Tuesday 3 May 2016

DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 4

“Sudah! Sudah!” tengking Encik Hashim.
Namun tengkingan Encik Hashim tidak dipedulikan oleh kedua-dua anaknya. Malah mereka terus bergaduh dan bertumbuk antara satu sama lain. Perbuatan yang sudah biasa berlaku dalam rumahnya. Malah rumah ini tidak pernah aman sejak dari dahulu lagi.
“Aku tahu kau yang curi duit aku! Tiada siapa yang panjang tangan selain daripada kau aje!” jerkah Badri berserta tumbukan padu di pipi Ikhwan. Ikhwan pula tidak mengaku kalah. Terus sahaja tubuh Badri diterkamnya sehingga mereka berdua saling bergelut di lantai.
“Sudah! Sudah!” tengking Encik Hashim lagi. Dadanya begitu sakit melihatkan pergelutan ini. Hubungan Badri dan Ikhwan bagaikan anjing dengan kucing. Dia tidak tahu di mana silapnya sehingga hubungan kedua-dua beradik ini menjadi sebegini. Diakah yang tidak pandai mendidik anak-anak? Pantas tangannya menarik tubuh Ikhwan untuk meleraikan pergaduhan antara kedua-dua anaknya.
“Kau ingat aku hadap sangat duit kau yang tak seberapa tu?” marah Ikhwan setelah pergelutan antara mereka itu dileraikan. Dia berdenggus sambil memandang tajam kepada Badri yang kelihatan begitu angkuh dengan dirinya.
“Aku dah kerjalah!” tambah Ikhwan lagi.
“Eleh banyak mana sangatlah gaji kau kalau setakat Pembantu Am Pejabat aje. Itu sebablah kau mencuri duit aku!” kata Badri yang sering merendahkan kemampuan Ikhwan. Dia menyapu pipinya yang terasa sakit akibat pergelutan tadi.
“Bad, tak kisahlah besar atau tak gaji kita asalkan duit yang kita dapat itu daripada sumber yang halal,” tegur Encik Hashim. Dia tidak suka dengan sikap Badri yang begitu angkuh itu. Mungkin Badri merasakan dirinya begitu hebat kerana dikurniakan kecerdikan dan kepandaian sejak dari kecil lagi. Berbeza dengan Ikhwan yang sering mendapat markah tercorot di dalam kelas.
“Tapi dia curi duit yang ayah kasi untuk Bad! Duit tu Bad nak beli baju panas! Badkan dapat sambung belajar di oversea!” kata Badri angkuh sekali. Perkataan oversea sengaja di tinggikan suaranya. Biar Ikhwan panas hati mendengarnya.
“Ikhwan, kau ada curi duit Bad ke?” tanya Encik Hashim dengan lembut. Menyampah benar Badri apabila mendengarkan kelembutan suara ayahnya itu. Ayahnya memang begitu tidak pernah mahu bertegas dengan Ikhwan.
“Errr Ikh pinjam aje sebab duit Ikh bulan ni short sikit,” kata Ikhwan sambil menggarukan kepalanya. Dengan ayahnya dia tidak sanggup berbohong. Lelaki itu begitu baik terhadapnya masakan dia sanggup membohongi lelaki itu.
“Pinjam kepala hotak kau!” marah Badri sambil menggepal penumbuknya. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia menghayunkan penumbuknya di muka Ikhwan.
“Ikh, ayah tak ajar Ikh mencuri. Kalau Ikh tak cukup duit cakap dengan ayah. Ayah boleh pinjamkan,” tegur Encik Hashim sambil menggeleng kesal. Sikap Ikhwan kadang-kala meresahkan hatinya. Entah perangai siapa yang diwarisinya sehingga sampai sanggup mencuri. Tidak takutkah Ikhwan kepada dosa yang bakal dihitung di hari pengadilan kelak? Ah dia sering mengingatkan Ikhwan mahupun Badri tentang pahala dan dosa tetapi kenapa semua yang diajar bagaikan mencurahkan air di daun keladi? Jauh di dasar hati, Encik Hashim merintih sendirian.
“Ini semua salah ayahlah! Terlalu manjakan sangat anak angkat ayah! Tengok sekarang apa yang dia telah buat kepada kita? Kita beri susu dia balas tuba!” bebel Badri sambil menjeling tajam kepada Ikhwan. Lagi menyakitkan hatinya apabila melihat wajah Ikhwan yang langsung tidak ada riak bersalah.
“Bad, jangan cakap macam tu. Kau dan Ikhwan tiada bezanya. Dua-dua anak ayah. Dua-dua ayah sayang,” tegur Encik Hashim. Memang pada hakikatnya Ikhwan adalah anak angkat. Dulu, dia mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat setelah perkahwinan dengan arwah isterinya selama lima tahun tidak dikurniakan sebarang zuriat. Siapa sangka lima tahun berikutnya arwah isterinya melahirkan Badri menambahkan seri di dalam rumah tangga mereka.
“Ah perangai teruk macam ni pun ayah nak bela dia lagi? Ayah dengan Ikhwan sama aje!”
Encik Hashim mengesat airmatanya. Kenangan lalu sesekali datang pastinya akan mengusik hati dan perasaannya.
“Bad, Ikh..ayah rindukan kamu berdua,” tangis Encik Hashim tanpa dapat ditahan lagi. Dia menangis tersedu-sedu. Rindu yang mencengkam terasa begitu sukar untuk dinyahkan. Terasa bagaikan baru semalam peristiwa itu berlaku.
23 tahun. Ini bermakna Badri kini sudah berumur 52 tahun. Ingin sekali dia menatap wajah itu. Ah bagaimana wajah Badri saat ini? Persis dirinya atau arwah isterinya? Apakah pekerjaan anaknya itu? Namun dia tahu anaknya yang bijak itu pastinya akan mendapat pekerjaan yang baik di Finland.
“Tak sangka begitu keras hati kau sampaikan sehingga ke hari ini kau tidak sudi menjengguk ayah di sini. Sampainya hatimu sayang,” keluh Encik Hashim dalam tangisannya.
Kenangan lalu masih segar di ingatannya. Masih terlayar lagi di matanya wajah kecewa anak kesayangannya itu. Sangkanya rajuk anaknya hanya sebentar cuma namun hingga ke saat ini wajah kesayangannya ini tidak mampu ditatapnya lagi.
“Ya Allah, kau bukakanlah hati Badri untuk pulang menemui ku. Walau untuk sekali pun cukuplah. Asalkan aku dapat bertemunya sebelum diriku dijemput olehMu,” doa Encik Hashim dalam tangisannya.

No comments:

Post a Comment