Sejak dari minggu lepas
lagi perasaan Encik Hashim tidak keruan. Kaki yang melangkah menuju ke
destinasi juga bagaikan tidak berpijak di bumi yang nyata. Malah nafasnya
terasa lelah sehingga menyukarkan dirinya untuk bernafas.
Sekali sekala Encik
Hashim melirik jam tangannya. Waktu itu cukup meresahkannya. Ditarik tangan
Harith Mishka supaya menyaingi langkahnya. Dia tidak mahu terlambat walau
seminit pun untuk berada di situ. Tatkala ini sesaat cukup bermakna buat
dirinya.
Tangan kanannya pula
memegang bakul yang berisi makanan kegemaran Ikhwan. Dia tidak tahu sama ada
pihak penjara akan membenarkan dia membawa masuk makanan itu atau tidak. Namun
untuk kali terakhir ini dia mahu melakukan segala-galanya untuk Ikhwan.
Selepas melakukan
pemeriksaan badan, Encik Hashim terus di bawa ke bilik pengarah penjara, bilik
khas yang disediakan untuk waris banduan yang bakal digantung pada esok hari.
Encik Hashim kecewa kerana pihak penjara tidak membenarkannya untuk membawa
makanan kepada Ikhwan. Katanya Ikhwan akan diberi peluang untuk memilih makanan
terakhirnya yang berharga RM7.50. Hmm apalah tersuap ke dalam mulut, kalau tahu
esok akan mati! Hati Encik Hashim semakin tidak keruan.
Pertemuan terakhir?
Seram sejuk Encik Hashim mendengarnya. Tetapi itulah hakikat yang terpaksa
diterimanya. Esok anak kesayangannya itu bakal menerima hukuman gantung sampai
mati! Satu hukuman yang tidak pernah terduga untuknya. Malah tidak pernah
terfikir olehnya anak yang dijaganya penuh kasih suatu masa dulu akan menemui
ajalnya pada esok hari.
Suasana pilu, sedih,
sayu dan tidak kurang pasrah memenuhi ruang bilik pengarah penjara itu. Encik
Hashim cuba berpura-pura tabah. Dia sudah berjanji dengan dirinya untuk tidak
akan menangis di hadapan anaknya itu. Dia tidak mahu meresahkan fikiran Ikhwan
apabila anak kesayangannya melihat air matanya. Malah dia turut berpesan kepada
Harith Mishka supaya tidak menangis di hadapan papanya.
“Ayah,” panggil Ikhwan. Suaranya serak.
Pantas sahaja Encik
Hashim bangun dan terus memeluk tubuh itu. Dia memeluk tubuh Ikhwan lama. Dia
sedar kali ini adalah peluang terakhir dia dapat memeluk tubuh ini. Esok hari
tubuh ini akan menjadi jenazah yang bakal diuruskannya. Apabila mengingati itu
semua membuatkan Encik Hashim menangis hiba.
Harith Mishka tertegun.
Dia memandang seorang lelaki kurus, tinggi yang lengkap memakai uniform
penjara. Bukan keadaannya yang membuatkan jantung Harith Mishka seperti
berhenti berdegup. Tetapi wajah itu. Meskipun tidak terurus sudah pastinya
wajah itu bakal menjadi kenangan terakhir buatnya.
“Ampunkan dosa Ikh,
ayah,” kata Ikhwan dalam tangisannya. Buat seketika mereka saling berpelukan
dan bertangisan di situ. Ternyata Encik Hashim tidak dapat mengotakan janjinya.
Mereka berdua mahu menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya.
“Papa?” panggil Harith
Mishka, serak.
Ketika Ikhwan menoleh
dan mendekat, Harith Mishka terpaku. Airmata lelaki itu tumpah ke pipinya yang
cengkung. Dengan lemah dia menggapai. Harith Mishka hanya mampu melihat. Dia
berasa sebak. Tanpa sedar airmatanya turut mengalir. Dia dapat merasai
kesedihan ini.
Menurut atuknya,
papanya akan dikenakan hukuman gantung sampai mati pada esok hari. Dia sedar
mulai esok dia akan bergelar yatim piatu secara rasminya. Tiada lagi papa yang
sudah banyak berubah semenjak dia berada di penjara. Jujur Harith Mishka
katakan yang dia amat menyenangi peribadi papanya setelah dia berada di
penjara. Dia tahu papanya sudah benar-benar insaf namun sayang seribu kali
sayang papanya tidak diberi peluang kedua.
“Mishka, anak papa.”
Harith Mishka
mengangkat wajahnya. Wajah Ikhwan kini berada di hadapannya. Wajah itu basah
dengan airmata. Namun masih terlakar senyuman di bibir papanya itu.
Ikhwan duduk di hadapan
Harith Mishka. Tangan anak kesayangannya itu dicapai. Manakala sebelah tangannya
lagi mengusap umbun rambut itu penuh kasih.
“Anak papa dah besar.
Cepat betul masa berlalu.”
Harith Mishka tidak
membalas ucapan papanya. Dia juga tidak menghindar ketika Ikhwan mengelus
pipinya. Dalam tangisan, dia menatap wajah itu lama.
“Jangan jadi macam papa, ya sayang. Apa yang
berlaku kepada papa, papa harap Mishka jadikan iktibar. Jadi anak yang baik.
Bahagiakan hati atuk. Papa tahu selama ini papa banyak menyusahkan atuk dan
papa harap Mishka boleh tebus kesilapan papa ini dengan membahagiakan hati atuk
selamanya,” kata Ikhwan sebelum mengucup ubun rambut Harith Mishka.
Kerongkong Harith
Mishka makin kelat. Pandangannya kabur dek airmata yang tidak henti-henti
mengalir. Menyukarkan dirinya untuk melihat wajah Ikhwan yang amat dirinduinya.
Harith Mishka
mengangguk. Airmata kesedihan sudah laju mengalir di pipinya. Sungguh dia
berasa sedih dengan bicara papanya itu. Jauh di lubuk hatinya, ada rasa sesal
yang panjang. Sesal terhadap tragedi demi tragedi ini. Tapi kesakitan oleh
pukulan mama dulu tiba-tiba bagaikan terasa di tubuhnya. Luka hati kerana
makian mamanya suatu masa dahulu bagaikan tergiang-giang di telinganya.
Tiba-tiba Harith Mishka
sedar sesuatu. Ketika mamanya masih ada, saat makian dan pukulan mamanya
menjadi santapan rutinnya, hati Harith Mishka tidak pernah merasa dendam. Dia
masih mengasihi mamanya. Menyayanginya dengan hati yang tulus. Malah dia berusaha
menyenangkan hati mamanya.
Namun sejak papanya
berubah, sejak hubungannya dengan papanya semakin rapat, Harith Mishka rasakan
ada yang terbalik di hatinya. Tiba-tiba dia begitu bencikan arwah mamanya.
Baginya, mamanya seorang wanita yang tamak dan tidak pandai mensyukuri nikmat.
“Selepas ini Mishka kena kuat. Mishka sudah
tak ada papa dan mama lagi. Jadi anak yang baik ya sayang. Dan tolong jangan
benci dengan papa walaupun papa sudah buat kesilapan besar ini.” Di akhir
bicaranya itu, Ikhwan sudah menangis tersedu-sedu. Dia tahu apa yang berlaku
kepadanya ini akan tetap memberi kesan kepada anak kesayangannya itu. Walau dia
sudah insaf namun masyarakat tetap akan memandang serong kepada anaknya.
Sepanjang hidupnya Harith Mishka akan digelar sebagai anak pengedar dadah! Anak
banduan yang mati di tali gantung!
Harith Mishka
mengangguk berkali-kali. Mahu sahaja dia menyuarakan kata hatinya. Dia tidak pernah membenci papanya itu. Malah
dia menyayanginya sepenuh hati. Namun entah kenapa lidahnya kelu dan dia hanya
mampu menangis dan terus menangis.
“Jangan tinggalkan Mishka papa,” lirih Harith
Mishka terus meraih tubuh Ikhwan ke dalam pelukannya. Saat pelukan mereka
bertemu, hatinya terasa begitu bahagia sekali. Tidak pernah seumur hidupnya
merasa sebahagia ini. Dipeluk dan disayangi oleh insan yang tersayang. Bencinya
kepada arwah mamanya semakin berkudis. Tetapi hatinya lebih benci kepada Badri
yang telah menghasut mamanya menjadi begitu.
“Papa sayang Misha.
Jadi anak yang baik ya sayang,” kata Ikhwan terus mencium pipi Harith Mishka.
Dia mahu melepaskan kerinduan yang sedang bertamu di hati. Dia sedar ini adalah
peluangnya yang terakhir sebelum dia dijemput untuk mengadap Yang Maha Kuasa.
Encik Hashim semakin
tersedu. Perasaannya saat ini terlalu sukar digambarkan. Antara sedih dan
bahagia. Sedih anak kesayangan akan pergi meninggalkannya. Namun ada rasa
bahagia yang bertamu di hatinya. Ikhwan pergi dalam keadaan dia sempat
bertaubat dengan dosa-dosa yang telah dilakukannya. Jauh di dasar hatinya Encik
Hashim mengucap syukur kerana Allah membuka hati Ikhwan untuk kembali
kepadaNya. Bagi Encik Hashim, cara kematian seseorang tidak penting, yang
penting adalah mati dalam keadaan beriman atau Husnul Khatimah.
Sekurang-kurangnya
dengan mengetahui waktu dan tiba hari kematian. Ikhwan mungkin sudah
melengkapkan dirinya dengan bekalan untuk dibawa ke akhirat kelak. Dalam
kepiluan itu bibir Encik Hashim masih mampu mengukirkan senyuman bahagia.
“Mana Badri?” tanya
Ikhwan sambil memandang sekeliling. Mana tahu Badri menyorok di mana-mana.
Encik Hashim hanya
tertunduk. Sungguh dia tidak sanggup untuk memberitahu semua kebenaran itu. Dia
tidak mahu melukakan hati dan perasaan Ikhwan. Manakala Harith Mishka hanya
menggigit bibir. Perasaan benci semakin bertunas di hatinya apabila nama lelaki
itu disebut.
“Dia ada kerja sikit,”
tipu Encik Hashim. Hakikat sebenar Badri sudah pergi meninggalkannya. Badri
yang terlalu ego dengan keputusannya. Merasakan hanya dirinya seorang yang baik
dan suci.
Ikhwan tertunduk lemah.
Tangan kanannya masih mengusap rambut Harith Mishka. Perasaannya terdera. Dia
tahu tatkala ini Badri masih tidak dapat memaafkan dirinya. Ah bagaimana dia
mahu mengadap Allah jikalau dosanya dengan Badri masih tidak dapat lelaki itu
ampunkan?
“Dia masih marahkan
Ikh?” tanya Ikhwan dalam sebak. Tiada perkataan yang dapat mengambarkan
perasaannya. Mungkin ini balasan Allah kerana kejahatan yang dilakukannya
selama ini. Di hujung hayatnya ini dia sangat memerlukan ucapan kemaafan daripada
Badri.
Harith Mishka tersenyum
sinis. Mahu sahaja dia memberitahu kebenaran itu. Sebenarnya Badri bukanlah
sesuci yang disangka papanya. Mahu sahaja dia memberitahu yang selama ini Badri
telah bermain cinta dengan mamanya tanpa pengetahuan papanya. Lelaki itu hanya
suci pada zahirnya tetapi batinnya penuh berkeladak dengan dosa yang telah
dilakukannya. Malah bagi Harith Mishka papanya yang tinggal di tempat hina sebegini
lebih suci daripada Badri! Tidak layak untuk papanya memohon ampun dan maaf
kepada lelaki itu! Harith Mishka mengetap bibirnya. Menahan emosi marah yang
semakin memuncak naik.
“Sabarlah Ikh.
Lambat-laun Bad pasti akan maafkan Ikh,” pujuk Encik Hashim.
Ikhwan hanya
mengangguk. Dia tahu bukan mudah untuk Badri mengampunkan dosa-dosa yang telah
dilakukannya melainkan hukuman tali gantung menjadi penebus dosanya. Itulah
neraca yang telah ditentukan di dunia ini.
“Ayah beritahu pada Bad
yang Ikh minta maaf. Minta ampun banyak-banyak. Ikh tahu Ikh banyak buat dosa
kepada dia,” tangis Ikhwan. Dia sudah tidak mampu menahan perasaannya.
Bercampur baur rasa kesal, salah, taubat di hati yang terpendam.
“Ikh menyesal dengan
apa yang telah Ikh lakukan. Ikh dah menzalimi Bad. Ya Allah, bersihkanlah dosa
aku ini,” tangis Ikhwan lagi. Kini dunia yang luas dirasakan sempit. Dada yang
bidang terasa sesak sekali.
Harith Mishka menangis
tersedu-sedu melihat keadaaan papanya itu. Dia berasa cukup simpati kepada
papanya. Papanya yang terlalu naif dalam menilai sebuah perhubungan. Kalaulah
papanya tahu yang selama ini Badrilah yang menjadi duri dalam daging dalam
rumah tangganya mahukah papanya itu memohon ampun maaf dari lelaki jahat itu?
“Ayah mohon ampun dan
maaf jikalau ada salah ayah sepanjang ayah membesarkan Ikh. Ayah nak Ikh tahu
yang ayah terlalu sayangkan Ikh. Walau
apa pun terjadi kepada Ikh, Ikh tetap anak ayah dunia dan akhirat.”
Harith Mishka hanya
mampu mendengar ucapan maaf dari Encik Hashim kepada Ikhwan buat kali terakhir.
Dia menyapu airmatanya dengan seribu perasaan yang mencengkam perasaannya.
“Ikh juga minta maaf
kepada ayah. Ikh sedar Ikh banyak buat dosa kepada ayah. Kepada Bad,” luah
Ikhwan dalam airmatanya.
“Walau apa pun ayah
maafkan Ikh dan ayah halalkan makan minum Ikh.
Cuma...”
Kata Encik Hashim
terhenti di situ. Diam dan sunyi. Seketika esak tangis Encik Hashim kedengaran
jelas walaupun cuba dilindungi kesedihannya itu.
“Cuma...Cuma apa ayah?”
selepas beberapa ketika, Ikhwan bersuara. Ikhwan juga tidak sanggup melihat
Encik Hashim menangis dan berasa serba salah pada dirinya yang banyak berdosa.
“Ayah minta maaf. Ayah
tidak dapat memujuk Badri. Badri seolah-olah ingin terus melupakan Ikh. Ayah
serba salah. Walau apa pun Ikh tetap anak ayah dunia dan akhirat. Ikh..jauh di
sudut hati ayah, tidak pernah sesekali ayah membenci Ikh,” kata Encik Hashim
tersedu-sedu. Cuba menenangkan dirinya namun tidak berjaya. Airmata yang mengalir
terus laju mengalir ke pipinya.
Ikhwan memahami
kedudukan ayahnya. Ayahnya tidak mempunyai hak untuk memaksa Badri.
“Tidak mengapalah ayah.
Ikh redha. Mungkin semua ini sudah tersurat buat Ikh. Mati di dalam keadaan
tidak diampunkan Bad. Cuma Ikh minta ayah jagalah anak Ikh dengan baik. Dialah
satu-satunya harta yang Ikh tinggalkan kepada ayah.”
Pantas Encik Hashim
memeluk Ikhwan lagi. Begitu juga dengan Harith Mishka. Buat seketika mereka bertiga
bertangisan di situ sehinggalah mereka dikejutkan oleh suara pegawai penjara.
Mereka tahu masa yang diberikan untuk mereka sudah tamat.
“Maaf, masa sudah
tamat,” kata salah seorang pegawai penjara yang ada di situ.
Dalam gigil dan tidak
mengerti, Harith Mishka diam. Dia ingin merayu supaya dilanjutkan masanya, tapi
lidahnya kelu. Dia ingin meratap, tapi hatinya hampa. Sudahnya dia hanya diam
dan merenung papanya yang telah dibawa oleh dua orang pegawai penjara itu.
Namun Harith Mishka
tersedar. Kini dia baru sedar sejak dari tadi lagi dia tidak pernah menyuarakan
rasa hatinya kepada papanya. Harith Mishka menangis. Dia tahu kali ini adalah
peluang terakhirnya untuk meluahkan segalanya. Dia tidak mahu menyesal seumur
hidup.
“Papa!” jerit Harith
Mishka dalam tangisannya. Dia terus memandang langkah Badri yang terus menjadi
longlai.
“Mishka sayang papa!
Mishka sayang sangat sangat dengan papa! Papa adalah papa Mishka yang terbaik
di dunia dan akhirat!” kata Harith Mishka saat Ikhwan berpaling memandangnya.
Ikhwan menjadi sebak.
Dia rasa ingin menangis, menjerit dan ketawa sekuat hati. Tersentuh hatinya
dengan bicara tulus anaknya itu tetapi pada masa yang sama hatinya merintih
dengan takdir yang telah tersurat untuknya.
“Papa sayangkan Mishka.
Terlalu sayangkan Mishka. Tolong jangan bencikan papa,” kata Ikhwan dalam
tangisannya. Saat ini mahu sahaja dia memeluk tubuh anak kesayangannya itu
namun dia tidak berdaya. Tangannya yang sudah bergari dan kawalan ketat daripada
dua orang pegawai penjara tidak memungkinkan untuk dia berbuat begitu. Malah
tubuhnya terus ditarik oleh mereka sebaik sahaja dia menyuarakan kata hatinya.
Tiada lagi kata yang
mampu mengungkapkan kata hati Harith Mishka saat ini. Takut, resah, bersalah,
kasihan, sayang segalanya berbalam, berkecamuk, merusuk setiap inci dinding
hati. Dadanya kian sempit. Nafasnya tersekat-sekat. Sukar untuk Harith Mishka
terima yang esok papanya bakal menjadi jenazah. Harith Mishka hanya mampu
menangis sambil memeluk tubuh atuknya yang sedang tersedu di sisinya.
Sebelum wajah insan
tersayang hilang dari pandangan, Ikhwan berpaling sekali lagi. Wajah Encik
Hashim ditenungnya lama. Kemudian beralih pula kepada Harith Mishka yang sudah
basah airmatanya.
“Ayah, Ikhwan sayang
ayah. Terima kasih kerana sayangkan Ikh selama ini. Mishka, jadi anak yang
baik. Bahagiakan hati atuk. Mishka, jangan benci atau marah kepada papa,”
rintihnya dalam tangisannya.
No comments:
Post a Comment