“Mak, kenapa mak
asyik nak sebelahkan Qistina? Siapa anak mak yang sebenarnya hah?” Pekik Sarah
kepada ibunya.
Esah sedang
menikmati minum petang, merengus kasar dengan gelagat anak remajanya itu. Baru
sahaja dia mahu berangan menjadi pemaisuri di rumah banglo besar ini. Tiba-tiba
diganggu pula dengan pekikan Sarah yang tidak pernah tahu mendamaikan
perasaannya.
“Kalau kau tak
puas hati, kau pergilah belasah Qistina puas-puas”, kata Esah sambil mengetap
bibirnya.
Namun dia masih
mampu mengawal kelantangan suaranya. Takut pula didengari oleh keluarga iparnya
Sarah yang
mendengar terus mendengus. Ibunya bukan pernah mahu memahami bicara hatinya.
Sebaliknya terus menyebelahi sepupunya itu. Sarah semakin iri hati.
“Sudahlah
pergilah kau cari Qistina! Puaskan hati kau tu! Orang nak makan dengan senang
pun tak boleh!” Renggus Esah tanpa memperdulikan riak wajah Sarah yang semakin
mencuka.
Sarah semakin
bengang. Namun diikutkan juga perintah ibunya. Kata-kata ibunya memang ada
benarnya juga. Lebih baik dia mencari Mariam Qistina dan mem’balas’ segala yang
terbuku di hatinya selama ini.
Di laman rumah,
kelihatan Mariam Qistina sedang asyik menyapu daun-daun kering yang bertaburan
di laman. Sarah mencebirkan bibirnya. Makin meluat melihatkan sikap Mariam
Qistina yang berpura-pura baik itu.
“ Konon rajin
sangatlah tu! Mesti nak tunjuk rajin kepada mak dan abah aku!” Kata Sarah di
dalam hati.
Sarah terus
memerhatikan Mariam Qistina sambil berpeluk tubuh. Apa yang dilakukan Mariam
Qistina semakin menambahkan kebencian di dalam hatinya. Bagi Sarah, Mariam
Qistina hanya sekadar mahu menunjuk rajin sedangkan keluarga Mariam Qistina
mempunyai pembantu rumah yang sememangnya ditugaskan untuk melakukan
kerja-kerja begini. Mariam Qistina yang hidup dalam limpahan kemewahan.
Kemewahan yang sering Sarah impikan. Lantas membuatkan Sarah semakin iri hati.
Sarah sengaja
menyuakan kakinya di hadapan Mariam Qistina tatkala gadis itu melintasi
hadapannya lantas membuatkan Mariam Qistina tersungkur di lantai akibat
tersadung dengan kakinya.
“ Apa ni Sarah?”
Marah Mariam Qistina.
Sarah yang sudah
berasa puas hanya mencebik tanpa ada sedikit pun perasaan bersalah.
“ Padan muka
kau!” Kata Sarah sambil menjelirkan lidah kepada Mariam Qistina.
Dia sengaja
membakar kemarahan Mariam Qistina. Biar hati Mariam Qistina hangus macam abu
api seperti mana hati Sarah apabila tiap kali nama Mariam Qistina dilebihkan
dalam setiap segi oleh setiap insan yang mengenali mereka berdua.
Hati Mariam
Qistina dilanda geram melihatkan perangai Sarah itu. Dia segera bangun dan
terus mencapai penyapu.
“ Kau nak apa
dengan aku?” Tanya Mariam Qistina keras.
Dia sudah muak
dengan perangai Sarah yang suka cari fasal dengannya.
“ Aku nak kau
mampus!” Kata Sarah.
Bencinya kepada
Mariam Qistina sehingga dia memandang sepupunya tidak ubah seperti musuh
ketatnya sendiri.
“ Kenapa pula
kau nak aku mampus? Aku tak pernah ganggu kau tapi kau tu yang busuk hati pada
aku!” Perli Mariam Qistina agak selamba.
“ Celaka kau
Qistina! Jaga mulut kau tu atau kau tahu akibatnya nanti!”
“ Kau nak ugut
aku Sarah?” Mariam Qistina tersenyum menyindir. Sengaja dia menambah sakit hati
sepupunya itu.
Kemarahan Sarah
sudah tidak dapat dibendung. Dia melangkah ke hadapan, cuba menghampiri Mariam
Qistina.
“ Ugutan aku
bukan ugutan kosong Qis! Aku boleh buat kau merana selamanya,” ugut Sarah lagak
seorang gangster sedangkan dia hanyalah seorang remaja bawah umur.
“ Patutlah mak
bapa kau sendiri tak suka kau! Rupa-rupanya perangai kau lebih teruk dari
syaitan!”
Pang! Penampar
sulung hinggap tepat di muka Mariam Qistina tatkala dia mernghabiskan kata
hatinya.
Sarah
membutangkan matanya sambil memandang tajam kepada Mariam Qistina. Bibirnya
diketap kuat. Kemudian dia tujah dada Mariam Qistina dengan jari telunjuknya.
“ Aku memang
syaitan! Dan syaitan inilah yang akan memusnahkan hidup kau kelak!”
Mariam Qistina
terus terkelu tanpa kata. Kata-kata Sarah itu benar-benar membuatkan bulu
romanya meremang. Diusap perlahan pipinya yang sudah memerah. Lama dia terdiam
sambil memikirkan ugutan Sarah yang cukup berbisa itu.
Ah apa sangat
yang boleh Sarah lakukan sedangkan dia masih mempunyai kedua ibu bapa yang
boleh melindunginya daripada setiap ancaman Sarah yang masih hingusan itu!
Akhirnya hati Mariam Qistina kian tenang.
No comments:
Post a Comment