Pengambilan pelajar baru telah diadakan pada hari ini. Begitu
ramai mahasiswa dan mahasisiwi baru yang kelihatan begitu teruja dan
bersemangat sekali untuk menimba ilmu di Universiti Kebangsaan Malaysia telah
melaporkan diri. Tidak kurang juga dengan Qisha yang begitu teruja kerana
inilah pengalaman pertamanya untuk menimba ilmu di pusat pengajian tinggi yang
cukup berprestij ini.
Hari pendaftaran berjalan dengan lancar sekali walaupun
jumlah kehadiran mahasiswa baru melebihi seribu orang. Layanan yang diberikan
juga cukup sempurna. Qisha berasa begitu seronok apatah lagi apabila melihat
senyuman yang terukir di setiap bibir senior-senior yang menjadi fasilator
mereka sepanjang sesi orientasi kelak.
Mereka juga kelihatan ramah dan cukup mesra sekali melayan
karenah junior mereka yang masih lagi belum membiasakan diri dengan sistem
pembelajaran di institut pengajian tinggi ini sekaligus menolak persepsi Qisha
tentang kegarangan senior pada hari orientasi seperti apa yang sering
diceritakan oleh teman-temannya.
Menurut teman-temannya hari orientasi adalah hari yang cukup
perit dalam kehidupan mereka sepanjang bergelar pelajar baru dan pada hari ini
jugalah mereka terpaksa menunjukkan peragai paling baik. Hati Qisha turut
berdebar-debar menantikan saat tersebut.
Sesi orientasi untuk para mahasisawa baru bermula pada malam
tersebut. Tiada apa yang menarik tentang hari orientasi itu. Mereka hanya
mendengar taklimat daripada felo asrama. Kemudian mereka dilatih menyanyikan
lagu universiti dan berlatih membaca akur janji. Tepat pukul 10.30 malam mereka
dibenarkan pulang ke asrama untuk berehat.
Di dalam bilik, Qisha hanya menghabiskan masa bersembang
dengan teman sebiliknya yang berasal dari Pahang. Namanya Anisah yang kebetulan
juga mengambil jurusan yang sama dengan Qisha.
“ Aku tengok dalam tentative
program ni, semua program berakhir pada pukul 10.30 malam. Kiranya tak de lah
lewat sangat. Bolehlah kita berehat secukupnya sebelum acara seterusnya pada
keesokan hari,” kata Qisha yang sedang meneliti jadual program yang telah
dirancangkan untuk mereka sepanjang minggu orientasi ini.
“ Baguslah macam tu. Selalunya minggu orientasi adalah hari
yang cukup padat dengan pelbagai aktiviti sehingga kita tidak diberi kesempatan
untuk tidur walaupun sebentar.” Komen Anisah.
“ Zaman sekarang berbeza dengan zaman
dulu. Lagi pun isu buli kan dah jadi isu nasional. Pastinya pihak pentadbiran
memandang serius terhadap isu ini.”
“ Aku tengok pun kakak-kakak dan
abang-abang senior di sini cukup ramah dan baik hati.” Ujar Anisah pula.
“ Jom tidur Nisah. Esok, pukul lima pagi
kita dah kena bangun dan mandi sebab pukul 5.50 pagi kita dah kena berkumpul di
surau untuk bersolat subuh berjemaah dan kemudiannya ada aktiviti tazkirah
agama di sana.”
“ Hah…awalnya kita kena bangun.” Rungut
Anisah.
Dia sudah mengemaskan katilnya sebelum
berbaring di situ. Qisha juga turut berbuat demikian. Masa yang berlalu tidak
boleh dibiarkan pergi dengan sia-sia. Lebih baik mereka melabuhkan mimpi
sebelum menjalankan pelbagai aktiviti yang cukup meletihkan pada keesokan
harinya.
“ Dah namanya orientasi, Nisah. Sabarlah
hanya seminggu je. Ok Nisah, good night.”
Qisha sudah mematikan suis lampu bilik.
Keadaan bilik yang tadinya cerah bertukar gelap dengan serta-merta.
“ Good
night, Qisha.”
TEPAT pukul satu pagi, tidur Qisha dan
Anisah di ganggu apabila terdengar ketukan di pintu bilik mereka. Mereka
disuruh berkumpul di dewan dalam masa lima minit dengan membawa sebatang pen
dan buku nota. Dalam keterpaksaan Qisha dan Anisah menurut jua.
Sampai sahaja di dewan mereka di sambut
dengan teriakan daripada fasilator yang begitu marah sekali akibat kelewatan
mereka berkumpul di dewan sedangkan masa yang diberikan cukup sedikit untuk
mereka mempersiapkan diri. Tak kanlah mahu turun di situ dengan berbaju tidur
pula. Karang ada pula di kalangan para fasitatator yang jatuh pengsan
melihatkan penampilan mereka yang berbaju tidur itu.
Hanya kesalahan sedikit itu sahaja telah
memberikan kemarahan yang cukup besar kepada para fasilitator. Mereka menjerit
dan memaki hamun setiap mahasiswa yang baru sampai ke dalam dewan. Qisha
rasakan tiba-tiba sahaja para fasilitator yang pada petang tadi kelihatan baik
dan mesra sudah menjadi garang seperti singa betina. Rasa macam nak karate
sahaja mereka satu per satu.
Lebih menyakitkan hati apabila masa
tidur mereka di ganggu hanya semata-mata untuk sesi berkenalan dengan para
fasilitator. Kenapa tidak dilakukan aktiviti ini pada keesokan harinya? Setiap
mahasiswa di wajibkan menghafal nama kesemua tiga puluh fasilitator pada malam
itu. Bukan setakat nama sahaja yang perlu dihafal tetapi siap dengan data
peribadi mereka. Mata yang berat menyukarkan Qisha mengambil semua input yang
diberikan oleh para fasilitator.
Qisha lihat ada pelajar yang sudah
tersengguk-sengguk tidur dan ini telah membahayakan diri mereka sendiri.
Sesiapa sahaja yang didapati tertidur akan dipanggil dan diminta memberikan
butiran peribadi setiap fasilitator. Jika mereka gagal berbuat demikian mereka
akan dikenakan denda.
“ Oooo kau tidur ye. Mari sini,” seorang
fasilitator telah menangkap seorang mahasiswa lelaki yang sudah terlelap.
Mahasiswa lelaki itu yang terkejut
segera bangun mengikut fasilitator tersebut. Mereka menyuruh mahasiswa tersebut
memberikan ke semua nama fasilitator yang ada di situ. Malangnya dia hanya
dapat memberikan sepuluh nama. Dengan itu dia telah dikenakan denda. Dendanya
ialah tiup lampu sampai padam.
Qisha rasakan denda ini memang tidak
masuk di akal. Ada ke patut di suruh tiup lampu elektrik sampai padam. Memang sahlah
para fasilitator ini mempunyai akal yang pendek. Kasihan mahasiswa tersebut
yang bersungguh-sungguh meniup lampu tersebut tetapi tak padam-padam.
Sedaya upaya Qisha cuba mencelekkan
matanya walaupun matanya sudah terlalu berat untuk terus bertahan. Apatah lagi
nama-nama para senior di situ satu pun tidak dapat dihafalnya kerana dia
terlalu mengantuk. Dah la nama yang diberikan panjang berjela. Siap mahu ingat
lagi data peribadi. Ah ini semuanya kerja gila. Alangkah enaknya kalau dia
boleh tidur. Tidur yang nyenyak dengan mimpi yang indah sekali di dalam bilik
barunya itu.
Qisha yang sudah dibuai mimpi tiba-tiba
tersedar apabila dia disimbah air oleh seorang senior lelaki. Kurang ajar! Mahu
sahaja dia menyumpah-nyumpah senior yang langsung tidak diketahui namanya itu.
Tetapi dia menyabarkan diri apatah lagi nasihat temannya yang menyuruhnya
menunjukkan sikap yang paling baik di hadapan seniornya ini. Ah tak pe minggu
orientasi hanya seminggu sahaja.
“ Bodoh! Siapa suruh kau tidur?” Maki
senior itu.
Qisha yang terkulat-kulat hanya
menunduk. Telinganya begitu sakit dengan makian lelaki itu apatah lagi seumur
hidupnya tidak pernah di maki sebegitu.
“ Maafkan saya!!!”
“ Apa maaf-maaf? Ampun!”
Terhenjut bahu Qisha akibat tengkingan
itu. Malunya hanya Allah sahaja yang tahu. Dialah satu-satunya mahasiswa
perempuan yang telah mencipta sejarah di panggil pada malam ini.
“ Ampun abang!”
“ Siapa abang kau? Bila masa mak aku
kahwin dengan bapa kau? Panggil aku tuan!”
Ah sombongnya. Bila masa pula lelaki ini
menjadi tuannya? Hendak tak hendak Qisha terpaksa menurut.
“ Ampun tuan!”
“ Tuan apa?” Tanya lelaki itu membuatkan Qisha memandang
tanpa kata. Hatinya kalut. Nahas dia kali ini. Sememangnya dia tidak menghafal
nama lelaki itu.
“ Tuan apa?” Tanya lelaki itu lagi.
Qisha hanya menunduk. Mukanya sudah
tebal tiga inci.
“ Bodoh! Nama yang senang begitu pun kau
tak boleh hafal? Macamana kau masuk universiti?”
Sudah dua kali lelaki itu memakinya.
Hati Qisha membara. Ah penting sangatkah nama lelaki itu sampai perlu
dihafalnya?
“ Maaf tuan!”
“ Tuan Jazzlee Portsmouth de Orellana
Plantagenet!!!” Tengking lelaki itu.
Mak aii panjangnya nama dia. Orang putih
ke dia ni? Tengok muka macam orang melayu asli je. Tak nampak ada darah kacukan
pun.
“
Maaf tuan Jazzlee Portsmouth de Orellana Plantagenet!!”
Tergeliat lidah Qisha menyebutnya.
“ Bodoh!! Buat bunyi monyet sekarang!!”
Qisha pandang lelaki itu. Dia mahu
meminta simpati. Dia tidak sanggup menjadi badut di tengah malam ini untuk
diketawakan oleh mahasiswa yang rata-ratanya sudah mahu melabuhkan tidurnya.
“ Apa pandang pandang? Buat sekarang!”
Terhenjut sekali lagi bahu Qisha akibat
terkejut. Tiba-tiba sahaja dia rasa mahu terkencing. Janganlah dia terkencing
pula di situ!
“ Tapi tuan…”
“ Tak de tapi tapi lagi. Aku kata buat
sekarang! Buat!”
Qisha mendenggus lemah. Di pandang
kepada mahasiswa-mahasiswa yang setia memandangnya. Dia tidak tahu apa
pandangan mereka terhadapnya. Adakah mereka sedang bersimpati kepadanya atau
mereka sedang mentertawakannya. Dia mengharapkan salah seorang daripada mereka
bangun mempertahankannya tetapi malangnya tiada siapa pun yang berbuat
demikian.
Dalam keterpaksaan itu Qisha terpaksa
akur.
“ Ooo..ooo…ooo..” Kata Qisha yang sudah
merah mukanya.
Dia dapat lihat senyuman yang terukir di
wajah lelaki itu. Senyuman yang mahu disembunyikannya. Kononnya mahu
menunjukkan wajah yang serius.
“ Buat gaya sekali.”
Qisha mengeluh namun dia tahu dia tiada
pilihan lain. Akhirnya diikutkan juga. Kali ini dia rasakan maruahnya sudah
berada di tapak kaki lelaki itu. Sudah tiada istilah malu dalam dirinya tatkala
ini. Adakah dia sudah menukar profesionnya menjadi pelawak professional?
Lelaki itu ketawa. Ketawa yang
berdekah-dekah sekali melihatkan aksi spontannya yang membuat gaya seperti
monyet sambil membuat bunyinya sekali. Begitu juga dengan seisi dewan yang
gamat dengan tawa mahasiswa di jam tiga pagi itu.
“ Hah…hah..kelakarlah. Memang sebiji
macam monyet. Ok dengar sini semua, mulai hari ini nama dia adalah cik nyet!
Aku nak semua orang di sini panggil dia dengan nama cik nyet!”
Qisha rasakan bagaikan mahu menjerit
mendengarkan semua itu. Memang lelaki ini mahu mencari fasal dengannya. Dia
menyumpah geram.
No comments:
Post a Comment