Ternyata susah menjadi orang glomour. Tidak
seperti Mawi yang semakin glomour semakin murah rezekinya. Walaupun seperti
Mawi juga ke mana sahaja Qisha pergi pastinya ada yang mengenali. Tetapi apa
yang menyakitkan hatinya apabila dia disakat dan ditertawakan. Setiap urusannya
menjadi semakin sukar.
Untuk mendapatkan tandatangan tiga puluh
fasilitator bukannya sesuatu yang mudah. Apatah lagi mereka sudah mengetahui
kepakarannya untuk menggayakan aksi monyet maka setiap kali dia mahukan
tandatangan daripada fasilitator dia disuruh mengayakan pelbagai aksi yang
cukup menguji kesabarannya. Berbeza pula dengan Anisah yang begitu mudah untuk
mendapatkan tandatangan tersebut.
“ Oooo..Cik Nyet dah datang!!!” Jerit
Aqif bersama konco-konconya yang dikenali sebagai Wahid dan Kamarul.
Ketika itu Aqif dan konco-konconya
berada di dalam bilik gerakan. Bilik gerakan adalah bilik yang dikhususkan oleh
pihak pengurusan kolej kepada ahli jawatankuasa kolej untuk melaksanakan
aktivitinya. Ia terletak disebelah kafeteria kolej. Aqif juga merupakan antara
salah seorang ahli jawatankuasa kolej tersebut.
Qisha menjeling tajam. Sakit hati dengan
panggilan itu bagaikan duri yang menusuk kalbu.
“ Tolong tandatangan kat sini!” Kata
Qisha sambil menghulurkan kertas kepada Aqif. Di dalam hati dia mendongkol
marah dengan tugasan yang tidak berfaedah yang diberikan kepadanya. Penting
sangatkah tandatangan mereka ini?
“ Amboi sombongnya. Kalau kau jumpa Tom
Cruise minta tandatangannya dengan cara begini kau rasa dia bagi ke tak?” Tanya
Aqif berlagak sekali.
Qisha menjeling tajam. Ada ke patut Aqif
samakan dirinya dengan Tom Cruise? Layakkah? Malas dia mahu melayan karenah
Aqif yang baginya tidak berfikiran matang sebegitu.
“ Wehhh…Cik Nyet jelinglah! Manisnya
jelingan Cik Nyet!” Kata Wahid tiba-tiba membuatkan mereka semua ketawa
manakala Qisha pula hanya membuat muka selamba. Kalau diikutkan hati mahu
sahaja dia berlalu dari situ begitu sahaja. Tetapi apabila mengenangkan denda
yang bakal menanti jika dia gagal menyiapkan tugasan ini menyebabkan niatnya
itu terbantut.
“ Jeling-jeling paku. Paku atas para.
Siapa jeling aku, sah dia nak dekat aku!” Nyanyi Aqif tiba-tiba.
Nyanyiannya itu di sambut dengan sorakan
hebat daripada teman-temannya itu. Kemudian mereka juga sama-sama turut
menyanyikan lagu itu beberapa kali.
Qisha terus berwajah selamba. Dia
langsung tidak berasa kelakar untuk turut sama-sama ketawa dengan budak-budak
yang kurang matang itu. Ah perasan siapa suka dengan budak kurang matang
seperti mereka ini?
“ Sudahlah! Boleh berikan aku
tandatangan sekarang? Aku tak de masa nak berlama di sini.” Kata Qisha.
Aqif meredakan tawa sahabat-sahabatnya
itu.
“ Weh sudahlah. Kasihan dekat Cik Nyet.
Dia kesuntukan masa. Jom kita sign untuk dia.” Kata Aqif.
Qisha rasa begitu lega sekali
mendengarkan bicara Aqif itu. Dia begitu tidak menyangka Aqif sebenarnya
mempunyai hati budi yang cukup murni.
“ Tak kan kita nak sign tanpa beri Cik
Nyet kerja!” Kata Kamarul.
Qisha mendenggus marah. Tidak
habis-habis dia di buli. Kesabarannya semakin menipis. Apa pulalah kerja yang
bakal menantinya kali ini.
“ Kerja mesti buat beb. Kalau tak buat
tak best la!” Ujar Wahid pula.
“ Mestilah tapi kali ini kita bagi kerja
mudah je. Kasihan kat dia!” Kata Aqif.
Qisha hanya mendengar. Dia tiada kuasa
untuk menyampuk percakapan mereka. Dia juga berasa pelik dengan kebaikan yang
dipamerkan olah Aqif tatkala ini.
“ Sebelum aku dan konco-konco aku sign,
aku nak kau kemaskan bilik ini. Aku nak bilik ini bersih berkilat. Ada faham
Cik Nyet?”
Qisha menarik nafas lega. Tugasan yang
diberi tidaklah membebankan mana. Dia lebih rela melakukan kerja-kerja sebegini
daripada menjadi bahan ketawa orang.
Dengan senang hati Qisha mengemas bilik
gerakan yang tidaklah sesemak mana. Hanya perlu mengelap meja yang sudah berhabuk
dan menyapu sampah dan membuang sampah di tong sampah besar.
Qisha mengelap dari satu meja ke satu
meja. Barang-barang yang berselerak seperti peralatan menulis di satukan di
dalam bekas yang telah disediakan di atas meja. Kertas-kertas yang berselerak
juga di susun dengan baik. Tidak satu pun yang dibuangnya. Mana tahu ada di
antara kertas tersebut masih digunakan.
Sedang dia mengelap, kelihatan seutas
jam tangan yang tidaklah berjenama tertinggal di atas meja. Qisha tahu pemilik
jam tersebut kerana sering kali dia melihat lelaki itu memakai jam tersebut.
Kalau diikutkan hati yang marah mahu sahaja dia membuat khianat dengan membuang
jam tangan itu ke dalam tong sampah. Biar lelaki itu tercari-cari jam tangan
itu sampai matanya naik juling.
“ BAGUS…bagus….semuanya kemas sekali.”
Kata Aqif yang sedang memeriksa hasil kerja yang telah dilaksanakan oleh Qisha.
Dia tidak ubah seperti warden asrama
yang sedang membuat spot check di dalam kamar pelajar. Jari telunjuknya tidak
lepas-lepas daripada mengelap setiap meja yang ada di situ. Ingin memeriksa
sama ada habuk yang masih melekap di mana-mana. Begitulah telitinya Aqif
semata-mata untuk mencari kesalahan Qisha.
“ Baiklah everything seen perfect. So mana kertasnya biar aku
tandatanganinya.” Kata Aqif yang duduk d atas kerusi sambil meletakkan kakinya
di atas meja.
Qisha menarik nafas lega. Akhirnya siksaannya
kali ini berakhir juga. Dia memberikan sehelai kertas kepada Aqif. Aqif mengambilnya lalu diteleknya kertas itu
lama. Qisha sendiri kurang pasti apa yang lelaki itu sedang cari di atas kertas
itu. Mungkin sedang mencari kesalahan yang dilakukannya di atas kertas itu pula.
“ Pukul berapa sekarang?” Tanya Aqif.
Gayanya begitu sombong sekali. Seolah-olah
Qisha itu adalah hamba abdinya.
“ Saya tiada jam.” Kata Qisha yang
begitu pelik dengan pertanyaan Aqif itu.
“ Ambil jam aku kat atas meja tu. Tolong
tengokkan dah pukul berapa sekarang ni!”
Qisha yang sedang menumpukan perhatian
kepada Aqif mengalihkan pandangannya untuk mencari jam yang dimaksudkan oleh
Aqif. Jam yang sebentar tadi mahu dibuangnya. Dia mula menyumpah seranah Aqif
di dalam hatinya kerana melayannya tidak ubah seperti seorang kadam.
Alangkah terkejutnya Qisha apabila
melihatkan jam yang sebentar tadi berada di atas meja sudah hilang dari situ.
Adakah Aqif sudah mengambilnya. Kalau lelaki itu sudah mengambilnya kenapa pula
lelaki itu menyuruhnya mengambil jam tersebut pula. Qisha berkira-kira di dalam
hati.
“ Jamnya tiada di sini.”
Aqif yang sedang duduk sambil
menyilangkan kakinya di atas meja segera menurunkan kakinya dari situ. Wajahnya
kelihatan begitu panik sekali. Dia segera mencari untuk memastikan kesahihan
pada bicara Qisha itu.
“ Macamana tiada di sini? Aku letak kat
sini tadi! Kau ada ambilnya?” Tuduh Aqif.
Buntang biji mata Qisha apabila
mendengarnya. Pantas sahaja dia menggeleng.
“ Mana ada. Tadi memang saya nampak jam
itu ada di sini.” Kata Qisha.
“ Kalau kau dah nampak ada di sini
kenapa pula sekarang ni jam itu tiada kecualilah kalau kau yang mengambilnya.”
Qisha menggeleng lagi. Terlopong
mulutnya mendengarkan tuduhan Aqif itu. Dia langsung tidak berminat untuk
mengambil jam murahan Aqif itu. Lagi pun jam itu sudah bercalar sana sini. Jam
itu sudah layak untuk di buang ke dalam tong sampah.
Tiba-tiba wajah Qisha merona merah.
Adakah dia telah membuang jam itu ke dalam tong sampah? Hati Qisha berdebar
hebat. Sememangnya dia ada memasang niat untuk membuangnya sebentar tadi.
Adakah dia benar-benar melaksanakan niatnya itu tanpa sedar? Qisha sudah
menggigit bibir.
“ Kenapa kau diam? Hahhhh kau ada ambil
jam aku bukan?” Sergah Aqif lagi.
“ Saya tak pasti kalau-kalau saya dah
terbuang jam itu ke dalam tong sampah.” Kata Qisha perlahan sekali. Dia sudah
menunduk.
“ Apa?”
Qisha semakin gelabah.
“ Saya boleh mengantikan jam itu dengan
jam yang baru.”
Aqif mengeluh lemah. Dia meraup mukanya
beberapa kali. Kemudian dia menekup mukanya sambil menyepikan diri.
Tindak-tanduk Aqif itu benar-benar membuatkan Qisha berasa serba-salah.
“ Kau ingat senang nak gantikan jam itu?”
Suara Aqif sudah mula perlahan. Tidak selantang
tadi membuatkan Qisha terus menghukum dirinya. Dalam keterpaksaan itu Qisha
tersenyum. Entah untuk apa senyuman itu Qisha sendiri kurang pasti.
“ Saya janji akan carikan jam yang
serupa dengan jam awak.”
Qisha cuba memberi harapan kepada lelaki
di hadapannya dengan harapan agar dapat menceriakan semula hatinya itu.
Perlahan-lahan Aqif menggeleng. Dia
kemudiannya menunduk memandang meja. Lama dia berbuat begitu sebelum dia
kembali mendonggak. Apabila dia mendonggak Qisha dapat lihat genangan airmata
di dalam kolam matanya.
“ Jam itu tidak boleh diganti kerana ia
mempunyai sentimental value dalam
hidup aku. Kau tahu tak jam itu telah dihadiahkan oleh seorang teman yang cukup
istimewa dalam hidup aku. Teman seperjuangan yang sempat menitipkan sesuatu
sebagai pembakar semangat kepada aku untuk meneruskan hidup aku sebelum dia
menutup matanya buat selama-lamanya. Mana boleh jam ini ditukar ganti dengan
yang baru kerana nilainya tidak sama, Cik Nyet.”
Qisha dapat lihat kesedihan itu di wajah
Aqif. Simpatinya mula menggunung. Di dalam hati dia mula menyalahkan dirinya
sendiri.
No comments:
Post a Comment