Rumah banglo
tiga tingkat yang tersergam indah di sebuah kawasan berbukit di pinggir kota
ini banyak merakamkan saat pahit dan manis yang di kongsi bersama oleh Tan Sri
Mohd Jamil sekeluarga. Kebahagian yang tidak pernah ada penghujungnya. Senda
dan tawa yang tidak pernah jemu menghiasi ruang hati mereka.
“ Maksud akak, Sarah suka Firdaus
ye?” Tanya Puan Sri Nor Aini dengan senyuman yang tidak pernah lekang di
bibirnya. Dia sememangnya rapat dengan anak sulungnya yang kini sudah mencecah
umur 14 tahun.
“ Ye. Tapi Firdaus tak suka kat
Sarah sebab Sarah suka buli orang”, celoteh Mariam Qistina menceritakan perihal
sepupunya yang sekelas dengannya.
“ Iskh tak baik akak cakap macam tu
dekat Sarah”, nasihat Puan Sri Nor Aini
yang mengetahui tentang hubungan renggang antara anak sulungnya dengan Sarah.
Semenjak dari kecil lagi Sarah dan Mariam Qistina tidak sebulu. Ada sahaja
perkara yang tidak sependapat antara mereka berdua. Persengketaan yang terjadi
selalunya berpunca daripada Sarah yang seakan tidak menyukai Mariam Qistina.
Namun begitu Puan Sri Nor Aini menggangap semuanya itu adalah lumrah anak-anak
yang mahu mendapatkan perhatian yang lebih. Lagi pun hubungan persaudaraan
antara keluarganya dengan keluarga Sarah sangat rapat. Kadang-kadang Puan Sri
Nor Aini merasakan Sarah merasa cemburu dengan perhatian yang lebih yang
diberikan oleh kedua ibu bapanya kepada Mariam Qistina. Disebabkan itulah Sarah
selalu tidak sependapat dengan Mariam Qistina.
Memang tidak dinafikan, Mariam
Qistina adalah anak yang taat dan berbudi pekerti mulia. Tingkah lakunya, tutur
katanya begitu tertib apabila bersama dengan orang yang lebih tua daripadanya. Walaupun
Mariam Qistina digolongkan dalam keluarga yang kaya dan mewah, tetapi
perwatakannya amat menyenangkan dan tidak memilih kawan sama ada kaya atau
miskin. Budi pekerti yang tinggi ini adalah hasil didikan yang sempurna oleh
Tan Sri Muhammad Jamil dan Puan Sri Nor Aini. Seumur hidup Puan Sri Nor Aini
tidak pernah melihat Mariam Qistina bersikap kasar terhadapnya.
Apa sahaja
keputusan atau kehendaknya, Mariam Qistina akan merujuk kepada Puan Sri Nor
Aini terlebih dahulu. Puan Sri Nor Ainilah yang akan memutuskan. A kata Puan
Sri Nor Aini A jugalah jadinya. Hitam kata Puan Sri Nor Aini, hitamlah kata Mariam
Qistina. Disebabkan sifat baik Mariam Qistina, dia di sukai oleh semua orang.
Malah ibu bapa Sarah lebih banyak memuji Mariam Qistina daripada memuji Sarah.
Oleh sebab itulah Sarah berasa cemburu dengan Mariam Qistina.
Puan Sri Nor
Aini bersyukur kerana mendapat abang ipar yang cukup baik dan mengambil berat
terhadap keluarganya. Malah setiap kali suaminya keluar daerah, mereka akan di
lawati oleh keluarga abang iparnya untuk memastikan mereka berada di dalam
keadaan yang baik. Lagi pun suaminya tidak pernah berkira dengan keluarga
abangnya itu. Demi untuk memastikan anak sulong Sahak mendapat pendidikan yang
terbaik Tan Sri Mohd Jamil sanggup menaja sepenuhnya pengajian anak saudaranya
itu. Ini membuatkan hubungan akrab ini semakin akrab dan semakin mesra sekali.
“ Semua orang memang tak suka Sarah,
mama. Bukan akak sorang sahaja,” bela Mariam Qistina seperti meluahkan sesuatu
kepada Puan Sri Aini tentang sikap Sarah yang tidak digemari oleh rakan-rakan
mereka. Dia cukup tidak berkenan dengan perangai Sarah yang suka bersaing
dengannya. Malah ramai kawan-kawan sekelas yang mengatakan Sarah dengki
dengannya. Kadangkala Mariam Qistina terfikir mengapakah sepupunya itu tidak
begitu mesra dengannya berbanding rakan-rakannya yang lain. Dia amat cemburu
melihat rakan-rakannya yang lain yang mempunyai saudara di sekolah mereka yang
amat akrab perhubungannya tidak seperti dia dan Sarah. Bukannya dia tidak
pernah mengalah dengan Sarah tetapi sikap dan akhlak Sarah sendiri yang seakan
mewujudkan jurang di antara mereka. Ustazah Siti Mashitah selalu mengingatkan
mereka di dalam kelas pendidikan Islam bahawa setiap umat islam itu adalah
bersaudara walaupun berlainan darah, bangsa dan keturunan. Tetapi dia bingung
melihat sikap sepupunya yang mempunyai pertalian darah dengannya seolah-olah
bukan seperti saudaranya sendiri.
Walaupun begitu
hubungannya dengan keluarga Sarah amat rapat. Lebih-lebih lagi dengan Pak Long
Sahak iaitu ayah Sarah yang suka memanjainya. Pak Longlah insan yang boleh
diharapkannya untuk menjaganya dan adiknya di masa hadapan selain daripada
kedua ibu bapanya.
“ Tak baik berperangai
macam tu akak. Sarah tu kan sepupu akak. Kalau orang tak suka Sarah sepatutnya
akaklah yang berkawan dengannya. Lagi pun Pak Long, Mak Long dan abang Man kan
baik orangnya. Mereka sangat sayangkan akak”, nasihat Puan Sri Nor Aini cuba melonggarkan tekanan yang dialami oleh
anak sulungnya itu.
“ Akak dah cuba
berbaik dengan Sarah. Tapi Sarah tu, ada sahaja yang tak kena. Asyik nak cari
fasal je dengan akak,” adu Mariam Qistina kepada ibunya.
“ Kalau macam tu
akak jauhkan diri dengan Sarah. Jangan sesekali cari fasal dengan dia. Biar
orang cari fasal dengan kita, tapi jangan kita cari fasal dengan orang,”
nasihat Puan Sri Nor Aini.
Mariam Qistina
tidak pernah berahsia dengannya. Mereka bagaikan isi dengan kuku. Mereka boleh
di ibaratkan seperti satu nyawa. Mereka sangat rapat dan tidak boleh dipisahkan
lagi. Bagi Mariam Qistina ibunya adalah teman yang paling rapat. Malah didikan yang
diberikan oleh Puan Sri Nor Aini terhadap anak sulongnya amat baik sekali.
Beliau tahu dimana beliau perlu bertegas dan dimana beliau perlu berlembut
dengan anaknya itu.
“Bagaimana pula dengan akak? Akak
tak de secret admire?” Tanya Puan Sri
Nor Aini cuba mengorek rahsia hati anaknya. Tidak pernah sekali pun Mariam
Qistina bercerita tentang lelaki yang menjadi pujaan hatinya. Selalunya Mariam
Qistina banyak bercerita tentang teman-temannya yang sudah pandai bermain
cinta.
Bagi Puan Sri Nor Aini pula, dia
tidak melarang sekiranya Mariam Qistina ingin bercinta walaupun anaknya itu
masih di awal remaja. Asalkan Mariam Qistina pandai menjaga adab dan tatasusila
sebagai seorang hamba Allah dan mampu membahagikan masa antara pelajaran dan
cinta. Puan Sri Nor Aini selalu menasihati anak sulungnya supaya melebihkan
pelajaran daripada bercinta. Kata Puan Sri Nor Aini lagi, ilmu amat penting kerana
ilmulah yang akan membimbing kita menuju ke jalan Ilahi dan dengan ilmu juga ia
membezakan antara orang yang mampu berfikir secara ilmiah atau sebaliknya.
Mariam Qistina tersenyum apabila
mendengarkan pertanyaan ibunya itu. Dia berasa malu dengan pertanyaan yang
tidak di duga itu. Sememangnya beliau amat tidak menggemari pertanyaan Puan
Seri Nor Aini tentang hubungan cinta. Bagi MariamQistina sekarang bukanlah
masanya untuk bercinta. Sekarang adalah masa terbaik untuk dia menumpukan
kepada pelajaran. Baginya apakah erti cinta kalau cinta itu tidak disisipkan
dengan ilmu. Mariam Qistina yakin cinta baginya akan hadir apabila tiba
waktunya nanti.
“ Isk Mama ni, ke situ pula. Akak
mana ada boyfriend lagi. Kalau boleh
akak tak nak bercinta lagi. Buat masa ini akak nak tumpukan perhatian kepada
pelajaran dulu. Akak nak belajar pandai-pandai sampai masuk Universiti macam
mama dan papa, papa mempunyai bachelor
degree in mechanical engineering dan master in business and administration, mama pula mempunyai bachelor degree in science actuary, so
akak mesti lebih daripada papa dan mama iaitu PHD,” beritahu Mariam Qistina
panjang lebar. Mariam Qistina sedar tentang kepentingan ilmu kerana Puan Seri Nor Aini
selalu berkata bahawa ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan di
sisi Allah. Malah orang yang berilmu akan di muliakan oleh penduduk langit dan
bumi.
Puan Seri Nor Aini tersenyum lebar mendengarkan
bicara anaknya itu. Cukup tegas anaknya berhujah tentang pentingnya ilmu
berbanding cinta. Dia yakin Mariam Qistina tidak berbohong dengannya. Malah Mariam
Qistina tidak pernah berahsia dengannya.
“ Macam tu la anak mama. Mama
berharap sangat semua anak-anak mama, baik akak atau adik akan masuk
Universiti. Jadi orang yang berguna. Boleh akak berjanji dengan mama untuk
belajar bersungguh-sungguh dan masuk Universiti. Mama nak anak-anak mama jadi
orang yang berguna di masa hadapan. Menjadi aset kepada mama dan papa dan aset
kepada agama dan Negara”.
“ Mestilah mama. Akak berjanji akan
belajar bersungguh-sungguh dan masuk Universiti. Akak nak balas jasa mama dan
papa yang telah membesarkan akak dan adik selama ini,” kata Mariam Qistina
sambil mengangkat tangannya seperti sedang membacakan ikrar.
“ Betul? Walau apa pun terjadi akak
akan teruskan pelajaran akak?” Tanya Puan Seri Nor Aini hanya sekadar menguji
kesungguhan anaknya itu.
Mariam Qistina mengganggukkan
kepalanya sekali.
“ Ya. Akak berjanji.”
Tidak sanggup rasanya hati untuk mengecewakan
harapan kedua ibu bapanya yang ingin melihat anak-anak mengecapi kejayaan di
dalam hidup. Dia tahu kedua-dua ibu bapanya menaruh harapan yang tinggi kepada
mereka adik beradik.
“ Alhamdullilah. Lega hati mama
mendengarkannya. Mama harap akak dahulukan mama dalam semua perkara, tapi
jangan lupakan Allah sebab Allah lah yang paling hampir dengan kita dan Allah
lah maha berkuasa ke atas segalanya di dalam dunia ini,” kata Puan Seri Nor
Aini.
“ Maksud mama?” Tanya Mariam Qistina
yang sudah mengerutkan dahinya. Dia masih tidak faham dengan bicara ibunya itu.
“ Akak mesti ceritakan semua perkara
yang berlaku pada akak kepada mama dan mama harap mamalah orang yang pertama
yang akak akan beritahu.”
Mariam Qistina tersenyum lagi.
Rupa-rupanya ibunya masih lagi mahu mengorek rahsia hatinya.
“ Mestilah mama. Pernahkah akak
berahsia dengan mama?”
“ Termasuklah teman lelaki.”
Mariam Qistina sudah menjuihkan
mulutnya mendengarkan bicara ibunya itu.
“ Iskh mama ni. Ke situ pula.”
Puan Seri Nor Aini membelai-belai
rambut anak daranya itu. Begitu cepat masa yang berlalu. Anak yang di jaganya
sebesar telapak tangan kini sudah pun remaja. Iras wajahnya persis wajah Puan
Seri Nor Aini ketika muda dahulu. Dia tahu dengan paras wajah anaknya yang
begitu jelita di tambah lagi dengan kesantunannya akan memikat hati ramai
lelaki. Dia tidak mahu anak daranya tersalah pilih dalam memilih pasangannya
kelak. Dia harap setiap keputusan yang bakal di buat oleh anaknya tidak kiralah
tentang pasangan hidup atau pun masalah peribadi akan di rujuk kepadanya
terlebih dahulu.
“ Betul. Mama serius ni. Akak adalah
anak mama. Mama kena menjaga akak dengan baik. Mama mahu semua anak mama
membesar dengan gembira. Mama tahu selepas akak masuk Universiti akak akan
bertemu dengan teman lelaki yang akak cintai. Saat itu akak jangan lupakan
mama. Akak mesti ceritakan kepada mama sebab mama juga ingin berkongsi
kegembiraan itu bersama. Apabila akak ingin berkahwin, mama akan tolong
pilihkan pakaian pengantin buat akak. Apabila akak sudah ada keluarga akak
sendiri mama akan sentiasa bersama akak. Mama amat berharap setiap saat yang
akan akak lalui akan di kongsi bersama mama sebab mama sangat sayangkan akak,”
kata Puan Seri Nor Aini. Dia cuba membayangkan saat-saat indah yang akan di
lalui oleh anak daranya kelak. Puan Seri Nor Aini juga berharap anaknya akan memiliki
suami yang baik yang mampu memandu keluarga mereka ke jalan yang diredai oleh
Allah. Baginya wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik tetapi jika
sebalikya itu adalah yang terbaik daripada sang pencipta Allah rabbujalil terhadap
hambaNya.
“ Akak pun sayangkan mama juga,”
kata Mariam Qistina. Kemudian dia terus memeluk erat ibunya yang berada di
sebelahnya itu. Dia tahu mama amat sayangkannya. Kasih mama tiada
penghujungnya. Kasih mama juga membawanya ke syurga. Dia amat bersyukur kerana
di kurniakan sebuah keluarga yang cukup bahagia. Dia berharap kebahagiaan ini
akan berkekalan hingga ke akhir hayat. Semoga mereka dapat bersatu selamanya
sebagai sebuah keluarga yang bahagia selamanya.
No comments:
Post a Comment