Tuesday 3 May 2016

DARLINGKU MINAH ANGAU BAB 3

"JADI kami ni sepupu?" tanya Anggun Danisha sambil menjegilkan matanya.
Dia tidak menyangka apa yang sedang berlaku. Lelaki sinis dan berlagak sombong ini adalah sepupunya? Ya ALLAH, macam manalah dia nak menghadap lelaki itu setiap hari? Omel hatinya.
Encik Hashim hanya menggangguk sambil tersenyum. Gembira hatinya apabila dapat bertemu dengan cucu tersayang. Siapa sangka hampir 23 tahun dia tidak mendengar apa-apa berita daripada Badri. Hari ini zuriat Badri datang mencari dirinya! Ah indahnya perasaan ini.
"Sepupu angkataje," kata Harith Mishka sambil menjeling tajam.
Entah kenapa hatinya berasa sakit sekali. Seolah-olah luka lama berdarah kembali.
Anggun Danisha hanya mencebik. Dia tahu lelaki itu tidak menyenangi kehadirannya di sini. Namun dia peduli apa! Yang penting apa yang dihajatinya akan diperolehinya tidak lama lagi.
"Atuk dah tahu Isha akan balik ke sini. Papa Isha yang telefon atuk," terang Encik Hashim.
Encik Hashim masih ingat betapa gembiranya dia apabila anak yang sudah lama menghilang tiba-tiba menelefonnya. Walaupun bicara Badri begitu sinis dan dingin sekali, namun Encik Hashim tidak peduli. Asalkan rindu yang terpendam terubat jua.
"Papa call?" tanya Anggun Danisha sambil membeliakkan matanya.
Dia begitu terkejut dengan tindakan papanya itu. Bukankah papanya sudah memutuskan hubungan dengan keluarganya? Kenapa perlu menjatuhkan egonya semata-mata mahu memberitahu perkara ini?
Tiba-tiba hati Anggun Danisha berasa begitu senang sekali. Dia dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran papanya. Pastinya papanya sangat risaukan dirinya yang berada jauh di perantauan. Namun perasaan itu mati apabila menyedari status dirinya yang sudah dibuang keluarga. Malah dia begitu jelas dengan pendirian papanya itu.
Encik Hashim mengangguk lagi. Jauh di dasar hatinya mula menghidu sesuatu. Masakan Anggun Danisha tidak tahu perkara ini?
"Mestilah dia risau dengan anak daranya yang seorang ini," kata Encik Hashim masih mengukirkan senyuman manisnya.
"Mana yang lain? Atuk tinggal dengan dia aje ke?" tanya Anggun Danisha.
Jari telunjuk dihala kepada Harith Mishka yang sejak dari tadi tidak memperkenalkan siapa namanya.
"Mishka! Nama aku Harith Mishka!" kata Harith Mishka sambil menjegilkan matanya.
Marah benar dia dengan Anggun Danisha yang tidak habis-habis mencari fasal dengannya.
"Harith Mishka. Sedap nama tu. Lagi sedap kalau you maniskan sikit wajah you tu," kata Anggun Danisha selamba.
"Apa? Hisy, budak ni memamg nak kena!" marah Harith Mishka sambil merengus kasar.
Nasib baik Encik Hashim ada di situ kalau tidak sudah lama Harith Mishka membasuh sepupunya itu habis-habisan.
Encik Hashim tersenyum. Dia berasa begitu terhibur dengan keletah Anggun Danisha. Sikap selambanya membuatkan dirinya menyenangi cucunya itu.
"Hanya kami berdua. Papa dan mama Mishka sudah lama meninggal dunia," terang Encik Hashim.
Anggun Danisha mengangguk. Sungguh dia berasa pelik kenapa papanya masih belum pulang jikalau punca perbalahan papanya itu disebabkan papa Harith Mishka yang sudah lama meninggal dunia. Atau papanya masih belum tahu akan kematian itu?
"Mama Isha juga dah meninggal dunia. Setahun yang lalu," terang Anggun Danisha.
"Oh, ya ke? Innalilah… meninggal sebab apa?" tanya Encik Hashim.
Manakala Harith Mishka hanya menjadi pendengar setia. Dia tiada hati untuk berbaik-baik dengan anak musuhnya. Ternyata luka lama masih berdarah. Sakitnya hanya ALLAH sahaja yang tahu. Malah dia merasakan tatkala ini dia sedang menatap musuhnya sendiri walaupun hakikatnya Anggun Danisha yang berada di hadapannya kini.
"Accident. Sebab tu Isha balik ke sini. Mama yang suruh Isha cari keluarga sebelah papa. Mama tak nak Isha jadi macam mama. Sebatang kara di negeri orang," terang Anggun Danisha.
"Sabarlah Isha. Beri masa kepada papa. Atuk yakin sikit masa lagi dia akan pulang ke sini. Percayalah," kata Encik Hashim.
Dia mengetap bibirnya rapat. Cuma menahan perasaan sebak yang mula bermukim di dalam hatinya. Badri sampainya hatimu, nak, getus hati Encik Hashim.
Anggun Danisha hanya mampu mencebik. Dia tahu perangai sebenar Badri. Terlalu ego dengan pendiriannya. Kalau tidak masakan Badri sanggup membawa diri dan membuangnya.
"Atuk tak kenal dengan papa. Dia terlalu ego. Ah, menyampahlah," dengus Anggun Danisha.
Harith Mishka tersenyum sinis. Entah kenapa hatinya berasa gembira apabila mendengar semua itu. Dia tahu dari percakapan Anggun Danisha hubungan antara anak dan bapa tidaklah sebaik mana. Mungkin sedang retak menunggu belah. Nampaknya hidup Badri tidaklah sebahagia mana.
"Isha bergaduh dengan papa ke?" tanya Encik Hashim. Matanya tepat memandang Anggun Danisha yang keresahan.
Lambat-lambat Anggun Danisha mengangguk.
"Papa dah buang Isha sebab Isha berkeras nak balik Malaysia," kata Anggun Danisha. Dia mengeluh lemah. Hatinya begitu sakit mengingati saat itu.
Encik Hashim menggeleng kesal. Ternyata perangai anak lelakinya tidak pernah berubah.
"Sabarlah Isha," keluh Encik Hashim.
Dia tidak tahu untuk berkata apa. Dia tidak mahu memberi harapan(kerana)dia takut harapan yang disandarkan kelak hanyalah harapan palsu. Dia tahu sekeras mana hati anak lelakinya itu.
Harith Mishka hanya tersenyum sinis. Dia tidak mampu menggambarkan perasaan senangnya apabila mendengarkan berita ini. Memang tidak dinafikan dia tidak dapat memaafkan apa yang telah dilakukan oleh Badri terhadapnya. Malah dendamnya semakin bernyala apabila Anggun Danisha kembali pulang ke tanah air.
"Habis tu apa tujuan kau balik ke Malaysia?" soal Harith Mishka.
Dia yang hanya menyepi dari tadi mula bersuara. Entah kenapa dia terasa ingin mengetahui perancangan Anggun Danisha. Tidak mungkin Anggun Danisha hanya sekadar mahu mencari keluarga yang tidak pernah dikenalinya. Malah sampai sanggup memutuskan hubungan antara anak dan bapa! Pasti ada sesuatu yang berlaku antara mereka.
Mendengarkan pertanyaan Harith Mishka itu membuatkan Anggun Danisha tersenyum lebar. Hilang terus duka yang sedang merantai hati gadis itu. Harith Mishka mengerutkan dahinya. Sungguh dia tidak faham emosi gadis di hadapannya ini. Dapat berubah dengan sekelip mata. Namun Harith Mishka dapat mengagak pasti ada sesuatu yang menggembirakan yang sedang dikejar oleh gadis di hadapannya ini.
"Kenapa Isha tersenyum pulak? Ada apa-apa ke?" tanya Encik Hashim. Dia berasa pelik dengan senyuman itu.
Mendengarkan pertanyaan Encik Hashim itu menyebabkan Anggun Danisha melebarkan lagi senyumannya. Sungguh dia berasa begitu teruja dengan perancangannya ini.
"Mestilah. Sebenarnya Isha ada plan," kata Anggun Danisha. Bibirnya masih tidak henti melemparkan senyumannya.
Encik Hashim dan Harith Mishka saling berpandangan. Bicara Anggun Danisha bagaikan tersirat sesuatu. Lebih-lebih lagi apabila melihat senyuman Anggun Danisha itu.
"Plan apa pulak ni? Nampak macam sesuatu yang menyeronokkan aje," kata Encik Hashim sambil menggeleng.
"Sebenarnya plan Isha nak kahwin hujung tahun ni," kata Anggun Danisha.
Harith Mishka sudah menggeleng. Patutlah wajah itu asyik tersenyum dari tadi. Ah minah perasan ni apa yang dia tahu selain daripada menggatal aje! Nampak sangat dia seorang perempuan yang desperate! Fikir Harith Mishka.
"Oh, jadi Isha dah bertunang la," kata Encik Hashim.
"Nope. Isha datang sini dengan satu misi! Misi mendapatkan kembali Bunyamin kesayangan Isha!" kata Anggun Danisha cukup bersemangat sekali.
Harith Mishka dan Encik Hashim hanya terlopong. Terkejut benar mereka dengan sikap Anggun Danisha yang begitu berterus terang. Tidak seperti gadis melayu lain yang agak pemalu apabila mahu bercerita tentang hati dan perasaan mereka.
"Eh, budak ni baru break ke? Hisy tahulah lonely. Tapi tak perlulah kut sampai desperate macam ni!" keluh Harith Mishka di dalam hatinya.
Dia teringatkan perangai angau tidak bertempat wanita itu di dalam ERL tadi. Mulutnya mencebik.
"Dan target Isha, hujung tahun ini Isha akan berkahwin dengan Bunyamin! I promise it will happen," kata Anggun Danisha tanpa segan silu.
Manakala Harith Mishka hanya menggeleng lemah. Parah betul minah perasan ni! Siapalah Bunyamin yang malang itu?

No comments:

Post a Comment