Perlahan-lahan
Harith Mishka membuka mata yang terasa bagaikan digam. Berat! Masih terlalu
kabur pandangan ini untuk diketahui di mana dia berada tatkala ini. Dia
terbatuk-batuk kecil. Pandangan ditebar ke sekeliling. Begitu ramai manusia
yang sedang mengerumuninya. Apa yang sudah berlaku?
Dia
cuba berfikir. Namun kepalanya terasa sakit apabila dia berbuat begitu. Harith
Mishka memicit kepalanya. Dia masih belum jelas duduk perkara yang sebenar.
"Alhamdulilah
adik dah sedar."
Harith
Mishka berpaling ke arah lelaki separuh umur yang tersenyum memandangnya.
Kening dikerutkan lalu dia memandang keadaan dirinya. Basah! Pantas segala
kejadian itu mula terlayang di kotak memorinya.
"Adik
lemas tadi. Nasib baik kebetulan pak cik memancing di sini dan dapat
menyelamatkan adik," terang lelaki tersebut.
Harith
Mishka meraup wajahnya. Perasaan syukur tidak terhingga dipanjatkan kepada Yang
Maha Kuasa. Alhamdulilah. Terima kasih ya Allah kerana masih memanjangkan umur
ku. Tiba-tiba Harith Mishka teringatkan sesuatu. Dipandang ke sekeliling dengan
perasaan panik.
"Mama?"
tanya Harith Mishka. Ya Allah, selamatkanlah mama aku. Di dalam hati sempat
Harith Mishka berdoa.
Tangan
lelaki itu menunjuk ke kanan. Spontan bola mata Harith Mishka mengikut arah
jari lelaki tersebut. Sekujur tubuh terbaring kaku tertacap pada kornea
matanya. Saat itu dia dapat lihat Badri yang sedang bersungguh-sungguh
melakukan CPR kepada mamanya.
"Please don't die, Safiya! Please don't die
for me!" jelas kedengaran suara Badri berteriak sambil melakukan CPR.
Badri menangis. Namun CPR masih lagi dilakukannya dengan bersungguh-sungguh.
Dia akan melakukan segala-galanya demi untuk menghidupkan semula wanita yang
amat dicintainya. Namun malangnya Safiya masih begitu. Masih terbaring kaku
tanpa sebarang reaksi.
Pantas
Harith Mishka bangun dan mendapatkan mamanya yang terbaring kaku. Badri pula
semakin lemah melakukan CPR. Akhirnya dia terduduk lemah di sebelah Safiya.
Harith Mishka hanya melihat dengan
genangan air mata. Bahunya mula bergoncang pilu. Tangisannya mula
bergema. Rasa takut kehilangan mula menjalari seluruh tubuhnya.
"Safiya...Safiya...tolong
jangan pergi.."
Harith
Mishka terus merenung dada mamanya. Dadanya kaku. Tidak berombak. Ya Allah apa
semua ini? Tangis Harith Mishka mula meninggi. Juraian air mata kian lebat. Dia
terduduk lemah di sebelah mayat Safiya.
Matanya
tidak lepas memandang wajah itu. Wajah pucat lesi yang akan meninggalkannya
buat selamanya. Dengan tidak semena-mena tangan kanannya diangkat. Harith Mishka
terasa ingin menyentuhnya. Dia ingin memeluk tubuh mamanya.
"Mama..mama.."
panggil Harith Mishka. Pantas dia meriba kepala mamanya. Satu perbuatan yang
tidak pernah dilakukannya selama ini.
"Mama..Mama.."
panggil Harith Mishka lagi. Namun panggilannya itu tidak disahut. Mata mamanya
tetap terpejam lena. Badannya juga kaku tanpa sebarang reaksi. Harith Mishka
meraung. Dia menangis kuat. Terus tubuh mamanya diraih dalam pelukannya. Apabila
pelukan bersatu nikmatnya hanya Allah sahaja yang tahu.
Siapa
sangka yang dia hanya mampu memeluk tubuh ini setelah tubuh itu keras tanpa
sebarang reaksi. Dia memeluknya dengan begitu erat. Hatinya bergetar hebat
tatkala tubuh mamanya berada dalam pelukannya. Pelukan pertama dan terakhir
kalinya.
Mengenangkan
hakikat itu membuatkan perasaan sebak dan terluka menghimpit jiwanya.
Jantungnya berkocak hebat dengan rasa hiba. Sedaya upaya dia cuba untuk
menenangkan hati dalam setiap desah nafas yang dirasakan makin sukar untuk
dilepaskan.
"Mama...apa
dosa Mishka sampai mama begitu bencikan Mishka? Kenapa mama tak boleh sayang
Mishka seperti mama orang lain?" tangis Harith Mishka sambil memeluk tubuh
mamanya. Dia menangis tersedu-sedu sambil mencium wajah mamanya berkali-kali.
Air matanya merembes keluar tanpa dapat ditahan lagi.
“Tapi
Mishka tak salahkan mama. Papa yang hancurkan hidup mama. Papa musnahkan
segalanya. Jadi Mishka faham yang mama cuma buat apa yang sepatutnya mama buat
kepada anak haram seperti Mishka ini. Mishka faham...faham sangat-sangat! Dan
Mishka harap...Mishka harap..” terhenti seketika kata-katanya. Wajah kaku
mamanya dipandang dengan perasaan luluh.
“Mishka
harap mama gembira atas apa yang terjadi,” kata Harith Mishka semakin beremosi.
Harith Mishka memejamkan matanya seketika sebelum membukanya kembali. Setitik
air matanya yang jatuh diseka perlahan.
"Selamat
tinggal mama. Maafkan Mishka. Halalkan makan minum Mishka selama ini"
Pantas
Harith Mishka mencium dahi mamanya. Terasa sejuk sekali. Bibirnya diketap
kuat-kuat. Cuba menahan perasaan dalam hati. Tetapi entah kenapa Harith Mishka
tidak dapat merasakan apa-apa. Segalanya tiba-tiba menjadi kosong. Dan air mata
yang mengalir tiba-tiba kering.
"Sabar
adik! Sabar!"
Tiba-tiba
terasa bahunya disentuh. Harith Mishka berpaling. Lelaki yang menyelamatkannya
tersua di hadapan mata. Dia menjeling ke sisi. Badri masih lagi begitu. Meratap
dengan pemergian mamanya. Dia hanya memandang dengan rasa cemburu. Kasih
mamanya terhadap Badri terlalu dalam sehingga dia tidak mampu merampasnya walau
sedikit.
"Terima
kasih pak cik kerana selamatkan saya," kata Harith Mishka. Hatinya terasa
tenang sedikit.
"Itu
dah tanggungjawab pak cik, nak. Cuma pak cik kesal kerana tidak dapat
menyelamatkan mama adik. Air terlalu deras. Lelaki itu juga cuba menyelamatkan
tetapi tak berjaya," cerita pak cik itu.
Harith
Mishka mengangguk. Kemudian pandangan dilemparkan ke tengah tasik. Entah kenapa
dadanya berdebar hebat. Terasa seriau apabila dia cuba mengingati detik itu.
Malah masih terbayang-bayang lagi bagaimana dia cuba berjuang untuk mendapatkan
satu nafas. Lelah! Penat! Harith Mishka menggeleng ke sisi. Terasa trauma pula
untuk melihat di situ.
"Safiya!
Safiya! Jangan tinggalkan aku. Tolong jangan tinggalkan aku!"
Jelas
kedengaran tangisan Badri menyapa telinganya. Dan Harith Mishka hanya mampu
melihat dengan perasaan jengkel.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEggfi2fgeHT-xiVnyMxUCX0KYR1cgGIFAULFqM1FZsoUOOIOQbQOVjwrja6ymNvqyuB4YzFGyq7JX3kCTa3eNJou-e53RsBvjYD6vTOjvKv_7m-VxaX5yV76n2DI0d9iLBuiQgg5seqIMS5/s320/bp-darlingku-minah-angau.jpg)
No comments:
Post a Comment