya. Terasa sesak sekali. Sampai bilakah harus dia menyaksikan pergaduhan antara kedua-dua anaknya ini?
Encik Hashim duduk berteleku di atas sejadah. Agak lama dia duduk di situ sambil merenung jauh memikirkan peragai anak-anak yang tidak pernah menenangkan hati dan perasaannya. Dan akhirnya dia mengeluh sendiri.
Perangai anak-anaknya benar-benar membuatkan Encik Hashim sedih. Sungguh dia begitu rindukan gelak ketawa menghiasi rumah kecilnya ini. Kenapa perkara sebegini boleh berlaku?
“Ikh..Bad...ayah sayang kamu berdua,” rintih Encik Hashim.
Encik Hashim menarik nafasnya dalam-dalam. Ingin melegakan perasaan sebak yang sedang bermukim. Kemudian dengan penuh kerendahan hati Encik Hashim menadah tangan, bermohon pertolongan kepada Yang Maha Esa.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, hanya Engkau yang memahami perasaanku ketika ini. Aku lemah Ya Allah..aku tidak mampu untuk berdiri tanpa izin dari-Mu. Tolonglah aku, hambaMu yang hina ini. bawalah aku ke jalan keluar dari segala masalah yang sedang bergelut dalam hidupku ini. Pinjamlah sedikit kekuatan untukku tabah menghadapi segalanya. Tebalkanlah benteng kesabaranku Ya Allah. Kembalikanlah keharmonian dalam rumah tanggaku ini. Lembutkanlah hati anak-anakku untuk memaafi antara satu sama lain.”
Esak tangis Encik Hashim semakin kuat kedengaran. Dia tersedu-sedu mengadu pada Yang Maha Esa. Hanya Allah sebaik-baik sandaran untuknya.
Telefon bimbit yang bernyanyi nyaring menganggu konsentrasi Encik Hashim. Lantas dia mengaminkan doa sebelum menyapu kedua-dua tapak tangannya ke muka. Telefon bimbit yang masih bernyanyi nyaring diambil lalu di angkatnya.
“Hello, ini Encik Hashimkah? Waris kepada Ikhwan bin Abdullah?"
Pertanyaan daripada pemanggil itu membuatkan hati Encik Hashim berdebar sendirian. Bagaikan ada sesuatu yang tidak enak sedang berlaku. Allah! Allah! Hatinya menyeru nama Tuhan Yang Satu berulang kali.
“Ya kenapa?” tanya Encik Hashim dalam debaran di dada.
“Saya Inspektor Zulhaimi. Anak encik, Ikhwan bin Abdullah telah di tahan kerana kesalahan mengedar dadah,” kata Inspektor Zulhaimi lancar sekali.
Bicara Inspektor Zulhaimi itu bagaikan merentap nyawanya. Encik Hashim terkesima. Lama dia membatu di situ tanpa tahu apa yang perlu dilakukannya. Menangis tidak. Ketawa pun tidak! Ya Allah, benarkah apa yang disampaikan oleh pegawai polis itu? Benarkah anak aku ditangkap polis? Benarkah anak aku, Ikhwan mengedar dadah?
“Ya Allah..anakku..”
Encik Hashim menangis lagi. Saat dan ketika ini dia tidak tahu untuk melakukan apa-apa selain daripada menangis. Menangis dan terus menangis. Menangis dengan kenyataan pahit yang sedang terhampar di hadapannya.

No comments:

Post a Comment