Tuesday 3 May 2016

DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 5

Wajah Badri kelihatan tegang dan merah. Nafasnya turun naik. Matanya tepat memandang Ikhwan. Benci benar dia kepada lelaki yang berlagak tenang di hadapannya ini.
" Dasar anak pungut! Selepas ayah aku bersusah payah membesarkan kau, ini balasan kau kepada kami?" kata Badri. Kemudian keluarlah ayat maki hamun yang cukup kesat yang sudah biasa dituturkannya.
Ikhwan hanya beriak selamba. Malah dia hanya tersenyum sinis mendengarkan makian daripada adik angkatnya itu. Dia sudah masak dengan perangai Badri yang sentiasa panas baran dan suka memaki hamun itu. Sememangnya sikap Badri begini. Pantang ditegur pasti akan melenting.
" Kau sedarlah diri kau sikit. Muka macam hantu ada hati nak rampas girlfriend aku," tambah Badri.
Ikhwan tersenyum sinis. Dia masih mampu bersabar dengan makian Badri itu. Sememangnya kemelut ini berpunca daripada dirinya. Dia yang sengaja mengorat Safiya yang sudah diketahuinya sedang hangat bercinta dengan Badri. Namun apa dia peduli. Dia sememangnya seorang lelaki mata keranjang. Pantang melihat wanita berdahi licin pasti mahu disambarnya. Lebih-lebih lagi apabila wanita itu bakal menjadi milik Badri yang sememangnya membuatkan dia sering tercabar dengannya.
Badri yang sedang belajar di luar negara telah memberi kesempatan yang luas untuk Ikhwan memasang jeratnya. Namun sayang sekali sayang. Bukan mudah untuk memikat Safiya. Gadis itu begitu setia dengan cintanya.
" Eh kenapa kau salahkan aku pula? Bukannya aku yang tergilakan dia. Dia yang tergilakan aku. Aku nak buat macam mana! Dah kau tak pandai jaga girlfriend," jawab Ikhwan selamba.
Bulat mata Badri apabila mendengarkan jawapan selamba abang angkatnya itu. Nafas Badri sudah tidak teratur. Dadanya turun naik. Mukanya merah menahan marah yang amat. Rasa benci mula bermukim di hatinya. Gugur perasaan kasih buat si abang yang pernah disayanginya sepenuh hati.
" Kau memang sudah melampau! Sanggup kau buat aku begini!" jerit Badri bagai dirasuk syaitan.
Sungguh dia begitu terkejut dengan hakikat yang terbentang kini. Selama ini dia sangkakan Safiya begitu setia dengannya walaupun mereka berpisah beribu batu. Malah hubungan mereka begitu baik sekali. Tidak pernah terhidu olehnya kepincangan hubungan antara mereka. Tetapi kenapa secara tiba-tiba sahaja Safiya bersetuju berkahwin dengan Ikhwan?
" Jeritlah Badri. Jeritlah sepuas hati kau! Semuanya sudah terlambat. Safiya akan jadi hak aku minggu depan," jawab Ikhwan dengan bangga. Sungguh dia begitu bangga dengan pencapaiannya ini.
"Sial kau! Bodoh! Memang bodoh!!! Apa yang sudah kau buat sampai Safiya bersetuju berkahwin dengan kau?" jerit Badri lagi. Dia tidak mampu bersabar lagi. Perbuataan Ikhwan ini benar-benar sudah melampau!
Ikhwan tersenyum sinis. Suka benar hatinya apabila melihat riak kekecewaan yang terlakar di wajah Badri. Hatinya kini puas. Sepuas puasnya. Badri yang selama ini dipandang hebat oleh semua orang kini sudah jatuh tersungkur di kakinya.
“Aku sudah rogol dia! Kau masih nak ke ‘bekas’ aku?” kata Ikhwan sambil ketawa suka hati.
Mata Badri membuntang. Sungguh dia tidak menyangka yang Ikhwan sanggup memperlakukan Safiya sebegitu. Hatinya sakit! Sungguh sakit sekali! Tanpa berfikir panjang terus sahaja Badri melepaskan tumbukan ke muka Ikhwan. Biar Ikhwan tahu betapa sakitnya hatinya tatkala ini. Ikhwan yang tidak sempat mengelak terjatuh ke lantai akibat tumbukan tersebut.
"Kenapa kau sanggup menganiaya Safiya sebegitu???" jerit Badri. Simpatinya kepada Safiya melimpah ruah. Kasihan kepada Safiya yang menjadi mangsa dalam pergaduhan antara mereka dua beradik.
"Sebab aku benci kau!" kata Ikhwan sambil menyapu darah yang mengalir di celah bibirnya akibat tumbukan tersebut. Matanya membuntang. Nafasnya sudah turun naik. Kali ini biar Badri sedar betapa bencinya dirinya kepada lelaki itu. Badri yang memiliki segala-galanya. Sedangkan dirinya hanyalah seorang anak angkat yang sering dipandang rendah oleh sesiapa sahaja.
Luluh hati Badri apabila mendengarkan semua itu. Tergamak Ikhwan memperlakukan Safiya sebegitu hanya kerana bencikan dirinya? Airmata lelakinya tumpah.
"Sampai hati kau buat aku begini," kata Badri, lemah. Sungguh dia sudah tidak terdaya lagi. Untuk memukul dan membelasah Ikhwan pun dia sudah tidak berdaya. Hakikat yang terbentang ini cukup perit untuk diterimanya.
" Heiii apa yang bising-bising ni?"
Jeritan Encik Hashim yang tiba-tiba muncul di ruang tamu membuatkan Badri mengeluh lagi. Adakah ayahnya sudah tahu perbuatan jahat Ikhwan itu?
" Sampai dari dalam bilik ayah dengar suara kamu berdua. Apa masalahnya ni?" tanya Encik Hashim dengan wajah serius.
Badri menarik nafasnya dalam-dalam. Dia cuba menenangkan hati dan perasaannya walaupun begitu sukar untuknya berbuat begitu.
"Kenapa mulut kau berdarah,Ikh?" tanya Encik Hashim.
"Badri tumbuk Ikh, ayah. Dia tidak puas hati dengan bakal isteri Ikh," terang Ikhwan tanpa ada riak bersalah.
"Memang dasar anak angkat tak sedar diri! Sanggup kau buat aku macam ni!" marah Badri. Dia cuba menyedarkan Ikhwan hakikat yang sebenar.
“Bad, berapa kali ayah cakap, jangan ungkitkan pasal anak angkat lagi. Bagi ayah, Bad dan Ikh tiada bezanya. Ayah sayang kamu berdua,” tegur Encik Hashim dengan lembut. Dia tahu hanya kelembutan sahaja yang dapat meleraikan pergaduhan antara kedua-dua anaknya.
Badri dapat lihat senyuman penuh bangga yang terpamer di bibir Ikhwan. Pastinya lelaki itu makin besar kepala apabila mendapat sokongan daripada ayahnya. Ah ayahnya memang begitu. Bak kata pepatah beruk di hutan disusukan tetapi anak di rumah mati kelaparan!
"Tapi perbuatan dia sudah melampau!" marah Badri. Suaranya sudah meninggi menunjukkan tahap kemarahannya tatkala ini. Airmata yang sedang mengalir dibiarkan sahaja. Biar Encik Hashim tahu betapa menderitanya Badri tatkala ini.
Encik Hashim mengeluh. Dia tahu bukan mudah untuk Badri menerima kenyataan yang terhampar ini. Kalau dia tahu Safiya yang dipinangnya dahulu adalah kekasih Badri, tidak mungkin dia akan melakukan semua itu. Dia faham kekecewaan yang sedang membelenggu hati dan perasaan anak kesayangannya itu.
"Bad jangan macam ni. Anggap sahajalah Bad tiada jodoh dengan Safiya. Lagipun ramai lagi perempuan di luar sana. Ayah tahu anak ayah handsome. Sekali petik sepuluh yang datang," pujuk Encik Hashim.
“Dia sudah menjadi milik aku, Bad,” kata Ikhwan sambil tersenyum bangga.
Ah sungguh sakit hati Badri mendenggar semua itu. Malah senyuman yang terpamer di bibir Ikhwan seolah-olah seperti mahu menyindirnya. Badri mengepal penumbuknya kuat-kuat. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja ditumbuk muka Ikhwan yang sedang mempersendakan dirinya itu.
"Tetapi perbuatan kau sangat melampau! Kenapa kau sanggup merogol Safiya?” jerkah Badri dalam juraian airmatanya. Dia begitu sedih kerana cintanya tidak kesampaian. Dia juga begitu simpati dengan nasib yang sudah menimpa Safiya.
Encik Hashim terkejut. Matanya membulat memandang Ikhwan. Hatinya merintih dalam. Batinnya memberontak. Ya Allah, apa yang telah anak aku lakukan? Dada Encik Hashim begitu sakit dengan apa yang telah dipersembahkan kepadanya ini.
“Betul ke Ikhwan?” tanya Encik Hashim dalam keluh kesahnya. Dia tidak sangka Ikhwan sanggup bertindak sejauh itu.
Ikhwan menikus. Tertunduk tanpa berani memandang ke arah Encik Hashim. Dia tahu tatkala ini Encik Hashim begitu marah dengan tindakannya itu. Perlahan-lahan Ikhwan menganggukkan kepalanya.
“Safiya sudah mengadungkan anak Ikhwan,” kata Ikhwan dalam debaran di dada.
Badri menggeleng lemah. Hatinya sakit. Pedih! Malah batinnya merintih kuat dengan segala pembongkaran ini. Terduduk Badri dengan kenyataan yang sedang terhampar.
Dan saat Badri terkapai-kapai sendirian dia dapat lihat muka Ikhwan menerima tamparan daripada Encik Hashim yang berar-benar kecewa dengan perbuataan Ikhwan itu.
“Kenapa Ikh? Kenapa kau sanggup buat begitu? Kenapa kau boleh jadi sejahat ini? Ya Allah, aku tak pernah ajar anak aku jadi sejahat ini,” rintih Encik Hashim. Tanpa sedar airmata kesedihan mengalir laju di pipinya. Hatinya merintih lagi. Sedih dengan perlakuaan anak-anak yang tidak pernah menyenangkan hati dan perasaannya.
Innama ashku bassi wa khuzni ila Allah, Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah.
Bibir Encik Hashim tidak henti-henti membaca ayat ke 86 suruh Yusuf itu. Dia tahu saat hatinya walang begini hanya Allah sahaja sebaik-baik sandaran untuknya. Tangisan Encik Hashim semakin lebat mencurah ke pipinya. Manakala Badri dan Ikhwan hanya terdiam melayan perasaan masing-masing.
Tiada seorang pun yang sudi memujuk hatinya. Tiada seorang pun yang sudi meredakan kesakitan dan kepedihan hati yang sedang ditanggungnya. Sampainya hatimu anak-anakku. Rintih Encik Hashim sendirian.

No comments:

Post a Comment