Tuesday 19 June 2012

Sisa Cinta Kita Bab 10


“ Aqif…Aqif…tu Cik Nyet!” Kata Kamarul sambil menunding jarinya ke arah Qisha yang sedang duduk bersembang di hadapan foyer Fakulti Kejuruteraan.
Aqif dan Wahid segera mengalih pandang ke arah yang dimaksudkan Kamarul itu. Mereka sama-sama tersenyum sambil mengangkat kening masing-masing. Kemunculan Qisha itu telah mengembirakan hati mereka. Terubat kebosanan mereka yang sebenarnya sudah letih dengan perkuliahan sepanjang hari ini.
“ Jom kacau!” Kata Aqif yang gemar mencari fasal.
Huluran maafnya di bilik Encik Arshad suatu masa dahulu hanyalah sekadar untuk melepaskan dirinya dari hukuman. Keinsafan masih belum timbul dalam dirinya apatah lagi perbuatan menyakat orang sudah sebati dalam dirinya.
Wahid dan Kamarul yang sememangnya sebulu dengan perangai Aqif terus mengikut langkah Aqif yang sedang menuju ke arah Qisha.
“ Hai Cik Nyet. ” Tegur Aqif yang tersenyum sambil menampakkan barisan giginya yang putih berseri.
Qisha yang begitu terkejut dengan kehadiran Aqif di situ menghadiahkan jelingan tajam. Dia bencikan nama Cik Nyet yang diberikan oleh Aqif itu. Disebabkan nama itu juga dia sudah menjadi bahan ketawa teman-temannya yang lain.
“ Wah..dia menjeling manja!” Kata Aqif kepada teman-temannya.
Kata-katanya itu disambut dengan hilaian tawa daripada mulut Wahid dan Kamarul.
“ Jom geng nyanyi lagu jeling-jeling paku.”
Bagaikan lembu di cucuk hidung mereka terus menyanyikan lagu itu. Qisha semakin menyampah. Macamlah tiada lagu lain yang boleh di dendangkan oleh Aqif and the gang. Sikap Aqif dan konco-konconya itu langsung tidak mengambarkan keintelektualan yang dimiliki mereka tatkala ini.
“ Mereka ini sudah melampau!” Kata Anisah perlahan kepada Qisha.
“ Jangan di layan,” jawab Qisha dengan wajah selamba. Sedikit pun dia tidak memandang kepada Aqif dan konco-konconya yang sedang menyanyi bagaikan sarkas.
“ Boleh tumpang duduk?” Tanya Aqif setelah nyanyian mereka selesai. Aqif sudah tersengih lebar.
Qisha memanggungkan kepalanya. Kali ini matanya dan mata Aqif bertentang. Dia lihat sengihan Aqif semakin lebar sebaliknya Qisha terus membuat muka serius.  
“ Duduklah. Lagi pun tempat ini bukannya hak persendirian aku!” Kata Qisha.
Aqif tersengih lagi sambil mengangkat keningnya kepada teman-temannya. Di dalam hati dia mendongkol dengan sikap bodoh sombong Qisha itu.
“Siap kau nanti Cik Nyet!” Kata Aqif di dalam hati sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Qisha. Sengihannya semakin lebar.
“ Aqif, ingat tumpang duduk je jangan sampai tumpang hati pula!” Kata Wahid.
Aqif dan konco-konconya ketawa lagi. Peliknya tawa mereka itu bagaikan mengejek Qisha membuatkan hatinya terbakar hangus.
“ Apa salahnya kalau tumpang hati juga,” balas Aqif sambil merenung wajah Qisha lama. Sengaja mahu mengganggu ketenteraman gadis di sebelahnya.
Anisah dan Qisha hanya mencebirkan bibir. Meluat benar dengan sikap buruk Aqif dan konco-konconya.
“ Cik Nyet marah ke?” Tanya mereka serentak.
Qisha hanya menyepi. Tidak mahu melayan sikap tidak matang mereka itu.
“ Boo layan la…” kata Aqif yang sudah kembali kepada konco-konconya apabila tidak mendapat respon daripada Qisha.
“ Jom lepak tempat lain,” cadang Anisah kepada Qisha.
Ketika itu Aqif dan konco-konconya sedang mengacau pelajar junior yang lain. Sememangnya mereka tidak boleh melihat sesiapa sahaja hidup dengan aman.
“ Buat apa?” Tanya Qisha kembali.
“ Aku menyampah tengok mereka.”
“ Sabarlah. Pandailah aku ajar mereka,” kata Qisha yakin sekali.  
Beredar dari sini bererti dia sudah kalah di tangan Aqif dan konco-konconya. Dia tidak mahu tewas dengan mereka.
“ Cik Nyet. Nah ambil air coke ini. Kali ini aku belanja kau minum.”
Tiba-tiba Aqif datang ke tempat mereka dengan meletakkan setin air coke di hadapan Qisha. Qisha pandang kepada setin air berkarbonat itu dengan perasaan pelik. Tidak pernah Aqif bersikap begini kepadanya. Kenapa tiba-tiba sahaja lelaki itu berkelakuan baik kepadanya?
Qisha pandang kepada Anisah dengan seribu kerutan di dahi. Anisah pula hanya menjungkitkan bahu tanda tidak mengerti. Ah pastinya ada ‘sesuatu’! desis hati Qisha lagi.
“ Maaflah aku tak minum air coke,” kata Qisha dengan senyuman paksa. Dia tidak mahu terus terperangkap dengan permainan Aqif.
Aqif juga tersenyum. Dia mula rasa tercabar dengan penolakan Qisha itu. Siap kau selepas ini!
“ Oh tak minum ya. Tak pe biar aku tolong bukakan.”
Tanpa memperdulikan bicara Qisha itu, Aqif terus mengoncang air tin tersebut sekuat hati. Kemudian di talanya air tin itu ke muka Qisha lalu di tariknya pembuka tin itu sekuat hati. Serentak itu juga air gas itu memancut keluar. Pancutan yang kuat itu menyebabkan ia terkena tepat ke muka Qisha.
“ Oh maafkan aku Cik Nyet!! Maaf…ha ha..” Kata Aqif apabila memerhatikan Qisha yang bagaikan terkejut beruk apabila terkena pancutan air dari dalam tin tersebut. Walaupun bibirnya mengucapkan ucapan maaf tetapi tangannya yang sedang memegang air tin itu masih di talakan ke arah Qisha. Sengaja mahu membiarkan air tin tersebut membahasahi muka Qisha lagi. Hatinya cukup puas apabila melihatkan wajah Qisha yang sudah basah dengan pancutan air coke itu.
“ Setan!!!” Jerit Qisha sekuat hati.
Aqif dan konco-konconya ketawa besar. Malah ketawa mereka di kongsi oleh segenap mahasiswa yang turut menyaksikan adegan tersebut. Semuanya bagaikan terhibur dengan kelakuan kurang ajar Aqif terhadap Qisha itu.
Qisha rasa dirinya dipermainkan. Sampai hati Aqif sanggup memperlakukannya sebegini. Malah Aqif sudah pandai menjatuhkan maruahnya di hadapan mahasiswa lain.
“ Setan!!!” Ajuk Aqif dan konco-konconya.
Qisha semakin bengang. Hatinya terbakar hangus. Dendamnya semakin membara. Aqif memang kurang ajar! Dan Aqif memang patut di ajar!



Sisa Cinta Kita Bab 9


“ Esok awak ikut saya,” kata Datuk Hisham.
Datin Melisa yang sedang menonton televisyen berpaling.
“ Ke mana?”
Datuk Hisham memandang ke arah isterinya yang sedang merenungnya itu. Dia melemparkan senyuman manis. Perkahwinan yang mereka bina baru menginjak empat tahun. Setelah kematian isteri, Datuk Hisham menyunting Melisa yang ketika itu janda beranak satu sebagai isterinya. Dia bersyukur kerana Melisa seorang isteri yang baik dan tidak pernah membezakan kasih antara anak tirinya dengan anaknya sendiri.
“ Ke press conference,” jawab Datuk Hisham tersenyum lebar.
Berkerut kening Datin Melisa. Namun begitu dia dapat meneka sesuatu.
“ Awak menderma lagi ke?” Tanya Datin Melisa.
Datuk Hisham mengangguk menyebabkan Datin Melisa mengeluh lemah dengannya.
“ Kali ini saya minta nama saya jadi headline newspaper. Dermawan yang berhati mulia. Bagaimana sedap tak headlinenya? Kalau dah gloumour macam ni senanglah saya buat business. Orang lebih mudah percaya kepada saya.” Beritahu Datuk Hisham yang tersenyum lebar tanpa ada perasaan malu pada Allah SWT kerana memberi beliau rezeki yang melimpah ruah. Datuk Hisham lupa bahawa segala yang ada di dunia ini adalah pinjaman sementara oleh Allah tuhan sekelian alam.
Sudah pasti kali ini makin meningkat naik namanya setelah terkeluarnya berita tentangnya kelak. Mungkin juga pelbagai lagi anugerah yang bakal di terimanya setelah namanya meningkat naik. Dalam diam Datuk Hisham memasang angan.
“ Awak ni menderma untuk mendapat nama ke atau pahala?” Tanya Datin Melisa yang merasakan niat asal suaminya itu sudah menyimpang jauh daripada landasan agama.
“ Dua-dua sekali. Apa salahnya kalau saya membantu orang susah di masa yang sama saya mendapat nama. Bak kata pepatah sambil menyelam minum air,” kata Datuk Hisham tanpa ada riak bersalah. 
Datin Melisa mencebir.
“ Itu maknanya tak ikhlas, Datuk Hisham oii..”
“ Alah…awak mana tahu skill orang berniaga ni. Kalau saya dapat nama awak juga yang tumpang sekaki,” kata Datuk Hisham yang tetap bertegas dengan pendiriannya.
Datin Melisa hanya menggeleng lemah. Dia faham benar dengan sikap Datuk Hisham yang selalu merasakan setiap tindakan yang di ambilnya itu adalah betul.






 “KERJAYA jurutera penting dan besar kepada kemajuan negara. Tanpa jurutera, siapakah yang akan merancang dan mereka bentuk projek-projek seperti pengairan, jalan raya, jambatan, perlombongan, jana kuasa dan kilang? ” Kata Profesor Ridhuan iaitu seorang professor muda yang amat berketrampilan dalam akademik, sahsiah dan penampilan. Beliau juga merupakan ketua jabatan Kejuruteraan Awam dan stuktur. Nama professor muda ini juga selalu terpampang dalam kolum khas di akhbar Sinar Harian yang banyak berkisar tentang analisis stuktur dan rekabentuk bahan kejutureraan.
Kesemua pelajar kejuteraan awam dan stuktur begitu tekun mendengar penerangan yang diberikan oleh Professor Ridhuan. Hari ini adalah hari pertama mereka memulakan sesi perkuliahan mereka setelah seminggu menjalankan aktiviti orientasi. Aktiviti yang cukup meletihkan dan memberi tekanan dari segi mental dan jasmani.
“Malah tugas kita sebagai jurutera meliputi kajian dan pembangunan, pembinaan, penyenggaraan dan pengawalan, pengeluaran, perundingan, pengurusan serta latihan.”
Qisha yang duduk di barisan hadapan sekali bersama Anisah mengangguk-angguk mendengarkan informasi yang cukup berguna yang diberikan oleh Profesor Ridhuan.
“Apa itu kejuruteraan? Kejuruteraan secara umumnya ialah penggunaan pengetahuan sains dan matematik untuk menyelesaikan masalah-masalah praktikal. Pengetahuan itu digabungkan dengan pengalaman yang dipraktikkan sebaik-baiknya menggunakan bahan dan sumber semula jadi.”
“Jurutera ialah individu yang terlatih dalam mereka, membuat dan menggunakan jentera atau terlatih dalam mana-mana cabang kejuruteraan seperti jurutera awam, elektrik dan kapal terbang.  Kita perlu menitikberatkan inovasi mengenai komposisi sesuatu produk dan struktur, mengubah idea-idea baru kepada realiti, menyelesaikan masalah-masalah kemahuan dan kehendak manusia, memperbaiki kaedah-kaedah sedia ada dan merintis kaedah baru dengan menekankan pengetahuan saintifik, kebolehan dan kepandaian yang kreatif.“ Ujar Professor Ridhuan dengan penuh bersemangat.
“Ohh…hebat juga ye professor Ridhuan ini apabila bersyarah…sungguh berkesan dan menarik minta setiap mahasiswa yang mendengarnya. Kata-kata dan bait yang keluar dari mulutnya menggambarkan beliau seorang yang berilmu. Patut la ramai mahasiswa memperkatakan tentang keseronokan sesi pengkuliahan yag beliau berikan, kajian-kajian penyelidikan dan penulisan beliau juga hebat-hebat belaka seperti yang dibaca di dalam Akhbar Sinar Harian minggu lepas yang bertajuk Keajaiban Al-Quran dalam menyumbang kepada sains dan teknologi ”, fikir Qisha dalam hatinya setelah mendengar mukadimah kuliah professor Ridhuan.
“ Baiklah, sebelum memulakan sesi perkuliahan kita, saya mahukan nombor telefon salah seorang daripada kamu yang bertindak sebagai wakil pelajar. Kalau ada apa-apa maklumat yang perlu saya sampaikan, saya akan menghubungi wakil pelajar ini.”
Seisi dewan hanya mendiamkan diri. Masing-masing tidak berani untuk menjadi wakil pelajar kerana bimbangkan tanggungjawab yang bakal di pikul kelak.
Profesor Ridhuan yang memahami situasi tersebut mula menggunakan kuasa autoritinya sebagai seorang penyarah.
“ Senang cerita saya melantik kakak yang ada betul-betul di hadapan saya ini. Siapa nama?”
Qisha begitu terkejut sekali apabila dengan tiba-tiba Profesor Ridhuan menunding jari ke arahnya. Dalam keterpaksaan Qisha tersenyum.
“ Nama saya Qisha,” kata Qisha sopan sekali.
Profesor Ridhuan mengerutkan dahinya.
“ Apa sha?” Tanya Profesor Ridhuan yang tidak dapat menangkap bicara Qisha itu.
“ Qisha! Q-I-S-H-A.” Kata Qisha sambil mengeja namanya.
“ Oh Qisha. Nama orang zaman sekarang ni pelik-pelik dan susah sangat nak disebut. Tak macam orang dulu-dulu, nama Aminah, Bedah.” Seloroh Profesor Ridhuan.
“ Prof, nama glamournya Cik Nyet!”
Seorang mahasiswa lelaki yang duduk di barisan hadapan berkata membuatkan seisi dewan gamat dengan tawa mereka. Qisha yang sudah merona merah wajahnya hanya sekadar menahan geram. Semuanya angkara Aqif!
“ Kenapa pula jadi Cik Nyet?” Tanya Profesor Ridhuan yang memberi tumpuan kepada Qisha. Dia inginkan penjelasan daripada gadis itu. Sebaliknya seorang mahasiswa lelaki lain pula yang menjawab.
“ Sebab dia pandai buat gaya monyet! Ooo..ooo..” Kata mahasiswa tersebut sambil menggayakan aksi yang telah digayakan oleh Qisha di hari orientasi dahulu.
Qisha mendenggus marah. Di jelingnya kepada Anisah yang sudah tersengih melihatkan lawak antarabangsa yang dibuat oleh mahasiswa tersebut. Begitu juga dengan Profesor Ridhuan yang sudah berderai tawanya.

Sisa Cinta Kita Bab 8


“ Aqif, awak tahu tak apa tujuan saya memanggil awak ke dalam bilik saya?” Tanya Encik Arshad selaku ketua felo Kolej Keris Mas.
Aqif yang duduk di hadapan Encik Arshad hanya menggeleng. Wajahnya kelihatan begitu resah sekali. Encik Arshad jarang memanggil mahasiswa kalau tiada perkara serius yang perlu dibincangkan.
“ Maafkan saya Encik. Saya tak tahu tujuan Encik memanggil saya ke sini.” Jawab Aqif gementar sekali. Dia terus merenung Encik Arshad yang kelihatan begitu serius.
“ Sebenarnya saya telah mendapat aduan tentang sikap awak yang telah membuli seorang junior wanita.” Kata Encik Arshad tenang sekali.
Aqif terkejut besar dengan aduan yang langsung tidak disangkanya. Kerutan di dahi semakin ketara. Siapakah yang telah membuat aduan tersebut? Budak perempuan itukah? Mukanya sudah merona merah.
“ Siapa?”
Encik Arshad mengeluh lemah. Dia langsung tidak terkejut mendapat aduan tersebut kerana sememangnya Aqif cukup dikenali dengan kenakalannya. Namun begitu aduan yang diterima tidak boleh di pandang remeh apatah lagi yang mengadunya adalah Datuk Hisham salah seorang tokoh korporat yang cukup terkenal di Malaysia.
“ Namanya Qisha binti Datuk Hisham.”
Aqif makin berasa cuak apabila mendengarkan pangkat bapa perempuan itu. Ternyata budak perempuan itu bukannya calang-calang orang.
“ Tapi apa yang telah saya buat kepada dia?” Tanya Aqif ingin mendapatkan kepastian. Selama ini banyak juga kaum wanita yang menjadi mangsa sakatnya tetapi nama Qisha tidak pernah di dengarnya.
“ Menurut aduan, awak telah mempermainkannnya dan menjadikannya sebagai bahan ketawa awak. Disebabkan itu dia mengalami tekanan perasaan.”
Aqif mengeluh lemah. Pandai benar wanita bernama Qisha mereka cerita. Tak kanlah setakat buli sebegitu akan menyebabkan tekanan perasan. Saje je budak perempuan itu mahu mengenanya. Aqif makin geram. Dia menganggak Qisha binti Datuk Hisham itu adalah junior yang di panggil Cik Nyet olehnya.
“ Aqif, perbuatan membuli saya anggap perbuatan yang cukup serius kerana ia juga merupakan satu isu nasional yang sering diperkatakan di media massa. Awak adalah seorang pelajar yang pintar tetapi perbuatan seperti ini tidak boleh dipandang remeh. Sepatutnya awak memberikan contoh yang baik kepada mahasiswa baru dan bukannya bersikap seperti orang tidak matang begini.” Panjang lebar Encik Arshad berleter.
Aqif menunduk. Dia mula gementar dengan tindakan yang bakal di ambil oleh Encik Arshad terhadapnya.
“ Saya minta maaf Encik. Saya janji tak kan melakukan perkara ini lagi.”
“ Jadi, awak mengaku?”
Lambat-lambat Aqif menganggukkan kepalanya.
“ Saya tetap akan menghukum awak melainkan jika Qisha sudi memaafkan awak dan tidak memanjangkan cerita ini. “
Aqif makin berdebar. Janganlah Encik Arshad menjatuhkan hukuman yang bakal menggelapkan masa hadapannya sedangkan dia melakukan semua ini hanyalah sekadar untuk suka-suka sahaja.
Encik Arshad menekan interkom.
“ Halimah, suruh mahasiswa bernama Qisha masuk.”
Tidak sampai dua minit, terdengar ketukan di luar pintu. Selepas mendapat arahan masuk, tersembul wajah yang cukup di kenalinya. Ternyata tekaannya tepat sekali. Rupa-rupanya Cik Nyet adalah Qisha binti Datuk Hisham. Pandai benar Cik Nyet menggunakan pengaruh bapanya untuk mengenakannya kembali.
“ Selamat pagi Encik.” Kata Qisha sedikit pun tidak memandang ke arah Aqif.
“ Selamat pagi. Sila duduk.”
“ Terima kasih Encik.” Kata Qisha sebelum melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan dengan Aqif. Sempat juga dia menjeling ke arah Aqif yang kelihatan begitu cuak sekali.
“ Qisha, saya mendapat aduan daripada bapa awak yang Aqif ini telah membuli awak. Adakah ianya betul?”
Qisha menarik nafas dalam-dalam. Dia tidak menyangka bapanya benar-benar ambil serius dengan bicaranya tempoh hari.
“ Betul Encik tapi saya anggap itu sebagai satu gurauan sahaja yang patut di terima oleh mahasiswa baru. Dengan cara ini kami dapat berkenalan dengan lebih mesra.”
Aqif menarik nafas lega dengan bicara Qisha itu.
“ Perkara membuli adalah perkara yang serius dan Aqif boleh dikenakan tindakan tatatertib.”
Qisha menjeling Aqif sekilas. Dia tidak mahu hanya kerana perkara sekecil ini akan menggelapkan masa hadapan Aqif.
“ Saya rasa tidak perlulah dipanjangkan perkara ini. Saya harap ianya boleh berakhir di sini.”
Encik Arshad mengangguk. Dia berasa senang hati dengan bicara Qisha itu.
“ Saya juga sebenarnya tidak suka perkara ini diperbesarkan. Kalau begitu Aqif, sebagai adatnya awak kenalah memohon maaf dari Qisha dan saya tak mahu perkara sebegini berulang kembali.” Encik Arshad memberi amaran.
Aqif tersenyum senang hati. Dia segera bangun dan menghulurkan tangannya kepada Qisha. Sempat dia menangkap jelingan Qisha kepadanya.
“ Ah Cik Nyet ni, jeling-jeling paku pula!” Kata Aqif di dalam hati.
Qisha menyambut huluran Aqif. Tanpa menunggu sesaat jari-jemari nakal Aqif terus memegang kejap jari-jemari Qisha. Dia sempat mengejitkan mata kepada Qisha membuatkan Qisha menjeling tajam.
“ Maafkan aku Cik Nyet.”






“ OIII..Aqif, angau ke?”
Wahid yang perasan dengan sikap Aqif yang asyik mencium tangannya sendiri dan kemudiannya tersenyum sendirian mula menegur sahabat baiknya itu.
“ Kau ni potong stim lah!” Marah Aqif.
“ Tu nasi tu tak luak pun. Asyik cium telapak tangan sejak dari tadi! Kau ingat dengan cium tangan kau tu boleh buat Cik Nyet jatuh cinta kepada kau ke?”
Aqif mengeleng dengan bicara Wahid itu. Tanpa memperdulikan Wahid dia terus mencium telapak tangannya yang sebentar tadi berjabat dengan tangan Qisha.
“ Kau ni pandai-pandai je buat kesimpulan sendiri. Aku bukannya sukakan dia. Aku bertambah geram dengan dia!”
Wahid yang sedang enak menyuapkan makanannya terhenti buat seketika. Di pandangnya Aqif tanpa berkelip.
“ Kenapa pula kau geramkan dia?”
Aqif tersenyum manis.
“ Sebab dia sudah pandai melawan aku,” kata Aqif yang semakin seronok dengan permainannnya ini.
Wahid menggeleng. Nampaknya Aqif masih belum serik walau telah diberi amaran oleh Encik Arshad sebentar tadi.
“ Kau jangan main-main Aqif. Dia guna kabel besar. Karang tak fasal-fasal kau pula dikenakan tindakan tatatertib.” Nasihat Wahid.
“ Sebab tu aku suka kacau dia. Lagi berisiko lagi syok,” ulas Aqif dengan tawa besar.
Wajah Qisha menari-nari di ruang ingatannya. Dia mula merancang sesuatu. Sesuatu yang bakal menaikkan kemarahan gadis naif itu lagi. Senyumannya semakin lebar. Malah tawanya makin besar.