Monday 18 June 2012

Tanpamu Di sisi Bab 1

Matahari sudah pun tegak di tengah kepala namun Danish masih lagi terbaring. Langsung tidak di hiraukan pada putaran waktu yang bergerak pantas sekali. Dia masih lagi rasa mengantuk setelah puas berpesta di malam hari.
Bagi Danish peluang keseronokan tidak mungkin dilepaskan walaupun terpaksa mengorbankan waktu tidurnya. Dia memegang prinsip hidup hanya sekali. Oleh itu dia perlu menggunakan peluang yang ada ini untuk terus mencari keseronokan sepanjang masa.
” Apa nak jadi dengan kamu ni Danish? Dalam kepala otak tu asyik ingat berseronok je, kalau bab kerja pemalas!”
Suara emak mengejutkannya dari tidur. Namun dia langsung tidak ambil peduli. Terus sahaja dia menarik selimut membaluti tubuhnya. Kedinginan dari penghawa dingin sudah meresap ke tulangnya.
Dia terus memejamkan mata. Bayangan gadis yang bernama Isma yang baru dikenalinya semasa majlis tari menari semalam mula menjelma. Gadis tinggi lampai yang pandai menggoda itu membuatkan jantungnya sering berdegup kencang.
” Anak bertuah betul! Orang tengah berleter dia tarik selimut lagi! Bangun Danish! Kau bangun sekarang!” Emak sudah menarik selimut yang membaluti tubuh anak lelakinya itu. Dia mula geram dengan tingkah laku Danish.
” Mak ni kacau je lah! Danish nak tidur ni! Kalau bangun awal bukan ada kerja pun!” Danish merungut. Tidak puas hati dengan sikap emaknya yang langsung tidak mahu memberi peluang padanya. Ah emak, bukannya faham dengan jiwa anak muda!
Emak mendenggus dengan bicara Danish itu. Perangai siapalah yang di contohi Danish ini?
” Tak de kerja apanya. Ayah dah berbuih mulut suruh kau tolong dia kat office. Kau tak malu ke dengan Dahlia? Dia yang bersungguh-sungguh bekerja tolong ayah kat office. Yang kau ingat nak berseronok je!” Bebel emak di pagi hari.
” Ala mak ni kecoh la! Danish baru habis belajar biarlah Danish enjoy dulu! Lagi pun Dahlia dah lama habis belajar so no wonder la kalau dia bekerja pun. ” Danish masih mahu menjawab walaupun matanya masih tertutup rapat.
” Hah itu je lah alasan yang kau ada. Sampai bila kau nak enjoy? Sampai ke tua?” Tanya emak yang sudah tidak tahan dengan peragai anak lelakinya itu.
Sikap dan perilaku Danish memang sentiasa memeningkan mereka sekeluarga. Entah contoh teladan mana yang di ambilnya. Sudah berbuih mulut emak dan suami menasihati Danish tapi semuanya bagaikan mencurahkan air di daun keladi. Sikap Danish masih tetap begitu.
Danish segera bangun dari pembaringan. Tidurnya akan terus-terusan di ganggu selagi emak masih ada di sini. Dia mesti membuatkan emak segera beredar dari sini.
” Mak please la. Tak bolehkah mak sporting sikit? Zaman sekarang kan dah berubah. Tak macam zaman mak dulu-dulu. Zaman dulu mana ada disco atau kelab malam. Sebab tu lah orang asyik terperap kat rumah je. Zaman sekarang lain. Dunia dah maju mak. Ala dah menjadi kebiasaan di zaman sekarang ni kalau anak-anak muda berpesta. Itulah di namakan ada life mak. Life!” Bersungguh-sungguh Danish menerangkan kepada ibunya. Hilang terus rasa mengantuk apabila terus-terusan di ganggu oleh ibunya.
” Astafirullahhalazim.....”
Beberapa kali emak menggelengkan kepala mendengarkan jawapan Danish itu. Dia begitu sedih dengan jawapan anaknya itu. Namun begitu nasihat suami yang sentiasa menyuruhnya berdoa supaya Allah meniupkan sedikit keimanan dalam diri anaknya yang begitu jahil ini. Moga suatu masa nanti Allah akan memberi hidayah kepada Danish.
” Ilmu mana yang kau belajar ni Danish? Kau ni bercakap macam orang yang tak de pegangan agama. Tu lah padahnya belajar kat luar negara! Mak dan ayah hantar kau belajar kat sana suruh tuntut ilmunya bukan tuntut budayanya. Patutlah kau asyik fail je kat sana sampai kena extend, rupa-rupanya kau asyik belajar budaya barat ye. Hah agunglah sangat budaya barat tu! Mak nak tengok sampai ke mana kau boleh pergi dengan budaya barat tu!” Makin panjang bebelan emak kali ini.
Entah untuk apa Danish mengagung-angungkan budaya asing itu. Bukannya menguntungkan diri sendiri malahan ianya di tegah dalam Islam. Kalaulah emak bijak meramal keadaan pastinya emak tidak akan menghantar Danish ke negara orang. Biarlah Danish menuntut ilmu di sini sahaja sekurang-kurangnya Danish ada di hadapan mata emak. Kalau ada perangai Danish yang tidak berkenan di mata emak bolehlah emak menegur. Emak yakin kalau Danish dalam perhatian emak perangai Danish tidak akan menjadi liar begini.
Danish menggaru hidungnya yang tidak gatal. Berputar ligat dia cuba mencari alasan yang paling munasabah untuk membela diri. Masih teringat lagi di ingatannya saat dia berada di luar negara, hidupnya bebas tanpa kongkongan daripada ibu bapa. Dia bebas ke mana sahaja dia mahu pergi. Tiada siapa yang ambil peduli jika dia mahu berhibur hingga ke pagi di kelab-kelab malam yang disukainya. Malah tiada siapa yang berani menegur walaupun dia sentiasa ponteng kuliah demi aktiviti sosialnya itu. Dia langsung tidak ambil kisah walaupun dia gagal berkali-kali di dalam peperiksaan di Universiti. Yang penting dia perlu menikmati kehidupan yang sebenarnya di sini.
Sememangnya Danish telah banyak berubah setelah dia pulang dari luar negara, kehidupan yang penuh dengan kemaksiatan dan bertentangan dengan hukum-hukum dan larangan Si Pencipta terus dirasakan amat seronok sehingga menjadikan dia lalai dan alpa tentang kewujudannya sebagai khalifah di muka bumi Allah. Danish lupa dengan asuhan dan didikan ayah dan emak yang amat baik dan lembut tetapi amat tegas dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama yang menjadi pegangannya. Betul lah dengan  kata-kata para alim ulama’ bahawa iman tidak boleh diwarisi dan hati manusia sentiasa boleh berubah dari jahat kepada baik mahupun sebaliknya.
” Iskh mak ni kolot benar laa. Bukannya Danish agung-agungkan budaya barat tapi sekarang hiburan kan dah menjadi trend. Apa salahnya Danish berhibur sementara Danish masih muda. Lagi pun Danish dah penat belajar mak. Biarlah Danish relax sebentar, nanti bila Danish dah puas relax barulah Danish bekerja.”
Begitulah sikap Danish. Kalau dengan emak begitu banyak alasan yang akan diberikan kepada emak. Seboleh mungkin dia mahu menegakkan pendiriannya yang salah. Dia tahu dengan emak dia boleh gula-gulakan kerana jiwa dan naluri seorang ibu yang begitu lembut. Tidak pula dengan ayah yang begitu tegas. Dia tidak berani melawan berlebih-lebihan.
” Itu je lah alasan kau Danish. Nak relax je. Kau langsung tak nak fikirkan tentang masalah keluarga kita. Kami semua tengah berhempas pulas menyelamatkan syarikat tapi kau? Apa sumbangan kau? Hanya pentingkan diri sendiri. Tahu nak enjoy. Tahu nak relax. Itu je yang kau tahu. Cubalah berubah sikit Danish. Kau tahu tak, Danish, manusia tidak akan berubah sehinggalah sesuatu yang buruk berlaku padanya. Mak tak nak sampai ke tahap tu baru anak mak berubah. Jangan sampai nasi dah jadi bubur baru kau berubah Danish.
Danish terus mendenggus. Dia tidak suka dengan bicara emak yang seolah-olah mendoakan sesuatu yang buruk berlaku kepadanya. Tetapi emak harus sedar anak lelaki emak ini seorang yang bijak dan tak mungkin sesuatu yang buruk akan menimpa anak lelaki emak ini. Danish selalu beranggapan bahawa perkara buruk hanya akan berlaku kepada sesiapa yang tidak bijak merancang kehidupannya.
” Ala mak ni peninglah asyik cerita fasal syarikat. Nanti bila Danish dah bersedia Danish kerjalah. Lagi pun bukannya Danish boleh bantu apa pun. Danish mana ada pengalaman,” Danish terus-terusan memberi alasan. Dia langsung tidak menghiraukan nasihat emak itu.
Bosan benar emak mendengarkan alasan Danish itu. Sedih sungguh perasaan emak. Danish seorang anak lelaki tetapi malangnya Danish tidak mahu memikul tanggungjawab sebagai seorang anak lelaki.
Walaupun beribu atau berjuta alasan yang diberikan oleh Danish, sebagai emak yang mengandungkannya dan mendidiknya dari kecil sehingga sekarang, Datin Rohaya tetap tidak akan berputus asa untuk terus berusaha mendidik anak lelakinya itu kerana beliau yakin anaknya itu akan berubah dan mampu menjadi anak yang soleh. Teringat dalam ingatan Datin Rohaya tentang kupasan tafsir Al Quran yang dipelajari di kuliah agama di surau kawasan rumahnya yang berbunyi, Allah berfirman dalam surah Al baqarah ayat 153 yang bermaksud
”Wahai Orang-Orang Yang Beriman! Mohon lah bantuan Allah dengan sabar dan solat, sesungguhnya! Allah bersama dengan orang yang sabar.”
 Keyakinan Datin Rohaya amat tinggi apabila beliau teringatkan ayat-ayat Allah ini bahawa Allah tidak sekali-kali meninggalkan dan mensia-siakan doa dan harapan hambaNya yang sentiasa bersabar memohon pertolongan daripadaNya.
” Habis tu apa gunanya mak dah hantar kau belajar tinggi-tinggi ke luar negara? Itulah lain kali pergi sana tuntut ilmu bukannya tuntut budayanya!”
Emak sudah bercekak pinggang. Geram betul dengan sikap Danish yang hanya tahu memberikan alasan itu.
” Ala...mak ni..kan Danish dah cakap. Nanti bila Danish bersedia Danish kerjalah.”
Danish sudah mula kehabisan modal untuk melawan cakap ibunya.
Emak mendenggus mendengarkan bicara anaknya itu.
” Sampai bila Danish? Jangan sampai mak dan ayah dah tutup mata baru kau bersedia pula. Masa itu baru kau menyesal membiarkan mak dan ayah memikul tanggungjawab syarikat sedangkan kau sebagai seorang anak lepas tangan je.”
Danish sudah menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.
” Alaaa..mak ni..cakap fasal mati pula. Dahlah mak Danish mengantuk sangat ni. Danish nak sambuang tidur ni.”
Danish yang sudah kalah terus menarik bantal dan dipekupkan ke telinganya. Dia berasa marah dengan kehadiran emak yang suka menganggu tidurnya itu. Malah saban pagi emak akan datang mengganggu tidurnya.
” Budak bertuah! Bangun sekarang! Pergi mandi dan bersiap. Ayah dah tunggu kau kat bawah! Dalam lima belas minit lagi kau tak siap, kenalah kau!” Kata emak sambil menarik bantal yang dipegang Danish itu. Kali ini dia dan suami perlu bertegas dengan Danish. Kalau tidak anak terunanya itu bertambah liar. Perkara itu yang amat emak bimbangkan.
Danish terus merenggus kasar. Dia cukup radang dengan emak yang mengungutnya seolah-olah dia masih lagi budak hinggusan. Dia mahu terus menarik selimut. Namun apabila memikirkan tentang ayah yang sedang menunggunya, hatinya mula kecut. Ayah yang memang terkenal dengan sikap tegas itu. Akhirnya dia bangun jua walaupun matanya masih tetap mengantuk.




No comments:

Post a Comment