Suasana suram diikuti angin yang
sepoi-sepoi bahasa pada pagi ini mengambarkan betapa renyuk dan luruhnya hati
Harith Mishka yang sedang menangis di tengah-tengah perkuburan ini. Semua yang
datang hanya mampu menghulurkan simpati sedangkan dirinya bagaikan sudah tidak
mampu berpijak di bumi yang nyata. Ya Allah betapa beratnya dugaan yang Kau
berikan kepadaku.
"Siapa yang akan jaga anak haram
ini?"
Harith Mishka hanya mampu menunduk
apabila hal dirinya dibangkitkan oleh Badri. Seperti selalunya lelaki itu akan
mempamerkan wajah sombongnya. Harith Mishka tahu lelaki itu begitu membenci
dirinya. Ah sedalam mana kebencian lelaki itu terhadapnya sedalam itu jugalah kebenciannya
terhadap lelaki itu! Lelaki yang telah merampas kebahagiannya!
"Siapa lagi? Kitalah!" kata
Encik Hashim sambil mengelus rambut Harith Mishka penuh kasih.
Harith Mishka menunduk. Tatkala ini
dia sudah tiada tempat yang boleh dituju selain daripada rumah atuknya. Atuk
yang setiasa menunjukkan rasa kasih terhadapnya.
Namun ada sedikit ketakutan yang
merajai hatinya. Bagaimana pula episod hidupnya kelak setelah tinggal sebumbung
dengan Badri yang amat dibencinya? Apakah bayaran yang perlu dilunaskan setelah
menumpang di rumah lelaki itu? Masih lagikah dia menerima sepak terajang kerana
selayaknya anak haram sepertinya menerima hukuman sebegitu.
"Kenapa kita pula? Excuse me ayah, dia tu sebenarnya tiada
pertalian saudara dengan kita pun. Kenapa ayah sibuk-sibuk nak jaga dia?"
bantah Badri.
Harith Mishka menunduk. Dia jelas
benar dengan bicara Badri itu. Bukankah lelaki itu pernah mengatakan yang dia
tidak ingin melihat wajahnya lagi! Pastinya perkara itu juga mahu dilakukan
Badri kepada Encik Hashim. Ah kalau diikutkan hatinya, dia juga tidak sudi
menumpang di situ. Biarlah dia membawa diri. Membawa diri jauh-jauh. Tetapi ke
mana? Mampukah dia melakukannya dengan kudrat kecilnya ini? Ya Allah, betapa
aku tidak sabar untuk menjadi dewasa. Aku mahu lari dari semua penghinaan ini!
Aku mahu menjadi Harith Mishka yang baharu!
“Dia cucu ayah, Bad! Kenapa dengan
kau ni? Tak kan kau dah lupa semua ini?” tanya Encik Hashim sambil
menggelengkan kepalanya. Dia tahu tahap kebencian Badri kepada Harith Mishka
yang tidak pernah bersalah dalam hal ini.
“Tak kan ayah nak bela budak macam
ni? Dia tu anak haram! Anak pengedar dadah! Ayah sudah hilang akalkah sampai nak
bela budak jahat macam ni!” kata Badri. Suaranya agak meninggi. Marah dia
dengan Encik Hashim yang tidak mahu mengikut kehendaknya. Jauh di dasar hati
Badri dia bertekad mahu menghalau budak tidak guna ini daripada rumah ayahnya.
Dalam sedih yang bukan kepalang,
Harith Mishka hanya mampu mendiamkan diri. Ingin sahaja dia bertanya apa salahnya
sehingga dia begitu dibenci oleh lelaki itu tetapi mulutnya kelu dan dia hanya
mampu meratap kepada suratan takdir yang tertulis untuknya.
“Bad tolong jangan buat hal di sini boleh tak?
Tolong hormat jenazah Safiya yang baru aje dikebumikan,” tegur Encik Hashim.
Badri mendenggus geram. Mahu sahaja
dia melawan lagi bicara ayahnya namun dek kerana hormatkan Safiya dia hanya
mampu mendiamkan dirinya. Dia menjeling tajam kepada Harith Mishka yang hanya
menyepikan diri sejak dari tadi. Apabila melihat wajah itu hatinya semakin
membuak marah. Wajah itu persis benar dengan wajah Ikhwan yang amat dibencinya!
“Kalau ikutkan hati aku mahu sahaja
aku kebumikan kau dengan mak kau sekali!” kata Badri sebelum berlalu dari situ.
Harith Mishka berasa sebak. Dipandang
sekilas kepada pusara mamanya yang masih merah. Disebabkan kecantikan mamakah
yang menyebabkan mamanya tersilap langkah? Jadi lalai? Sampai teganya melakukan perbuatan
terkutuk itu? Sehingga membenihkan anak haram sepertinya? Ah kata mama dia
dirogol oleh papa. Harith Mishka mengeluh. Jahat sangatkah papanya? Dan kini Harith
Mishka mula sedar dendam mamanya pada papanya yang telah dibiaskan mamanya kepadanya.
Hati Harith Mishka merintih dalam.
"Jom ikut atuk balik rumah
atuk," kata Encik Hashim. Dia kemudiannya berlalu. Namun Harith Mishka
masih membatu. Dia masih ragu-ragu.
Apabila melihat Harith Mishka yang
masih membatu di situ terus sahaja Encik Hashim menghentikan langkahnya.
"Kenapa ni?" tanya Encik
Hashim lembut.
“Atuk tak jijik dengan Mishka ke? Mishka
ni anak haram. Di mata masyarakat Mishka ni cuma najis,” kata Harith Mishka
jujur sekali. Dia merasakan dirinya terlalu kerdil di hadapan lelaki itu.
Luluh hati Encik Hashim apabila
mendengarkan bicara Harith Mishka itu. Airmatanya mula bergenang di tubir
matanya. Perasaan sebaknya semakin mencengkam. Namun dia cuba melebarkan
senyumannya. Tidak mahu anak kecil itu membaca kata hatinya.
“Mishka tak pernah mintak dilahirkan
begini. Kenapa dosa orang lain Mishka pula yang kena tanggung? Mishka sudah
tidak sanggup lagi hidup dalam penghinaan ini. Mishka...” Terhenti kata-kata
Harith Mishka saat emosi yang dibendung dirasakan semakin menghimpit jiwa
kosongnya. Lambat-lambat Harith Mishka memejamkan matanya dan menarik nafas
dalam-dalam.
“Mishka mari sini,” panggil Encik
Hashim sambil mendepakan tangannya.
Harith Mishka terkesima. Keningnya
dikerutkan. Benarkan apa yang sedang terpampang di hadapannya ini? Benarkah
lelaki itu mahu memeluknya? Ah tidak mungkin! Tidak mungkin ada insan yang sudi
memeluk anak haram sepertinya!
“Atuk tak jijik ke nak peluk Mishka?”
tanya Harith Mishka lagi. Selama ini tiada siapa yang sudi memeluk dirinya.
Tiada siapa yang sudi mencurahkan kasih kepadanya. Malah ibu yang bertarung
nyawa semata-mata untuk melahirkan dirinya juga tidak sudi berbuat begitu.
Masakan lelaki yang berada di hadapannya ini sanggup mengetepikan egonya demi
untuk anak haram sepertinya!
“Atuk tak jijik dengan Mishka. Sikit
pun tak. Lagipun Mishka adalah cucu atuk. Darah daging atuk. Mari sini sayang,”
panggil Encik Hashim. Sedaya mungkin dia cuba melebarkan senyumannya walau
hatinya sudah tidak keruan menanggung perasaan sedih yang sedang mencengkam.
Pantas Harith Mishka mendapatkan Encik
Hashim. Lelaki separuh abad itu terus dipeluknya penuh kasih. Dia berasa
semakin lega. Tidak sangka ada insan yang masih sudi menghulurkan kasih
kepadanya. Hatinya benar-benar terharu.
“Mishka cucu atuk,” kata Encik
Hashim. Akhirnya tangisan yang dipertahankan terlurut jua. Hatinya benar-benar
sedih dengan apa yang telah berlaku kepada cucunya.
Dengan seribu kepayahan Encik Hashim
cuba menenangkan perasaannya. Dia kemudiannya merenggangkan pelukan antara
mereka. Kedua-dua bahu Harith Mishka disentuhnya dengan lembut. Dipandang wajah
anak kecil yang tidak berdosa itu sambil cuba melemparkan senyuman manis. Dia
mahu anak kecil itu berasa senang dengan dirinya.
“Atuk sayang Mishka. Atuk sayang
Mishka sangat-sangat. Mishka tinggal dengan atuk ya,” kata Encik Hashim.
Hati Harith Mishka semakin tersayat
sayu. Malah dia berasa mahu meraung apabila mendengarkan perkataan sayang itu.
Selama ini perkataan itulah yang sering didambakan keluar daripada mulut mamanya
yang tersayang. Ya dia ingin disayangi sepenuh hati. Buat semangat untuknya
meneruskan kehidupan getir ini.
“Terima kasih atuk kerana sudi
sayangkan Mishka. Terima kasih banyak-banyak,” kata Harith Mishka dengan
perasaan yang sukar digambarkan.
No comments:
Post a Comment