Tuesday 3 May 2016

DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 7

Kaki terasa berat untuk melangkah namun digagahkan hatinya demi untuk anak yang tersayang. Dada yang sesak sejak menerima berita yang menyedihkan ini tidak dihiraukan. Terus sahaja dia mempercepatkan langkahnya. Dia mahu menemui anaknya yang tersayang lebih dari segala-galanya.
Innama ashku bassi wa khuzni ila Allah, Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah.
Bibir Encik Hashim tidak henti-henti membaca ayat ke 86 suruh Yusuf di setiap langkah yang diaturnya. Dia yakin dengan ayat Allah itu dan dia tahu hanya Allah sebaik-baik sandaran untuknya.
“Pak cik duduk sini. Sekejap lagi saya akan panggil anak pak cik,” kata pegawai polis yang bertugas.
Encik Hashim akur. Walau resah dia terus melabuhkan punggungnya di situ. Suasana lokap polis ini begitu asing baginya. Sesekali ada banduan yang digari tangannya di bawa oleh pegawai polis melintasi tempat duduknya membuatkan Encik Hashim berasa takut sekali. Wajah ganas itu cukup mendera hati dan perasaannya. Ya Allah, bagaimana anakku dapat meneruskan hidupnya di tempat begini? Tanpa sedar airmata Encik Hashim mengalir laju. Pantas disekanya. Dia tidak mahu Ikhwan melihat airmatanya itu. Dia tidak mahu perasaan Ikhwan terdera apabila melihat airmatanya itu.
“Encik Hashim.”
Panggilan seorang anggota polis itu mengejutkan Encik Hashim daripada lamunannya. Pantas dia bangun lalu duduk di kerusi di mana Ikhwan berada kini. Hatinya menjadi sebak apabila melihat Ikhwan yang lengkap memakai uniform lokap. Mahu sahaja dia menangis dan menjerit dengan apa yang sedang dilihatnya tatkala ini. Anakku menjadi banduan! Ya Allah, tidak pernah terlintas di fikirannya yang suatu hari nanti dia akan melihat anaknya berkeadaan sebegini. Allah...Allah...Allah...hatinya menyeru nama Tuhan Yang Satu berulang kali.
“Ikh...” panggil Encik Hashim. Suaranya serak. Hampir sahaja dia menitiskan airmata di situ.
“Ikh takut, ayah. Tolong keluarkan Ikh dari sini,” rayu Ikhwan. Airmatanya mengalir tanpa malu. Airmata yang tidak pernah dilihat oleh Encik Hashim selama ini. Encik Hashim tahu bukan mudah untuk Ikhwan melalui saat-saat sukar begini. Hidup di tempat yang paling hina di mata manusia bukan sesuatu yang mengembirakan sesiapa sahaja.
“Polis kata Ikh tak boleh dijamin sebab kes Ikh berat,” kata Encik Hashim. Matanya sudah merah menahan airmata yang sudah bertakung di kolam matanya. Tidak sampai hatinya untuk menyebut yang anaknya itu bakal dikenakan hukuman gantung kalau disabitkan bersalah.
Dia masih ingat lagi saat Inspektor Zulhaimi memberitahunya perkara itu, menggigil kakinya, menggeletar seluruh tubuhnya. Dia tidak dapat bayangkan saat itu. Jika benar Ikhwan dihukum gantung, dapatkan dia menerima dugaan itu dengan redha?
Innama ashku bassi wa khuzni ila Allah, Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah. Di dalam hati Encik Hashim terus membaca ayat ke 86 surah Yusuf.
“Tak kan tak ada cara lain lagi, ayah? Ikh rasa macam nak gila tinggal di sini! Ayah buatlah sesuatu! Tak kan ayah nak biarkan Ikh terus tinggal di sini?” tengking Ikhwan.
Nyata Encik Hashim begitu terkejut dengan tengkingan itu. Walaupun diuji sebegini Ikhwan masih belum sedar diri lagi! Ya Allah, salah akukah semua ini terjadi? Tanpa dipinta airmata Encik Hashim mengalir laju.
“Ikh nak ayah buat apa?” tanya Encik Hashim. Diambil kopiah putih yang berada di kepalanya lalu diletakkan di meja yang berada di hadapannya. Airmata yang mengalir disapu dengan telapak tangannya. Sungguh dia berasa berjauh hati dengan tengkingan anaknya itu.
“Ayah bayarlah berapa yang polis nak!” kata Ikhwan. Dia tidak memperdulikan Encik Hashim yang sedang menangis di hadapannya. Malah tangisan itu langsung tidak mengundang simpatinya. Apa yang difikirnya kala ini adalah dirinya. Dia yang tersiksa hidup di sini! Dia tidak sanggup lagi tinggal di sini dan dia mahu ayahnya melakukan segalanya untuk mengeluarkan dirinya dari sini!
“Polis dah bagitau kat ayah yang Ikh tak boleh dijamin sehingga hari perbicaraan,” kata Encik Hashim lemah. Sekilas dia memandang ke arah seorang pegawai polis yang berdiri tegak tidak jauh daripada mereka.
Ikhwan mendenggus geram. Marah benar dia kepada Encik Hashim yang berlagak bodoh di hadapannya.
“Ayah rasuahlah polis! Tak kan itu pun Ikh nak ajar,” kata Ikhwan dengan suara yang tertahan-tahan. Dia menjeling pandang kepada pegawai polis yang berada tidak jauh dengannya. Serasanya pegawai polis itu tidak dapat mendengar bicaranya itu.
“Astafirullahazim. Apa yang kau cakap ni Ikh? Walau kau berada di sini tetapi kau masih tak sedar lagi ke?” keluh Encik Hashim sambil menggeleng sesal. Kopiah yang berada di atas meja diambilnya lalu diletakkan semula di kepalanya. Dadanya semakin sesak dengan sikap Ikhwan yang begitu mendesak dirinya.
“Ayah tolonglah, ketepikan soal hukum di saat genting begini! Bagi sahaja berapa yang mereka nak asalkan Ikh dapat keluar dari sini,” kata Ikhwan dengan suara yang sedikit perlahan. Dia tidak mahu bicaranya itu didengari oleh sesiapa pun.
“Kalau boleh dibayar sekalipun, ayah tak mampu Ikh. Mana ayah nak cari duit? Ikh tahu bukan berapa sangatlah gaji ayah sebagai kerani sekolah,” kata Encik Hashim. Dia tertunduk lemah. Walaupun dia mampu tidak mungkin dia melakukan perbuatan terkutuk sebegitu. Dia masih ingat lagi dari riwayat Al-Tirmidzi, Rasullulah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah. Dia tidak sanggup mendapat kemurkaan Allah hanya kerana perkara ini.
“Sebab itulah Ikh benci jadi miskin!” renggus Ikhwan.
“Sebab itu jugalah Ikh mengedar dadah?” tanya Encik Hashim pula. Dia terus memandang tajam ke arah Ikhwan. Ikhwan pula hanya menduduk apabila diajukan soalan sebegitu.
“Ayah mintalah kepada Badri. Gaji dia kan besar,” kata Ikhwan tanpa memperdulikan pertanyaan Encik Hashim.
“Badri baru kerja. Lagipun kalau nak merasuah ni perlukan duit banyak. Kadang-kadang sampai beratus ribu. Manalah Bad ada duit sebanyak tu. Tak payah lah kau nak fikir pasal rasuah lagi. Berdosa. Kita buat cara yang halal,” kata Encik Hashim.
“Maksud ayah?” tanya Ikhwan mula memanggungkan kepalanya. Kali ini dia berani menatap wajah ayahnya itu. Bicara ayahnya itu bagaikan memberi sinar harapan buat dirinya.
“Ayah akan cari peguam terbaik untuk Ikh. Insya Allah kalau Ikh di tempat yang benar Allah akan bantu Ikh. Sekarang ayah harap Ikh dekatkan diri dengan Allah. Minta ampun kepadaNya,” nasihat Encik Hashim.
“Ayah janji dapatkan peguam yang terbaik untuk Ikh?”
“Ya ayah janji. Ikh jangan risau. Cuma Ikh kena banyak-banyak bersabar. Dekatkan diri dengan Allah. Insya Allah, Allah akan permudahkan urusan Ikh di sini,” nasihat Encik Hashim.

No comments:

Post a Comment