“ Saya selalu
memetik ungkapan yang di anggap keramat iaitu manjadda wa jadda bererti dimana ada kemahuan di situ ada jalan.
Ungkapan ini memberikan kekuatan dalaman yang cukup luar biasa kepada saya.
Kekuatan yang mampu memberikan anjakan paradigma di dalam diri saya. Bagi saya
sebagai seorang muslim, kalau kita nak berjaya dalam sesuatu bidang yang kita
ceburi kita mestilah meletakkan ketaqwaan kepada Allah sebagai tunjang utama
kerana di dalam Al-Quran dalam surah Muhammad ayat ke 7 Allah berfirman “
Bertaqwalah kamu kepada Allah, nescaya Allah akan memperkukuhkan kehidupan kamu”.
Kehidupan yang dimaksudkan ini amat besar maknanya ia meliputi segalal-galanya
dalam perjalanan hidup kita seperti kita dimurahkan rezeki, mendapat keluarga
yang bahagia dan pelbagai lagi perkara yang baik.” Ujar Tan Sri Mohd Jamil
dengan penuh ketegasan dan adab sopan.
Kelihatan
wartawan daripada surat khabar Sinar Harian begitu tekun dan teruja mendengar
bait-bait ayat yang dituturkan oleh Tan Sri Mohd Jamil. Dia cukup kagum dengan Tan Sri Mohd Jamil yang begitu gigih
membangunkan syarikatnya.
Tan Sri Mohd Jamil memang lelaki yang cekal, hebat dan mempunyai
semangat juang yang tinggi. Kalau tidak masakan beliau dapat membina empayar
perniagaan yang hebat yang
mana mengikut pandangannya kehebatan Tan Sri Mohd Jamil sama seperti duduk sama
rendah dan berdiri sama tinggi dengan syarikat korporat yang lain.
Dia pernah terbaca artikel mengenai Tan Sri Mohd Jamil
yang berasal dari kampung yang hidup dalam kesusahan tetapi kecekalan Tan Sri Mohd Jamil menghasilkan kejayaan
yang cemerlang. Kalau tidak masakan majalah Usahawan Hebat iaitu sebuah majalah
korporat dalam negara dan majalah Times iaitu sebuah majalah korporat luar
negara sentiasa mahu
menemubicara Tan Sri Mohd Jamil membincangkan tentang faktor dan cabaran yang dihadapai oleh lelaki hebat itu dalam membangunkan
syarikatnya.
” Kalau tidak keberatan
boleh tak Tan Sri berkongsi rahsia kejayaan Tan Sri kepada pembaca semua. Saya
pasti ramai yang ingin mengetahui rahsia kejayaan Tan Sri itu,” kata wartawan
itu.
Tan Sri Mohd Jamil
tersenyum manis dengan pertanyaan daripada wartawan tersebut. Dia sebenarnya
tidak pernah lokek untuk berkongsi rahsia kejayaannya kepada semua. Lagi pun
ilmu yang baik perlu disebarkan supaya manfaatnya dapat dipaktikkan bersama. Lebih
banyak kita mengajar orang dengan ilmu yang kita ada, maka lagi banyak ilmu
baru yang akan Allah berikan kepada kita.
” simple sahaja. Cuma hendak atau tidak je untuk kita melakukannya,” kata Tan Sri
Mohd Jamil seolah-olah bermain teka-teki dengan wartawan di hadapannya.
” iskh mestilah nak
lakukan. Pasti selepas Tan Sri bongkarkan rahsia kejayaan Tan Sri seluruh
pembaca akan mengikutnya. Saya yakin sekali. Malah saya sendiri akan
mengamalkannya. Apakah rahsia kejayaan Tan Sri itu?” Wartawan itu sudah tidak
sabar untuk mengetahuinya.
Tan Sri Mohd Jamil
tersenyum lagi dengan gelagat wartawan dari Sinar Harian itu. Nampak benar dia
begitu teruja untuk mengetahuinya.
” Awak percaya tak kalau
saya katakan bahawa rahsia kejayaan saya ini adalah dengan bersolat Dhuha dan
Tahajjud.” Luah Tan Sri Mohd Jamil yakin sekali.
Wartawan daripada Sinar
Harian menganggukkan kepalanya. Dia tahu tujuan bersolat sunat Dhuha supaya dimurahkan
rezeki dan menolak bala, solat tahajjud pula dapat membina kekuatan, keberanian
dan keyakinan dalam diri pengamalnya. Namun begitu dia sendiri jarang
mengamalkannya lantaran kerana kesibukan masa. Pasti lelaki yang cukup
berkaliber ini mempunyai pegangan agama yang kuat, kalau tidak masakan dia
begitu komited dengan amalan sunat dhuha dan tahajjudnya. Desis hati wartawan
tersebut.
” Dalam dunia bisnes kita
perlu ada disiplin. Disiplin yang saya praktikkan dalam diri saya adalah dengan
bersolat dhuha dan tahajjud setiap hari. Dan setiap kali bersolat saya tidak
lupa menitipkan doa seperti ini
Ya
Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi,
keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh,
dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu, limpahkan
kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.
Dalam solat tahajjud pula kita hendaklah memohon dan meletakkan sepenuh harapan
agar Allah memberikan hati kita sifat berani dan yakin dengan diri sendiri
disamping kita meletakkan perasaan tawakkal dan rendah diri kepada Sang Pencipta
yang maha agung iaitu Allah SWT” Yakin sekali Tan Sri Mohd Jamil menuturkan
bicaranya.
Wartawan itu begitu kagum
dengan Tan Sri Mohd Jamil. Alangkah beruntungnya menjadi seorang yang bernama
Tan Sri Mohd Jamil. Kaya di dunia dan kaya di akhirat. Amat jarang sekali untuk
bertemu insan yang berjaya di dunia dan akhirat.
” Insyaalah kalau kita
praktikkan selalu segala kerja kita yang sukar akan dipermudahkan oleh Yang
Maha Esa.”
” Oh rupa-rupanya itulah
rahsia kejayaan Tan Sri. Saya yakin selepas ini ramai yang akan membuat solat
dhuha dan tahajjud seperti yang Tan Sri amalkan. Bagaimana pula Tan Sri melihat
pembabitan bumiputra di dalam dunia perniagaan?” Tanya Wartawan itu.
” Bagi saya bilangan
bumiputera yang menceburi bidang perniagaan adalah sedikit berbanding dengan
kaum lain. Walaupun banyak usaha dilakukan untuk meramaikan
lagi usahawan Bumiputera, kadar penambahan usahawan baru Bumiputera masih
rendah. Ramai yang berpendapat kekurangan modal dan pengalaman mungkin antara
faktor menghalang pembabitan lebih ramai Bumiputera dalam perniagaan tetapi
bagi pendapat peribadi saya masalah kekurangan modal dan pengalaman boleh
diatasi dengan adanya pelbagai program pembangunan dan latihan keusahawanan
yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.”
“ Apakah pesanan
Tan Sri kepada para pembaca di luar sana yang bercadang untuk menjadi usahawan
yang berjaya.”
“ Kepada pembaca
di sana, harus diingat, rezeki tidak datang bergolek. Mereka yang ingin menjadi
usahawan berjaya harus ingat kejayaan tidak boleh dicapai hanya dengan modal
yang cukup. Ramai usahawan diberi bantuan modal tetapi masih gagal. Ada banyak
faktor menentukan kejayaan usahawan dalam perniagaan. Antaranya ialah minat
mendalam, tahap kesungguhan yang tinggi, rajin bekerja, bersedia dengan
pengetahuan mengenai bidang diceburi, memahami bagaimana perniagaan berfungsi
dan beberapa ciri lain. Oleh itu lengkapkan diri kita dengan ilmu pengetahuan
yang secukupnya sebelum kita menceburi bidang ini dan letakkan pengharapan kita
kepada kejayaan kita ini yang paling utama kepada Allah S.W.T kerana Dialah
yang mentadbir alam ini dan Dia adalah sebaik-baik sandaran bagi kita sebagai
hamba. Sekiranya kita telah mula berjaya, tetapkan di dalam hati bahawa
kejayaan yang dikecapi ini hanya sementara dan ia hanyalah pinjaman Allah untuk
melihat bagaimanakah penghidupan kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Adakah
kita bersyukur atau sebaliknya? Itulah resepi yang paling utama bagi saya. ”
Selesai sesi temuramah bersama wartawan dari akhbar Sinar Harian, Tan
Sri Mohd Jamil bertemu pula dengan Encik Rahimi, pengawai kewangan syarikatnya.
Rutin hidupnya begitu padat dengan pelbagai urusan perniagaan yang menuntut
perhatian segera. Dalam dunia perniagaan setiap detik adalah amat berharga.
Jika dia terleka walaupun sesaat akan menyebabkan dia kerugian berjuta ringgit.
Itulah prinsip yang dipegangnya hingga kini.
Dia meneliti laporan
kewangan yang disediakan oleh Encik Rahimi selaku pengawai kewangan
syarikatnya. Dia selalu meneliti aliran keluar masuk kewangan syarikat bagi
memastikan syarikat berada di landasan yang kukuh.
” Mengapa setiap kali
tender, syarikat Daya Maju Snd Bhd yang mendapat tender daripada kita? Bukankah
kita mengamalkan dasar open tender?”
Tanya Tan Sri Mohd Jamil setelah meneliti aliran keluar masuk kewangan
syarikat. Dia berasa hairan mengapa hanya syarikat tersebut yang diberi tender sedangkan
setahunya setiap kali tender begitu banyak syarikat yang masuk tender. Adakah
kerana hanya Syarikat Daya Maju Snd Bhd yang menawarkan harga yang amat
berpatutan?
” Saya tidak pasti Tan
Sri. Setahu saya Encik Sahak yang bertanggungjawab untuk meluluskan tender
ini,” beritahu Encik Rahimi jujur sekali.
Tan Sri Mohd Jamil
mengeluh. Dia telah memberikan sepenuh kepercayaan kepada abang kandungnya
untuk menguruskan tentang tender syarikat. Dia cukup berharap apa yang sedang
terdetik di hatinya saat ini adalah tanggapan jahatnya sahaja. Tidak mungkin
abang kandungnya sanggup menikamnya dari belakang.
” Kalau begitu panggil
Sahak sekarang!” Arah Tan Sri Mohd Jamil dengan perasaan yang sukar digambarkan.
Di dalam hati dia berdoa agar dijauhkan daripada perkara buruk yang akan menggugat
ikatan persaudaraan antara dia dan Sahak.
Tidak sampai lima minit
Sahak sudah berada di dalam pejabat Tan Sri Mohd Jamil.
” Boleh aku tengok
senarai syarikat yang masuk tender?” Tanya Tan Sri Mohd Jamil.
Sahak yang sudah
diberitahu tentang tujuan sebenar Tan Sri Mohd Jamil memanggilnya terus
menyerahkan fail yang dimaksudkan. Dia masih berlagak biasa kerana dia tahu Tan
Sri Mohd Jamil berhati lembut. Dia yakin Tan Sri Mohd Jamil tidak mungkin akan
mengambil tindakan undang-undang walaupun Tan Sri Mohd Jamil mendapati dia yang
bersalah. Hanya tinggal mereka dua beradik. Tidak mungkin Tan Sri Mohd Jamil
sampai hati untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
” Kau tengok ni abang
Sahak, banyak lagi syarikat yang menawarkan harga yang jauh lebih rendah
daripada Syarikat Daya Maju Snd Bhd, tetapi mengapa kau memilih Syarikat Daya
Maju untuk menjalankan projek kita ini? Apakah alasan kau?”
” Maafkan aku. Mungkin
aku terlepas pandang.” Kata Sahak berbohong.
Sebenarnya dia telah
menerima suapan bernilai ratusan ribu ringgit setiap kali dia meluluskan tender
daripada Syarikat Daya Maju Snd Bhd. Sudah hampir lima tahun dia menerimanya
tanpa disedari oleh sesiapa.
” Tak kan setiap kali kau
terlepas pandang. Boleh dikatakan setiap kali syarikat kita menawarkan tender
Syarikat Daya Maju yang akan mendapatnya. Adakah itu boleh dikatakan sebagai
terlepas pandang abang Sahak?”
” Kau tahu tak abang
Sahak, aku boleh bawa kes ini ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk
siasatan yang lebih lanjut.” Gertak Tan Sri Mohd Jamil setelah melihat abang kandungnya
terus menyepi. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan tender melibatkan
Syarikat Daya Maju Snd Bhd. Kalau tidak masakan syarikat ini sentiasa mendapat tender
daripada syarikatnya sedangkan Syarikat Daya Maju menawarkan harga yang tinggi.
Ini telah menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian yang agak besar.
” Apasal pula kau nak
laporkan kepada SPRM? Aku tak buat apa-apa pun cuma aku terlepas pandang
sahaja,” bela Sahak dengan wajah cuak.
Tan Sri Mohd Jamil
mengeleng-gelengkan kepalanya. Langsung tidak terlintas difikirannya abang
kandung yang amat dipercayainya telah menikamnya dari belakang. Memang benar
kata orang, rasuah boleh menyebabkan seseorang itu menjual prinsip, maruah dan
harga diri.
Tan Sri Mohd Jamil mula
teringatkan kata-kata Donald Trump dalam bukunya yang bertajuk Think Big;
” Hire the best people but don’t trust them.”
Dalam buku ini Donald
Trump menceritakan pengalaman dirinya dan juga kenalan ahli
perniagaannya yang melakukan kesilapan mendapatkan peguam terbaik, akauntan terbaik,
pekerja terbaik dan mempercayai mereka. Apa yang terjadi
adalah, mereka menikam dari belakang.
Inilah yang terjadi
kepadanya saat ini.
” Kalau tak nak aku
laporkan kepada SPRM lebih baik kau ceritakan kepada aku apa yang terjadi
sebenarnya?” Kata Tan Sri Mohd Jamil masih cuba berdiplomasi.
Sahak mengeluh.
Terkebil-kebil matanya memandang Tan Sri Mohd Jamil mencari alasan yang kukuh.
” La..kan aku dah cakap,
aku terlepas pandang. Aku mengaku silap aku. Aku tak perasan pula ada syarikat
lain yang menawarkan harga yang lebih rendah. Aku minta maaf ok?” Sahak memberi
alasan. Seboleh mungkin dia cuba menutup pekung di dada.
” Stupid answer.” Tan Sri Mohd Jamil sudah mula hilang sabar dengan
jawapan mudah abangnya untuk melepaskan diri.
” Baiklah...Esok aku akan
ke JB. Jadi aku beri masa dekat kau untuk sediakan semua laporan tentang tender syarikat lima tahun kebelakangan ini dan
perlu ada di atas meja aku sebelum aku masuk semula ke ofis!”
Tan Sri Mohd Jamil tahu
kali ini dia perlu lebih peka tentang urusan perniagaannya terutama sekali
perkara yang melibatkan duit. Di lihat mulut Sahak terngaga mendengarkan bicara
Tan Sri Mohd Jamil itu.
No comments:
Post a Comment