Tuesday 3 May 2016

DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 10

Harith Mishka membuka mata. Gelap sekali. Tidak terlihat apa pun dari mata kasarnya. Jantungnya sudah bergetar tidak tentu arah. Perlahan-lahan Harith Mishka bangun. Dalam hati dia berharap yang andaiannya tidak benar. Dengan seribu doa dipanjatkan kepada Yang Maha Kuasa, Harith Mishka memandang ke sekeliling. Ingin mengetahui di mana dia berada. Asing sekali! Jantung Harith Mishka seakan terhenti.
"Ya kita serahkan anak haram itu ke rumah kebajikan."
Perkataan itu bagaikan tergiang-giang di telinganya. Debaran di dada semakin laju berkocak. Dia semakin takut. Takut jikalau mamanya meninggalkan dirinya sendirian di sini. Dipandang penuh fokus kepada keadaan sekeliling yang gelap itu. Namun dia tidak menemui sesiapa di situ. Dipusing ke kiri. Melalui cahaya lampu jalan jelas kelihatan sebuah tasik di situ. Dipusing ke kanan, gelap. Dipandang ke depan, ada sebuah rumah tidak jauh dari situ.
Rumah Anak Yatim Ar-Raudhah.
Harith Mishka dapat membaca dengan jelas papan tanda yang terdapat di situ. Matanya mula berkaca-kaca. Sampai hatinya mama memperlakukan dia begini.
"Mama! Mama!" panggil Harith Mishka. Namun tiada jawapan.
Pantas dia berpaling ke belakang. Dia mahu mencari mamanya walau di mana mamanya berada. Berkecamuk fikiran Harith Mishka. Di mana mahu dia mencari mamanya sedangkan kudratnya yang baru berusia tujuh tahun masih begitu mentah untuk mengenal dunia. Ya Allah, mengapa begitu besar dugaan yang Kau berikan kepadaku?
Tiba-tiba Harith Mishka menangkap susuk tubuh mamanya yang sedang berjalan di tengah ke gelapan. Ada sebuah kereta yang cukup dikenalinya terparking tidak jauh dari situ. Hati Harith Mishka bergetar hebat.
"Mama...mama nak ke mana?" jerit Harith Mishka dalam sebak yang mula bertandang di hati.
Ayunan langkah Safiya terhenti. Dia berdenggus kasar. Sangkanya Harith Mishka akan terlena terus di situ dan tidak akan bangun hingga keesokan harinya. Masih diingat lagi semasa mereka dalam perjalanan ke sini, Harith Mishka tertidur dalam kereta. Melihatkan keadaan begitu, Badri menyuruhnya meninggalkan Harith Mishka di tepi jalan. Apabila sedar, Harith Mishka yang bingung dengan apa yang telah berlaku pastinya akan pergi ke rumah kebajikan yang berada tidak jauh dari situ.
"Aku nak pergi dari sini. Aku nak cari kebahagian aku sendiri!" kata Safiya tanpa memandang kepada Harith Mishka.
Dada Harith Mishka yang sesak menjadi semakin berdebar-debar. Adakah mamanya mahu meninggalkannya di sini? Al maklumlah mamanya sedang hangat bercinta dengan Badri. Debaran di dadanya semakin memuncak. Perasaan bimbang dan risau semakin mencengkam kalbu.
"Macammana dengan Mishka mama?" jerit Harith Mishka yang sudah hilang pertimbangan. Airmatanya semakin laju mengalir. Beratnya menanggung beban perasaan ini.
"Suka hati kaulah nak buat apa. Kau nak mampus di sini sekalipun aku tak peduli," kata Safiya. Dia terus berlalu. Ingin mendapatkan Badri yang sedang menunggunya di kereta.
Pantas Harith Mishka berlari menghampiri mamanya. Dia panik dan takut. Kalau mamanya pergi siapa pula yang mahu menjaganya?
"Kenapa mama nak tinggalkan Mishka di sini? Mama marahkan Mishka ke? Maafkan Mishka mama. Mishka janji selepas ini Mishka jadi anak yang baik. Mishka akan ikut cakap mama. Tolong mama jangan tinggalkan Mishka di sini. Mishka takut," rayu Harith Mishka.
Dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan mamanya tidak meninggalkannya di sini. Tidak terbayang hidupnya kelak jikalau dia menjalani hidupnya sendirian di sini. Mampukah dia berdikari dalam usia semuda ini? Ah bagaimana dia mahu meneruskan hidupnya kelak? Ya Allah ngerinya aku untuk membayangkan hidup getirku kelak. Tidak! Aku tidak akan membiarkan mama meninggalkan aku!
"Aku benci kau! Walau apa pun yang kau lakukan tidak akan menghilangkan perasaan benci aku pada kau!" kata Safiya. Wajah sendu Harith Mishka tidak mampu melembutkan hatinya. Rasa marah dan bencinya masih menebal dalam hatinya.
Terpejam mata Harith Mishka kala perkataan itu melekat di gegendang telinganya. Air mata yang dia cuba tahan akhirnya menitik jua. Ya Allah, sanggupnya dia. Sanggupnya mama mengatakan sebegitu kepada ku!
"Kenapa mama terlalu bencikan Mishka? Apa salah Mishka sampai sebegitu teruk mama membenci Mishka?" semakin kuat Harith Mishka mengogoi. Ya dia perlu tahu apa yang sebenarnya telah terjadi. Dia perlu tahu apa silapnya supaya dia dapat memperbetulkan kesilapannya.
Safiya mendenggus kasar. Bibirnya dijuihkan. Ternyata Harith Mishka terlalu berdegil.
"Sebab kau anak haramlah semua orang mengutuk aku. Menghina aku! Mengata yang aku perempuan murahan! Kau tahu tak betapa sakitnya hati aku menanggung semua cacian itu! Aku tak bersalah! Aku dirogol! Aku dirogol oleh bapak kau! Aku benci kau! Benci!" kata Safiya meluahkan perasaan yang sedang mencengkam. Kalau tidak terdesak tidak mungkin dia mahu menerima lamaran Ikhwan, lelaki yang sudah meragut kesuciannya.
Harith Mishka terpana dengan pengakuan ibunya itu. Wajah Ikhwan yang sudah lama tidak dilihatnya mula terbayang di matanya. Benarkah papanya sanggup berbuat begitu? Makin banyak yang diketahuinya makin dia tidak dapat mengenali siapa papanya yang sebenarnya. Benarkah papanya sejahat itu? Seorang perogol dan pengedar dadah? Tetapi kenapa perlu dia terheret sama dalam kemelut ini? Sedangkan dia tidak pernah meminta untuk dilahirkan sebegini.
Apa salah Mishka mama? Hati Harith Mishka terasa seperti ditusuk belati yang paling tajam. Dirobek-robek dengan cukup kejam. Dia dihukum atas kesalahan orang lain? Ya Allah, kenapa takdir tidak pernah adil untukku?
"Sekarang kau puas hati bukan?So biarkan aku pergi dari sini," kata Safiya sambil menapak pergi.
Automatik Harith Mishka meluru di hadapan mamanya. Menghalang laluan mamanya dengan dada berombak kencang. Bibirnya mula terketar-ketar. Tutur kata mamanya sebentar tadi bermain-main di hujung telinganya.
Mama mahu pergi meninggalkan aku? Mama yang bertarung nyawa untuk melahirkan aku kini mahu meninggalkan aku? Ya Allah, apa semua ini?
"Jangan tinggalkan Mishka mama. Mishka rayu. Jangan buat Mishka macam ni," tangis Harith Mishka.
Safiya mendenggus geram. Ternyata sifat keras kepala Harith Mishka mewarisi sikap Ikhwan. Terus sahaja Safiya menolak tubuh itu. Namun Harith Mishka tetap keras berdiri di situ. Sedikitpun tidak bergerak walaupun ditolak sebegitu.
Bunyi hon dari kereta Badri membuatkan Safiya lekas ingin berlalu. Harith Mishka tahu siapa gerangan lelaki yang berada di dalam kereta. Pastinya Badri yang telah menabur janji setia kepada mamanya. Perasaan benci kepada lelaki itu semakin berkudis. Kerana lelaki itu mamanya sanggup meninggalkan dirinya.
"Ke tepilah anak haram. Aku nak pergi kepada kekasih aku! Kau tinggal sahaja di sini! Dengan anak-anak yatim yang lain," marah Safiya sambil terus menolak Harith Mishka.
Pantas Harith Mishka menggeleng tidak percaya. Air mata semakin laju bercucuran. Ya Allah pedihnya hatinya saat ini. Hancur lumat sekeping hati ini mendengar setiap patah kata yang keluar dari mulut mamanya.
Harith Mishka berasa begitu takut sekali. Dia tidak mahu mamanya meninggalkan dirinya. Lututnya menggigil kuat. Tanpa sedar dia sudah menjerit histeria sambil mengoncang tubuh mamanya.
"Jangan tinggalkan Mishka, mama. Tolong jangan tinggalkan Mishka," tangis Harith Mishka. Dia mahu memeluk tubuh mamanya. Allah..Allah..bantu aku Ya Allah. Lembutkan hati mamaku untuk menerimaku.
Dia bingung. Kala ini dia tidak tahu untuk berbuat apa selain merayu dan terus merayu.
"Eh ke tepilah!" marah Safiya. Kali ini dia terus menolak Harith Mishka dengan kuat. Sungguh dia tidak mampu bersabar dengan perangai Harith Mishka itu.
Akibat tolakan itu menyebabkan Harith Mishka terjatuh. Tetapi malangnya tangan Harith Mishka yang cuba berpaut kepada tangan Safiya menyebabkan tubuh Safiya tergolek sama. Dan tanpa di duga tubuh Safiya dan Harith Mishka tergolek hingga jatuh ke dalam tasik.
Harith Mishka tidak tahu apa yang berlaku. Semua yang berlaku terlalu pantas. Sedar-sedar sahaja dia sudah berada di dalam tasik. Di dalam kekalutan, dia cuba berdiri. Malangnya tingginya ternyata tidak sampai. Pantas Harith Mishka cuba melonjakkan badannya dalam air untuk mencapai udara. Namun hanya beberapa kali kerana dia sudah penat. Dan Harith Mishka mula terkapai-kapai. Ya Allah, tolong selamatkan aku. Ampunkan dosa ku!
Dalam kekalutan itu Harith Mishka sempat melihat mamanya yang turut terkapai-kapai sepertinya. Harith Mishka makin panik. Dia mahu menyelamatkan mamanya lebih dari segalanya. Pantas dia melonjakkan badannya. Cuma mengambil nafas sebelum cuba berenang ke arah mamanya. Puas sudah dia menolak kakinya supaya tubuhnya bergerak ke arah mamanya. Namun sia-sia. Dia tetap berada di situ. Dan dia turut terkapai-kapai seperti mamanya.
Harith Mishka pandang ke atas. Nampak langit kelam ditaburi bintang-bintang berkerlipan. Dia sudah penat untuk melonjakkan badannya lagi. Dia sudah penat untuk bertarung untuk hidup. Malah dia sudah penat untuk hidup di dunia yang cukup mencabar. Mungkin beginilah caranya meninggalkan dunia. Mungkin di sinilah hayatnya berakhir.
Sepintas Harith Mishka berpaling ke arah mamanya. "Selamat tinggal, mama."

No comments:

Post a Comment