“ Aqif, awak tahu tak apa tujuan saya
memanggil awak ke dalam bilik saya?” Tanya Encik Arshad selaku ketua felo Kolej
Keris Mas.
Aqif yang duduk di hadapan Encik Arshad
hanya menggeleng. Wajahnya kelihatan begitu resah sekali. Encik Arshad jarang
memanggil mahasiswa kalau tiada perkara serius yang perlu dibincangkan.
“ Maafkan saya Encik. Saya tak tahu
tujuan Encik memanggil saya ke sini.” Jawab Aqif gementar sekali. Dia terus
merenung Encik Arshad yang kelihatan begitu serius.
“ Sebenarnya saya telah mendapat aduan
tentang sikap awak yang telah membuli seorang junior wanita.” Kata Encik Arshad
tenang sekali.
Aqif terkejut besar dengan aduan yang
langsung tidak disangkanya. Kerutan di dahi semakin ketara. Siapakah yang telah
membuat aduan tersebut? Budak perempuan itukah? Mukanya sudah merona merah.
“ Siapa?”
Encik Arshad mengeluh lemah. Dia
langsung tidak terkejut mendapat aduan tersebut kerana sememangnya Aqif cukup
dikenali dengan kenakalannya. Namun begitu aduan yang diterima tidak boleh di
pandang remeh apatah lagi yang mengadunya adalah Datuk Hisham salah seorang
tokoh korporat yang cukup terkenal di Malaysia.
“ Namanya Qisha binti Datuk Hisham.”
Aqif makin berasa cuak apabila
mendengarkan pangkat bapa perempuan itu. Ternyata budak perempuan itu bukannya
calang-calang orang.
“ Tapi apa yang telah saya buat kepada
dia?” Tanya Aqif ingin mendapatkan kepastian. Selama ini banyak juga kaum
wanita yang menjadi mangsa sakatnya tetapi nama Qisha tidak pernah di
dengarnya.
“ Menurut aduan, awak telah mempermainkannnya
dan menjadikannya sebagai bahan ketawa awak. Disebabkan itu dia mengalami tekanan
perasaan.”
Aqif mengeluh lemah. Pandai benar wanita
bernama Qisha mereka cerita. Tak kanlah setakat buli sebegitu akan menyebabkan
tekanan perasan. Saje je budak perempuan itu mahu mengenanya. Aqif makin geram.
Dia menganggak Qisha binti Datuk Hisham itu adalah junior yang di panggil Cik Nyet
olehnya.
“ Aqif, perbuatan membuli saya anggap
perbuatan yang cukup serius kerana ia juga merupakan satu isu nasional yang
sering diperkatakan di media massa. Awak adalah seorang pelajar yang pintar
tetapi perbuatan seperti ini tidak boleh dipandang remeh. Sepatutnya awak
memberikan contoh yang baik kepada mahasiswa baru dan bukannya bersikap seperti
orang tidak matang begini.” Panjang lebar Encik Arshad berleter.
Aqif menunduk. Dia mula gementar dengan
tindakan yang bakal di ambil oleh Encik Arshad terhadapnya.
“ Saya minta maaf Encik. Saya janji tak
kan melakukan perkara ini lagi.”
“ Jadi, awak mengaku?”
Lambat-lambat Aqif menganggukkan
kepalanya.
“ Saya tetap akan menghukum awak
melainkan jika Qisha sudi memaafkan awak dan tidak memanjangkan cerita ini. “
Aqif makin berdebar. Janganlah Encik
Arshad menjatuhkan hukuman yang bakal menggelapkan masa hadapannya sedangkan dia
melakukan semua ini hanyalah sekadar untuk suka-suka sahaja.
Encik Arshad menekan interkom.
“ Halimah, suruh mahasiswa bernama Qisha
masuk.”
Tidak sampai dua minit, terdengar
ketukan di luar pintu. Selepas mendapat arahan masuk, tersembul wajah yang cukup
di kenalinya. Ternyata tekaannya tepat sekali. Rupa-rupanya Cik Nyet adalah
Qisha binti Datuk Hisham. Pandai benar Cik Nyet menggunakan pengaruh bapanya
untuk mengenakannya kembali.
“ Selamat pagi Encik.” Kata Qisha
sedikit pun tidak memandang ke arah Aqif.
“ Selamat pagi. Sila duduk.”
“ Terima kasih Encik.” Kata Qisha
sebelum melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan dengan Aqif. Sempat juga dia
menjeling ke arah Aqif yang kelihatan begitu cuak sekali.
“ Qisha, saya mendapat aduan daripada
bapa awak yang Aqif ini telah membuli awak. Adakah ianya betul?”
Qisha menarik nafas dalam-dalam. Dia
tidak menyangka bapanya benar-benar ambil serius dengan bicaranya tempoh hari.
“ Betul Encik tapi saya anggap itu
sebagai satu gurauan sahaja yang patut di terima oleh mahasiswa baru. Dengan
cara ini kami dapat berkenalan dengan lebih mesra.”
Aqif menarik nafas lega dengan bicara
Qisha itu.
“ Perkara membuli adalah perkara yang
serius dan Aqif boleh dikenakan tindakan tatatertib.”
Qisha menjeling Aqif sekilas. Dia tidak
mahu hanya kerana perkara sekecil ini akan menggelapkan masa hadapan Aqif.
“ Saya rasa tidak perlulah dipanjangkan
perkara ini. Saya harap ianya boleh berakhir di sini.”
Encik Arshad mengangguk. Dia berasa
senang hati dengan bicara Qisha itu.
“ Saya juga sebenarnya tidak suka
perkara ini diperbesarkan. Kalau begitu Aqif, sebagai adatnya awak kenalah
memohon maaf dari Qisha dan saya tak mahu perkara sebegini berulang kembali.”
Encik Arshad memberi amaran.
Aqif tersenyum senang hati. Dia segera
bangun dan menghulurkan tangannya kepada Qisha. Sempat dia menangkap jelingan
Qisha kepadanya.
“ Ah Cik Nyet ni, jeling-jeling paku
pula!” Kata Aqif di dalam hati.
Qisha menyambut huluran Aqif. Tanpa
menunggu sesaat jari-jemari nakal Aqif terus memegang kejap jari-jemari Qisha.
Dia sempat mengejitkan mata kepada Qisha membuatkan Qisha menjeling tajam.
“ Maafkan aku Cik Nyet.”
“ OIII..Aqif, angau ke?”
Wahid yang perasan dengan sikap Aqif
yang asyik mencium tangannya sendiri dan kemudiannya tersenyum sendirian mula
menegur sahabat baiknya itu.
“ Kau ni potong stim lah!” Marah Aqif.
“ Tu nasi tu tak luak pun. Asyik cium
telapak tangan sejak dari tadi! Kau ingat dengan cium tangan kau tu boleh buat
Cik Nyet jatuh cinta kepada kau ke?”
Aqif mengeleng dengan bicara Wahid itu.
Tanpa memperdulikan Wahid dia terus mencium telapak tangannya yang sebentar
tadi berjabat dengan tangan Qisha.
“ Kau ni pandai-pandai je buat
kesimpulan sendiri. Aku bukannya sukakan dia. Aku bertambah geram dengan dia!”
Wahid yang sedang enak menyuapkan
makanannya terhenti buat seketika. Di pandangnya Aqif tanpa berkelip.
“ Kenapa pula kau geramkan dia?”
Aqif tersenyum manis.
“ Sebab dia sudah pandai melawan aku,”
kata Aqif yang semakin seronok dengan permainannnya ini.
Wahid menggeleng. Nampaknya Aqif masih
belum serik walau telah diberi amaran oleh Encik Arshad sebentar tadi.
“ Kau jangan main-main Aqif. Dia guna
kabel besar. Karang tak fasal-fasal kau pula dikenakan tindakan tatatertib.”
Nasihat Wahid.
“ Sebab tu aku suka kacau dia. Lagi
berisiko lagi syok,” ulas Aqif dengan tawa besar.
Wajah Qisha menari-nari di ruang
ingatannya. Dia mula merancang sesuatu. Sesuatu yang bakal menaikkan kemarahan
gadis naif itu lagi. Senyumannya semakin lebar. Malah tawanya makin besar.
No comments:
Post a Comment