Tuesday 19 June 2012

Antara Dendam Dan Rindu Bab 11


 Apakah yang perlu Mariam Qistina bicarakan di saat hati begitu rawan sekali. Di saat hati masih lagi menangisi kehilangan orang yang tersayang.  Di saat hati masih lagi meratap dengan takdir yang telah ditentukan oleh Sang Pencipta. Dia mengusap-usap rambut Irdina yang lena di atas sofa.
            Tragedi yang mencabut nyawa kedua ibu bapanya begitu memberi kesan dalam diri Mariam Qistina. Dia sendiri tidak menyangka pemergian kedua ibu bapanya ke Johor kerana urusan kerja rupa-rupanya telah memisahkan mereka buat selama-lamanya di bumi Allah yang sementara ini. Ke manakah lagi tempat untuk dia menumpang kasih sebagai pengubat rindu kepada kedua orang tuanya yang begitu penyayang dan memanjainya sepenuh hati. Sedangkan dia merupakan anak manja kepada Tan Sri Mohd Jamil dan Puan Sri Nor Aini.
             Dia langsung tidak ambil peduli tentang masa hadapannya. Tentang siapa yang akan menjaganya. Tentang ke mana arah tujunya nanti. Sehinggalah keluarga Pak Long Sahak berpindah ke rumahnya seminggu selepas arwah kedua ibu bapanya meninggal. Ah kasih sayang Pak Long Sahak tidak pernah sama dengan kasih sayang kedua ibu bapanya. Dia rasa mahu menjerit apabila terkenangkan itu semua.
            “ Kak Siti nak ke mana?” Lamunan Mariam Qistina terhenti apabila dia ternampak kelibat Kak Siti yang lalu di hadapannya dengan membawa sebuah beg besar.
            Wajah Kak Siti kelihatan sayu sekali. Ada airmata yang bertakung di kolam matanya.
            “ Kak Siti, diberhentikan kerja.” Kata Kak Siti yang sudah tidak terdaya lagi untuk memandang sorotan mata Mariam Qistina. Dia dapat menjangkakan sesuatu yang buruk bakal terjadi kepada masa hadapan anak gadis di hadapannya ini. Hatinya bertambah sayu.
            “ Kenapa pula?” Tanya Mariam Qistina yang terkejut besar. Siapa pula yang pandai-pandai membuat keputusan untuknya.
            “ Pak Long Sahak tidak perlukan akak lagi.” Kata Kak Siti. Sedih hatinya mengenangkan dugaan yang dihadapi oleh Mariam Qistina.  Tidak sanggup rasanya hati untuk meninggalkan rumah yang penuh dengan sulaman kasih sayang dan kedamaian ini. Di rumah inilah kehidupannya begitu dihargai. Di sini jugalah dia mengenali erti dan nilai hamba kepada Rabbul Jalil.
            Terjegil biji mata Mariam Qistina mendengarnya. Pak Long Sahak sudah melampau. Siapa Pak Long Sahak yang berani membuat keputusan di dalam rumah ini? Ini rumah papa dan mama dan bukan rumah Pak Long Sahak! Kedatangan mereka di sini juga tidak pernah dialu-alukan olehnya. Marah Mariam Qistina di dalam hatinya.
            Segera dia mendapatkan Pak Long Sahak. Kelihatan Pak Long Sahak dan Mak Long Esah sedang enak menjamu selera sambil bergurau senda. Dia rasa begitu marah sekali melihatkan kegembiraan mereka sedangkan dia masih lagi meratapi pemergian kedua ibu bapanya. Tidak bersedihkah mereka sedangkan kedua ibu bapanya mempunyai pertalian darah dengan mereka?
            “ Pak Long, kenapa Pak Long memberhentikan Kak Siti?” Tanya Mariam Qistina cukup sopan sekali. Dia masih boleh menyembunyikan rasa marahnya.
Mak Long Esah dan Pak Long Sahak saling berpandangan. Kemudian mereka berdua tersenyum sinis kepada Mariam Qistina.
“ Sebab aku tak perlukan dia lagi! Aku dah dapat tukang gaji baru,” kata Pak Long Sahak penuh bongkak dan kasar sekali. Dia cukup gembira apabila mendengar berita bahawa adiknya telah maut di dalam kemalangan jalan raya. Khabarnya kereta Tan Sri Mohd Jamil remuk teruk, diseret lori treler sejauh beberapa meter.
Nampaknya nasib sentiasa menyebelahinya. Kalau tidak kerana kematian adiknya mungkin juga di saat ini dia sudah meringkuk di dalam penjara kerana kes rasuahnya itu. Bukannya dia tidak tahu dengan desas-desus di syarikat yang mengatakan bahawa Tan Sri Mohd Jamil ingin mengambil tindakan undang-undang jika sesiapa yang di dapati mengambil rasuah. Desas-desus itu mula bertiup kencang setelah dia di panggil oleh Tan Sri Mohd Jamil sebelum arwah terlibat dalam kemalagan.
Mariam Qistina berasa hairan dengan perubahan sikap Pak Long Sahak yang begitu mendadak. Cara percakapannya berbeza benar. Dulu gaya bahasa Pak Long Sahak begitu lembut dan tertib sekali, tidak pula kali ini. Apa yang telah merasuk Pak Long Sahak sehingga dia berubah benar.
“ Siapa?” Tanya Mariam Qistina pelik.
“ Siapa lagi, kaulah!”
“ Apa yang Pak Long dan Mak Long maksudkan?”
“ Kau tak faham atau kau buat tak faham? Kau ingat kami suka sangat dengan kau? Kami ni sama je macam Sarah yang tak sukakan kau. Tapi Sarah tak pandai berpura-pura seperti kami.” Kata Mak Long Esah dengan muka yang cukup bengis sekali. Dia cukup gembira dengan rezeki yang diberikan kepada mereka ini. Tidak sangka Tan Sri Mohd Jamil pendek umurnya. Kalau tidak sampai ke mati pun mereka tidak akan dapat merasai kehidupan semewah ini. Walaupun suaminya hanya di lantik sebagai pemegang amanah kepada Mariam Qistina sehingga dia berumur 18 tahun tetapi mereka sudah mempunyai misi tersendiri agar harta yang diwariskan akan tetap menjadi milik mereka selama-lamanya.  
“ Kenapa Pak Long dan Mak Long sanggup buat saya macam ni? Sampai hati Pak Long! Sampai hati Mak Long. Kubur papa dangan mama masih merah lagi. Sampai hati Pak Long!”
Esakan Mariam Qistina semakin meninggi. Sampai begitu sekali Pak Long Sahak sanggup lakukan padanya. Mariam Qistina berasa sedih sekali. Kenapa insan yang mempunyai pertalian darah dengannya sanggup memperlakukannya sebegini rupa?
Pak Long Sahak dan Mak Long Esah hanya ketawa mendengarkan ucapannya itu. Mereka langsung tidak bersimpati kepada Mariam Qistina.
Segera Mariam Qistina berlari ke biliknya. Di dalam bilik dia menangis sepuas-puasnya. Dia sangat merindui kedua-dua ibu bapanya. Malah dia berasa ngeri untuk memikirkan tentang nasib dirinya bersama dengan keluarga Pak Long Sahak. Berbahagiakah dia kelak?  




No comments:

Post a Comment